Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
70,776
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 9


Keadaan sekeliling sudah mulai gelap sewaktu aku, Kuzi dan Razin tiba di tengah-tengah hutan. Matahari kelihatan samar-samar saja di ufuk barat. Hanya sebahagian kecil cahayanya sampai ke bumi.

“Hari masih petang tapi keadaan sudah begitu samar-samar. Tak lama lagi malam akan menjelma. Di mana kita hendak berehat dan bermalam? Kalau kita meneruskan perjalanan kita, kita akan jadi seperti orang buta, teraba-raba dalam gelap yang amat pekat meliputi alam maya di hutan rimba nan luas ini,” Razin dah buka ayat-ayat Kamus Dewan dia. Bosan betul.

“Fun! Kau dengar tu, Dil. Sasterawan berpuisi,” Kuzi mengejek Razin.

“Tak kasi can betullah korang ni. Aku ni cintakan sastera. Kan tahu, sastera tu telah berakar umbi...”

“Berakar umbi kepala hotak kau. Sekarang ni kita nak cari tempat lepak malam ni. Rentikanlah kata-kata mengarut kau tu,” aku mencelah. “Engkau jangan layan sangat dia ni, Kuzi. Kata-katanya Mr. Bean belaka.”

Razin hanya tersengih macam orang biul.

“Kat sini ajelah kita bermalam,” cadang Kuzi. Dalam semak ni? Dia ni biar betul.

“Nanti dulu.” tingkah Razin. “Kita pergi ke kawasan lapang kat depan sana.”

Razin berjalan ke hadapan. Kami mengikutinya sambil melahap buah rambutan dari pokok pagi tadi. Boleh kembung perut aku melantak buah sepanjang hari. Tidak berapa lama kemudian kami tiba di suatu kawasan yang lapang. Di tengahnya ada sebuah bukit yang kecil.

Kuzi menarik nafas panjang. “Nyaman sungguh udara kat sini. Bestnya kalau dapat tidur. Kalau... eh, cuba korang tengok sana. Aku rasa aku nampak gua.”

Razin dan aku melihat ke arah yang ditunjukkan. “Ha’alah, gua,” akui Razin. “Pelik jugak. Setahu aku mana ada gua kat sini. Bila masa pulak gua ni timbul?”

“Kau ni macam tak belajar sains masa sekolah dulu,” aku memulakan kuliah kelas tuisyen UPSR. “Kan ke hakisan angin dan air boleh ubah sesuatu benda? Aku rasa itu yang bentuk gua ni. Lagipun kau yang kata kau dah lama tak datang ke pulau ni. Mestilah dah banyak benda yang berubah. Sudahlah. Jom kita bawa barang-barang kita ke sana. Aku rasa lagi selamat kalau kita kita bermalam kat dalam gua.”

“Gua tu nampak seram la, Dil,” Kuzi memeluk tubuhnya kerana kesejukan. “Tak bolehkah kita cari tempat lain?”

“Kenapa Kuzi? Kau takut?” aku menyakat Kuzi.

“Tak. Tak. Aku tak takut. Tapi aku rasa lain macam. Rasanya macam ada makhluk lain selain dari kita kat sini. Rasa-rasanya macam ada ponti...”  

“Isy, mengarut!”

“Perasaan kau yang penakut saja tu,” ejek Razin sambil melangkah ke arah gua itu. Aku mengikutinya.

“Hoi! Tunggu aku!” Kuzi berlari ke arah kami. Aku dan Razin tertawa. Mamat ni penakut betullah. Macam mana nak kahwin dengan Janna Nick kalau macam ni?

Kami masuk ke dalam gua. Sebaik-baik saja kaki kami menyentuh lantai gua, berterbanganlah kelawar-kelawar yang sedang bergayutan di bumbung gua. Keadaan di dalam gua begitu menyeramkan sekali. Suasana begitu gelap. Aku meletakkan barang-barang di atas sebuah batu yang leper dan terhampar di penjuru gua. Kemudian aku berjalan mundar-mandir di dalam gua. Kuzi pula mengumpulkan kayu api lalu membakarnya. Aku tak sangka boleh pakai juga skill pengakap budak ni, siap boleh nyalakan api dengan mancis, lighter semua tak ada. Tidak berapa lama kemudian suatu unggun api yang kecil menyala berdekatan pintu masuk ke gua ini.

“Kuzi, kau kawal la sikit api tu, lemas nanti kita dengan asap ni,” sound Razin.

Besarnya gua ini, fikirku. Aku mengetuk-ngetuk dinding gua. Bunyi bergema! Mesti ada ruang udara yang luas di sebaliknya. Aku cuba mencari pintunya tetapi tidak berjumpa.

“Razin, Kuzi. Aku rasa ada gua lain kat belakang dinding gua ni.”

Mereka tidak menyahut panggilanku. Apa dah jadi dengan budak dua ekor ni? Aku menoleh ke arah mereka. Cis, dua-dua sudah terbongkang berdengkur di atas batu. Budak-budak ni! Orang tua-tua kata bukannya elok tidur petang-petang macam ni. Hmm... lantak koranglah. Tidurlah puas-puas kawan-kawan oii... Aku tahu korang penat... Eh, aku ni tak kan tak penat? Baik aku tidur juga. Tapi, siapa nak berkawal? Ewah ewah budak-budak ni, pandainya curi tulang. Nak suruh aku berjaga seorang diri la tu.

“Dum!” tiba-tiba kedengaran suatu bunyi dentuman yang kuat di pintu gua.Terperanjat gorilla aku. Mak datuk! Pintu gua itu sudah tertutup oleh sebiji batu yang besar. Dari mana datangnya batu ini?

