Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
70,768
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 14


Aku harap strategi yang kuatur menjadi pagi ini. Puas aku memikirkannya malam tadi. Minta-minta tak adalah halangan lagi. Kalau semua berjalan lancar, hari ini juga kuasa Gayat di pulau ini akan hancur.

Petugas-petugas penjara sudah berkumpul sewaktu aku tiba di Penjara Izzie. Semuanya tunduk memberi hormat kepadaku. Bestnye! Dengan gaya yang macho aku berjalan menuju ke pentas yang telah disediakan.

“Selamat pagi semua,” aku menyusun kata-kataku. “Semua sudah berkumpul?”

“Sudah, datuk!” jawab seorang askar yang berdiri di depan sekali. Ketua penjara agaknya.

“Bagus. Memandangkan ceramah hari ini berbentuk motivasi, aku ingin memperingatkan yang semangat adalah kunci bagi kehebatan bangsa Gayat. Jadi, sebelum memulakan ceramah pada pagi ini, kamu semua mesti bersemangat.”

Aku menelan air liur sekejap. Habislah mereka semua kena kelentong.

“Jadi, untuk menaikkan semangat sebelum ceramah dimulakan, aku mahu kamu semua berkawat!”

Keadaan yang senyap tadi mula bising dengan suara-suara tidak puas hati. Tak boleh jadi macam ni. “Diam! Askar-askar Gayat mesti berdisiplin dan patuh kepada arahan, faham semua!”

“Faham, datuk!” bergemuruh mereka semua menjawab.

“Bagus. Barisan kawat pada pagi ini akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai Markas Besar,” aku menunjukkan ke arah pengiring-pengiringku. Pegawai-pegawai itu terperanjat. Mesti mereka tak sangka yang mereka pun kena sama. Heh, itu saja caranya supaya mereka tidak mengekori aku selepas ini. Kalau tidak, susahlah aku nak buat kerja.

“Sementara itu, aku mahu tengok keadaan penjara. Siapa ketua warder?”

“Saya, datuk!” askar yang berdiri di depan tadi menjawab. Tak salah agakan aku tadi.

“Mari, temankan aku. Yang lain, mulakan barisan.”

Semua kalut. Berterabur saja aku tengok mereka ini. Tak sistematik langsung.

“Oi, disiplinlah sikit!” salah seorang pegawai pengiringku yang kutugaskan handle kawat berteriak.

Heh heh. Pelan A sudah settle. Kita masuk pula ke pelan B. Aku dan warder itu kini berada di dalam bangunan pentadbiran penjara, yang terletak bersebelahan dengan padang kawat. Ada tiga orang askar sedang berkawal di situ.

“Mana petugas-petugas yang lain?” tanyaku kepada warder.

“Mereka sedang berkawat di luar sana, sepertimana yang datuk arahkan tadi.” Ya tak ya juga. Aku sendiri yang bagi arahan tadi. Bodoh punya soalan. “Hanya mereka bertiga yang bertugas untuk tujuan keselamatan,” tambah warder itu.

“Bagus, bagus,” pujiku. Bagus, semakin sikit orang semakin senang aku nak buat kerja.

Warder itu membawaku ke sebuah pintu yang besar yang bertulis:

PINTU UTAMA PENJARA BAWAH TANAH GAYAT


Oh, penjaranya di bawah tanah. Bangunan di atas ini cuma untuk tujuan pentadbiran sahaja. Heh, senang sikit aku nak bertindak bila jauh dari orang ramai ni.

Warder itu menutup semula pintu besar itu selepas kami masuk. Terima kasih kerana buat macam itu. Tak adalah siapa yang dengar kalau projek aku berjalan lancar selepas ini. Kemudian aku dibawa menuruni sebuah tangga pusing yang jauh ke dalam, dihiasi lampu yang samar-samar. Aku terasa seolah-olah berjalan masuk ke perut bumi. Sampai sahaja di bawah, warder itu memicit sesuatu di dinding. Keadaan terus menjadi terang benderang. Mak datuk!

Aku dapati yang kami sekarang berada di satu lorong yang besar yang tidak kelihatan hujungnya. Di kiri kanan lorong itu kelihatan bilik-bilik penjara berjerjak besi. Dan di dalam bilik-bilik itu, tawanan-tawanan yang berbaju koyak rabak dan berbadan kurus kering merenung tajam ke arah kami. Ada yang berbisik-bisik. Mengumpatlah tu.

“Semakin ramai nampaknya tahanan kita sekarang,” aku bersuara sambil merangka-rangka cara untuk membebaskan tawanan-tawanan ini.

“Sekarang ramai orang keras kepala, Datuk,” balas warder itu.

“Eh, itu nampak ada macam seorang terlepas,” aku menunjuk ke satu arah.

“Mana, mana?” mata warder itu melilau ke arah itu. Apalagi...

Kuk! Aku terus hentak kepala warder itu dengan cota aku. Terus pengsan on the spot. “Huh, kepala engkau lagi keras daripada diaorang ni.”

Hebat tak muslihat aku tadi? Hebat kan!

Tahanan semua mula bising melihat insiden yang tidak terduga di depan mata mereka. Hah, terkejut korang.

“Kenapa panglima Gayat ini tiba-tiba berubah sikap?” aku terdengar seorang tahanan bersuara.

“Panglima Gayat apa benda. Aku dari pulau Gomalah. Aku menyamar,” aku membuka topeng. Mereka semakin bising. Ada yang berteriak kesukaan. Alamak, over pulak mereka ini. Aku kena sound sikit.

“Ssyy, diamlah. Aku ni nak tolong korang. Yang bising tu nak buat apa?”

Aku mengikat warder itu dengan tali yang sudah siap kubawa. Herolah katakan, mesti sentiasa membawa alat-alat yang diperlukan. Dengan kunci yang kuambil daripada warder itu, aku membuka pintu-pintu penjara. Kerja itu berjalan lancar kerana aku dibantu oleh tawanan-tawanan. Mampus aku nak buka semua pintu penjara itu seorang diri. Bukannya sedikit tu.

Selepas semua tawanan dibebaskan, aku pun memberikan taklimat ringkas tentang rancangan aku hendak menyerang askar-askar Gayat yang sedang berkumpul di padang. Mereka semua punyalah gembira dengan rancanganku. Aku pun lagilah gembira kerana mereka menyokong rancanganku seratus peratus.

“Bagus, kalau macam itu apa kata kita bergerak sekarang,” usulku.

“Tapi dengan apa kita hendak menyerang mereka, Datuk?” seorang tawanan bertanya. Eh, bila masa pula aku dapat pangkat Datuk ni? Itu pangkat Nashalah!

“Ya, bagaimana?” seorang lagi tawanan bersuara. “Senjata apa pun tak ada.”

Alamak! Aku mula menggelabah. Takkan nak serang dengan tangan kosong? Membunuh diri namanya tu! Cis, kenapalah aku tak terfikir pasal hal ni tadi!

“Jangan risau,” tiba-tiba seorang tawanan tua yang berwajah iras-iras Sean Connery bersuara. Dia inilah yang banyak bertanya dan memberikan komen semasa aku memberikan taklimat tadi. Ideanya bernas. Tawanan-tawanan lain kelihatan cukup hormat padanya. Kenapa entah.

“Ada sebuah bilik menyimpan senjata-senjata yang dirampas di sini. Cuba tanya warder tu, dia mesti tahu,” suruh Sean Connery.

Aku menggoncang-goncangkan badan warder itu. Dia terus kaku. Mati ke dia ni kena cota aku tadi? Aku pijak perutnya. “Adoi!” dia menjerit. Huh, hidup lagi rupanya.

“Hei, bilik senjata kat mana?”

“Tolo... ehmhmph!”

“Ceh, nak minta tolong pulak. Ni, nampak pedang ni. Sekali hayun, kepala engkau hilang. Nak tak?”

Warder itu cepat-cepat menggeleng-gelengkan kepala. Tahu pun takut.

“Sekarang beritahu kat mana?” aku mengugut sambil meletakkan pedang di lehernya.

Warder itu terus senyap. Kurang ajar betul.

“Cakap cepat!” aku menekankan pedang kuat-kuat di lehernya. Menggigil kawan tu.

“Sana, sana...”

“Sana, mana!”

“Naik tangga, masuk kiri, jumpa pintu. Itulah dia.”

“Kunci?”

“Aku tak tahu.”

“Dia tipu. Dia ketua Warden, mesti kunci dia simpan,” Sean Connery memberitahuku.

“Mana ada dengan aku!”

“Nampak pedang ni!”

“Jangan, jangan. Baiklah. Tapi aku tetap tak boleh bagi.”

“Aih, kau nak mampus?”

“Kau ikat tangan aku, bagaimana aku nak bagi?”

“Ooo, jadi kami kena lepas tangan kaulah supaya senang kau bagi kunci? Kau ingat kami bodoh nak buka ikatan kau? Periksa badan dia!” Sean Connery memberi arahan.

“Hah, ada pun!” seru tahanan yang memeriksa badan Warder itu sambil menyerahkan kunci yang didapatinya kepada Sean Connery.

“Aku dah tolong engkau, lepas la aku,” warder itu merayu.

“Baiklah. Nah!” aku menghentak semula kepala warder itu dengan cota. Dia pengsan semula. “Ikat mulut dia,” arahku kepada seorang tahanan. “Yang lain, mari ikut aku ke bilik sen...”

Eh, mereka dah bergerak meninggalkan aku! Sean Connery berjalan di hadapan mereka. Orang tua ini nak mengambil alih tempat aku sebagai ketua kat sini ke? Sabar, Dil. Jangan cemburu buta. Cepat join diaorang. Kali ini tahulah bangsa Gayat langit tinggi rendah!


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman