Home Novel Seram/Misteri TESIS
TESIS
Ninie Othman
13/11/2014 10:09:42
17,938
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
DETIK : 2

Langit jingga menarik perhatian setelah hampir 10 minit merenung skrin komputer ribanya. Waktu diperiksa, sudah melepasi pukul 6 petang. Awan kelabu yang berarak perlahan di kaki langit juga turut menarik perhatiannya. Hujan yang turun sejak tengahari tadi masih belum reda sepenuhnya, rintiknya masih ligat membasahi bumi. Kemudian matanya diarahkan kembali ke komputer, fikirannya berserabut.

Jason yang terbaring di atas katil kini sudah lena diulit mimpi. Dengkuran kecil menghiasi keheningan yang mula tercipta dalam ruangan tersebut. Entah apa yang dimimpikannya, hanya dia yang tahu.


Devi menyelak tirai yang menutupi tingkap di hadapannya. Hujan masih belum berhenti sejak tadi, seperti mahu banjir sahaja gayanya. Sekaki payung yang tergantung di sisi jendela membuatkan dia tersenyum pahit. Boleh pula dia terlupa untuk membawa payung ketika ke universiti tadi. Mujur Rita datang menyelamatkan mereka dari dibasahi hujan. Sejak dua menjak ini, gadis berkulit sawo matang itulah yang bertindak sebagai penyelamat mereka. Dia tergelak sendiri.

“Happynya? Dah ada boyfriend ke?” Sergah Sofia daripada belakang. Melihat Devi yang tersentak hebat, gelak tawanya pantas meniti di bibir.

“Sorry, sorry…” Pohonnya dengan tawa yang masih berbaki di mulut.

Devi mencebik. Memang kaki sergah! Nasib baik dia tiada sakit jantung, kalau tidak…Hish!

“Kalau aku ada heart attack macam mana?”

Sofia tersengih macam kerang busuk. Gadis India yang berbadan kecil molek itu dirapati. “Ala, sorrylah. Janganlah merajuk, nanti tak comel macam aku…”

Devi menggeleng dengan senyuman di wajahnya. Sofia memang nakal.

“Jom, dinner…”

Rita memanggil dari dapur. Gadis itu telah menyiapkan juadah untuk makan malam. Lauk-pauk yang sepenuhnya dibeli dari kedai makan itu disalin ke dalam pinggan mangkuk dan disusun rapi di atas meja. Nasi putih semalam masih berbaki dan masih elok untuk dimakan pada hari itu.

“Kau kena start masak untuk kitorang Fia…”

Kata-kata Devi membuatkan Rita dan Sofia memandang ke arahnya dengan penuh minat. Kenapa Devi tiba-tiba berkata begitu? Pelik…

“Kenapa?” Sofia bertanya sambil mengaut ayam goreng pedas dari mangkuk yang terletak di hadapannya. Perut yang berkeroncong segera diisi.

Devi tersengih, “Nanti kau nak kahwin dengan Jason. Kau kenalah pandai masak.”

Jawapan tersebut membuatkan Sofia hampir tercekik daging ayam yang sedang dikunyah. Rita menahan tawa. Memang betul apa yang dikatakan oleh Devi itu, seorang isteri haruslah pandai memasak dan pandai melayan suami.

Sofia meneguk air kosong dengan rakus. Cuba menurunkan daging ayam yang terlekat di kerongkongnya.

“Jangan mengarutlah.” Sofia menyambung makannya yang terganggu sebentar tadi. Tiada masa dia mahu melayan kenakalan gadis itu. Lebih baik dia mengisi perut yang lapar.

“Apa pulak yang mengarutnya? Betullah apa yang Devi cakap tu…Kau akan kahwin dengan Jason nanti.” Rita mengusik Sofia yang sedang menikmati makan malam. Tidak lama lagi pasti gadis berkulit putih melepak itu membebel macam mak nenek.

“Lama lagilah!” Balas Sofia sambil menjuihkan bibir. Nak makan pun susah! Ada-ada sajalah mereka berdua ni!

“Mana ada lama. Setahun lebih lagi je pun…” Rita berkata selamba. Suka benar dia mengusik rakannya itu. Sayur kailan masak tiram dikunyah penuh selera.

“Betul tu…” Sokong Devi bersungguh-sungguh.

Sofia mengetap bibir. Nasi yang berbaki di dalam mulut dikunyah dengan penuh geram. Rita dan Devi menahan tawa. Mahu meletuplah tu.


Guruh kedengaran menyanyi di kaki langit. Hujan lebat kembali menyimbah ke bumi. Memercik membasahi belakang kereta yang diparkir di halaman rumah sewa. Langit kelam bertukar gelita, kedinginan terasa menggigit hingga ke tulang hitam.

Jason terpisat-pisat buat beberapa saat. Bahunya disentuh seseorang sebentar tadi. Dengan mata yang masih mengantuk, dia merenung Azlan yang sedang memandang ke arahnya. “Ah, kenapa Lan?”

Azlan menghalakan jari telunjuknya ke jam loceng yang terletak di atas meja. “Dah pukul 8 malam. Kau tak lapar ke?”

Jason menoleh dan melirik jam loceng yang dimaksudkan. Sudah malam rupanya, lama juga dia terlelap tadi. Terasa lenguh seluruh tubuhnya, urgh…

“Uhm…” Ringkas jawapannya. Masih mengantuk.

Baju panas yang tergantung di dalam almari disarungkan ke tubuh. Dia mahu ke café untuk memesan makanan panas. Perutnya berkeroncong sejak dari tadi, sudah sampai masanya untuk diisi. Jason yang tersandar di dinding dipandang sekilas lalu.

“Jom...”

Jason menggosok muka yang sembab dengan kedua telapak tangannya. Kepenatan jelas terpamer dari raut wajahnya. Penat memikirkan tesis yang harus disiapkan sebelum bergraduasi nanti. Bunyi hujan di luar bagaikan muzik di telinganya. Membuai-buai perasaannya yang sedang mengantuk.

“Hujan?” Soalnya dengan suara yang putus-putus. Azlan mengangguk sebagai mengiakan pertanyaan tersebut.

“Nak pergi tak?” Azlan sudah bersedia di hadapan pintu dengan tangan yang menggenggam tombol pintu. Lapar bukan kepalang. Jason pun terhegeh-hegeh betul, mahu makan ke tidak ni?

Jason tersengih. Nampaknya Azlan sudah naik marah. Dengan rambut yang separuh berserabai, dia bangkit dari katil empuknya dan bersiap-siap untuk ke café bersama Azlan. Kalau diikutkan hati, memang dia memilih untuk tidur dari makan malam namun tidak sampai hati pula dia melihat rakannya itu ke café seorang diri.

“Agak-agaknya diorang dah jumpa belum lokasi untuk tesis kita tu?” Soal Sofia sambil menyusun pinggan mangkuk ke atas rak besi.

Rita yang sedang asyik mengelap meja sekadar menjungkit bahu. Dia sendiri pun tidak pasti.

“Entahlah, dah kot?” Jawabnya acuh tidak acuh.

“Prof.Kamarul ni cerewet sikit. Tak larat aku kalau dia reject paperwork kita.” Sofia mengomel. Setiapkali memikirkan hal tersebut, pasti otaknya berserabut.

Previous: DETIK : 1
Next: DETIK : 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ninie Othman