Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
216,308
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 21
BAB 21

Puas hati Arish. Berbaloi pencariannya kali ini. Cik Vios dapat semula ke tangannya. Cuma duit sewa rumah dah selamat di sedekahkan oleh Husni pada Ah Long Cheras. Kasihan pula Arish mendengar kisah Husni. Dia terpaksa meminjam dari Ah Long Cheras tempohari bagi membiayai bil perubatan ibunya yang terlantar di hospital. Namun dia gagal melangsaikan hutang tersebut dalam masa yang di tetapkan. Sudahnya duit sewa rumah mereka yang jadi galang gantinya.

Arish lega. Mujurlah Husni tidak menyedekahkan sekali Cik Vios pada Ah Long Cheras. Kalau tidak mahu juga dia meroyan tiga hari tiga malam. Kini bolehlah dia pulang semula ke Kuala Lumpur dengan hati yang senang. Namun terselit sedikit kegusaran di jiwa. Mel yang berseorangan dalam kembara memburu cinta. Untuk turut serta, rasa tidak upaya. Untuk menghalang, PA nya itu tampak bersungguh-sungguh untuk meneruskan misinya.

“Awak ikut saya balik KL ajelah. Tak payahlah kejarkan si Rizal tu. Kalau dia betul-betul cintakan awak, dia akan kembali semula ke pangkuan awak. Saya tak ada hati nak biarkan awak pergi sana seorang diri. Bahaya tu. Awak ikut saya balik, ya?” pelawa Arish bersungguh.

Kepala di geleng. Walaupun sebenarnya pujukan Arish sedikit berbekas di jiwa Mel. Jauh di sudut hati pendirian sudah mula gentar. Langkah kaki semakin goyah. Perjalanan yang bakal di tempuhi belum tentu menjanjikan pengakhiran yang indah. Namun malu menjerut rasa. Segan menghinggap minda.

“Tuan jangan risau. Insya-Allah pandailah saya jaga diri saya. Tuan tu, bawa kereta elok-elok. Jangan nak memecut kat jalan raya pula.”

Arish mencebik. “Orang dah tak sudi nak buat macam mana, kan? Takpelah. Kita balik sorang-soranglah jawabnya. Ingatkan adalah orang nak temankan kita balik.”

Mel senyum senget. Bukan setakat senyum, hatinya pun dah senget-benget ni. Kaki macam dah di tarik-tarik untuk turut serta. Namun hati terikat kuat pada misi asal. Misi memburu suami. Pelawaan Arish terpaksa di tolak buat masa ini.

“Sorilah, tuan. Bukan saya tak nak ikut tapi saya ada misi yang harus di selesaikan. Harap tuan tak kecil hati.”

“Oklah, kalau awak dah cakap macam tu saya tak boleh nak kata apalah. Saya gerak dulu. Jumpa lagi.”

Enjin kereta di hidupkan. Sejurus selepas itu Cik Vios menderum laju membelah keheningan malam. Entah kenapa hati Mel rasa di carik-carik. Terasa kekosongan mula mengisi dada tatkala Arish berlalu pergi di hadapannya. Erkk?! Takkanlah si mamat cengcong ni dah mula menapak dalam hati?

“Jangan nak macam-macam, Mel. Fokus. Fokus pada misi kau,” getus Mel dalam hati. Tekad segera di pasang supaya matlamat tidak tersasar lagi. Kaki terus di tala ke arah bas.

Kelibat bas yang mula bergerak meninggalkan parkir hampir sahaja menyentak jiwa Mel. Arghh, tidak!!! Masak dia kali ini. Pecutan larian sepantas Watson Nyambek sudah mula terkilas di kaki. Kelajuan larian mula meningkat dua kali ganda. Bas itu harus di naikinya. Itulah satu-satunya peluang terakhir baginya untuk ketemu semula dengan Rizal. Jika gagal, maka hancurlah harapannya.

KEDEBAM!!!

Mel jatuh tersungkur. Dada terasa senak. Perit bahu memanggung kesakitan. Baru sahaja dia mahu bangkit apabila secara tidak sengaja matanya tertancap pada sepucuk pistol yang terdampar di hujung kakinya. Belum sempat pistol tersebut di capai, lelaki bertubuh sasa di hadapannya pantas menyambar pistol tersebut.

“Kau ni penyangak, ya? Siap ada pistol bagai. Aku nak report kat polis!” acum Mel. Dia bingkas bangkit. Namun lengannya sudah menjadi sasaran genggaman lelaki bertubuh sasa itu sebelum sempat dia melarikan diri.

“Kau jangan berani-berani nak report polis, ya? Nahas kau aku kerjakan nanti!” ugut Togo. Muncung pistol sudah di tuju ke kepala Mel.

Mel meronta-ronta. “Sakitlah! Lepaskan aku, penyangak tarbus! Aku jerit nanti baru kau tahu!”

PAP!!!

Sebuah hentakan sudah cukup membuatkan kepalanya memberat. Alam kian kelam. Tubuh Mel yang terjelepuk jatuh cepat-cepat di sambar Togo.

“Bawa masuk dia dalam kereta. Cepat!” arah Robo. Togo akur. Pantas tubuh Mel di cempung ke kereta.

Alunan lagu yang berkumandang di radio gagal memikat halwa telinga. Fikiran Arish tidak berhenti-henti memikirkan Mel. Simpatinya mula membuak-buak. Tidak ada kurangnya Mel. Selain dari lembab, bendul dan blur tahap gaban, selebihnya PA nya itu seorang yang naif, jujur dan baik hati. Mungkin wajah Mel tidaklah sejelita Maya Karin atau secomel Lisa Surihani tapi sepasang mata biru kecoklatan miliknya bisa sahaja meregut ketenangan mana-mana jejaka.

Cik Vios milik Arish terus sahaja membelok ke arah persimpangan Senawang di sebelah kiri. Perut yang rancak berdendang irama dondang sayang perlu di isi. Memang niat di hati Arish mahu mengalas perut di RnR Seremban tadi namun rajuk di hati Mel membuatkan seleranya mati. Cadangnya ingin berhenti minum sebentar di pekan Senawang ini sebelum berpatah balik ke Kuala Lumpur. Teringin pula tekaknya pekena barang secangkir dua teh tarik mamak.

Matanya meliar, menerawang ke sekeliling. Azamnya kedai mamak pertama yang muncul di mata akan di terjahnya. Namun kelibat sebiji kereta Toyota Corolla biru yang tersadai di gigi jalan menerpa di mata. Curiga segera bertandang di hati. Terus Arish memberhentikan Cik Vios di belakang Toyota Corolla tersebut. Langkahnya di tala menuju ke bahagian hadapan kereta tersebut. Kelibat seorang lelaki yang sangat mesra di pandangan hampir sahaja menyentak dadanya. Biar betul?! Si malaun ni???

“Aha, kau kat sini rupanya! Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga kau kat tangan aku. Mana kau nak lari, hah?”

Arish pantas menerpa. Togo terpana. Gentar mula menyapa. Namun akal tidak secetek di jangka. Secepat kilat Togo menepis. Tubuh Arish terdorong ke belakang.

“Hei polis bodoh! Kau ingat aku ni anak tupai ke apa? Kalau kau power sangat tangkaplah aku. Tapi langkah mayat aku dululah!”

Merah padam wajah Arish. “Tak guna punya penyangak! Nah, ambik ni!”

Tumbukan padu Arish kali ini tidak tersasar. Tepat mengena ke pipi Togo menyebabkan dia jatuh tersungkur. Arish masih tidak puas hati. Leher Togo di cekak kuat. Arish sudah bersedia melayangkan penumbuk seterusnya sebelum sebuah hentakan kuat di kepala membuatkan dunia Arish kelam. Pandangannya berbalam-balam. Gelap gelita jadinya.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.