Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,200
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 22

Banyak sangat perkara yang bermain di minda Erica Soffea. Gadis yang selama ini sentiasa ceria dan gembira kini telah hilang serinya. Tiada lagi usikkan dan gurauannya. Erica sebenarnya dihimpit dengan perasaan rindu, rindu yang teramat kepada Izhan. Kini barulah Erica tahu apa ertinya cinta dan betapa sakitnya bila merindu. Aktiviti sepanjang cuti semester ini hanyalah terperuk dirumah. Malas dia hendak keluar. Apatah lagi Sarah telah mengikut keluarganya berpindah ke Kuala Terengganu, kini tinggal Fatin. Dan dia dengan Fatin tidaklah serapat mana pun. Erica lebih senang sendirian begini. Dia sesekali akan menconteng kanvas untuk tatapan sendiri.

Erica merengus, kalau ada kenderaan sendiri bolehlah juga dia keluar pusing-pusing bandar. Bukan dia tiada lesen tetapi papanya tidak membenarkan dia membawa kereta setelah dia terlibat dengan kemalangan kecil setahun yang lalu. Dia kemudiannya keluar untuk menghirup udara, papanya belum pulang lagi. Rumahnya bertambah-tambah sunyi setelah Shirin meninggalkan mereka. Kalau ada Shirin boleh lah juga di ajak bertengkar. Erica kemudiannya merenung pohon-pohon yang merendang di sebalik pagar rumahnya. Sunyi memang sunyi, kalaulah ada perompak di waktu ini pasti Erica yang menjadi mangsa.

Telefon di ruang tamu berbunyi dengan nyaring, memeranjatkan Erica. Dia bangun dan berjalan dengan malas menuju ke ruang tamu.

“Assalamualaikun,” kedengaran suara di hujung sana memberikan salam. Erica tahu dan pasti suara itu milik papanya, Zahid.

“Waalaikumussalam, Encik Zahid,” jawab Erica.

“Rica pergi mana? Papa telefon, tapi mesin yang jawab.”

“Ada kat depan rumah main buai, kenapa?” soal Erica pula.

“Papa nak beritahu, malam ini Papa balik lambat. Ajaklah Fatin datang ke rumah. Tak pun Rica naik teksi, pergi rumah Fatin, nanti Papa jemput,” Zahid memberitahu. Bimbang juga untuk meninggalkan anaknya sendirian di rumah. Kalau dulu ada Shirin bolehlah juga dijadikan peneman, walaupun Erica dan Shirin langsung tidak sebulu. Tapi kini Shirin telah diceraikan.

“Malaslah Pa. Tak ada apanya, kalau Rica duduk sorang-sorang pun. Itulah Papa kalau bagi Rica bawak kereta kan senang, boleh Rica lepak-lepak kat mana-mana. Ini tidak nak pergi mana pun kena naik teksi, tak pun naik LRT. Yang Papa ni kenapa pulak nak balik lambat?” Erica menyoal. Sejak Papanya bergelar duda kali ke dua, baru hari ini Papanya akan lambat pulang dari pejabat, selalunya pukul lima setengah dah terpacak depan rumah.

“Papa ada kerja, nak jumpa client,” Zahid memberitahu.

“Atau ada dates?” usik Erica.

“Banyaklah Rica punya dates. Tak ada maknanya, nanti Rica tarik rambut pulak dengan mak tiri baru, nak ke?”

“Emm, kalau Mama Lia, tak tarik rambutlah, kalau orang lain, bukan takat rambut, dengan kepala-kepala Rica tarik,” ugut Erica. Zahid ketawa. Serik dia untuk berkahwin lagi.

“Papa, Rica ingat nak pergi KLCC lah, nak beli barang. Nanti Papa habis kerja ambil Rica kat sana boleh?”

“Okey, tapi nak pergi sorang-sorang je ke?”

“Dah tu Papa nak temankan Rica?”

“Itulah ada suami tinggal-tinggalkan,” sengaja Zahid menyakat.

“Ha,ha,ha. Tak kuasa. Dah lah Papa jangan disebut-sebut. Percayalah, Rica dan Farish tu tak ke mananya. Tengoklah, tak sampai lagi dua tahun Rica akan tuntut apa yang jadi hak Rica. Lagipun Papa, biarlah Farish dengan kehidupan dia, buat apalah kita nak kacau dia,” Erica menjawab dengan perlahan. Kini marahnya pada Farish berkurangan, dia cuma menghitung masa untuk memutuskan perkahwinannya.

“Rica, Rica. Papa tahu Rica harapkan Izhan kan? Tak payahlah Rica. Kalau betul pun bukan sebab Rica tapi sebab lain.” Erica mendiamkan diri. Sebab syak itulah menyebabkan Izhan pergi.

“Papa, jangan cakap macam tu, Abang Iz lain Pa. Dia bukannya macam Mak Ngah,” Erica mempertahankan Izhan.

Di hujung sana, Zahid menarik nafas yang panjang. Ini kali pertama dia melihat Erica betul-betul dilanda cinta. Cinta yang hadir di dalam hati Erica telah berjaya menjinakkan ego Erica. Sangkanya Farish yang berjaya mematahkan ego yang setinggi gunung itu, malangnya Izhan yang berjaya menaklukinya.

“Ke mana tumpah kuah, kalau tak ke nasi Rica.”

“Ish, Papa ni. Kadang-kadang kuah, tumpah ke lantai. Dan kadang-kadang tu terus di hirup tak payah, letak atas nasi. Tapi kan Pa, kadang-kadang makan nasi kosong pun best.”

“Pulak dah. Lu pikir lah sendiri. Okeylah, Papa ada kerja. Nanti dah sampai KLCC, sms tau. Jangan pakai seksi, ramai perogol bersiri kat luar tu.”

“Inikan pemegang tali pinggang hitam, lagi mau test?” jawab Erica.

“A’ah tali pinggang beli kat BLING. Jaga diri elok-elok.” Kata Zahid sebelum mematikan talian. Tali pinggang hitam konon, pergi belajar tekwando satu hari dah cabut sebab tak tahan, bisik Zahid di dalam hati. Erica meletakkan kembali ganggang telefon itu. Kemudian dia mendail nombor teksi yang selalu dinaikinya. Meminta pemandu itu datang ke rumahnya tepat jam 6.30 petang.

Walaupun Erica sampai di KLCC tepat jam 7.45 minit malam, namun keadaaan di situ tidaklah lenggang. Malahan bertambah-tambah ramai. Puas Erica melilau di dalam Suria KLCC namun tiada satu pun dari barangan-barangan di situ dapat menepati citarasanya pada ketika ini. Sudahnya dia hanya melilau tanpa arah tujuan. Erica melihat ke jam tangannya, sudah pun menghampiri ke jam 9.00 malam. Papanya berjanji akan mengambilnya dalam pukul 10.00 malam. Nampaknya masanya masih lagi berbaki satu jam. Erica hanya mengikut retak kakinya. Walaupun perutnya terasa lapar namun seleranya mati. Memang jika diperhatikan badannya memang agak kurus sekarang.

Kemudian mata Erica menangkap satu tubuh yang dikenalinya, Izhan. Hati Erica berdegup kencang, berdebar-debar. Erica terus memanjangkan lehernya, melihat-lihat jika ada orang lain disamping Izhan. Ternyata dia sendirian, tetapi mungkin juga temannya ada di sekitar situ, Erica berteka-teki. Rasa rindu yang terpendam selama ini terasa semakin menyeksakan bila melihat Izhan ada di hadapan mata. Erica menarik nafas, tertanya-tanya adakah wajar dia menegur atau membiarkan sahaja Izhan. Erica dapat merasakan Izhan memang terasa hati dengannya. Entah macam mana, ketika sedang asyik memandang Izhan dari jauh, Erica baru perasan yang Izhan sedang menuju ke arahnya. Mungkinkah Izhan perasan dengan kehadirannya. Erica memusingkan badannya, lari dari bertemu dengan lelaki itu.

Izhan berlari perlahan, bila di lihatnya Erica seolah-olah melarikan diri. Dia mengejar, namun nama Erica tidak dipanggilnya.

“Rica,” panggil Izhan, ketika jaraknya benar-benar hampir dengan Erica.

Erica menghentikan langkahnya. Dia berpaling, di depannya memang Izhan, lelaki yang selama ini amat dirinduinya.

“Abang Iz,” Erica menegur. Namun ada nada gugup di wajahnya.

“Kenapa lari tengok Abang?” tanya Izhan.

“Tak suka tengok Abang?” Soal Izhan lagi. Erica mengelengkan kepalanya.

“Bagaimana aku nak terangkan pada kau, bahawa aku rindukan kau. Aku lari sebab aku bimbang, bimbang jika kau yang enggan untuk bertemu dengan aku,” Kata-kata itu hanya terbuku di dalam hati Erica, tidak mampu diluahkannya.

“Bukan Rica tak suka tengok Abang, tapi Abang yang tak suka tengok Rica kan?” Erica memberanikan diri untuk menjawab soalah Izhan. Memang betul, selama ini hanya Erica yang berusaha untuk menghubungi Izhan walaupun Izhan sering buat endah tak endah. Izhan hanya melemparkan senyuman. Aduh, terserlah kedua-dua lesung pipitnya. Hampir pitam Erica menerima senyuman itu.

“Abang minta maaf. Bukan niat Abang nak buat tak tahu, tapi Abang takut di salah erti pulak.”

“Rica minta maaf. Betul-betul minta.”

“Dah lah,” jawab Izhan ringkas. Selama tiga bulan dia cuba untuk menghilangkan Erica dari kepalanya, namun dia sendiri kalah ketika melihat Erica, sebab itulah dia menghampiri Erica. Kali ini dia ikhlas.

“Rica seorang je ke?” Izhan menyoal.

“Seorang je, Papa sibuk hari ni. Abang Iz?”

“Sorang jugak. Saja ambil angin. Boring duduk rumah sorang-sorang. Rica dah makan?”

“Belum, Rica tunggu Papa sebenarnya ni.”

“Nak tunggu kat mana?”

“Kat bawah. Okey lah, nanti Papa marah pulak,” Erica meminta diri. Walaupun segenap hatinya menyuruh untuk dia menunggu.

Izhan menganggukkan kepalanya. Entah kenapa, dia sendiri kalah dengan Erica. Padahal Erica bukanlah gadis yang menjadi impiannya. Malah ketika di minta untuk mendekati Erica dia berat hati memandang Erica agak bersikap seperti budak-budak. Tapi semakin hari dia semakin nampak kematangan Erica di sebalik sikapnya. Kematangan yang mampu memikat hatinya sebagai lelaki. Erica manja tetapi bukan gedik. Dan yang paling dia suka ialah, Erica seorang yang sentiasa ceria. Sentiasa membuatkan dirinya ketawa. Namun dia bimbang dengannya niatnya ketika itu.

Selama tiga bulan dia menyembunyikan dirinya dari Erica, fikirnya dia mampu mengusir Erica ternyata selepas tiga bulan menyembunyikan diri, Erica masih lagi terpahat di mindanya.

“Kalau macam tu, Abang hantar Rica kat bawah. Abang temankan Rica.” Izhan mempelawakan dirinya. Erica mengangguk.

Masing-masing mendiamkan diri tatkala berjalan berdua-duan. Macam ada perang yang berlaku. Hiruk pikuk orang ramai seolah-olah tidak di dengari mereka berdua. Masing-masing hanya berbicara sendiri di dalam hati.

Erica melihat jam tangannya sekali lagi, baru sahaja menjejak ke jam 9.30 malam. Dia berdoa agar papanya cepat-cepat datang. Tidak mampu lagi dia untuk berdua-duaan dengan Izhan. Doanya di makbulkan, Papanya sudah sampai awal dari yang di janjikan.

“Okeylah, Papa dah sampai tu. Rica balik dulu.”

Izhan menghampiri kereta yang dipandu Zahid.

“Assalamualaikum Uncle,” tegur Izhan.

“Waalaikumussalam, Iz. Apa khabar?” Zahid menghulurkan tangan kepada Izhan.

“Baik Uncle. Seorang je? Mana orang rumah?” Izhan bertanya tentang Shirin.

Single father sekarang. Tak ada jodoh.” Jawab Zahid. Ramah.

“Iya ke? I’m so sorry.”

It’s okey. Jodoh siapa yang boleh sangka kan? Macam Rica ni, jodoh dia dengan Farish.” Zahid berkata dengan sinis.

“Papa!” jerit Erica, geram bila balik-balik nama Farish yang keluar dari mulut Papanya, tak kira tempat dan masa.

Izhan menganggukkan kepalanya, matanya dilirikkan kepada Erica. Erica melarikan matanya, tidak sanggup untuk melirik kembali.

“Okeylah Iz, Uncle balik dulu, kirim salam kat Papa dengan Mama ye. Senang-senang datanglah rumah.” Zahid sekadar pelawa-pelawa ayam.

“InsyaAllah Uncle.” Izhan kemudiannya bersalaman lagi dengan Zahid. Dengan Erica dia hanya berbalas senyuman. Erica membalas dengan senyuman yang sedih.

Dalam kereta, Erica memuncungkan mulutnya. Perutnya yang lapar kini sudah kenyang. Kenyang dengan rasa marah. Marahkan Zahid. Zahid juga senyap.

“Rica, tadi cakap nak pergi seorang je kan? Rupanya nak pergi jumpa Izhan?” tanya Zahid sejurus dia masuk ke dalam rumah.

“Mana ada. Rica terjumpa dengan dia.” Jawab Erica.

“Berapa kali Papa nak cakap, Rica isteri orang. Tak faham ke? Rica ingat Izhan tu baik sangat ke? Dia hanya nak main-mainkan Rica je lah.”

“Apa Papa merepek ni? Berapa kali Rica nak cakap dengan Papa? Tolonglah jangan ungkit pasal perkahwinan gila tu. Sekarang ni Rica dah menyesal sebab setuju dengan syarat tu. Papa, boleh tak tolong faham, Rica memang tak boleh nak terima Farish. Setampan mana pun dia, segagah mana pun dia. Rica tak boleh nak terima dia. Papa jangan mimpi. Tolonglah.”

“Sebab apa? Farish dah berubah sekarang. Tak boleh ke Rica berbaik dengan dia. Ini semua sebab si Izhan tu kan?”

“Papa jangan nak babitkan Abang Iz. Tolonglah Papa, give me a break.” Erica melemparkan tas tangannya ke sofa. Dia kemudiannya berlari menuju ke biliknya. Zahid hanya mampu melihat. Ternyata anaknya kini memang hanyut. Hanyut dalam cinta Izhan.

“Mama, Uncle Zahid kirim salam,” kata Izhan kepada Tengku Atylia.

“Em... Berita baru ni? Iz dah berbaik dengan Erica?”

“Bila masa pulak Iz gaduh dengan Rica?” tanya Izhan. Walaupun dia tahu apa sebenarnya di maksudkan oleh Mamanya.

Tengku Atylia, tersenyum sinis.

“Em, tadi Mama ada jumpa dengan Qarina anak Tan Sri Khalid. Cantik.”

“Okeylah, Mama. Iz nak masuk tidur. Good night.”

“Iz, Mama nak cakap sikit,” panggil Tengku Atylia.

Izhan hanya melambai dari belakang. Tanpa mempedulikan Tengku Atylia dia terus menuju ke biliknya.

Izhan mengambil telefon bimbitnya. Dia menekan punat untuk menghantar mesej ringkas kepada Erica. Namun niatnya itu dibatalkan. Apa yang dikatakan oleh Zahid masih terngiang-ngiang di kepalanya. Farish jodoh Erica.

“Ish kenapa dengan aku ni. Gasaklah siapa pun jodoh Erica. Yang aku nak susah hati pasal.” Izhan memarahi dirinya sendiri. Dia mengigit-gigit bibirnya. Yang nyata, dia rasa yang dia kini mulai mencemburi Farish kerana Farish berjaya menikahi Erica. Erica, Erica, Erica. Nama itu terus bermain di bibir nipisnya. Sehingga dia karam di alam fantasinya bersama dengan Erica.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.