Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 26


“Tahniah Chin,” ucap Nazri dengan senyuman hambar. Chinta mengangguk perlahan.

“Terima kasih,” balasnya pendek. Sebenarnya dia agak terkejut menerima panggilan daripada lelaki itu.

“Saya tak terlewat kan?” soal Nazri separuh mengusik.

“Saya dah sebulan jadi isteri orang baru awak sibuk nak ucap tahniah. Tak ada hadiah ke?” balas Chinta separuh bergurau. Dia sudah redha dengan apa yang berlaku. Biarpun lelaki itu pernah melukakan hatinya, namun dia tetap menganggap Nazri sebagai rakan yang pernah rapat dengannya suatu ketika dulu.

“Nak juga? Dulu saya kahwin tak ada pula hadiah,” kata Nazri separuh merungut.

“Haih, dia yang kahwin tak beritahu. Macam mana saya nak beri hadiah?” balas Chinta separuh memerli. Nazri terdiam seketika.

“Sorry,” ucap Chinta apabila mendengar lelaki itu hanya membisu.

“Betul lah tu. Kalau tak, dapat juga hadiah daripada awak,” balas Nazri dengan senyuman pahit. Adam menghampiri Chinta yang sedang berdiri di balkoni bilik mereka. Pinggang ramping isterinya itu dipeluk kemas.

“Siapa?” soalnya separuh berbisik di telinga Chinta.

“Selamat malam Naz,” ucap Chinta sebelum menekan punat merah tanpa sempat mendengar balasan daripada Nazri. Berkerut kening Adam mendengar nama lelaki itu disebut.

“Nazri?” soalnya inginkan kepastian. Chinta tersenyum mengangguk. Nampak tenang walhal hatinya berdebar hebat. Adam melepaskan pelukannya.

“Dia nak apa?” soalnya dengan nada mendatar.

“Naz ucap tahniah. Naz tak jumpa abang kat hospital ke?” soal Chinta sambil menarik kerusi yang berhampiran dengannya. Adam berdehem perlahan. Dia turut mengambil tempat di sisi gadis itu.

“Ada juga terserempak. Tapi tak ada pula dia ucap apa-apa kat abang. Saja nak kacau isteri abang lah tu,” rungut Adam lagi. Chinta tergelak kecil.

“Suka lah tu orang tu call kan?” soal Adam dengan kening terangkat memandang isterinya.

“Abang tak suka Naz call?” tanya Chinta semula sengaja mahu mengusik lelaki itu.

“Mesti lah tak suka. Sengaja nak kenakan abang ek,” balas Adam sambil tangannya menarik lembut wanita itu ke dalam pelukannya. Hidung mancung Chinta menjadi sasarannya.

“Abang! Sakit lah,” balas Chinta sambil menepis tangan suaminya itu. Adam tergelak besar.

“Padan muka. Suka kenakan abang,” usiknya sambil mengucup hidung wanita itu.

“Sorry,” ucap Adam lembut sambil merenung wajah Chinta yang sudah mula menarik muka masam.

“Lepas ni, Chin tak angkat lagi kalau panggilan tu daripada Naz. Puas hati?” soal Chinta dengan kening berkerut. Adam tergelak kecil sambil mengangguk perlahan.

“Nak cemburu sikit pun tak boleh. Susahnya dapat isteri yang garang ni,” katanya separuh mengusik.

“Abang!”

                                     *****

“Tak ada berita gembira untuk aunty?” soal Datin Syahida sambil tersenyum penuh makna.

“Tak ada lagi aunty,” balas Delisya dengan senyuman.

“Elis merancang ke dengan Adam?” soal Datin Syahida ingin tahu. Dia tahu akan kesibukan wanita itu.

“Tak aunty. Cuma belum ada rezeki,” jawab Delisya. Datin Syahida mengangguk faham.

“Bella dan Chinta pun sama?” soalnya lagi. Delisya tergelak kecil mendengar soalan wanita itu.

“Nampaknya aunty tak sabar nak dapat cucu,” usiknya. Datin Syahida ikut tergelak.

“Tahu tak apa. Elis tahu kan aunty tinggal seorang kat sini. Farah dan Fiona jauh kat negara orang. Balik pun hujung tahun aje. Tu pun sekejap. Tak puas bermain dengan cucu. Tu sebab aunty teruja nak dengar berita gembira dari Elis,” balasnya dengan senyuman.

“Insya Allah, aunty. Elis pun harap tahun ni ada rezeki. Bella dan Chinta pun masih tak ada berita gembira,” beritahu Delisya.

“Elis tu jangan sibuk sangat dengan kerja. Jangan sampai abaikan suami. Elis faham kan maksud aunty?” nasihat Datin Syahida separuh menyoal. Delisya mengangguk sambil tersenyum

“Elis faham aunty. Terima kasih,” ucapnya. Dia sangat terharu dengan sikap prihatin wanita itu.

                                   *****

“Semua okay ke setakat ni Dam?” soal Tuan Izan sambil memandang anak lelakinya yang sedang duduk berdepan dengannya.

“Okay pa. Insya Allah, tak ada apa-apa yang akan berlaku selagi kami percaya antara satu sama lain. Mereka bertiga isteri yang baik,” balas Adam dengan senyuman.

“Papa dah pesan hari tu. Hari ni papa cuma nak ingatkan Adam sekali lagi. Ingat, adil dan jujur tu adalah kunci kebahagiaan poligami. Papa doa Adam dan isteri-isteri Adam bahagia hingga ke akhir hayat,” doa Tuan Izan.

“Terima kasih pa. Adam akan ingat pesan papa selagi Adam masih bernafas,” balas Adam agak terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh orang tua itu.

“Bila mama nak dapat cucu?” celah Puan Hasna yang sedang berjalan menghampiri mereka. Dia meletakkan minuman di atas meja sebelum menarik kerusi di sebelah Tuan Izan.

“Awak ni, majlis sanding baru aje seminggu berlalu. Tempoh nikah baru aje tiga bulan. Awak dah sibuk nak tanya cucu,” tegur Tuan Izan dengan kening berkerut.

“Mesti lah. Mama dah tak sabar nak dapat cucu ni,” balas Puan Hasna dengan riak wajah yang teruja tanpa mempedulikan jelingan tajam Tuan Izan. Adam tergelak kecil.

“Insya Allah ma. Allah bagi rezeki, Adam terima dengan besar hati,” balasnya tenang.

“Adam tu jangan lah sibuk sangat kat hospital. Beri masa pada isteri. Adam tu ada tiga orang isteri tau. Bukan seorang,” kata Puan Hasna separuh mengingatkan.

“Tahu lah Adam tu nak urus. Kita berdua tak payah nak masuk campur,” celah Tuan Izan sambil mencapai jus oren di hadapannya.

“Amboi abang ni sejak tinggal berdua dengan saya suka sangat nak kena kan saya ek. Nanti saya lari kat rumah menantu-menantu abang, baru padan muka abang,” balas Puan Hasna dengan riak wajah tidak puas hati.

“Pergi aje lah. Nanti abang kahwin satu lagi,” jawab Tuan Izan selamba.

“Abang!” bulat mata Puan Hasna memandang suaminya itu. Adam dan Tuan Izan serentak tergelak.

“Nampak tak? Tak semua perempuan kat dunia ni suka berkongsi kasih. Kita patut bersyukur Adam dapat isteri-isteri yang saling memahami dan berfikiran terbuka,” kata Tuan Izan dengan senyuman.

“Saya tak kata pun menantu saya tak baik. Abang ni sengaja nak cari pasal sebab nak kahwin lagi satu kan?” soal Puan Hasna masih dengan riak wajah tidak puas hati.

“Mama, papa tu boleh aje cari lagi satu kalau papa nak. Sebab sayang mama lah papa tak sanggup nak cari seorang lagi,” usik Adam. Tuan Izan mengangguk setuju dengan kata-kata anaknya itu.

“Yelah tu. Mama juga yang kena lagi,” balas Puan Hasna mula mengalah.

“Esok Bella akan datang lawat mama,” beritahu Adam.

“Elis dan Chinta tak datang?” tanya Puan Hasna dengan kening berkerut.

“Elis ke Melaka melawat butiknya. Chinta pula ada kursus,” jawab Adam dengan senyuman.

“Bila lah mama dapat cucu kalau semuanya sibuk memanjang,” rungut Puan Hasna.

“Tak habis lagi?” soal Tuan Izan sebelum tergelak diikuti Adam. Puan Hasna hanya menjeling tajam memandang suaminya itu.

Asyik nak kenakan saya aje!

                                   *****

“Jadi ke lawat mama mentua Bell?” soal Datuk Ridhuan sambil memandang Bella yang sedang menarik kerusi di depannya.

“Jadi pa. Petang nanti nak pergi kot,” jawab Bella dengan senyuman.

“Adam ikut?” tanya Datuk Ridhuan lagi.

“Tak. Bella seorang aje. Adam ada meeting petang ni,” beritahu Bella.

“Nanti sampaikan salam papa,” pesan Datuk Ridhuan dengan senyuman.

“Boleh pa,” balas Bella ikut tersenyum.

“Papa ada terserempak dengan Khai hari tu. Nampaknya dia dah balik Malaysia,” beritahu Datuk Ridhuan. Bella mengangguk perlahan.

“Bella dah tahu?” soal Datuk Ridhuan apabila melihat riak wajah gadis itu yang tidak menunjukkan reaksi terkejut.

“Hari tu Bella ada jumpa Khai dan Lara,” beritahu Bella dengan perasaan berdebar.

“Buat apa nak jumpa lagi? Lepas ni papa tak nak Bella jumpa mereka lagi. Nanti apa pula kata Adam,” pesan Datuk Ridhuan dengan nada tegas.

“Adam dah tahu. Bella dah maafkan mereka pa,” balas Bella perlahan sambil tunduk memandang jemarinya. Takut dia melihat reaksi orang tua itu apabila mendengar kata-katanya. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan.

“Itu hak Bella. Papa tak kata pun yang Bella tak boleh maafkan mereka. Papa cuma tegaskan supaya Bella kena jaga hati Adam,” katanya dengan nada tegas. Bella tersenyum mengangguk.

“Insya Allah, pa.”

                                      *****

Berkerut kening Marwah memandang gadis itu yang baru sahaja selesai berbual dengan Nazri melalui telefon.

“Dia nak apa?” soalnya yang jelas kurang senang dengan sikap Nazri. Hari itu saja sudah tiga kali lelaki itu menghubungi Chinta.

“Dia dah bercerai,” beritahu Chinta tanpa perasaan.

“What? Why?” soal Marwah jelas terkejut. Chinta mengangkat bahu tanda tidak tahu. Memang dia tidak tahu. Tidak teringin pun hendak tahu.

“Lelaki tu memang ada masalah mental! Kau jangan sambut call mamat tu lagi. Eii, geramnya aku! Kalau dah bercerai tu buat lah cara yang betul. Pasal apa pula dia nak call isteri orang? Ehhh! Kalau Nazri depan aku memang dah lama aku hempuk kepala mamat tu,” balas Marwah dengan perasaan geram. Chinta hanya diam membisu. Malas mahu mengulas lagi.

“Kau kena hati-hati lepas ni Chin. Aku takut Nazri ganggu hubungan kau dan Adam lagi. Yelah, kau tu kan ada madu. Mesti dia akan buat hal. Aku risau tau tak,” sambung Marwah dengan kening berkerut.

“Kau jangan lah risau. Aku akan jumpa Nazri kalau betul-betul dia ganggu aku lagi,” balas Chinta dengan senyuman hambar.

“No! Kau tak boleh jumpa mamat tu lagi. Kau kena minta Adam yang pergi jumpa mamat tu. Aku takut kalau kau sendiri jumpa Nazri nanti apa pula kata Adam. Lagi satu, si Nazri tu dah gila sekarang. Aku takut dia buat benda tak elok dengan kau,” cadang Marwah yang jelas risau.

“Yelah kak oi. Kau ni risau tak tentu pasal lah. Kau ingat aku nak balik ke dengan mamat poyo tu lagi? Aku dah ada Adam,” balas Chinta dengan senyuman.

“Aku serius ni,” kata Marwah sambil membulatkan matanya memandang wanita itu. Chinta tergelak besar melihat telatah rakannya itu. Dalam diam dia bersyukur kerana mendapat sahabat yang sangat peduli padanya.

                                *****

Delisya memeluk erat tubuh suaminya itu.

“Rindu,” ucapnya separuh merungut. Adam tergelak kecil sambil membalas pelukan isterinya itu.

“I miss you too,” ucapnya sambil mengucup dahi isterinya itu.

“Masuk lah kat dalam. Dah gelap kat luar tu,” celah Datuk Taufiq yang berdiri di muka pintu memerhatikan mereka. Adam dan Delisya hanya tersenyum mengangguk. Kedua-duanya melangkah perlahan masuk ke dalam rumah.

“Elis ni sejak tadi tunggu kamu,” beritahu Datuk Taufiq apabila melihat Adam sudah selesa duduk di sofa yang terletak di depannya.

“Mana ada,” nafi Delisya yang sudah duduk di sebelah Adam.

“Macam lah papa tak nampak orang tu asyik tengok jam,” usik Datuk Taufiq lagi. Adam tergelak kecil.

“Tengok abang ni. Gelak pula. Kenapa balik lambat?” soal Delisya dengan kening terangkat memandang suaminya.

“Sorry sayang. Sayang tahu kan macam mana kerja abang?” balas Adam dengan riak wajah bersalah. Delisya tergelak kecil. Dia memeluk lengan lelaki itu.

“Gurau aje lah,” balasnya sambil tersengih. Datuk Taufiq hanya menggeleng sambil tersenyum melihat telatah anak perempuannya itu. Riak bahagia yang terpamer pada wajah Delisya benar-benar membuatnya lega. Semoga perkahwinan kedua anaknya itu berkekalan sehingga ke akhir hayat.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.