Aku segera berlari ke pintu gua. Aku cuba mengangkat batu itu ke tepi tetapi ternyata yang ia sangat berat. Kami sudah terperangkap di dalam gua ini. Musibah lagi. Aku mula berasa cemas. Gerak budak-budak tu, cepat!

“Razin! Kuzi! Bangun!” seruku sambil menggoncang-goncangkan tubuh mereka.

Razin dan Kuzi bangun menggeliat sambil menggosok-gosokkan mata mereka. “Tak sportinglah kau ni, Dil. Bagi la can aku tidur sekejap,” rungut Kuzi.

“Tak sporting apa! Kita dah terperangkap!”

“Terperangkap? Apa kau cakap ni?” mereka terkejut.

“Cuba korang tengok pintu gua tu.”

Mereka akur. Mereka hampir terlompat apabila mendapati yang pintu gua itu sudah tertutup. Mereka berdua berlari ke situ lalu cuba mengalihkan batu itu tetapi sia-sia saja.

“Korang tak akan dapat angkat batu tu. Berat nak mampus.”

“Habis, apa kita nak buat ni, Dil?” Kuzi gubra .

“lnilah yang tengah aku fikir ni,” aku mengutip seketul batu. “Aku rasa ada gua lain kat belakang dinding gua ini. Mungkin kita boleh lepas kalau kita jumpa pintunya.”

“Macam mana kau tahu?” Razin pelik.

Aku mengetukkan batu itu ke dinding gua. Bunyinya bergema. “Cuba korang dengar bunyinya, ada gua kan?”

“Yalah,” akui Kuzi. “Sekarang kita mesti...” kata-katanya terhenti di situ apabila Razin menekup mulutnya.

“Ulp! Kenapa kau ni, Zin?” Kuzi meradang.

“Ssyy, aku dengar suara orang bercakap di balik dinding gua ni!”

Tiba-tiba keadaan sekeliling menjadi terang benderang. Rasa terkejut menguasai diri kami. Dalam suasana yang agak bingung itu, sebilah anak panah yang tidak diketahui siapa tuannya tiba-tiba muncul dan terpacak di depan kaki Razin. Kami kaget.

“Sahabat yang baik hati, ini adalah nasihatku. Kalau kau mahu diri kau selamat, letakkan senjata ke tanah dan melutut menyembah padaku,” satu suara yang parau bergema memenuhi setiap sudut. Siapa pulak ni?

“Tak mungkin, jangan cuba paksa kami!” balas Razin, terketar-ketar.

“Apa yang dapat kaulakukan sekarang, kau sudah terkepung. Jutaan terima kasih kuucapkan kepada kamu kerana mahu bekerjasama dengan aku. Perangkap yang kupasang mengena juga. Kamu masuk ke gua buatan kami.”

“Kurang ajar! Kenapa kau perangkap kami? Kalau kau berani, keluarlah!” gertak Razin.

“Baiklah.”

“Apa kau cakap ni, Zin? Mampus kita nanti,” suara Kuzi tersekat-sekat.

Tiba-tiba suasana menjadi gelita semula. Kemudian terang benderang semula tetapi terangnya membawa beratus-ratus tubuh. Musuh mengerumuni kami umpama semut menghurung gula! Dinding gua di hadapan kami terbuka luas. Kelihatan suatu lembaga yang berjubah hitam keluar dari dalam dinding itu. Kami terpegun melihatnya. Ini cerita Star Wars ke? Macam mana Darth Vader boleh tersesat sampai ke sini?

“Panglima yang bijaksana, bagaimana?” sindir Darth Vader itu. Dia membuka topeng kepalanya. Mata Razin terbeliak. Mulutnya terlopong.

“Datuk Nasha?” katanya. Aku dan Kuzi terperanjat apabila mendengar Razin menyebut nama itu.

“Hai, tak kan tak kenal sahabat lama.”

“Pengkhianat!” Razin cuba meluru ke arah Datuk Nasha. Namun begitu, pengawal-pengawalnya pantas menghalang Razin. Aku rasa terbakar melihat pengkhianatan ini. Sungguh tak diduga. Kalau Ajep tahu, mesti dia kecewa. Harapan kami untuk bersatu dengan penduduk kampung hancur berkecai. Penghulunya pengkhianat!

“Kenapa Datuk buat macam ni?” Razin geram. “Sanggup Datuk belot kepada kami!”

“Kau tak tahu. Aku sebenarnya berdarah Gayat. Ganjaran oleh bangsaku sendiri begitu lumayan. Mustahil aku dapat menolak tawaran menjadi panglima tertinggi yang baru di pulau Auf. Aku rasa kalau kau menjadi aku pun kau akan menerimanya.”

“Cis! Aku bukan macam kau! Tua kutuk! Pembelot! Hampas! Tak sedar diri! #%$*!”
 
Datuk Nasha hanya tersenyum. Dia mendepakan tangannya. Musuh-musuh itu menghampiri kami. Kami menghunuskan pedang, bersedia menghadapi kemaraan mereka. Tanganku dan Kuzi terketar-ketar.

“Undur semua wahai pengawal!” Datuk Nasha bertempik. Musuh-musuh itu akur. Kami berasa hairan. Apa muslihat dia ni?

Dalam suasana yang kacau bilau itu, satu jaring yang besar jatuh daripada bumbung gua lalu menyerkup kami. Kami tertawan! Kami cuba melepaskan diri tetapi mata kami terasa kabur. Kami terhidu suatu jenis bau yang memeningkan kepala.

Kelam dan gelap. Tanpa disedari, pedang terlepas daripada tangan.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman