Home Novel Seram/Misteri TESIS
TESIS
Ninie Othman
13/11/2014 10:09:42
17,937
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
DETIK : 5

“Baguslah. Best tak tempat tu?” Sofia bertanya. Jason memberitahunya tentang apa yang Azlan perolehi tadi.

Dia menoleh dan memandang Sofia sekilas lalu. Jalanraya yang agak sibuk membataskan perbuatan Jason. “Kind of gloomy tapi menarik.”

“Gloomy? Seram ke?”

Jason menggeleng, “Taklah. Kalau awak tengok, mesti awak suka.”

Sofia mengangguk, matanya dialihkan ke tingkap kereta yang sedikit terbuka. Angin petang itu terasa nyaman menyentuh pipi. Gloomy? Hmm…

Jason memberhentikan kereta di hadapan rumah sewa Sofia, Devi dan Rita. Sofia tidak membenarkan dia masuk ke rumah kerana tidak elok dipandang jiran sekeliling. Dia menundukkan sedikit kepalanya dan melemparkan senyuman mesra ke arah teman lelakinya.

“See you tomorrow.”

Jason membalas senyuman itu. Comel betul Sofia. “Okay sweetheart. Bye.”

Pandangan mata Sofia mengekori kereta yang semakin jauh meninggalkannya. Tidak sampai seminit, kelibat kenderaan itu menghilang di sebalik pokok besar di hujung simpang. Dengan perlahan, dia mengatur langkahnya ke rumah sewa. Kelihatan dua rakannya sedang berdiri di ambang pintu sambil tersenyum ke arahnya.

“Aku dah dengar dari Jason tadi.” Ujarnya sebelum Rita dan Devi membuka mulut.

“Lepas ni borak, aku nak solat jap.” Dia menyambung dan berlalu ke bilik.

Rita dan Devi masih berdiri di ambang pintu utama. Keduanya mengambil udara segar di situ. Bukan selalu dapat merasai udara segar begitu.

“Aku harap tempat kali ni diluluskan Prof.” Ujar Devi penuh harapan.

Rita hanya mampu mengukir senyuman pahit. Dia pun mengharapkan benda yang sama. Jika tempat itu diluluskan, bolehlah mereka memulakan kajian untuk tesis mereka itu. Masa sudah semakin suntuk, tesis perlu disiapkan. Penasihat akademik mereka itu pula agak cerewet orangnya. Jika dia tidak berkenan, mereka terpaksa mencari tempat kajian yang baru.


Usai solat, Sofia berjalan ke dapur di mana rakan-rakannya sedang berada. Dua wanita itu sedang menghirup air milo panas bersama biskut kering.

“Lan ke yang call korang tadi?”

Soalan Sofia dijawab dengan anggukan kepala keduanya. Sofia mengangguk faham seraya melabuhkan punggung ke atas kerusi bersebelahan Devi. Biskut kering yang tersusun di atas pinggan dicapai dan digigit penuh selera. Berterabur sedikit di atas baju t yang sedang dipakainya.

“Jason cakap tempat tu nampak gloomy.”

Rita dan Devi berhenti mengunyah biskut. Keduanya serentak memandang Sofia. Gloomy? Macam menyeramkan je?

“Tapi dia cakap tak nampak seram pun. Cuma suram je sikit.” Jelas Sofia seolah dapat membaca kata hati keduanya. Dia tidak mahu menakutkan rakan-rakannya. Dia sendiripun belum melihat keadaan sebenar tempat itu.

“Kau dah tengok ke gambar-gambarnya?”

Soalan Devi dibalas dengan gelengan kepalanya.

“Esok kita tengok gambar-gambar tu. Lepas kuliah.” Rita berkata diiringi dengan senyuman lebar di bibirnya.

“Tak sabar!” Devi tersengih.

“Harap-harap tempat kali ni Prof luluskan. Kalau tak, nayalah kita.” Sofia seakan membebel. Dia menghirup air milo suam kepunyaan Devi dengan selamba.

Mendengar sahaja kata-kata itu, Devi dan Rita melepaskan sebuah keluhan yang berat. Lemah semangat mereka memikirkan kertas kerja kali ini juga mungkin akan ditolak. Jika ia ditolak, maka sudah tiga kali kertas kerja mereka tidak diluluskan oleh profesor itu.

“Kita fikir baik-baik sudah. In shaa ALLAH, dia luluskan.” Rita cuba berfikiran secara positif. Hal itu nombor dua, yang penting mereka akan melihat gambar-gambar Kota Hitam Semandin terlebih dahulu dan menyiapkan kertas kerja selepas itu.

