Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Kerana Hati Pilih Yang Sayang
Aya Sanjana
9/11/2020 10:07:08
25,585
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Prolog

Dua tahun sebelumnya…

 

Sebaik saja aku melepasi pintu kaca yang tutup dan bukak sendiri ni, terasa sejuknya angin dingin dari penyaman udara pasar raya yang terkenal seantero Malaysia ini. Aku hidu perlahan udara ini. Pelik tak aku ni agaknya? Memang bau pasar raya ialah sejenis bau yang aku suka. Tambah-tambah bahagian kasut, baju dan beg. Lagi suka kalau dapat borong banyak-banyak. Tapi buat masa sekarang belum mampu lagi.

Keadaan di dalam pasar raya SOGO ini walaupun sesak, suhunya masih kekal selesa dirasai. Aku menapak ke lantai bawah ini untuk meninjau-ninjau.

Isy, lama tak datang sini cuci mata. Dapat datang sini sorang-sorang memang rasa syurga sangat. Tak payah terkejar-kejar. Beg silang yang tersangkut di bahu aku eratkan. Ui kena jaga-jaga. Ada dekat seribu ringgit jugak ni. Amanah ayah ni. Bukan boleh buat main-main.

Deretan beg tangan tersusun cantik dan kemas di atas rak. Macam-macam jenama ada. Aku tengah fikir balik macam mana cita rasa mak aku selama ni. Biasalah, nak buat kejutan sempena hari jadi dia. Ayah pulak suruh aku yang belikan sebab katanya aku selalu buat pilihan yang tepat.

Mata aku laju menyaring jenama-jenama kesukaan mak. Mak punya selera kadang-kadang kalah mak Datin. Designnya mestilah bukan biasa-biasa dan wajib menonjol lebih daripada orang kampung lain kalau pergi kenduri. Tapi jenama yang terlalu bangsawan harganya, dia sedar diri. Tak pernah pulak paksa-paksa ayah untuk belikan.

Setakat harga bawah seribu ringgit ni mampulah ayah belanja. Kalau lebih daripada tu, mak aku pesan awal-awal kat ayah. Baik beli emas aje. Macam itulah kami orang kampung berfikir sebab duit yang ada bukanlah banyak sampai tahap tak tahu nak buat apa. Kalau teringin, kumpul duit dan nikmati hasilnya.

Mataaku laju scan segala beg-beg yang terpamer. Dari jauh juga, aku perhati dekatkedai-kedai di dalam pasar raya ini. Saring awal-awal sebelum masuk. Agak-agak sesuai cita rasa mak, baru aku masuk. Dah masuk nanti, segan pulak aku nak hadap pandangan jurujual kalau tak jadi beli.

Hampir setengah jam jugak aku membelek-belek pilihan yang ada. Beg yang tersedia untuk bahagian jualan murah jugak tak kurang cantik. Aku cekalkan hati agar aku tak terjebak sama jatuh suka dengan beg-beg yang ada. Kalau dah suka, balik pun termimpi-mimpi.

Aku terpa ke arah sebuah beg tote berjenama GUESS. Adudu. Lawanya. Agak-agak mak suka ke beg tote? Dia tak pernah ada lagi. Cuma jenama GUESS ni memang antara jenama dia suka. Sayangnya hanya ada warna merah jambu. Aku batalkan niat. Tak sesuai dengan mak. Geleng perlahan lalu mata teruskan kerja menganalisis beg-beg yang ada.

Sebuah beg satchel berwana merah berjaya memberhentikan mata aku daripada laju menyaring jenis-jenis beg yang lain.

Ya,aku yakin. Mak kalau tengok ni dari jauh dia akan terus suruh jurujual bungkuskan tanpa dia toleh ke arah beg-beg yang lain. GUESS Los Angeles. Wow, ni kalau mak tengok ni lagi la dia suka. Sebab ada nama bandar popular yang gahtu.

Aku cari tag harga di bahagian dalamnya. Okey lepas. Baru RM599. Duit balance bolehlah aku beli cadar murah untuk beli aku. Ayah pun dah pesan kalau ada lebih aku boleh beli apa-apa aje asalkan beli beg yang betul-betul mak akan suka.

