Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,385
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 4


“Ini pokok tadi!” Kuzi terkebil-kebil. Aku mula terasa macam orang bodoh. Razin dan Ajep ni permainkan aku dan Kuzi ke?

“Memang la ini pokok jejawi tadi. Kita masih berada kat tempat tadi. Tapi...” Razin buat suara seram, “di alam yang lain.”

“Alam bunian?”

“Ya, Kuzi. Alam bunian. Sekarang, mari ikut abang,” ajak Ajep.

Aku dan Kuzi seperti kerbau yang dicucuk hidung terus mengikuti langkah Ajep dan Razin. Belukar yang kami tempuh serupa dengan belukar yang kami lalui tadi. Pakaian kami basah kuyup. Hujan sudah mula reda, hairan.

“Ajep menghala ke rumah kita,” bisik Kuzi ke telingaku. Aku diam sahaja. Rasa tanda tanya timbul di benakku.

“Cuba korang tengok kat depan sana,” suruh Razin setelah lama berjalan.

Aku dan Kuzi memanjangkan leher untuk melihat apa yang ditunjukkan oleh Razin. Aku rasa nak pengsan bila melihat tempat yang sepatutnya ada rumah kami sudah digantikan oleh sebuah bangsal! Di sebelah bangsal itu kelihatan sebuah rumah kayu yang sederhana besarnya dan agak unik binaannya.

“Ini rumah Datuk Zeq, ayah kami,” Razin mengejutkan aku dan Kuzi yang terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling yang telah berubah.

“Naiklah,” ajak Ajep.

“Dengan baju yang basah ni?” soalku.

“Itu tak jadi soal. Nanti aku bagi pakaian baru yang kering,” janji Razin.

Razin dan Ajep sudah melangkah naik ke dalam rumah. Aku dan Kuzi tidak berganjak. Kami seolah-olah dipukau.

“Hai, apa lagi yang korang buat kat bawah tu? Tak nak naik ke?” kedengaran suara Razin jauh di dalam rumah.

“Eh, ya, ya. Kami nak naik la ni,” aku terkejut seperti baru dibangunkan daripada tidur lalu memasuki rumah itu. Kuzi mengikutku.

“Korang tentu penat. Nah, tukar pakaian ni. Sorilah pasal rumah ni tak begitu selesa.”

Aku dan Kuzi menukar pakaian. Pakaian yang basah kami sidai di tingkap.

“Kalau korang nak tidur, tidurlah dulu. Aku dan Ajep nak mandi.”

“Aku pun nak mandi,” rengek Kuzi macam budak-budak kecil. Meluatnya aku dengar.

“Jomlah sekali. Bilik mandi tu besar. Kita semua boleh muat.”

“Kalau macam tu, aku pun nak mandi jugaklah, Zin,” aku mencelah. “Takkan terus tidur. Dah la berhujan tadi. Mahunya demam apa kerja pun tak jadi.”

Maka mandilah aku dan Kuzi dengan mencatat sejarah baru dalam hidup kami iaitu berjaya mandi dengan senyapnya tanpa bersuara sedikit pun. Mana taknya, kami berdua tengah bingung dengan keadaan sekeliling sampai tak terfikir untuk melaksanakan ritual yang biasa yakni menyanyikan medley lagu-lagu Aiman Tino dan Sufian Suhaimi bila berada di bilik air.

“Fuh! Sejuknya!” Razin menggigil apabila selesai mandi. “Ha, korang berdua tidur kat bilik hujung. Bilik tidur untuk tetamu tu. Nanti aku bagi kuncinya. Aku dengan Ajep tidur kat bilik sebelah.”

“Hai, kami jadi tetamu pulak. Biarlah kami tidur kat luar je, Zin,” aku berbahasa. Biasalah orang Melayu, mestilah bersopan santun kalau berada di rumah orang.

“Ikut suka hati kaulah Dil. Since kau berkeras nak tidur kat luar ni, kau bentanglah tikar mengkuang yang ada kat belakang pintu tu. Nah, ambik bantal ni. Good night,” alamak, Razin ni ingat aku serius ke nak tidur kat luar ni? Belum sempat aku berkata apa-apa, dia sudah menghilang ke dalam biliknya. Tangan aku ringan saja hendak mengetuk pintu bilik Razin meminta kunci bilik hujung tetapi bila mengenangkan yang Ajep pun ada di dalam, aku rasa segan pulak. Mana aku nak letak muka aku yang hensem ni, hah?

Mahu tak mahu terpaksalah aku merebahkan badan aku yang letih gila ke pangkuan tikar yang lusuh dan koyak-koyak itu. Aku menyangkakan Kuzi akan menyumpah seranah aku kerana gatal mulut sangat offer nak tidur luar tapi dia cuma diam tanpa memberikan sebarang komen. Dia masih kelihatan blur. Mukanya berkerut. Sekali tengok nampak macam badut sarkas.

“Oi, Kuzi. Kenapa diam je ni?” sergahku. Kuzi tersentak lalu memandangku.

“Adil, hairan ya... Aku rasa macam bermimpi. Sekelip mata je kita dah ada kat sini.”

“Ini bukan mimpi. Kita kat alam bunian. Tak ada perkara yang mustahil,” aku berlagak tenang, padahal sebenarnya aku juga seperti Kuzi. Gila kau. Tiba-tiba saja ada di alam lain. Mimpi ke aku ni? “Dahla. Kan kau jugak dah setuju nak tolong diaorang?”

“Yalah. Tak apa. Aku akan cuba sesuaikan diri. Kita sama-sama cuba, Dil,” Kuzi merebahkan badannya di atas tikar.

“Ya. Kita sama-sama cuba. Kita mesti sesuaikan diri dulu kat sini. Aku rasa pagi esok kita kena round tengok-tengok tempat kat sini. Kalau dah biasa dengan tempat ni senang sikit kita nak buat kerja. Kau rasa macam mana?”

Kuzi tidak menyahut. Dah tidur? Hantu punya budak.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman