Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 1


Nama aku Adam. Adam Firdaus. Tahun ini umur aku genap 29 tahun tapi masih lagi hidup membujang. Telinga aku memang dah lali sangat bila asyik dengar mama  membebel cakap pasal kahwin. Reaksi aku? Macam biasa. Buat muka poyo depan mama. Aku sebenarnya…, bukan tak laku. Cuma tak terfikir lagi nak kahwin.

“Kau tu yang memilih. Sebab tu tak kahwin sampai sekarang,” tegur satu suara. Adam berpaling memandang sahabatnya itu.

Kacau aje mamat ni. Macam tahu aje apa yang ada dalam kepala aku.

“Nak apa?” soal Adam sambil menarik kerusi. Dia membetulkan cermin matanya. Ekram sekadar tersengih membalas pandangan lelaki itu. Dia memang suka mengusik sahabatnya itu kalau pasal kahwin. Masa Adam termenung adalah masa yang paling sesuai untuk dia mengenakan lelaki itu.

“Jom lunch. Aku lapar lah,” ajak Ekram sambil menyentuh perutnya berlagak seperti orang yang benar-benar kelaparan. Adam menarik nafas panjang sebelum mencapai dompetnya.

“Jom,” balasnya dengan senyuman.

“Kau ni, nasib baik aku lelaki. Kalau aku perempuan dah lama aku jatuh hati dengan kau. Tapi aku hairan. Kenapa mamat kacak macam kau ni masih single sampai sekarang? Aku yang muka sederhana ni pun dah kahwin. Aku tak faham,” soal Ekram sambil berjalan di belakang Adam untuk keluar dari bilik pejabat lelaki itu. Adam hanya diam membisu mendengar pertanyaan sahabatnya itu.

“Doktor,” panggil satu suara. Langkah Adam dan Ekram terhenti. Kedua-duanya berpaling serentak mencari gerangan si pemanggil. Kelihatan seorang gadis sedang berjalan menghampiri mereka dengan langkah yang lemah. Berkerut kening Adam.

Ni pesakit aku ni.

“Cik Bella kan? Awak tak sihat lagi ni. Kenapa keluar?” soalnya dengan perasaan bimbang. Bella menghulurkan tangan. Adam pantas menyambut kerana melihat gadis itu seperti ingin terjatuh. Wajahnya basah dengan air mata.

“Sorry Ram. Kau pergi dulu ek,” kata Adam agak rasa bersalah dengan sahabatnya itu.

“Tak apa. Aku tunggu kau kat cafe,” balas Ekram sebelum berlalu. Adam menoleh memandang Bella semula.

“Mari saya hantar awak balik ke bilik awak,” katanya sambil menarik lembut lengan gadis itu. Namun Bella menolak.

“Doktor, saya nak ubat,” katanya dengan suara serak. Seiring dengan air matanya.

“Cik…, cik jangan lah nangis. Okay, saya akan ambil ubat tu. Tapi cik kena balik bilik dulu,” balas Adam agak gelabah apabila melihat air mata gadis itu.

“Tak nak. Saya nak ubat tu sekarang!” balas Bella dengan suara yang agak kuat. Adam menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Cik…jom saya hantar…”

“Doktor!” jerit Bella lagi. Adam terkedu. Dia mula berpeluh.

“Saya minta maaf cik. Tapi…” ucapnya dengan suara bergetar sambil memandang sekeliling. Berharap ada jururawat yang muncul.

“Saya nak ubat tu sekarang! Saya nak muka jantan tak guna tu dengan betina sundal tu hilang dari memori saya sekarang ni juga! Beri saya ubat tu doktor. Tolong lah saya merayu ni,” pintas Bella sebelum terduduk di atas lantai sambil menangis teresak-esak. Terkebil-kebil Adam memandang gadis itu.

Ubat?Memori? What?

                                   *****

Ekram tergelak besar mendengar cerita lelaki itu. Berkerut kening Adam memandang sahabatnya itu.

“Apa yang lawak sangat?” soalnya agak geram.

“Tak, ni pertama kali aku dengar kes macam ni. Ada ke minta ubat hilang ingatan,” balas Ekram sambil menyambung gelaknya lagi. Adam diam membisu mendengar komen rakannya itu.

“Saya nak ubat tu sekarang! Saya nak muka jantan tak guna tu dengan betina sundal tu hilang dari memori saya sekarang ni juga!”

“Dia trauma kot,” katanya perlahan apabila teringat semula kata-kata gadis itu.

“Mungkin teman lelakinya tu curang. Kalau tak mustahil dia sebut pasal betina sun…, tu kan?” balas Ekram separuh meneka sambil mencapai kuih karipap di hadapannya. Adam mengangguk setuju.

“Aku tak faham lelaki zaman sekarang ni. Perempuan dah cantik macam tu masih nak buat hal,” kata Ekram sambil menggelengkan kepalanya. Terangkat kening Adam memandang rakannya itu.

“Kau lelaki ke perempuan?” soalnya separuh menyindir. Ekram tergelak besar.

“Kau jangan lah terasa. Tak semua kaum kita macam tu. Lelaki jenis macam tu kalau aku jumpa memang aku akan bagi sebiji. Memalukan kaum Adam aje,” balasnya dengan perasaan geram. Adam menarik nafas dalam. Dia diam tidak mahu mengulas lebih lanjut lagi isu tersebut.

                                  *****

Adam mengurut dahinya perlahan.

“Kau okay ke?” soal Farah yang sedang berjalan di sisinya. Adam hanya mengangguk tersenyum.

“Pesakit yang seorang ni cuba nak bunuh diri. Dia nak kelar tangannya sendiri. Nasib baik temannya sempat selamatkan dia,” beritahu Farah sambil membuka pintu bilik wad untuk Adam. Adam mengeluh dalam diam mendengar cerita sahabatnya itu. Dia melangkah masuk sambil tersenyum memandang gadis yang sedang duduk di atas katil. Gadis itu turut memandangnya dengan pandangan kosong.

“Apa khabar hari ni Cik Chinta?” tanyanya ramah. Chinta hanya memandang doktor itu tanpa berkata apa-apa. Adam menjalankan tugasnya sambil dibantu oleh Farah.

“Doktor,” panggil Chinta dengan suara yang sangat perlahan. Adam yang sedang menulis sesuatu dalam buku rekodnya menoleh memandang gadis itu.

“Saya nak kahwin dengan doktor,” sambung Chinta dengan wajah yang serius. Adam terkedu. Bulat mata Farah memandang Chinta sebelum menoleh memandang Adam yang mana wajahnya sudah bertukar pucat.

“Saya nak kahwin dengan doktor,” ulang Chinta semula kini dengan suara yang agak kuat. Adam menyentuh dahinya.

Ya Allah.

                                  *****

“Kau okay?” soal Farah lagi selepas mereka keluar dari wad yang menempatkan Chinta. Adam hanya mengangguk dengan senyuman hambar.

“Kasihan gadis tu. Hari tu kawannya ada beritahu yang gadis tu ada masalah dengan teman lelakinya. Pasal apa memang aku tak tahu lah. Tapi aku rasa teman lelaki dia tu mesti curang dengan gadis tu,” teka Farah dengan senyuman sinis. Adam mengeluh perlahan.

“Saya nak kahwin dengan doktor.”

Kata-kata gadis itu terngiang-ngiang di telinganya.

“Tapi aku hairan pula kenapa tiba-tiba dia kata nak kahwin dengan kau,” kata Farah semula sambil menoleh memandang Adam yang berjalan di sebelahnya.

“Mana lah aku tahu,” balas Adam perlahan. Dalam diam dia juga terfikir hal yang sama. Tiba-tiba bayangan Bella muncul dalam ingatannya. Adam mengeluh lagi. Hari ini sudah dua kes pelik yang dialaminya.

                                   *****

Delisya merenung lama doktor yang sedang menjalankan tugasnya itu.

“Doktor…,” panggilnya perlahan. Adam mengangkat wajahnya memandang gadis itu.

Jangan lah buat hal lagi.

Dia agak berdebar menanti ayat yang keluar dari mulut gadis muda itu.

“Saya ni tak cantik ke doktor?” tanya Delisya dengan wajah muram. Adam agak terkedu mendengar soalan gadis itu.

“Suami saya kata saya tak cantik. Sebab tu dia tinggalkan saya. Kenapa? Kenapa setelah tiga tahun berkahwin baru dia beritahu? Kenapa dia kahwin dengan saya kalau tahu saya ni tak cantik?” soal Delisya bertalu seiring dengan air matanya. Adam menarik nafas berat.

“Suami puan tu buta agaknya. Dia akan menyesal,” balasnya tanpa sedar. Delisya memandang Adam dengan perasaan berbaur. Adam berdehem perlahan.

“Puan kena kuatkan semangat kalau nak sihat semula. Kalau puan nak apa-apa, nanti panggil nurse ya,” katanya sebelum beredar. Delisya hanya memandang langkah Adam berlalu. Dia tunduk meraup wajahnya semula.

Samuel, saya tak akan biarkan awak tersenyum setelah apa yang awak dah lakukan.

Delisya mengesat air matanya dengan kasar.

Kau tunggu Samuel. Jantan tak guna!

                                  *****

Berkerut dahi Adam memandang Ekram yang sedang tergelak besar.

Apa yang lucu sangat dengan ceritanya?

“Sorry. Hari tu dah dua orang buat hal. Hari ni pun ada lagi?” soal Ekram kurang percaya dengan apa yang dilalui oleh rakannya itu. Adam hanya tersenyum pahit.

“So, macam mana? Yang ni cantik tak?” soal Ekram lagi agak teruja.

“Apa yang cantik?” tanya Adam semula buat-buat tidak faham dengan maksud lelaki itu. Dia membetulkan rambutnya yang disikat rapi. Ekram tergelak lagi. Adam hanya menggeleng perlahan.

Kawan aku ni sah dah tak betul.

“Alah pesakit baru kau tu lah,” jawab Ekram yang masih dengan sisa tawanya.

“Aku tak tahu,” balas Adam ringkas. Terangkat kening Ekram memandang lelaki itu.

“Cuma satu yang aku pasti. Mereka bertiga ni baru aje putus cinta,” sambung Adam perlahan. Dia teringat semula reaksi ketiga-tiga gadis itu. Basah dengan air mata. Adam mengeluh tanpa sedar. Ekram hanya tersenyum memandang telatah sahabatnya itu.




Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.