“Errr,cik. Lawa beg ni.” Di sebelah kiri aku, tegur seorang jurujual lelaki kepada aku.

“Haah,saya nak yang ni la ya?”  

Aku kalih dan memandang jurujual tu sambil tersenyum. Aik, pakai baju biasa je? Smart pulak tu. Takkanlah ni bos outlet ni pulak?

Cermin mata yang entah jenama apa disangkut pada bahagian kolar baju.

“Okey, saya panggilkan salesgirl. Awak tunggu sini jangan ke mana-mana tau?”

Lah? Dia bukan jurujual ke?

Dalam melihat dia mendapatkan salesgirl yang kelihatan sibuk tu, perut aku terasa berombak. Rasa tak selesa. Baru sedar, pinggang aku lenguh sangat. Pergelangan tangan rasa macam dah angkat baldi 5 biji berisi air. Letihnya.

“Ya,cik? Nak yang ni ya? Okey tunggu sebentar ya.”

Jurujual yang berwajah manis itu menyapa. Dia bawa beg pilihan aku untuk dibungkus.

Lelaki tadi masih setia di sebelah aku. Dah kenapa? Muka dia macam serba salah.Sekejap-sekejap dia tengok orang di belakang aku. Sekejap-sekejap dia tengok aku.

Mulut dia terbuka macam nak bercakap tapi tak terkeluar apa-apa perkataan.

“Awak nak apa? Awak bos sini ke?”

“Saya? Eh mana ada. Saya saja je tengok-tengok barang kat sini.”

“Dah tu? Awak nak mintak sedekah ke?”

Modus operandi baru agaknya? Pakai segak-segak tapi cuba pau orang. Sebab tu dia baik sangat tolong panggilkan jurujual tadi?

Dia cepat-cepat luaskan biji mata dan buat muka tak percaya.

“Seriuslah saya nampak macam peminta sedekah?” Muka dia macam geram pun ada.

“Oh bukan ye? Maaf-maaf.” Balas aku seraya tutup bibir sebagai tanda aku rasa bersalah.

Muka dia masih teragak-agak nak cakap sesuatu. Hesy, dia ni kan. Ataupun dia…

“Ohh,awak nak jual insurans kat saya ke? Atau jual benda apa?” Sah baru hari pertama kerja ni. Kesian pun ada. Gamak aku tuduh dia mintak sedekah padahal dia nak cari rezeki yang halal.

Dia buat muka geram. Keluar lekuk di kedua-dua belah pipi. Boleh nampklah dia ketap rahang tu.

Sekilas dia perhati ke bahagian belakang aku dan laju-laju cakap, “Seluar awak ada darah!”

“Hah?” 

Dan-dan menggeletar rasa badan aku ni. Takkanlah. Berapa hari bulan eh hari ni? Please jangan sekarang. Jangan dekat pasar raya yang ramai pengunjung bertali arus ni. Isy, tak boleh bayang aku nak naik LRT dengan keadaan macam ni.

Aku pusing ke belakang dan dan-dan aku rasa ada sesuatu mengalir. Habislah. Habis aku! Tak syak lagi, aku kebocoran! Paling malang, seorang lelaki yang entah dari mana yang tegur.

“Awak jangan cemas. Apa kata awak pergi tukar…” cadang dia macam tumpang simpati.

“Benda tu… Keluar…  awak tak perasan ke?” Macam dia pulak yang kebocoran sekarang ni. Muka cuak betul.

“Awak curi tengok punggung saya ya?” tuduh aku dengan nada suara terkawal. Aduh, malunya.

“Hei, saya ternampak. Bukan saya nak tengok pun! Awak tu lagi teruk. Tuduh saya mintak sedekah.” Jawab dia, juga dalam keadaan berbisik. Sempat lagi ungkit tu.

Jurujual datang dengan senyuman manis kepada kami. “Cik, boleh buat bayaran di kaunterya?”

Aku terpaku diam sambil berfikir. Nak jalan pun dah rasa tak yakin. Macam mana kalau ada yang mengalir lagi? Aku pun satu, tak bawak spare pun benda alah tu.

“Cik,jadi beli kan? Kami dah bungkuskan dalam kotak ni.” Sekali lagi jurujual bermuka manis itu bersuara.

“Jadi-jadi.Tak apa, kejap lagi kami bayar. Nak tengok-tengok dulu.” Dia pulak tolong jawabkan.Dah macam kami datang sekali pulak.

“Oh nak tengok-tengok dulu, ya? Okey baiklah.” Jurujual yang tak lenguh-lenguh tariksenyum itu beredar selepas encik di sebelah aku bersuara.

“Awak kena pergi tukar sekarang. Atau cuci, atau apa-apalah.” Saran dia lagi.

“Tapi saya…” Takkanlah aku nak bagi tau dia aku tak bawak spare pad? Lagi satu, seluaraku pun kena tukar ni. Malu la aku nak cerita semua benda. Lagipun, dia faham ke? Dia arahkan aku untuk berdiri di hujung sudut, supaya tak ada orang lainyang nampak apa yang dia dah nampak.

“Kenapa awak sibuk nak tolong saya?”

“Sebab saya pun ada kakak, saya ada emak. Mereka tu perempuan. Dan kalau…”

Diapetik jari.

“Hah! Lupa pulak. Kejap.” Dia keluarkan telefon dan menghubungi seseorang. Butirnya seperti ada seseorang yang datang bersama dia ke sini tadi. Dan dia mintak seseorang datang untuk membantu dia. Ada masalah kecil kata dia.

“Okey, settle. Sekarang, saya escort awak pergi bayar. Saya lindung belakang awak. Boleh?”

Aku angguk lemah. “Baiklah. Malunya saya.” Dia menggaru belakang kepalanya seperti tumpang segan.

“Dah,jom.” Dia hadiahkan aku sengihan manis tapi aku peduli apa? Masalah besar aku sekarang tak boleh diselesaikan dengan senyuman secantik mana pun.

Selesai buat bayaran, kami tunggu seseorang di tepi lot kedai. Tak lama, datang seorang perempuan bertudung yang berpakaian menarik dan bergaya. Dari jauh dia dah melarik senyum hingga nampak giginya yang putih serlah.

“Akak,tolong kejap kak.” Dia pun berbisik pada seseorang yang dia panggil kakak.Sekali tengok pun dah tahu tu kakak kandung dia. Muka sepesyen sangat!

“Lahh.Ya ke? Kesiannya!” Si kakak datang mendekati aku dan menggosok-gosok bahu aku tanda memberi sokongan.

“Tak sangka pulak hari ni. Patutnya lambat lagi,” keluh aku perlahan.

“Tak apa. Akak faham. Okey, nama akak Sumaiyah. Panggil je Kak Maiyah. Meh, akak temankan ke tandas.”

“Terima kasih Kak Maiyah sebab sudi tolong saya. Saya Sarah. Saya nak ke tandas tapi nak kena beli ‘barang’ tu dulu.” Teragak-agak aku meluah rasa sambil perhati si adik yang khusyuk tengok gelagat pengunjung berebut cadar jenama AKEMI.

“Jangan risau. Akak suruh adik akak belikan je. Dik, sini kejap.”

Si adik yang tak aku tahu namanya tu menoleh dan segera datang menghampiri.

“Akak bawak Sarah ke tandas dulu. Dik, tolong akak belikan pad dan seluar dalam boleh?”

Rasa menderu darah di dalam dada. Mak ai. Biar betul Kak Maiyah ni? Tak ada tapis-tapis punya. Dia sebut direct. Beli pad tu logiklah, ini nak beli seluar dalam aku rasa dah melampaui batas pun ada.

“Ehkak. Takkan seluar…”

Tak sempat aku habiskan ayat, Kak Maiyah potong, “Tak apa. Seluar dalam pakai buangtu je. Ambil saiz medium okey? Dekat Watsons ada kat bawah ada jual.”

“Yang satu lagi tu nak beli brand apa pulak kak?”

“Alah dik, ambil je mana-mana. Tapi kalau boleh cari yang night dan ada wing.”

Berkerut-kerut muka dia. Macam blur sangat. Yelah, faham ke tidak tu night dan wing tu apa ke benda.

“Lagi?”

“Errr. Beli tisu sikit. Kalau ada tuala kecil, beli satu.”

“Iyelah, kak.”

“Okey Sarah, Jom.”

Kami pun berjalan beriringan ke tandas. Kak Maiyah bawak aku ke tandas yang tak berapa ramai umat manusia. Mudah katanya.

Tapi masih ramai jugak orang beratur dalam tandas. Siap ada yang perasan keadaan aku. Sok sek sok sek dengar mereka berbisik. Tak tahulah simpati atau pun mengata.

“Kita tunggu adik akak datang. Duduk dekat tandas ni selamat sikit. At least kalau orang nampak pun, sesama perempuan.”

“Saya tak tahu macam mana nak terima kasih dekat akak. Kita bukan kenal pun tapi akak nak jugak tolong saya.”

“Kita mungkin asing, tapi kita tetap bersaudara dan akak wajib tolong. Abah akak pernah pesan. Buat baiklah pada orang yang kita tak kenal sebab kita takkan tagih balasan apa-apa. Ikhlas kerana Allah.”

Terharu aku rasakan. Hampir-hampir bergenang air mata tapi aku cuba tahan agar tak terbuat drama dekat sini.

“Kalau saya ada anak, saya kahwinkan akak dengan anak saya.” Gurau aku cuba untuk mesra dengan Kak Maiyah.

“Hesy,akak dah kahwinlah.” Gelak dia lebar-lebar.

“Oh, kalau macam tu melepaslah saya nak menantukan akak.” Seloroh aku.Terkekeh-kekeh kami menahan tawa. Orang lain yang sedang beratur pandang kali lain macam aje. Yelah, tak padan dengan bocor, boleh lagi gelak kuat-kuat aku ni.

Panggilan telefon Kak Maiyah berbunyi. Mesti adik dia tu. Kak Maiyah terus keluar dan kembali dengan seplastik beg Watsons.

“Sarah,ni barang-barangnya. Akak rasa Sarah tukarlah ya. Seluar tu Sarah cuci je dengan air dan lap sampai kering dengan tuala kecik ni ha. Basah-basah sikitpun tak apa kot? Nak buat macam lagi, kan?”

Seorang akak yang sejak tadi perhatikan kami berdua bersuara.

“Awak period ye? Nah gunalah dulu tandas. Mesti tak selesa tu.” Pelawa dia yang bersimpati. Alhamdulillah. Ramai juga manusia yang baik hati di dunia ni.

Aku pun terus buat apa yang patut. Lega rasanya bila dah pakai apa yang sepatutnya aku pakai.

Seluar aku yang basah-basah lembab itu aku cuba keringkan dengan pengering tangan. Pelik aje pencuci tandas tu tengok gelagat aku berdiri depan pengering tangan tu. Kak Maiyah menjelaskan apa yang aku hadapi dan mak cik pencuci tandas itu hanya tersenyum lebar sambil geleng kepala.

Kami keluar dari tandas, adik Kak Maiyah setia tunggu di atas kerusi. Kesian pulak aku tengok. Dahlah dari tadi dia yang usung kotak berisi beg untuk mak. Aku pun tak perasan tadi. Tapi yang aku kagum, semua benda yang akak dia pesan, dia beli dengan tepat dan sempurna. Memang betul night dan wing. Syabas!

“Dah selesai ke, kak?” tanya dia pada Kak Maiyah tapi mata tengok aku.

Aku tunduk malu. Siapa yang tak malu dalam dunia ni kalau terkantoi keluar period depan lelaki asing? Bukan abang, bukan adik lelaki sendiri tau. Ni orang yang tak dikenali. Fuh!

“Terima kasih banyak kak. Saya balik dululah, ya? Kalau lewat sangat gerak nanti bersesak dalam LRT dalam keadaan sekarang ni tak selesa.”

“Ha,iyalah. Sarah balik mana?”

“Tak jauh pun. Rumah mak cik saya jugak. Malam ni ayah datang ambil balik kampung.”

“Oh, ye ke? Larat ke tu nak usung barang. Akak hantarkan nak?”

“Eh jangan kak. Cukuplah saya susahkan akak. Satu lagi, harga barang-barang tadi berapa?” Aku buka zip beg dan cari dompet.

“Tak payah. Simpan duit awak tu. Setakat beli benda macam tu berapa sangatlah.” Kali ini si adik pulak bersuara.

“Jangan macam tu. RM50 cukup tak?” soal aku lagi, tak puas hati. Aku hulur kepada KakMaiyah dengan harapan dia akan terima.

“Tak nak. Tolong akak. Jangan bayar please?” pujuk Kak Maiyah dengan suara lembut memikat hati. Aduh, cair rasa. Tangan aku yang berisi sekeping not RM50 itu ditolak ke bawah.

“Saya malu la kak.” Luah aku yang betul-betul segan atas apa yang terjadi.

“Allah dah atur cantik untuk akak dan adik akak tolong Sarah. Dah, jangan segan ya?”

“Habis tu saya nak balas budi akak dengan apa?”

“Sarah doakan akak boleh? Doakan akak cepat-cepat dapat baby ya? Kami pun datang sini nak beli barang baby. Tapi bukan baby akak.”

“InsyaAllah. Saya doakan akak dapat baby yang comel dan soleh. Ke nak saya doa dapat anak kembar?” Aku membuat lelucon yang membuat Kak Maiyah ketawa suka.

“Amin ya rabbal alamin.”

“Untuk awak pulak? Nak saya doa apa?” tanya aku ikhlas. Tak dapat aku gambarkan betapa leganya aku bila ditemukan dengan orang yang betul-betul mahu membantu aku.

Dah kena tuduh peminta sedekah pun dia tak kecik hati dan masih nak tolong.

“Doalah majlis dia tahun depan berjalan lancar. Nak jadi suami orang dah adik akak ni.”Ceria Kak Maiyah menepuk-nepuk bahu si adik.

“Yelah,nak jadi suami orang, bukan ayah orang. Awak tahu tak kakak saya ni paksa saya teman dia beli barang baby untuk anak buah suami dia. Punyalah awal nak berlatih pun.”Adu dia kepada aku.

Oh, dah berpunya. Untunglah yang empunya hati. Kalau akulah, aku akan jaga baik-baik sampai mati.

Kak Maiyah hanya menyeringai suka. “Tapi kan dik. Awak memang dah boleh jadi suami orang. Belikan pad dan seluar dalam pun dah pandai. Tak sangka akak. Untung Mira!”

Betul tu. Untung Mira tu. Entah Mira manalah yang bernasib baik dapat jodoh macam dia.

Kami sampai di depan pintu SOGO. Nampaknya di sini aku akan berpisah dengan mereka.

“Saya mintak diri dulu. Akak belilah barang baby tu. Tak lama, akak pulak beli untuk diri sendiri. Saya akan doakan.”

“Terima kasih, Sarah. Ingat, lain kali bawak spare ya? Akak pun akan remind diri sendiri bawak spare ke mana saja.”

Kami ketawa dan diperhatikan saja si adik.

“Terima kasih ya awak. Maaf jugak sebab ingat awak mintak sedekah tadi.”

“Tak ada hal.” Akhir sekali, dia senyum dan lekuk manis itu tertera di pipi.

Selepas berpelukan dengan Kak Maiyah, aku menapak sendiri membawa hadiah mak yang dipesan ayah untuk hari jadi suri hatinya itu.

Di dalam LRT, aku bagaikan terawang-awang.

Ya Allah, masukkan mereka berdua di dalam daftar doaku setiap hari walaupun ada hari aku akan terlupa. Akan aku doa tanpa culas. Bahagiakanlah mereka dan permudahkanlah urusan mereka selalu, Amin.

Kejap.Apa eh nama si adik tu? Aduh. Lupa nak tanya. Nampaknya aku kena namakan dia mamat SOGO sajalah. Tak apalah. Syarat nak doakan seseorang tak perlu tahu nama pun. 

Oh ya. Malam ni aku akan tuliskan apa yang jadi kat dalam diari. Supaya aku sedar diri dan berhati. Lain kali bawak spare!

Peristiwa ini patutnya malang, tapi entah kenapa, hati berbunga riang. 

Previous: Bab 5
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aya Sanjana