Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,364
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 13


Aku tak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis. Lucu pun ada. Kasihan pun ada. Aku sangkakan dia sehebat Darth Vader. Rupa-rupanya harapkan topeng saja. Berlawan pun tak pandai. Langkah silatnya sumbang sesumbangnya tiada yang tidak sumbang melainkan sumbang belaka. Nampak sangat selama ini dia cuma pandai cakap saja. Macammanalah dia boleh terpilih menjadi ketua Gayat di pulau ni. Patutlah Razin tadi cuma bimbang kalau aku terpaksa berlawan dengan askar Gayat, bukan Datuk Nasha. Aku rasalah, askar-askar Gayat sendiri pun tak tahu kelemahannya. Kalau tak, takkan mereka hormatkannya separuh mati!

Semasa aku mengetuk pintu biliknya tadi, dia membukanya dengan wajah yang mengantuk tanpa topeng dan jubah. Dah siap pakai baju tidur orang tua tu. Terperanjat beruk dia nampak aku berdiri di depan pintu. Aku tak bagi can, terus bubuh penumbuk sebiji tepat ke mukanya. Terpelanting orang tua tu ke dalam bilik. Aku ingat dia hendak melawan balik. Alih-alih dia berteriak meminta tolong sambil memaki hamun aku. Siapa yang hendak dengar jeritan dia tu. Pintu bilik dah aku tutup. Pengawal di luar sudah cabut ke pesta. Bila dia terperasan yang tak ada siap pun respon kepada jeritan hodohnya, dia capai pedang dan cuba hendak menikam aku. Eleh, setakat acah-acah macam budak kecil main tu aku pun boleh.

Rasa-rasanya tak sampai seminit dia sudah termengah-mengah. Itu pun masih tak mahu mengaku kalah tu. Zas! Dengan sekali tikam saja, dia tersungkur mati. Eii... Kalau diingat-ingatkan balik, ngeri betul rasanya. Seumur hidup aku itulah kah pertama aku bunuh orang. Mayatnya aku sudah bungkus baik punya di bawah katil. Sekarang tibalah masanya untuk aku mengambil alih tempatnya.

Nasib baiklah potongan badanku dengan badan Datuk Nasha lebih kurang serupa. Peh! Bangga betul aku dapat bergaya macam Darth Vader ni. Macam pelakon cosplay siap sedia nak memasuki Legoland pun ada. Aku mundar-mandir di depan cermin dengan gagahnya. Eh, buku apa pula yang ada atas almari cermin ni?

Oh, planner Datuk Nasha. Aku terus menyelak muka surat di dalamnya tanpa kebenaran dari tuannya... hei, nak minta kebenaran apa, orang tua tu dah mampus!

“Pukul 9.00 pagi, 22 Julai...” aku membaca catatannya yang terbaru. lni jadual untuk esok ni! Aku terus membaca, “…Ceramah Motivasi untuk petugas-petugas Penjara Izzie... Tempat, Padang Kawat Penjara Izzie...”
 
Nampaknya akulah yang terpaksa berceramah esok. Aku tak kisah benda-benda macam ni. Kelentong je.

Eh, apa yang aku tercegat lagi dalam bilik ni? Aku kena jenguk budak-budak tu supaya mereka tahu yang rancangan awal kami sudah berjaya. Mesti mereka bimbang gila. Hmm, terpaksalah aku berlakon lagi nampaknya. Aku segera melangkah keluar dari bilik dan menguncinya. Nasib baiklah Datuk Nasha letakkan kunci itu di atas mejanya, kalau tidak payah juga aku hendak mencarinya. Kalau tak jumpa, terpaksalah aku tinggalkan bilik ini tidak berkunci. Bahaya oi!

Dengan langkah yang kemas, aku berjalan menuruni tangga dan terus menuju ke tempat kurungan kawan-kawanku. Aku rasa pesta sudah tamat kerana ramai juga askar yang kujumpa. Semuanya berhenti sambil menundukkan kepala apabila aku melintas. Bangganya aku!

Sekarang aku sedang menuruni tangga ke bilik kurungan. Ada pengawal pula di sini. Tadi semasa aku keluar tak ada pun aku nampak dia. Tidak syak lagi yang pengawal ini mengamalkan budaya curi tulang. Dasar pemalas! Apa kata aku maki dia sekejap. Tengok tu, aku berdiri di sebelah dia pun dia boleh tak sedar. Mamai ke pengawal ni?

“Pengawal!” aku menjerkah.

“Hah! Apa jerkah... ops, Da... datuk Panglima! Dah lama sampai?” loyar buruk pulak pengawal ni.

“Aku paling benci kepada pengawal yang tidak peka. Apa kau suka ditemani maut?” aku menggertak pengawal itu dengan suara yang garau, intonasi dan gaya bahasa Datuk Nasha. Aku ingat lagi yang Datuk Nasha menggunakan ayat yang canggih semasa dia menawan kami di gua senja tadi. Ajep pun suka menggunakan ayat standard seperti itu. Memang budaya mereka di alam bunian ni macam tu kot.

“Tidak, datuk. Tidak! Maafkan saya,” pengawal itu tunduk ketakutan. Kakinya menggigil. Hebat sangat ke Datuk Nasha tu? Hebat apa, habuk pun tak ada! Jahil sungguh pengawal ni.

“Mari ikut aku,” arahku sambil berjalan menuju ke bilik kurungan.

“Baik, tuan,” sekejap tuan sekejap datuk, nampak sangat yang dia tengah gubra . Mulalah aku nak terasa riak dengan ‘kehebatan’ku ini.

“He he he he!” aku tertawa dengan nada yang menggerunkan apabila tiba di depan jerjak besi bilik penjara Kuzi dan Razin. Budak-budak itu terperanjat seperti disampuk pelesit apabila ternampak Darth Vader di depan mereka. Keh keh keh.

“Pengkhianat mesti diberi hukuman berat. Esok kamu semua akan dibunuh!” aku menakut-nakutkan mereka.

“Orang tua celaka! Pembelot! Binatang! *&^%!” hamun Razin. Alamak, aku pula yang kena sembur. Baik aku tukar topik.

“Apa yang telah terjadi kepada kawan kamu di belakang itu? Bangunkan dia!” aku menunjuk ke arah pengawal yang pengsan yang telah dipakaikan bajuku tadi. Saja nak test macam mana budak-budak ni berlakon.

“Dia... dia...” Kuzi tergagap-gagap. Ceh! Tak boleh harap betul budak-budak ni. Tak reti nak cover langsung. Nasib baiklah aku yang bertanya. Kalau depan askar Gayat dia buat macam ni hancur pelan aku.

“Tak apa, tak apa. Biar dia berehat sebelum direhatkan selama-lamanya esok. Pengawal!”

“Datuk!”

“Siapkan makanan yang terbaik untuk mereka ini. Err... memandangkan yang mereka akan direbus sampai mati esok, biar mereka merasa nikmat sekejap. Kamu patut berterima kasih kepada aku...”

“Cis! Kami takkan berterima kasih kepada kau! Keparat…” Kuzi menyumpah.

“Cukup! Aku tidak mahu dengar lagi. Kamu kena sedar yang aku bersikap adil,” aku menekankan perkataan ‘adil’ untuk memberi clue kepada mereka. Tak ada respon pulak. Aku berpaling kepada pengawal, “Pergi siapkan makanan yang sedap-sedap. Bergerak sekarang!”

Kelam kabut pengawal yang gemuk itu berjalan meninggalkan kami. Hodoh betul rupanya. Dasar penakut. Razin dan Kuzi masih memandang mukaku dengan rupa yang bengis. Brutal sangatlah tu konon.

“Aku Adil...”

“Adil apa!” belum sempat aku menghabiskan ayatku, Kuzi sudah memotong. “Kalau kau bersikap adil, kenapa kau mahu kami dibunuh? Kenapa tak lepaskan kami? Orang tua kutuk!”

“Yang kau kutuk-kutuk aku ni apahal, Kuzi? Ini akulah. Aku Adil. Mohd Adil bin Tajuddin. Korang tak kenal aku lagi ke?” aku mendekatkan mukaku ke jerjak besi sambil berbisik.

“Hah! Kau ke Dil!” alamak, kuatnya suara budak-budak ni. Cepat-cepat aku bagi isyarat suruh senyap sikit.

“Samdol kau. Kenapa kau tak cakap awal-awal?” marah Razin. “Aku dengan Kuzi mati-mati ingat Datuk Nasha yang datang tadi. Ceh ceh, kau dah jadi panglima baru nampaknya. Eh, macam mana kau boleh berjaya macam ni? Kitaorang punyalah menyesal lepaskan kau tadi. Aku ingat kau dah kena tangkap ke apa ke.”

“Panjang ceritanya. Karang saja aku ceritakan kehebatan aku tu,” aku berlagak. “Korang jangan risau. Tahulah aku apa nak buat.”

“Kau ada pelan baru ke Dil? Takkan nak habis macam ni je?” tanya Kuzi.

“lnilah yang aku tengah fikir ni. Esok aku kena bagi ceramah kat petugas Penjara Izzie...”

“Eh, kita ni bukan kat Penjara Izzie ke?” Razin hairan.

“Bukanlah. Ini markas besar diaorang.”

“Kau kena cari jalan macam mana nak lepaskan tawanan kat Penjara Izzie, Dil. Barulah senang nak tawan markas besar ni,” Razin mengingatkan.

“Aku tengah atur strategi ni. Senang sikit rasanya kerja aku kali ni pasal aku dah jadi panglima...”

“Dil, pengawal tadi datang!” Kuzi memintas.

“Okeylah. Aku rasa tak ada apa lagi nak cakap. Tengoklah nanti apa aku nak buat. Korang jangan bimbang,” kataku. Pengawal semakin hampir. “Berlakon cepat! Pura-puralah hamun aku. Eh, biar aku pulak hamun korang.”

“Bodoh!” aku menyambung semula aksiku. “Kamu berdua memang tolol, bangang, bahlol dan *&%#!” he he bukan senang nak dapat peluang maki budak-budak ni. Sorilah, nak hidup punya pasal.

“Datuk! Ini makanannya,” pengawal itu mendekatiku dengan membawa ayam panggang, daging bakar dan sejag air limau.

“Kenapa kamu menghulurkan makanan itu kepadaku? Bukan aku yang mahu makan, bodoh! Beri kepada tawanan-tawanan itu!”

“Aaa... maafkan saya, Datuk,” terketar-ketar pengawal itu membuka pintu penjara. Sebaik-baik saja dia meletakkan makanan itu di atas lantai, Kuzi dan Razin terus menyerbu. Gelojoh betul aku tengok. Fuh! Sedapnya mereka makan ayam panggang. Baru aku terperasan yang aku sendiri belum makan apa-apa lagi malam ini. Tak boleh jadi macam ni.

“Kenapa kawan kamu tak makan?” pengawal itu menunjukkan ke arah ‘Adil’ yang palsu. Alamak, masalah ni.

“Apa kamu sibuk? Biarkan dia mampus!” aku memarahi pengawal itu. Fuh! Berjaya juga aku mengcover. Pengawal itu terus menikus.

“Jaga mereka baik-baik. Pastikan esok pagi kau hantar sarapan yang terbaik untuk mereka. Jangan buat apa-apa tindakan tanpa pengetahuanku, mengerti?”

“Baik, datuk!”

“Aku mahu makanan yang serupa dihantar ke bilikku selepas ini.”

“Datuk belum makan lagi? Kan Datuk sudah makan di pesta tadi?” eh, banyak songel pulak pengawal ni.

“Aku sudah makan ke belum, apa kamu peduli! Aku mahu makan lagi! Bagaimana pula kamu tahu aku sudah makan di pesta tadi? Kamu curi tulang ya!”

“Err... Emmm....” mulalah nak gubra  tu.

“Sudahl Hantarkan makanan ke bilik aku sekarang!” aku menoleh sekejap ke arah Kuzi dan Razin.
“Orang-orang Goma! Kita jumpa lagi esok!”

“Good night, Datuk! Wa caya sama Iu!” jerit Kuzi.

“Wa pun caya sama lu!” balasku. Pengawal itu terpinga-pinga.

“Apa yang orang itu cakap, datuk? Apa pula bahasa yang datuk pakai tadi?”

“Itu contoh sumpah seranah di dalam bahasa Gayat purba, tolol! Eh, kenapa kamu masih tercegat di sini? Siapkan makanan aku cepat!” aku memerintah sambil berjalan meninggalkan bilik kurungan.

Hebatnya aku! Mulalah nak takbur tu. 


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman