Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
204,172
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

“Selalu ke kau datang ke sini?” tanya Balqis kepada Qarina.

Qarina melihat ke arah Fareez. Itulah pandai sangat menipu, silap-silap hari bulan boleh terkantoi.

“Tak juga, selalunya kami akan makan nasi kandar. Tak pun makan kat Padang Kota Lama. Jarang-jarang kami ke sini,” Fareez menjadi wakil kepada Qarina menjawab soalan dari Balqis.

“Banyak juga pilihan stimboat kat sini ek,” baru kedengaran suara Iqram.

“Bolehlah tahan. Qarina suka lah makan ketam ni,” Fareez memulakan rancangannya. Dia mengambil isi ketam yang telah direnehkan di dalam sup lalu di letakkan di pinggan Qarina. Qarina menjengilkan matanya ke arah Fareez. Fareez berpura-pura tidak perasan.

“Iya ke? Sejak bila pula Qarina suka makan ketam? Bukan dia alahan pada ketam ke?” Iqram bertanya. Dia masih ingat, Qarina memang alah pada ketam. Kalau sotong dan udang memang dia juara, tetapi kalau melibatkan ketam dan durian. Memang awal-awal lagi dia akan menolak. Kulitnya tidak tahan dengan ketam dan dia memang tidak tahan dengan bau durian.

“Er, iya ke? Dia tak cakap pun,” Fareez melihat ke arah Qarina. Wajah Balqis terus berubah. Secara terang-terangan suaminya ini menunjukkan sikap prihatinya terhadap Qarina.

“Itu dulu, sekarang ni saya paling suka makan ketam,” dalih Qarina. Tangannya dengan segera mengambil ketam yang diberikan oleh Fareez sebentar tadi. Dengan berhati-hati dan dengan perasaan yang geram dia menyuapkan isi ketam itu ke dalam mulutnya. Di kunyahnya isi ketam itu dengan perlahan-lahan dengan harapan agar dia tidak mendapat alahan seperti selalu. Dia sememangnya masih lagi alah dengan ketam. Iqram merenungnya, aduh renungan dari Iqram benar-benar menyeksakan jiwa Qarina. Saat dia melihat renungan dari Iqram, dia sedar kasihnya pada lelaki itu masih menebal.

“Kan dah cakap dia suka makan ketam, sekarang ni,” sampuk Fareez. Lega rasanya melihat Qarina mengunyah isi ketam itu, kalau tidak mahu bocor jugalah rahsia mereka.

“Awak ni, Qarina sekarang bukan macam Qarina yang dulu. Kalau dia alahan pun, Fareez kan ada. Tahulah Fareez jaga buah hati dia,” kata Balqis. Kalau diikutkan hatinya pasti disumpah seranahnya Iqram.

“Ingat tak dulu, masa tu kita tak tahu pun Qarina ni alah pada ketam, jadi kami buat BBQ kat tepi pantai, maklumlah sekolah kami kat area Terengganu. Kami paksa dia makan, mulanya dia tak nak, lepas tu bila Iqram yang suruh dia makan, dia pun makan lah. Kesian dia, bangun pagi bengkak bibirnya. Macam bibir negro. Punyalah tebal,” cerita Balqis. Bersungguh-sungguh dia bercerita. Iqram turut tersenyum. Masih dia ingat, kerana peristiwa itu Qarina merajuk dengannya. Puas dia meminta maaf, tetapi Qarina berkata selagi bengkak bibirnya tidak hilang selagi itu lah dia tidak akan maafkan Iqram. Mujur juga dua hari kemudian, bengkak di bibir Qarina mula mengecut dan terus hilang. Sejak dari itu dia tidak lagi membenarkan Qarina menyentuh ketam. Kalau ada isi ketam di dalam hidangan, pasti dia akan mengasingkannya.

“Iya ke?” Fareez melihat ke arah Qarina yang sudah kemerahan mukanya. Mungkin malu kerana rahsianya sudah terbongkar.

“Apa tengok-tengok? Itu dulu lah sekarang ni mana ada. Tengok ni, saya makan. Tak ada bengkak pun kan?” kata Qarina kepada Fareez.

“Dulu ada yang lain. Sekarang ni kan Fareez di hati Qarina. Mana ada alahan lagi, kan? Pandai Fareez, hilang alahan Qarina,” Balqis memuji, pujian untuk menyakitkan hati suaminya.

“Jom, teman saya pergi ambil cendawan tu, sedapnya tengok dia tu makan,” Qarina meminta Fareez mengikutnya.

“Hish, dia memang tak boleh nak berenggang langsung. Nak makan ni, nanti terlebih masak pula,” Fareez memberikan alasan. Padahal dia tahu, pasti Qarina akan memarahinya kerana sikapnya yang terlebih romantis pada malam ini.

“Kalau Qarina nak, jom lah. Kebetulan saya pun nak tambah hot dog dengan sayur ni,” Iqram menawarkan dirinya untuk menjadi peneman Qarina.

“Er, tak pa lah,” Qarina menolak. Serba-salah dia dibuatnya, tambahan pula Balqis ada di hadapan matanya.

“Tak apa lah, pergilah Qarina. Macam tak biasa pulak Iqram temankan. Dulu ke mana-mana sahaja Iqram yang temankan. Takut Fareez marah ke?” Balqis menyokong.

“Lah, tak marah lah. Pergi dengan Iqram. Abang tunggu Qarina kat sini. Ambil kan lagi isi ketam untuk abang ye,” Fareez berkata sambil dengan sengaja dia mengeyitkan mata kepada Qarina. Mujurlah Qarina masih lagi dapat menahan perasaannya. Fareez ini memang sudah terlebih aksi malam ini.

“Abang nak isi ketam aje? Isi biawak tak nak ke?” Qarina bertanya.

“He, he, he, Qarina memang macam ni, lawak dia tahap dinasor,” Fareez sudah dapat menangkap intonasi marah di dalam kata-kata Qarina. Qarina bangun, dia terus berjalan. Iqram mengikutnya dari belakang.

“Macam mana kau boleh kenal dengan Qarina? Lama dah kenal dia?” Balqis mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepada Fareez.

“Lama lah jugak, dah nak masuk tiga tahun,” jawab Fareez. Tipu lagi.

“Iya ke? Mak Lang cakap kau baru aje kenal dia.”

“Mama tak tahu, saja aku tak cakap kat mama. Tahu aje lah mama tu, emosi lebih. Aku kerja kat sini pun sebab nak dekat dengan dia, mana tahu kalau-kalau hati dia sangkut pada yang lain. Tapi macam mana korang boleh kenal Qarina?” kali ini Fareez pula ingin mengorek rahsia antara mereka bertiga.

“Qarina tak cerita?” Fareez mengelengkan kepalanya. Mulutnya laju sahaja mengunyah makanan yang ada di hadapan mata.

“Betul ke? Tak kan dia tak beritahu siapa Iqram? Siapa aku?”

“Dia cakap kawan masa sekolah.”

“Habis tu tanya apa lagi? Memang kami teman sekolah dia. Kau serius ke dengan dia?”

“Kenapa kau cakap macam tu?”

“Iyalah, Kau tak tahu sejarah lama dia. Iqram tu makan hati dengan dia tau. Aku malaslah nak cerita keburukan orang. Tapi kau kenal dulu dia macam mana. Cukuplah aku cakap, Iqram tinggalkan dia sebab sikap dia yang tidak setia. Aku tak nak kau nanti kecewa dengan dia, lagi pun rasanya dia tak sesuai masuk dalam keluarga kita,” Balqis memasukkan jarumnya, kalau boleh dia mahu singkirkan terus Qarina. Kalau dulu dia boleh menyingkirkan Qarina di hati Iqram, kali ini dia pasti boleh melakukannya. Dengan reaksi Iqram, dia tahu Qarina adalah ancamannya. Sejak dari dulu lagi memang Qarina sentiasa menjadi ancamannya.

“Maksud kau Qarina pernah berkasih dengan Iqram?” sengaja Fareez bertanya.

“Dia tak beritahu kau siapa Iqram?” Fareez mengelengkan kepalanya.

“Dia sengaja tak cerita kot, bimbang terbongkar kisah dia lah tu,” tuduh Balqis.

“Fareez, aku malas nak cerita keburukan orang. Tapi dia tak sesuai buat kau. Lagipun dia tu sama umur dengan kami tau. Kau muda lagi, banyak lagi perempuan yang kat luar sana. Setakat nak berkawan bolehlah Fareez, tapi jangan lah sampai nak buat orang rumah,” sambung Balqis lagi.

Fareez mendiamkan diri, bagaikan tidak percaya dengan apa yang di katakan oleh Balqis kepadanya.

“Sihat?” tanya Iqram, dari tadi dia ingin bertanya sendiri kepada Qarina. Dia tidak berkesempatan untuk menegur Qarina, sentiasa ada Fareez dan Balqis antara mereka. Ketika Qarina meminta Fareez menemaninya dan Fareez mengelak maka dia mengambil kesempatan ini.

“Sihat. Awak?” jawab Qarina. Gundah hatinya bila berdua-duaan dengan Iqram.

“Sihat. Lama kita tak jumpa kan?”

Qarina sekadar menganggukkan kepalanya. Dia benar-benar kehilangan kata-kata.

“Dah lama kenal Fareez?” soal Iqram.

“Rasanya saya tak perlu jawab soalan itu, Iqram.”

“Qarina, saya tak pernah lupakan kisah kita. Awak sentiasa di hati saya,” Iqram berterus-terang. Dia mahu Qarina tahu hati dan perasaannya. Qarina tersenyum sinis.

“Habis tu siapa Balqis di hati awak? Cukuplah Iqram, kisah kita dah lama berakhir. Saya dah lupakan semuanya.”

“Kalau boleh diundurkan masa yang lalu, saya akan pastikan awak milik saya. Saya sedar saya perlukan awak Qarina.”

“Masa awak dah lama berlalu Iqram, dah terlalu lama. Kalau boleh diundurkan masa yang lalu, saya akan pastikan yang cinta saya bukan milik awak,” kata Qarina, dia melihat tepat ke wajah Iqram. Wajah itu semakin matang, mungkin dek kerana pertambahan usianya. Bertambah kacak di matanya. Qarina pasti semakin lama dia bersama dengan Iqram, semakin dia hanyut di dalam perasaanya. Mata bertentang mata, ada air mata di tubir mata Qarina yang ditahannya.

“Awak tak pernah lupakan saya kan?” tanya Iqram, dari sinar mata Qarina dia tahu selama ini mereka saling merindui, saling berharap agar hubungan itu kembali terjalin. Kalau Qarina mahu hari ini juga dia akan membuat keputusan. Keputusan yang tepat, bukan kerana hasutan dan nafsunya. Qarina kalah, renungan Iqram mampu membuatkan dia lumpuh. Dengan segera dia berlalu.

“Lamanya ambil cendawan. Kutip kat hutan ke?” seloroh Fareez.

Qarina hanya tersenyum. Namun jelas riak muram di wajahnya. Kemudian Iqram tiba dengan piring yang kosong.

“Mana hotdognya?” tanya Balqis.

“Habis,” jawab Iqram. Matanya tetap menjeling ke arah Qarina yang sudah serba tidak kena duduknya. Balqis sudah dapat mengagak apa yang berlaku antara Qarina dan Iqram. Dia tidak boleh membiarkan Qarina hadir di antara mereka. Bukan dengan Iqram mahupun Fareez.

“Lepas ni kita nak ke mana?” Fareez bertanya.

“Balik,” Qarina menjawab dengan pantas.

“Awal lagi lah, kita lepak di tepi pantai nak, kita ke Batu Feringgi. Bukan jauh sangat pun,” Fareez memberikan cadangannya. Qarina mengutil paha Fareez. Kenapalah dia ni suka sangat buat cadangan yang menyakitkan hati.

“Aduh, sakitnya,” Fareez menjerit perlahan sambil tangannya mengosok paha yang dicubit Qarina.

“Kenapa?” tegur Iqram.

“Semut gigit,” jawab Fareez. Dia menjengil ke arah Qarina. Qarina ketawa kecil. Iqram memandang dengan perasaan yang jengkel.

Mereka berempat segera menghabiskan hidangan masing-masing. Kadang-kadang kedegaran gelak tawa dari dari Fareez dan Balqis. Iqram dan Qarina pula di buai oleh kenangan lama.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.