Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benar Aku Suka
Benar Aku Suka
Lily Js
7/3/2018 22:42:13
73,097
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 25


Hana menatap keputusan dengan riak wajah tak percaya yang baru sahaja diambil dari sekolah. Sebelum menjelang tengah hari Hana ke sekolah untuk mengambil keputusan stpm. Dia tidak berhenti mengucapkan rasa syukur kepada Allah yang maha Esa. Tanpa anugerah kebijaksanaan dariNya dan usaha yang gigih, dia tidak mungkin lulus dengan cemerlang. Hana tak sabar mahu berkongsi berita baik itu dengan ayah dan adiknya. Mereka pasti gembira apabila melihat slip keputusan itu. 


Rosse, sahabat baik Hana belum mengambil keputusan. Namun Hana yakin Rosse juga mendapat keputusan yang cemerlang. Rosse dan dia bukan sahaja bersahabat tetapi mereka juga rakan bersaing secara sihat dalam pelajaran. Semenjak Rosse kerap jatuh sakit, mereka sudah jarang bertemu di luar. Mengenangkan keadaan Rosse, Hana dihurung perasaan sedih. Pada Hana, Rosse ialah sahabat sejati dalam beribu sahabat yang belum tentu setia. 


Hana melihat keputusan itu entah ke berapa kali walaupun itu bukan kali pertama Hana mendapat anugerah sebagai pelajar terbaik di sekolah. Perempuan jelita itu tidak sabar mahu menyambung pendidikan di peringkat yang lebih tinggi. Siapa pelajar tidak teruja apabila berjaya meneruskan pelajaran dan menjadi salah satu mahasiswa di sebuah university yang agak terkemuka. 


Senyuman Hana memudar apabila angan-angan yang sudah tersusun rapi di minda terlerai apabila wajah bongkak seorang lelaki menjelma di minda. Lelaki kacak tapi mempunyai sikap yang tidak menyenangkan semakin mengganggu hidup Hana. Gadis cantik nan comel itu risau apabila cita-cita dia yang tinggi melangit akan musnah apabila Nurhan cuba melaksanakan rancangannya yang keji. 


Memori pahit Nurhan berkunjung ke rumah bermain di minda Hana. Entah mengapa, ugutan tidak siuman Nurhan sering berlegar di minda sehingga menyebabkan jiwa Hana terganggu. Hana keliru, mengapa Nurhan sanggup mengugut dia. Sedangkan dia dan Nurhan tidak mempunyai apa-apa ikatan. 


Kereta mewah Nurhan terparkir megah di halaman rumah Hana yang kecil sahaja. Setelah mendengar bunyi enjin kereta, Hana mengatur langkah ke ambang pintu rumah. Melihat batang tubuh yang tak asing di mata redup Hana menyebabkan gadis itu terpempan. Hana musykil, apakah tujuan lelaki bongkak itu berkunjung ke rumahnya?


"Nurhan... awak buat apa kat sini?" ujar Hana dengan nada kurang senang sekaligus menghentikan mata mereka yang saling berlawan. Hana kurang suka dengan cara Nurhan merenung dirinya. Dia bukan boneka yang suka hati sahaja ditenung mahupun disentuh. 


"Hmm... kalau benci sekalipun, awak janganlah usir saya Hana. Saya susah-susah datang ke sini, awak tahu tak?" jawab Nurhan cuba berbahasa dengan sopan. 


Nurhan mahu mengambil hati Hana yang tega menolak dia. Dia harus melayan Hana dengan lemah-lembut untuk menarik Hana ke dalam pelukannya. Nurhan juga harus mengawal diri apabila melihat Hana yang hanya berpakaian seperti gadis kampung. Berkain batik dengan dipasangkan baju T-shirt berwarna putih. Terlalu simple namun tetap menarik hati pada gadis ayu seperti Hana. 


"Hana bukan usir awak tapi... ayah tak ada kat rumah, Nurhan. Tak elok awak datang ke sini. Nanti apa pula orang kampung kata kalau... Kalau tengok..."


"Hana, awak berfikir banyak. Lagipun kita sebenarnya hampir bertunang Hana. Tapi sampai hati awak menolak saya, Hana. Kenapa Hana?" potong Nurhan setelah boleh membaca fikiran Hana. Walaupun dia berasa jengkel apabila Hana masih berlagak seperti seorang gadis suci yang tidak bernoda. 


"Err... Nurhan tentang itu, Hana taknak ungkit lagi. Itu kisah lama Nurhan. Ayah pun dah jelaskan pada keluarga awak. Awak, awak jangan nak memprovok saya pula." Hana merasa gementar namun dia harus kuat untuk berhadapan dengan lelaki itu yang sukar dijangka seperti lelaki hidung belang.


"Memprovok awak? Ayat awak menarik Hana," balas Nurhan seraya tertawa kecil. Kedua pasang matanya yang tajam tak lari dari 'menscanning' tubuh indah Hana. Bermula dari atas kepala sehingga hujung kaki Hana yang tampak mulus dan lembut. Menarik dan menggoda, dua perkataan itu berlegar liar di otak kepala Nurhan. 


Hana mencebik bibir melihat reaksi Nurhan yang menyakitkan hati. Di mata Hana, lelaki dewasa itu tak ubah seperti lelaki kurang siuman dan kurang kasih sayang. Nurhan perlu diubati dengan teliti dan perlu dihantar ke tanjung rambutan. Setiap kali bersama dengan Nurhan, lelaki itu hanya membuat hatinya terluka. 


Kaki Nurhan menaiki tangga rumah Hana satu persatu sehingga dia berjaya menghadap wajah Hana yang tampak terkejut dengan perlakuannya. Dia tersenyum senget menatap wajah menarik Hana yang penuh persoalan. Nurhan sedar dia sudah berjaya menakutkan Hana. Sudah pasti tahap kebencian Hana terhadap dia juga semakin tinggi, namun Nurhan tidak kisah. Rasa hatinya yang sakit itu lebih penting.


"Awak dengar baik-baik Hana. Ini amaran saya dan awak perlu semat di dalam dada awak yang cantik itu. Awak ialah milik saya, Hana. Hanya milik saya seorang dan selamanya. Awak jangan bermimpi awak boleh terlepas dari saya setelah awak berjaya menghipnotis orang tua-tua itu. Awak faham Hana?" luah Nurhan panjang lebar. Riak wajahnya tiada kemesraan, malah hanya menggerunkan sesiapa sahaja yang memandang.


Bulu roma Hana merinding namun dia harus melawan lelaki itu. Dia bukanlah dayang Nurhan yang harus menurut perintah. "A... awak, awak tidak perlu mengugut saya, Nurhan. Awak tiada hak nak mengugut saya. Kalau tak saya akan... akan menyampaikan pada ayah dan ayah awak, Nurhan." Seperti selalu Hana menjawab gugup apabila dia dihurung perasaan takut. Dia resah mendengar setiap kalimat yang keluar dari mulut lelaki jahat itu.


Tawa gelak jahat Nurhan meletus mendengar respon Hana yang terlalu kerdil di matanya yang penuh rasa amarah dan hanya menunggu untuk meletus. Malah, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk melampiaskan hasrat itu kepada Hana. 


"Hana, Hana... siapa awak nak cuba berlawan dengan saya? Awak hanya anak kepada pekebun di ladang ayah saya, Hana. Tolonglah sedar diri, Hana. Ayah awak juga bila-bila masa sahaja akan kehilangan kerja bila awak berani buat hal. Jadi mulai sekarang belajarlah berfikir dengan bijak. Bukan melakukan tindakan bodoh yang hanya melukakan hati ayah awak, Hana." Nurhan tidak berhenti dari terus meracuni hati Hana yang rapuh.


Pandangan Hana mengecil membalas renungan Nurhan yang sedang merenungnya sinis. Dia tidak menyangka Nurhan sekejam itu. Apabila menyentuh ayahnya yang selama itu bersusah-payah menjaga mereka, Hana kehilangan kata-kata. Dia tidak faham mengapa Nurhan sanggup membawa ayahnya ke dalam dunia dimensi Nurhan yang keji. 


Apa salah dia? sehingga Nurhan sanggup memusnahkan keluarganya yang kecil dan serba kekurangan itu. Tanpa disedari, air mata Hana berguguran menghiasi pipinya yang putih gebu.


"Kak, kakak dah kenapa?" tegur seorang suara dan menyebabkan Hana kembali ke alam yang nyata. Hana pantas menyapu mutiara matanya dengan tangan. Dia tak mahu Hani melihat dia bersedih, mahupun mengetahui perkara sebenar.



*****



"Adik dah balik ke? Maaflah kakak tak sedar," jawab Hana setelah kembali tenang.


Hani menatap wajah Hana yang kadangkala bersifat cry baby sebelum menggelengkan kepala. "Tak mengapa kak. Tapi kakak ada masalah ke? Share lah dengan adik, kakak."


Hana tersenyum lembut. Dia gembira akhirnya Hani kembali kepada adiknya yang sebenar. Periang dan suka mengambil berat. "Hana tak ada masalah adik tapi... Kakak ada berita baik. Kakak berjaya adik. Impian kakak tercapai," luah Hana dengan ceria.


Hani tersenyum lebar mendengar berita baik kakaknya. Dia sudah maklum, dari dulu Hana selalu mendapat keputusan yang cemerlang berbanding dia. Hani gembira menatap wajah ceria kakaknya yang berseri-seri. "Congratulation sister. I have a great gift for you," respon Hani seraya menghulurkan kotak hadiah yang cantik pada Hana. 


Tak membuang masa Hana menyambut gift box yang sederhana besar dan cantik. Dia agak terharu apabila Hani sanggup memberikan dia sebuah hadiah dari hasil gajinya bekerja. "Terima kasih adik. Adik dah susah-susah membeli hadiah untuk kakak. Kakak tak kisah pun..." luah Hana yang sempat berleter. 


"Saya tahu kakak. Sebab itu Hani taknak beli hadiah untuk kakak," jelas Hani seraya tersenyum kecil.


Hana terdiam mendengar jawapan bersahaja Hani sambil menatap wajahnya, sebelum pandangan Hana jatuh ke arah kotak hadiah yang bercorak pink love. Kalau bukan adiknya yang memberikan hadiah, siapakah empu badan pemilik hadiah itu?


"Hadiah ini dari siapa, Hani?" soal Hana dengan riak ragu-ragu. Dia tidak mungkin menerima hadiah itu yang tampak menarik dengan dihiasai pink ribbon.


"From your secret admirer, Hana. Maybe..." jawab Hani ringkas seraya meninggalkan Hana di ruang tamu. 

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Js