Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
203,445
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

Qarina mengetap bibirnya, dia tidak berupaya untuk menolak perkahwinannya ini setelah Alina merayu padanya. Mungkin juga ini jalan terbaik untuk dia keluar dari kepompong ayahnya sendiri. Dia mengesat air matanya. Menangis air mata darah pun tiada gunanya. Sebentar lagi dia akan ke rumah Fareez yang kini sudah bergelar suami. Kenapa kejam sangat kisah hidupnya. Dari kecil dia selalu dimusuhi oleh ayahnya sendiri. Ada sahaja salahnya. Hingga dia membawa diri. Usia 13 tahun dia sudah berjauhan dari keluarga. Dia memang tidak serasi dengan ayahnya. Itu kata emak, tapi malam semalam membuktikan segala-galanya. Ayahnya terus mengherdik, terus tetap tidak mahu menerima salahnya. Yang paling dia tidak tahan apabila ayahnya turut sangsi kepada kehormatannya. Perasaan benci pada ayahnya mula memakan hatinya sendiri.

Selesai upacara akad nikah yang hanya dihadiri oleh abang dan ayahnya serta Hussain dan Fatimah dia kini sah bergelar isteri. Isteri kepada mamat poyo. Ayahnya terus pulang ke rumah, langsung tidak hiraukan dia. Dia hanya mampu melihat langkah ayahnya.

“Fareez, makcik dan pakcik. Maafkan saya dan keluarga saya,” Zahid bersuara.

“Tak apa lah Zahid. Nak buat macam mana dah nasib Si Fareez dapat bapa mertua macam tu,” sindir Fatimah. Walaupun berat hatinya untuk mengizinkan Fareez berkahwin dengan Qarina namun dia terpaksa menurut. Cuma yang menjadi masalah sekarang ini bagaimana hendak dia memberitahu keluarganya, memberitahu kepada kawan-kawannya tentang perkahwinan anak bongsunya itu.

“Zahid, kenapa abah benci aku? Sejak dari kecil abah tak pernah layan aku dengan baik. Tak macam abah layan Ilah dengan Fina. Aku anak angkat dia ke?” luluh hati Qarina sewaktu meluahkan kata-kata itu.

“Kau jangan cakap macam tu Qina. Abah sayangkan anak-anak dia. Nak salahkan dia pun tak boleh, dia tak macam kita. Fikiran dia masih lagi kekampungan. Kau pun salah juga, kalau selalu ingkar dengan kata-kata dia. Kau tak tahu dia selalu risaukan kau. Kau aje yang tak faham, tak pernah untuk cuba faham abah. Kita ini anak, salah ke betul ke kita tetap anak dia. Kau jangan lupa tu Qina. Marah dia, sayang dia tak sama dengan orang lain. Tapi dia berkorban macam-macam untuk kita. Kau harapan dia, tapi tak endahkan dia. Pernah kau telefon bertanya khabar? Pernah kau tunggu dia balik dari ladang sebelum kau pulang ke asrama? Tak pernah Qina. Kau jangan lupa, dia larang kau duduk asrama tapi kau sendiri yang pergi. Kau yang jarakkan diri kau dengan dia. Segala keputusan kau buat sendiri tanpa kau fikir hati dan perasaan dia. Lepas ni kau balik lah ke rumah, jaga hati dia. Dia dah tua Qina. Entah esok atau lusa ALLAH akan menjemput dia. Ingat pesan aku, cukuplah buat dia marah,” panjang lebar kata-kata dari Zahid buat adiknya.

“Saya balik dulu pakcik, makcik. Fareez kau jaga Qina elok-elok. Nanti bila marah abah dah reda, bawalah Qina pulang ke sini. Kesian pada mak.”

Qarina hanya melihat langkah abangnya. Entah bagaimana hendak dia tempuhi hari-hari yang mendatang. Apatah lagi kini dia bergelar isteri kepada Fareez. Perkara yang langsung tidak di duga olehnya. Ini bermakna dia semakin dekat dengan Iqram.

Kereta yang dipandu Fareez meluncur laju meninggalkan Pahang dan mula memasuki lebuh raya persekutuan. Fatimah sudah mahu bercakap dengan Qarina. Hussain sesekali menyampuk sepatah kata dua untuk memujuk menantunya. Qarina kadang-kadang tersenyum sedih sekadar hendak menunjukkan reaksi positif di atas kata-kata nasihat dari Fatimah dan Hussain.

“Masuklah dulu Qarina,” Fatimah mengajak menantunya. Puas dia memikirkan bagaimana hendak memberitahu anak-anaknya tentang perkahwinan segera Fareez. Qarina mengikut langkah mertuanya.

“Mandilah dulu Qarina. Bilik Fareez di hujung sana.”

“Saya rasa lebih baik saya ke bilik tamu sahaja pakcik,” jawab Qarina. Serba tidak kena dia.

“Kalau dah itu kata Qarina, tak apalah. Fareez tunjukkan bilik tamu untuk Qarina. Papa dengan mama nak masuk bilik dulu.”

“Pakcik saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga ini. Saya akan fikirkan jalan lain untuk selesaikan masalah ni.”

“Qarina, macam ini lah. Qarina mandi, dalam bilik tu rasanya ada telekong. Solat dulu. Minta petunjuk dari DIA. Ini semua aturan alam, sudah ditentukan sejak dari azali. Kita terina dengan redha. Itu jalan yang sebaiknya,” kata-kata terakhir Qarina sebelum Hussain meninggalkannya.

“Qarina,” panggil Fareez dengan lembut. Qarina masih tidak mengangkat mukanya. Terus sahaja dia merenung lantai marmar yang berwarna putih berbintik hitam.

“Dalam almari ni, sudah ada tuala dan telekong. Kiblat mengadap sebelah sana.” Qarina terus menundukkan kepalanya. Fareez keluar dari kamar itu, pintu di tutup perlahan. Mungkin Qarina mahu menyendiri.

“Macam mana ni bang? Macam mana saya nak beritahu pada Ika dan Hanim? Pada saudara mara kita? Pada kawan-kawan saya. Ya ALLAH dah tua-tua macam ni, masih ada lagi dugaan yang perlu kita tempuh,” Fatimah merungut.

“Cikgu Timah, kita jangan fikir macam tu. Ini semua ketentuan. Kita buat kenduri kahwin, buat kecil-kecil sahaja. Itu yang afdal. Sekadar memberitahu yang Fareez sudah pun berkahwin.”

“Awak cakap senang lah. Awak tahu tak, itulah satu-satunya anak lelaki kita. Saya bukan tak suka pada Qarina, malah memang saya berhajat nak jadikan dia menantu rumah ini. Lembut dan baik orangnya. Tapi bukan begini caranya. Cara ini seolah-olah anak kita dah buat jahat padanya. Macam kena paksa kahwin.”

Hussain merengus perlahan. Benar juga dengan apa yang dikatakan oleh isterinya. Perkahwinan yang tergesa-gesa seperti macam sedang menyembunyikan sesuatu. Sesutu yang buruk yang telah dilakukan oleh anaknya. Mereka semua tidak tahu, perkahwinan ini adalah untuk menyelamatkan Qarina dari terus dihina dan diherdik oleh ayahnya sendiri. Tambahan pula memang salah keluarganya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Kamal memang keterlaluan. Mungkin benar kata-kata Alina, Kamal sebenarnya marah pada Qarina kerana menolak pinangan dari anak saudaranya. Kebetulan pula ada Fareez, maka Fareez dikatakan penyebabnya. Yang Si Fareez pun satu, sanggup dia menipu keluarganya sendiri. Nak sangat menipu, sudahnya memang dia terus terikat dengan Qarina. Dalam ikatan yang sah.

“Apa yang ada malam ni? Awak nak masak ke? Atau nak beli lauk aje. Kalau nak beli bungkus, saya nak telefon Cik Limah. Minta dia bungkuskan nasi, nanti saya terus pergi ambil.”

“Ikut suka awaklah, hilang selera saya nak makan. Ada lagi rupanya lelaki seperti ayah Qarina tu. Kolot,” ujar Fatimah lagi.

“Kita tak boleh salahkan dia Cikgu Timah. Pertama sebagai ayah, kita patut minta kebenaran dia.”

“Betul, tapi tak kan lah sampai nak membunuh anak sendiri. Sekurang-kurangnya hormatlah kita sebagai tetamu. Nasib baik Fareez tu nak juga dia terima Qarina. Kalau lelaki lain, dengan sikap ayahnya begitu. Kirim salam sahaja lah,” sambung Fatimah lagi.

“Entahlah, mungkin dia memang macam tu. Panas baran orangnya, mungkin Qarina ni jenis yang suka menjawab, suka membantah.”

“Kalau saya dapat bapak macam tu, saya akan bantah juga. Tak kan nak diamkan sahaja. Kalau kecil lagi tak apa lah juga. Ini dah besar panjang. Macam manalah isteri dia tanggung semua ini.”

“Awak tu patutnya bersyukur Cikgu Timah, dapat suami saya ni. Kerja rumah saya tolong, sampai naik tocang awak,” sempat lagi Hussain menyindir isterinya.

Usai makan malam, semuanya berkumpul di ruang hadapan. Ada perkara yang ingin disampaikan oleh Hussain. Lauk-pauk hanya sedikit sahaja yang luak, masing-masing sudah kehilangan selera untuk menikmati makan malam. Walhal lauk yang di hadapan mata memang menyelerakan, aroma tomyam yang masam-masam pedas boleh membangkitkan selera. Malangnya selera penghuni di rumah itu rata-rata telah mati.

“Fareez, Qarina. Papa nak tanya jawab betul-betul. Kamu berdua ini ikhlas ke mendirikan rumah tangga. Jawab dengan jujur.”

“Papa, saya ikhlas mengambil Qarina sebagai isteri saya. Saya pilih dia sebab saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Semuanya salah saya. Saya minta maaf pada mama dan papa kerana membohongi papa dan mama. Kami memang tidak bercinta. Saya hanya minta tolong dari Qarina agar berpura-pura menjadi kekasih saya. Pertama sebab saya tidak bersedia lagi untuk berkahwin. Dah banyak kali saya terangkan pada mama, tapi mama terus mendesak saya. Ada sahaja anak kawan mama, yang mama hendak kenalkan pada saya. Dan yang ke dua saya tidak sanggup tengok keadaan Qarina. Saya kenal dia sebagai seorang ceria, tabah tetapi malam tu dia lemah, longlai,” Fareez menjawab dengan lembut tetapi tegas.

“Qarina?”

“Saya minta maaf, saya masih lagi tidak dapat menerima perkahwinan ini. Ia berlaku tanpa saya duga. Saya tak pernah impikan semua ini. Ini bagai mimpi. Yang saya tahu, saya terpaksa melakukannya kerana sudah tidak tahan dengan abah. Kerana emak saya terus merayu saya. Selama ini saya sentiasa lari dari dia. Semuan ini berpunca dari saya. Saya yang terlebih dahulu meminta Fareez untuk berlakon sebagai kekasih saya. Semuanya kerana Iqram, saya mahu dia rasa apa yang saya pernah rasa sewaktu dia pergi dulu. Saya fikir dengan mengenalkan Fareez sebagai bakal tunang saya, saya dapat buktikan yang selama ini saya bahagia tanpa dia. Saya betul-betul tidak tahu yang Fareez adalah sepupu kepada Iqram. Setelah Balqis memberitahu pada makcik, kami sudah tidak boleh berpatah balik. Saya tidak mahu Iqram tahu yang saya masih sendiri, masih ingat padanya. Masih lagi sayang pada dia. Saya tak nak dia tahu, saya tak nak Balqis tahu,” Qarina menangis.

“Jadi Qarina masih sayangkan Iqram?” tanya Fatimah.

“Saya tak boleh jawab. Saya sendiri sudah tak tahu jawabnya.”

“Apa yang akan berlaku selepas ini? Tiada kasih antara kamu. Tiada cinta antara kamu. Bagaimana hendak melayarkan bahtera kalau nahkoda hanya berpegang pada simpati, bila pengemudi masih ingat jalan yang lain. Apa penyelesaiannya?” tanya Hussain.

“Redha. Qarina kerana redha, kena terima takdir ini. Qarina, mama suka pada Qarina. Memang mama perlukan seorang menantu seperti Qarina. Tetapi mama tak pernah terfikir anak mama akan melangsungkan perkahwinan sebegini. Mama impikan pelamin yang indah, tetamu yang datang. Nampaknya hasrat mama tak kesampaian. Tapi kita kena redha. Cinta boleh datang selepas kahwin. Lagi manis. Mama mahu Qarina lupakan apa yang berlaku. Tempuhi hidup baru, cuba cari cinta yang ada antara Qarina dan Fareez.”

Qarina menarik nafas yang panjang, redhakah dia dengan semua ini. Dengan Fareez? Lelaki yang lebih muda darinya. Lelaki yang selalu memanggilnya kakak. Yang paling utama lelaki ini adalah sepupu kepada Iqram, lelaki yang paling dicintainya. Qarina menekup mukanya dengan telapak tangan, dia menangis. Kalau diiukutkan hati ingin dia meraung sekuat hatinya.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.