“Okey…” Sofia dan Devi berkata serentak.


Pandangan Rita terarah pada kelibat Azlan dan Jason yang baru tiba. Keduanya terkocoh-kocoh mendekati Rita yang sedang berdiri di luar dewan kuliah. Tidak pula kelihatan Devi dan Sofia di situ.

“Ada bawak?” Rita menyoal setelah dua lelaki itu berdiri di hadapannya. Perasaan tidak sabarnya membuak-buak sejak semalam. Selepas mendapat tahu tentang lokasi unik itu, tidurnya menjadi tidak lena. Dia tidak sabar-sabar mahu melihat sendiri bagaimana rupa kota lama itu.

Azlan mengangguk. “Ada…” Sambil menepuk-nepuk begnya. Sejak malam tadi dia sudah menyimpan gambar-gambar tersebut ke dalam beg, takut lupa. Rita tersengih.

Jason mengintai ke dalam dewan kuliah, kelas akan bermula 5 minit lagi. “Jom masuk.”

Tiada pilihan lain, mereka bertiga beriringan masuk ke dewan. Rita menyabarkan hatinya sendiri. Gambar-gambar itu akan menyapanya selepas kuliah kelak. Dia harus bersabar selama dua jam.

“Lan ada bawak?” Devi berbisik. Rita mengangguk.

Sepanjang kuliah, fikiran Rita dan Devi asyik melayang memikirkan Kota Hitam Semandin. Dua jam terasa begitu perlahan meninggalkan mereka. Mata mereka tidak lekang dari melirik jam yang terlilit di pergelangan tangan. Ada sejam lagi…

Selesai kuliah, Rita dan Devi bergegas mendapatkan Azlan. Mereka bergerak ke café yang terletak berhampiran. Sambil meneliti gambar-gambar tersebut, bolehlah mengisi perut yang berkeroncong sekali.

Selepas memesan mi goreng, lima sahabat itu mengambil posisi di sudut yang berhampiran dengan pintu keluar café.

“Wow…” Rita berkata spontan. Dia merenung sekeping gambar yang sedang dipegang. Memang menakjubkan! Memang sesuai untuk dijadikan bahan tesis mereka!

“Agak creepy sikit…” Devi berbisik. Dia tersenyum pahit. Langit jingga dan agak kemerah-merahan itu meremangkan sedikit bulu romanya. Entah mengapa dia berperasaan begitu secara tiba-tiba.

“Ala, biasalah tu. Tempat peninggalan sejarah memang macam ni keadaannya. Nampak seram sebab dah lama kena tinggal kot.” Jelas Azlan cuba menenangkan perasaan Devi.

“Memang macam seram sikit.” Kemudian Sofia menyokong kata-kata rakannya.

Jika diteliti, bangunan-bangunan separuh musnah itu kelihatan sedikit menakutkan. Ditambah lagi dengan suasana langit yang suram. Di sekitarnya pula hanya dipenuhi dengan hutan rimba. Tetapi bak kata Azlan, tempat yang terbiar lama memang begitu keadaannya. Ia boleh dikategorikan sebagai normal.

“Tempat ni memang sesuai sangat untuk tesis kita. Agak-agak Prof suka tak?” Azlan menyoal rakan-rakannya. Kemudian dia memandang Rita yang sejak tadi meneliti gambar-gambar kota terbiar itu.

“In shaa ALLAH dia suka. Aku rasa kita group pertama yang buat kajian kat tempat ni.” Rita berkata penuh yakin. Gilalah kalau Prof.Kamarul tidak suka. Tempat seunik ini memang tidak wajar diketepikan!

“Bolehlah start buat paperwork.” Jason mengusul.

“Ada maklumat-maklumat lain tak pasal tempat ni?” Rita bertanya, dia merenung Azlan. Dengan sepasang bulu kening yang berkerut, lelaki itu menggelengkan kepalanya.

“Susahlah nak buat paperwork kalau macam ni.” Rungut Sofia. Tanpa maklumat yang lengkap, mustahil mereka dapat menyiapkan kertas kerja itu.

“Try Google. Mesti ada.” Devi memberi cadangan.

Azlan melayari internet dan mencari maklumat tentang tempat itu melalui bantuan aplikasi Google. Tempat tersebut gagal dijejaki kerana internetnya yang tiba-tiba mati sendiri. Bateri telefon bimbitnya juga turut sama mati secara tiba-tiba. Dia mati akal.

Previous: DETIK : 4
Next: DETIK : 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman