Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benar Aku Suka
Benar Aku Suka
Lily Js
7/3/2018 22:42:13
73,091
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17


Harith memandang anak gadisnya yang sedang menyapu dedaunan berguguran menggunakan lidi yang diperbuat daripada daun kelapa. Hana kian meningkat dewasa namun dia kurang mengetahui perihal kehidupan anak sulungnya. Dia hanya tersengih ketika Tuan Qasim bertanyakan status Hana yang sebenar. Harith tidak memahami mengapa bos selaku sahabat baiknya mempersoalkan status Hana.


"Rith, sudahlah bekerja tu. Duduklah dengan saya sini," ujar Tuan Qasim melihat kawannya bertungkus-lumus bekerja sedari tadi.


"Eh, sejak bila bos sampai? Saya tak sedarlah," sahut Harith yang tersentak lalu tersenyum girang. 


"Apa nak sedar Rith, awak itu setiap kali bekerja sentiasa rajin dan semangat. Hahh... yang awak pula panggil saya bos apa mimpi Rith? Segan saya tahu," jawab Tuan Qasim sambil tergelak kecil.


"Qasim, walaupun awak sahabat saya tapi awak juga bos saya. Sesuailah saya panggil awak bos," ujar Harith sambil tersengih. 


"Rith, tak usahlah rendah diri sangat. Awak dan parent awak sudah seperti keluarga kandung saya. Saya sangat terhutang budi dengan mereka. Saya juga belum tentu berjaya dan senang begini kalau bukan bantuan dan sokongan moral dari keluarga awak, Rith." Tuan Qasim meluah panjang lebar.


Harith tersenyum turut bersetuju dengan kata-kata sahabatnya yang sentiasa positive dan rendah hati. Tidak sesetangah hamba Tuhan yang seperti kacang lupakan kulit apabila sudah berjaya dan menjadi kaya-raya dalam hidup. 


Harith masih ingat kehidupan Qasim pada ketika dulu sangat daif dan menyedihkan. Kehidupan sahabatnya bukan sahaja miskin tapi turut kesepian. Ayah Qasim seorang kaki botol dan kaki pukul. Ibu Qasim sering menjadi mangsa sehingga di satu tahap, wanita malang itu menghidap penyakit jiwa yang melampau akibat kerap dibuli emosi mahupun tubuh fizikal. Tidak lama kemudian ayah Qasim meninggal dunia akibat jangkitan tb atau mycobacterium tuberculosis. Penyakit tb akan membawa maut sekiranya tidak dicegah dari awal serangan. Mungkin itu pengajaran kepada hamba Allah apabila cuba melupakan akan kebesaran-Nya. 


Ketika Qasim melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, orang tua Harith memberikan duit poket yang tidak seberapa. Harith tidak dapat melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi disebabkan pengetahuan IQ Harith lemah jika dibandingkan dengan Qasim yang genius dalam pelajaran walaupun mempunyai masalah broken home. 


Selepas berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan, Qasim ditawarkan bekerja di sebuah syarikat kerajaan yang berpengaruh. Sepanjang kejayaan dalam hidup, Qasim tidak berhenti mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana semua itu pemberian dari-Nya. Qasim juga tidak melupakan jasa kedua orang tua Harith yang banyak berjasa di sebalik kejayaan dia. 


Qasim pernah menawarkan untuk memberikan mereka sebuah rumah yang cukup selesa untuk didiami namun orang tua Harith menolak. Pada mereka asalkan Qasim tidak melupakan jasa mereka itu sudah cukup memadai. Pada masa lapang Qasim tidak segan untuk pulang ke rumah mereka yang tak seberapa walaupun sudah memiliki kehidupan yang lebih baik bersama dengan ibunya. 


"Rith, saya nak tanya tapi sebelum itu awak janganlah rasa tersinggung," ujar Tuan Qasim memecahkan ingatan Harith pada masa lalu.


"Apa pula saya tersinggung Qasim Kalau awak belum katakan. Cakaplah apa yang menggusarkan awak," ujar Harith tampak tidak sabar.


"Sebenarnya saya ingin tahu, Hana gadis single atau sudah punya teman lelaki?" soal Tuan Qasim terus ke pangkal isi.


Harith terlongo mendengar soalan sahabatnya seraya menggaru kepala yang tidak gatal. "Kenapa awak bertanyakan soalan ini, Qasim?" soalnya pula pelik.


Tuan Qasim tersenyum kecil melihat reaksi sahabatnya yang sudah di fahami. Dia yakin Harith juga tidak jelas dengan status sebenar Hana. 


"Rith, tak mengapa kalau awak juga kurang tahu. Saya sebenarnya hanya ingin tahu. Maklumlah anak remaja sekarang suka sangat berahsia tentang hal peribadi mereka walaupun dengan orang tua sendiri. Nurhan pula dia ingin tahu status sebenar Hana. Maaflah Rith... Awak juga tahu sikap anak bujang saya degil sikit," jelas Tuan Qasim panjang lebar dan sempat mengeluh. 


Harith mengangguk mengiyakan. "Sebenarnya saya kurang tahu tentang hal peribadi Hana. Tapi Hana berbeza dengan gadis lain. Hana seorang gadis yang menjaga batas pergaulan dengan lelaki. Hana juga tidak pernah memperkenalkan teman lelaki pada saya melainkan hanya teman biasa. Saya simpulkan Hana tidak mempunyai ikatan dengan mana-mana lelaki," jawab Harith dengan tenang. 


"Baik Rith. Saya percayakan awak. Saya berharap perjodohan antara Nurhan dan Hana tidak bermasalah dengan timbulnya masalah lain." 


Sekali lagi Harith mengangguk dan tersenyum pada Tuan Qasim yang menepuk bahunya lembut mungkin mahu menyenangkan. Dalam hati dia mahu membahaskan isu itu pada Hana. Sebagai ayah dia berhak mengetahui isi hati Hana yang paling terdalam.


*****


"Nak Hana... Duduklah dengan ayah sini. Sudah-sudahlah menyapu daun kering yang tidak pernah habis itu," ujar Harith tersenyum ramah, sekaligus menghentikan rutin harian Hana pada petang itu yang ringan tulang membersihkan halaman rumah. Kegiatan Hana agak mirip dengan arwah isteri tercinta Harith.


Hana membalas senyuman ayahnya. "Hana tak sukalah ayah tengok daun-daun mati ini. Menyemak aje kat pokok bunga yang arwah mama tanam," rungut Hana sambil mencebik bibirnya comel.


Harith tertawa melihat gelagat Hana yang kadangkala masih bersikap kebudak-budakan. Tidak dinafikan dia dan isterinya dulu sangat memanjakan Hana. Mereka menjaga Hana bagai menatang minyak yang penuh. Mungkin lumrah bagi setiap pasangan yang baru pertama kali bergelar ibu dan ayah. Sungguh, Harith sangat merindui Hana kecil yang manja dan degil. 


Melihat ayahnya tergelak riang membuat Hana bahagia. Sudah lama dia tidak melihat ayahnya seperti itu. Kehidupan mereka yang serba kekurangan agak membebankan ayahnya. Pemergian mama Hana yang mati muda memberi tamparan hebat pada Harith. Cinta dan kasih Harith pada arwah isterinya utuh. Sehingga kini ayahnya tidak berkahwin lagi, walaupun ada sahaja wanita yang mahu merisik Harith. 


"Kenapa ini ayah?" tanya Hana setelah ayahnya tidak tertawa lagi. Dia memandang lama wajah ayahnya yang turut merenungnya tenang seperti air sungai yang sedang mengalir tenang. 


"Hana... Maafkan ayah kerana selama ini ayah mengabaikan Hana dan Hani. Ayah lebihkan kerja sehingga..."


"Ayah... Ayah tak pernah mengabaikan kami berdua. Kami berdua senang. Kami bahagia mempunyai ayah yang prihatin dan bekerja keras demi menampung hidup kita sekeluarga, ayah," potong Hana lancar. Dia juga memegang tangan tua ayahnya yang sudah banyak berjasa.


"Terima kasih Hana kerana faham ayah. Jika mama Hana masih hidup dia pasti bahagia mempunyai anak yang baik seperti Hana," jawab Harith terharu.


"Arwah mama juga bangga dengan ayah kerana ayah tidak pernah gagal menjaga kami berdua. Terima kasih banyak ayah," jawab Hana tersenyum simpul. Selayaknya Hana yang patut berterima kasih pada ayahnya. 


Harith tersenyum lembut menatap wajah Hana. Wajah Hana agak seiras dengan arwah isterinya, hanya hidung mancung dan ketinggian Hana gen dari dia. Harith tidak pernah berhenti bersyukur kepada Allah kerana memiliki anak yang baik dan hormat pada orang tua. Hana, anugerah terindah dari Tuhan sama seperti Hani. 


"Hana, ayah sebenarnya nak bertanyakan sesuatu. Ini tentang hal peribadi Hana. Ayah harap Hana tidak keberatan berkongsi dengan ayah," ujar Harith akhirnya. 


"Boleh ayah. Ayah nak tahu apa?" tanya Hana ceria.


"Ayah cuma ingin tahu, Hana punya teman lelaki atau tidak?" soal Harith tersenyum kecil sambil menunggu jawapan jujur dari Hana.


"Err... Ayah, tentang itu, tentang itu... Hana tak..."


"Kakak, sampai bila kakak nak menyembunyikan dari ayah? Ayah juga berhak tahu kakak. Kakak janganlah terlalu egois nak berlagak seperti malaikat. Tolonglah kakak," potong Hani dengan sinis yang entah bila sampai di rumah.


Mendengar jerkahan sinis adiknya membuat Hana terpana dan hampir menitiskan air mata. Benar Kata Hani, sampai bila dia harus menyembunyikan dari ayahnya. Dia harus memberitahu perkara yang sebenar.


"Hani sudahlah... Sekarang naik ke atas rumah. Biar ayah dan Hana berbincang tentang hal ini," ujar Harith yang turut terkejut dengan kenyataan anak bongsunya. 


Hani tersenyum sinis mendengar arahan ayahnya seraya dia berlalu dari pondok kayu dimana Hana dan ayahnya berbincang. Dia tersenyum jahat melihat reaksi kakaknya yang tampak menyedihkan.


"Hana, boleh jelaskan apa yang Hani katakan? Ayah tidak faham," soal Harith masih tenang.


"Ayah... Hana nak minta maaf pada ayah. Selama ini... Selama ini saya telah menipu ayah," ujar Hana. Lirih dan tanpa dipinta air matanya berguguran membasihi pipinya yang lembut bak kulit bayi.


Melihat anak gadisnya mengalirkan air mata jernih membuat Harith sakit hati. Dia tersedar selama ini dia seorang ayah yang lalai. Dia tidak mengambil berat tentang perihal Hana yang semakin dewasa. Sudah tentu Hana memiliki pilihan hati. Sebagai ayah dia harus beralah dengan kemahuan anaknya kerana itu lebih penting daripada cuba menjodohkan Hana dengan lelaki lain.


"Hana ada kekasih?" jawab Harith mahu memastikan tangisan Hana yang bagaikan tidak mahu berhenti.


Hana hanya menganggukkan Kepala sambil cuba meredakan tangisan yang tidak ubah seperti budak kecil.


"Kalau begitu, kenapa Hana tidak ceritakan pada ayah. Ayah tidak mungkin mendesak Hana untuk berkahwin dengan anak lelaki sahabat ayah." Harith menegur Hana dengan lembut walaupun dia agak kecewa dengan sikap Hana yang suka memendam perasaan. 


"Maaf ayah, maaf sangat... Hana tidak bermaksud menyembunyikan dari ayah tapi Hana terpaksa ayah. Hana tidak yakin jika ayah setuju dengan pilihan hati Hana." Hana menjawab masih tersendu-sendu.


"Apa maksud Hana?" soal Harith agak bingung. Dia sebenarnya tidak mahu memanjangkan perbincangan namun kenyataan Hana membuat Harith tertanya-tanya.


"Teman lelaki Hana lebih muda dari Hana, ayah."


"A... Apa Hana cakap?" soal Harith walaupun suara Hana cukup jelas di pendengaran. Pendek kata, dia sebenarnya terkejut dengan pengakuan Hana. Dia tidak percaya anaknya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki muda.


"Teman lelaki Hana, Adam. Dia lelaki muda tapi dia lelaki matang dan dia sangat sayangkan Hana. Hana juga sangat sayangkan dia ayah," jelas Hana lagi yang lahir dari jiwa yang paling dalam.


Harith mengeluh berat memandang Hana. Cinta Hana luar biasa tetapi berkasih dan mendirikan rumah tangga dengan pemuda yang lebih muda dari Hana itu terlalu mustahil. Mahu tidak mahu dia harus menolak lelaki muda itu dari terus bersama dengan Hana. Hana perlu menerima Nurhan. Nurhan lebih sesuai dengan umur Hana. Nurhan sudah bekerjaya, lelaki itu pula masih bersekolah.


"Hana, ayah nak Hana putus dengan lelaki muda itu. Ayah tidak setuju Hana menjalinkan hubungan dengan dia. Dia masih budak mentah Hana, sedarlah. Mulai sekarang Hana kena berhubung dengan Nurhan, Hana faham?" ujar Harith dengan nada tegas.


Hana terpana merenung ayahnya. Berpisah dengan Adam itu terlalu berat pada Hana. Adam sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Mengapa ayahnya tidak mengerti kemahuan hatinya? 


"Ayah, Hana tak mahu putus. Hana mahu Adam, ayah. Bukan Nurhan. Bukan dengan lelaki sombong itu," ujar Hana cuba membantah. Mutiara matanya kembali berguguran yang mula membengkak dan kemerahan. 


"Hana, ini keputusan muktamad ayah. Hana tidak boleh membantah. Lagipun di mana masa depan Hana apabila bersama dengan lelaki muda itu? Atau Hana mahu, Hana dan lelaki itu meminta nafkah dari orang tuanya? Hana nak ke hidup seperti itu?" 


Mendengar soalan bertubi-tubi ayahnya membuat Hana terdiam sepi. Sesungguhnya yang dia mahukan hanyalah cinta. Cinta sejati dari seorang lelaki yang benar-benar mencintai dia.




Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Js