Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
194,836
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7
BAB 7
MELISSA berlari-lari anak sebaik sahaja keluar dari lif. Zulaikha yang keluar lima minit lebih awal menjinjing seplastik sampah menghala ke arah tong sampah besar. Dibalingnya plastik sampah di tangannya ke dalam tong itu lalu kembali melangkah ke arah Melissa.
Melissa berdiri dengan dahi berkerut. Langkah perlahan Zulaikha membuatkan dada Melissa berdebar kencang. Dia merenung jam di pergelangan tangan. Dahinya berkerut. Waktu sudah melewati jam 9.00 pagi, sudah pasti dia akan lambat sampai ke tempat kerja.
Semalam Jannet telah beritahu, hari ini dia kena datang awal kerana perlu membuka Book Cafe. Melissa melambai ke arah Zulaikha. Boleh tak cepat sikit? Aku dah lambat ni. Jerit Melissa dalam hati.
Zulaikha tiba dengan termengah-mengah. Melissa menekan butang pada kunci kenderaan di tangannya sebaik sahaja Zulaikha mendekati kereta lantas menarik daun pintu. Melissa mengeluh dengan wajah serius. Baru sahaja dia menarik daun pintu, terasa ada sesuatu keliling kakinya. Melissa menjeling. Seekor anak kucing kurus kelihatan letih. Melissa terus menguis anak kucing itu sehingga tergolek ke longkang kecil di sebelah. Bibirnya terkumat-
61
kamit sambil menghenyak punggung di kerusi. Kereta bergerak keluar dari parkir. Zulaikha menjeling.
“Kenapa ni? Pagi-pagi dah naik angin?” soal Zulaikha, memecah kesunyian.
“Aku dah lambat,” balas Melissa pantas.
“Habis aku tak lambat?” balas Zulaikha dengan wajah mencuka.
“Kau tak apalah. Kau tu PA kesayangan bos, aku ni hanya kuli. Lambat buka, niaga tak jalan,” ujar Melissa juga dengan wajah mencuka.
“Laa... ke situ pulak.”
“Yalah. Tak betul apa yang aku cakap?” balas Melissa sambil menekan brek sebaik sahaja lampu hijau bertukar merah.
Melissa menghentak stereng. Bunyi hon yang kuat membuatkan pemandu-pemandu lain memandang ke arah mereka dengan pandangan jengkel. Melissa hanya menjongket bahu, namun Zulaikha mengerutkan dahi sambil menjeling Melissa. Zulaikha tiba-tiba mengeleng-geleng. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Melissa terus menekan pedal minyak.
“Eh, Melissa, berhenti! Aku kata berhenti!” arah Zulaikha tiba-tiba.
Dengan spontan kaki Melissa menekan pedal brek. Zulaikha tersengguk ke hadapan. Melissa menjeling wajah sepupunya itu. Dilihatnya wajah Zulaikha mencuka. Dia tahu Zulaikha marahkannya. Argh! Jerit Melissa dalam hati. Apa yang aku dah buat ni? Rungut Melissa dalam diam.
Zulaikha tiba-tiba membuka pintu kereta. Melissa memandang Zulaikha yang sedang melangkah ke belakang. Tiba-tiba Zulaikha melangkah ke arah Melissa lantas menarik pintu di sebelahnya.
“Kau keluar, biar aku yang bawa,” arah Zulaikha dengan nada serius.
62
“Kenapa pulak ni?” soal Melissa sambil menolak perlahan pintu kereta.
“Kenapa? Bawa kereta punyalah berbahaya.”
Melissa terpaksa akur dengan arahan sepupunya itu. Zulaikha nampak sahaja lembut, tetapi tegas dalam membuat keputusan. Sifat Zulaikha sudah difahaminya sejak dari dulu lagi. Menonong Melissa keluar sebagaimana diarah sambil merungut-rungut dalam hati, tidak senang dengan cara sepupunya itu.
Melissa melangkah dan menarik daun pintu di sebelah kiri. Sementara Zulaikha pula membetulkan kedudukan sambil memasang tali pinggang keledar. Kenderaan yang baru bertukar pemandu itu meluncur laju di atas jalan raya.
“Kenapa diam?” soal Zulaikha setelah sepi menyelubungi suasana.
Namun, Melissa tetap hanya mendiamkan diri.
“Cakaplah. Macam mak nenek,” rungut Zulaikha sambil terus menumpukan perhatian pada pemanduan.
Melissa terdiam.
“Aku suruh cakap kau diam. Masa aku diam, kau cakap,” leter Zulaikha.
“Aku mintak maaf,” ucap Melissa.
“Kalau kau tak senyum, aku tak maafkan,” balas Zulaikha pantas.
Melissa tiba-tiba tersenyum.
“Ha, kan cantik sepupu aku ni,” usik Zulaikha.
Melissa hanya diam apabila diusik. Entah apa yang tidak kena pagi ini. Semuanya terasa didesak. Dada pun berdebar semacam. Melissa gelisah. Zulaikha beberapa kali menoleh ke arah Melissa. Gadis itu mengerutkan dahinya apabila melihat keadaan sepupunya itu.
“Apa kena Lisa?” soal Zulaikha.
“Apa?” soal Melissa kembali.
“Macam ayam nak bertelur.”
“Tak sedap hati. Entah kenapa.”
63
“Tak sedap hati ke, kerja tak sedap?” soal Zulaikha sambil kembali memberi perhatian pada pemanduan.
“Kan aku dah cakap dulu, Aku suka dengan kerja aku. Duduk dengan beribu buku. Kau sendiri tahu, kan? Lagipun kalau aku tak suka, takkan aku bertahan. Dah hampir enam bulan dah, kan?” jelas Melissa.
“Haah. Sekejap aje rasanya,” balas Zulaikha.
Melissa terdiam seketika. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Zamer! Agaknya Zamer dah nak dapat anak. Agaknya Zamer sedang bahagia dengan isterinya. Mak Cik Odah pun pasti bahagia dengan menantu pilihan.
“Zamer!” ucap Melissa tanpa sedar.
Zulaikha pantas menoleh dengan mata membuntang.
“Kenapa sebut nama orang yang kita benci ni? Kau janji apa dengan aku? Tak nak ingat lagi, kan?” balas Zulaikha.
Melissa mengelus dada.
“Aku cuma sebut ajelah. Bukan ada apa-apa pun. Kau ni,” balas Melissa.
“Hai, kalau tak fikir, macam mana kau sebut nama lelaki tu? Dah enam bulan, takkan tak boleh lupa lagi? Dalam benar cinta kau.”
Semakin tajam kata-kata Zulaikha menikam perasaan Melissa. Melissa terdiam.
“Dahlah. Ni aku nak tanya kau.”
“Apa dia?” soal Melissa.
“Kau pernah jumpa mamat sombong tu?” soal Zulaikha tiba-tiba.
“Mamat sombong? Mamat yang mana ni?” soal Melissa dengan dahi berkerut.
Wajah Zulaikha ditatapnya sekilas.
“Hai, ramai sangat ke mamat kat tempat kerja kau?”
Terkedu Melissa mendengar pertanyaan sepupunya itu.
“Tak pulak. Maksud Lisa, untuk hari nilah.”
64
“Semalam aku jumpa dia. Dia keluar dari lif sama dengan lif aku. Maksud aku, lif yang kau guna hari-hari ke kedai kau tu,” ujar Zulaikha bersungguh.
Melissa tersentak mendengar kata-kata Zulaikha. Dada Melissa berdegup hebat.
“Maksudnya kau terserampak dengan mamat tu dalam lif ke pejabat aku?” tanya Melissa, mahukan penjelasan.
“Kenapa kau cemas sangat ni?” soal Zulaikha tanpa menjawab pertanyaan sepupunya itu.
Melissa mengangkat kening. Zulaikha dijelingnya.
“Apa kes aku nak cemas-cemas.”
Zulaikha tertawa mengekek.
“Kau nampak mamat tu kat mana?” soal Melissa sekali lagi.
“Lif di bangunan pejabat kau tulah,” jawab Zulaikha pantas.
Melissa mengerutkan dahi. Wajah Zulaikha direnungnya dalam-dalam. Betul ke apa yang dikatakan Zulaikha? Ini bermakna lelaki itu berkerja di bangunan yang sama.
“Aduh!’ keluh Melissa tiba-tiba.
“Kenapa? Kau suka?” soal Zulaikha sambil tersengih.
Melissa menumbuk perlahan bahu Zulaikha.
“Ada pulak ke situ. Kau kan tahu, aku tak pandang wajah tampan atau kacaknya tu. Kalau hati plastik, tak ada maknanya,” balas Melissa.
Zulaikha masih tersengih.
“Habis? Si Zamer baik sangat? Tak ke hati si Zamer tu macam tembaga?” balas Zulaikha sambil tertawa mengekek.
Wajah Melissa bertukar muram.
“Sampai hati kau hina Zamer.”
“Hek eleh minah ni. Dahlah, jangan kau nak sanjung-sanjung lelaki tak guna tu!” marah Zulaikha.
65
Melissa mendiamkan diri. Rasa tidak puas hati bila Zulaikha sering menyebut dan memburukkan lelaki itu.
“Dahlah. Nasib baik dia jauh dari aku, kalau tak tahulah aku kerjakan mamat tu,” luah Zulaikha, geram.
Melissa faham. Kebencian Zulaikha pada Zamer sukar dikikis lagi. Setiap kali Melissa menyebut lelaki itu, pasti Zulaikha akan meradang.
“Kenapa bila sebut nama Zamer, kau bukan main melenting lagi? Kenapa kau benci sangat dengan lelaki tu? Kau bukannya kenal sangat si Zamer tu,” soal Melissa, mahukan penjelasan.
Zulaikha ketawa mengekek.
“Betullah kata orang, kalau dah cinta, semuanya elok,, kan?” balas Zulaikha sambil mengetap bibir.
“Terpulanglah pada kau, tapi terus terang aku cakap. Aku cuak bila tengok muka mamat tu. Dahlah. Tak ada faedahnya kita bergaduh kerana mamat tu,” ujar Melissa.
Dia cuba menyembunyikan rasa kecil hati dengan kata-kata Zulaikha. Dia tahu, dia tidak akan menang kalau bertekak dengan Zulaikha. Akhirnya dia juga yang mengalah. Melissa tiba-tiba tersenyum. Apa pun perangai Zulaikha, gadis itu tetap sepupunya yang terbaik.
Melissa hilang mood. Dia mengambil keputusan untuk berdiam diri. Zulaikha menjeling dan cuba berseloroh, namun Melissa tetap mendiamkan diri. Zulaikha juga terdiam. Kedengaran hanya bunyi deru enjin kenderaan. Fikiran masing-masing jauh menerawang.
Mereka mula terperangkap dengan kesesakan jalan raya. Melissa mula gelisah. Kalau macam ini keadaan sesaknya, sudah tentu dia akan terlambat tiba di pejabat.
“Kau jangan risau. Kejap lagi kita sampailah,” pujuk Zulaikha.
Melissa hanya tersenyum. Dia tahu Zulaikha rasa bersalah apabila melihat dia gelisah.
66
“Kau tu pun, jangan susah-susah kerana aku. Bukan aku seorang kerja kat situ. Mereka orang lama, mereka mesti dah ada kunci, kan?” ujar Melissa, menyembunyikan kegelisahannya.
Zulaikha memperlahankan keretanya sedikit.
“Haah, aku pun lupa.”
Tiba-tiba Zulaikha ketawa terkekeh-kekeh. Bangunan sepuluh tingkat itu sudah pun tersergam di depan mata mereka. Melissa dengan pantas melangkah keluar dan tanpa mengucap salam, Melissa memanjangkan langkah untuk cepat-cepat tiba di tempat kerjanya.
Harap-harap rakan-rakan lain belum datang, desis hati Melissa. Tekaannya tidak tepat. Setibanya di depan pintu, Naida dan Danial menunggu dengan wajah mencuka. Melissa tersenyum, namun riak wajahnya mula berubah apabila memandang wajah sugul kedua-dua orang rakan sekerjanya itu.
“Saya mintak maaf Naida dan Danial,” ucap Melissa sambil tersenyum.
“Lupa ke hari ni, hari apa?” soal Naida tiba-tiba.
Melissa mengerutkan dahi.
“Kita ada rombongan melawat ke sini,” ujar Naida.
“Maafkan saya,” ucap Melissa sambil tunduk memasukkan kunci dan memulasnya.
“Tak apalah Lisa. Masih banyak masa,” celah Danial sambil mendekati Melissa.
Melissa tersenyum memandang wajah kedua-dua orang kawannya yang baik hati itu. Wajahnya berkerut tiba-tiba. Kenapa Jannet tidak beritahunya tentang lawatan itu? Atau Jannet sudah tidak sukakan dia lagi? Melissa tunduk. Tanpa sedar keletahnya diperhatikan Danial. Lelaki itu mengalih pandangan apabila Melissa memandang ke arahnya.
“Lisa, jomlah. Tak payah awak nak termenung-menung lagi. Danial dah cakap tadi, kan?” panggil Nadia.
“Saya rasa bersalah,” ujar Melissa.
67
Danial tertawa kecil mendengar kata-kata Melissa.
“Okey, kalau awak rasa sangat bersalah, awak kena kemas satu buah bilik,” ujar Danial sambil menjeling Nadia.
Nadia mengangguk-angguk. Melissa melangkah mendekati Nadia yang telah pun berada di kaunter pertanyaan.
“Bilik apa?” soal Melissa dengan dahi berkerut.
Dia tidak pernah diberitahu ada bilik. Dia hanya tahu ada ruang bacaan yang selesa sahaja, tetapi tidak pula diberitahu tentang bilik.
“Oh, Miss Jenny tak cerita kat awak?” soal Danial sambil merenung wajah Melissa dan Nadia.
“Apa? Boleh cerita kat saya tak?” pinta Melissa.
“Miss Jenny tak pernah beritahu ke tentang bilik berkunci sebelah pejabat tu?” soal Nadia pula, mahukan kepastian.
Melissa menggeleng-geleng.
“Tak. Kenapa? Bilik apa? Kamu berdua ni buat saya takutlah,” balas Melissa.
“Dah berapa bulan awak kerja kat sini? Tiga bulan, kan?” soal Danial.
Semakin berkerut wajah Melissa.
“Awak tak pernah jumpa penghuni bilik tu?” soal Danial lagi.
“Dani, kata nak kemas awal. Nanti bila rombongan sampai, tak sempat nak kemas. Kita bertiga aje ni,” celah Nadia.
“Yalah. Saya dah lupa,” rungut Danial sambil tersenyum.
Melissa melangkah ke meja dan mengambil buku-buku kemudian menyusunnya di atas rak mengikut kategori. Fikiran Melissa melayang mengingatkan kata-kata Danial sebentar tadi. Danial dan Naida juga memberi tumpuan pada kerja masing-masing. Dua orang pembantu lagi bercuti. Jannet ada perkara lain yang perlu diselesaikannya.
68
Kata Jannet selepas urusan selesai, dia akan ke Shah Alam meninjau novel-novel yang baru terbit. Jannet suka mendahului orang lain. Tidak hairanlah, ramai remaja yang datang dan membaca buku-buku pilihan mereka di sini.
Suasana semakin damai dengan aroma alam yang memenuhi ruang. Sememangnya Melissa suka semua yang ada di galeri ini. Tetapi, kata-kata Danial mengenai bilik dan penghuni membuatkan fikirannya tidak tenang. Cara Danial dan Naida berbisik seakan-akan ada sesuatu yang dirahsiakan mereka.
Setelah selesai tugas-tugas awal, Melissa ke sebuah sofa lantas melabuhkan punggung sambil pandangannya dihalakan ke arah bilik yang berkunci. Betulkah dia yang harus mengemasnya? Kalau betul kenapa dia yang harus mengemasnya? Danial tiba-tiba datang dan menghempas punggung di sebelah Melissa.
“Kenapa? Kecil hati dengan kami?” soal Danial.
“Tak,” jawab Melissa ringkas.
“Habis kenapa termenung?” soal Danial lagi.
“Saya fikir tentang tu,” jawab Melissa sambil memuncungkan bibir ke arah pintu bilik di sebelah ofis Jannet.
“Tak payahlah awak nak fikir. Tu tugas saya. Awak tahu kenapa?” soal Danial sambil tersenyum.
Melissa hanya menjongketkan bahu.
“Tu tanggungjawab saya. Perempuan mana boleh masuk bilik lelaki,” tokok Danial.
“Maksud awak, bukan ofis tapi bilik tidur?” soal Melissa, terkejut.
Naida di kaunter memandang ke arah mereka. Danial mengangguk-angguk.
“Kawan Miss Jenny merangkap rakan kongsi dia,” jawab Danial.
Melissa terdiam.
69
“Miss Jenny tu dah kahwin ke belum?” soal Melissa tiba-tiba.
Danial mengerut dahi. Tersengih Nadia mendengar pertanyaan Melissa.
“Belum lagi. Miss Jenny tu pernah kecewa. Dia dah serik,” ujar Danial.
Melissa tersengih.
“Pandailah. Mengumpat bos,” celah Naida.
Danial dan Melissa ketawa mengekek.
“Jadi awak jangan risau. Bilik tu biar saya yang uruskan, awak buat yang lain-lain ya,” ujar Danial sambil merenung wajah Melissa.
Melissa mengangguk-angguk tanda setuju. Melissa melangkah meninggalkan Danial sementara Naida mengurus tugas-tugas di kaunter. Fikiran Melissa melayang. Selama ini dia tidak pernah bertanya tentang bilik yang ditunjukkan Danial. Tidak berminat dan tidak terfikir bilik itu berpenghuni.
Melissa mengeluh sambil tunduk mengumpul buku-buku di atas meja dan ada yang ditinggalkan di lantai oleh pembaca. Melissa tidak pernah merungut malah senang dengar tugas-tugas itu. Sambil mengumpul kadang-kadang sempat dia membelek-belek buku-buku itu. Sepanjang berkerja di Book Cafe beberapa bulan ini, belum ada perkara-perkara yang mencabar.
Pengguna dan pelanggan mengerti bagaimana hendak menggunakan kemudahan yang disediakan. Komputer disediakan untuk mencari nama buku dan kod buku yang diperlukan. Apa yang penting adalah judul atau nama pengarang. Cukup mudah. Melissa tersenyum sendiri. Dia sendiri sudah mula senang dengan tugasnya bergelumang dengan buku-buku.
70
ROMBONGAN yang ditunggu masih belum tiba. Setelah selesai melakukan tugasnya, Melissa ke mejanya. Dikeluarkan laptop lantas diaktifkan. Seperti biasa, Melissa akan memeriksa emel-emel yang belum bacanya. Satu per satu emel dibacanya hingga pandangannya mula tertancap pada satu emel. Nama penghantar e-mel itu cukup dikenalinya. Zamer? Bisik hati Melissa. Dadanya mula berdebar-debar. Matanya merenung dalam pada skrin yang tercatat nama Zamer.
Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif