Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 27

WAJAH Cika agak pucat. Perjalanan mesyuarat itu singkat sahaja, dipengerusikan oleh Cika sendiri. Tapi ton nada anak gadis itu seperti tidak ada mood. Gina sesekali mengerling ke arah wajah Cika yang lesu. Tertanya-tanya dalam hati, kenapa dengan gadis itu sebenarnya. Muram sahaja seperti ada yang tidak kena!

Selepas mesyuarat berakhir, Cika masih duduk di bilik mesyuarat. Gina turut menanti di situ. Sebenarnya dia mahu memberitahu Cika tentang pertemuaannya dengan Idham Hariz semalam. Tapi melihat sikap Cika, entah kenapa mulutnya berat untuk berterus-terang, bimbang Cika tidak suka mendengarnya. Bukankah Cika pernah memberitahunya tidak mahu lagi mendengar apa-apa cerita tentang Idham.

“Kau okey tak ni?” Tanya Gina ingin tahu.

Cika menoleh. Tersenyum hambar ke arah Gina sambil mengangguk.

“Muka asam kecut ni kenapa pulak?” Tegur Gina.

“Tak ada apalah Gina. Aku cuma tak ada mood, itu je.” Jawab Cika antara dengar dengan tidak.

Planner hitam kau tu ada jumpa tak?”

Cika menarik nafas panjang. Dia baru sahaja hendak melupakan riwayat planner itu, tapi tiba-tiba sahaja Gina mengungkitnya kembali. Lantas membuatkan dia teringat semula pada lelaki poyo itu. Nadim Ammar! Si pemain piano di Jumbo Jeep yang bermulut tajam berbisa. Benci! Gumam Cika geram.

“Ada jumpa tak?” Gina mengulang pertanyaan.

“Ada.” Jawab Cika sepatah.

“Hai baguslah tu. Tapi yang buat muka monyok macam baru mati laki ni kenapa pulak?”

Cika mengetap bibir.Kalaulah Gina tahu apa yang berlaku di Jumbo Jeep malam semalam, tentu gadis itu akan naik angin juga. Dia tidak sangka lelaki itu bermulut lebih celupar dari apa yang disangkakanya. Dia hanya mahukan buku hitamnya kembali, tapi lelaki itu enggan pula menyerahkannya. Dan yang paling memalukan ialah insiden gambar lelaki itu yang dilukisnya. YA ALLAH1 Malunya dia! Menyesal sungguh rasanya dia melukis potret lelaki itu di dalam planner hitam itu. Kau yang cari fasal sendiri Cika!

Don’t say to me that you are in love with me Cik Syafika.”

Cika meraup wajah. Terhimbau-himbau lagi perkataan lelaki itu yang diungkapkan di hadapannya. Perkataan yang membuatkan dia merasa seperti baru sahaja dilanggar dengan kereta kebal. Dilenyek sehingga tubuhnya hancur lumat. Tapi bezanya kali ini, dia merasa hatinya sebenarnya yang sedang hancur teruk.

Cika..kenapa ni?” Soal Gina, hairan melihat Cika yang kelihatan serba tidak kena. Kenapa agaknya?

Cika memandang Gina, sahabatnya yang sama-sama berkongsi setiap duka yang dirasakannya. Ada kesayuan bertebar di setiap penjuru hatinya saat ini.

“Gina, aku ni serupa macam dulu ke?” Tanya Cika tiba-tiba.

Gina terpempan. Apa maksud gadis itu?

“Kenapa setiap lelaki yang aku jumpa akan menghina aku? Akan memalukan aku seperti aku tidak layak untuk memiliki walau sedikit pun maruah yang tinggal? Kenapa Gina?” Soal Cika sayu.

Gina tersentak mendengarnya. Airmata Cika menitis jua di pipi. Gina segera mendekati Cika lalu memeluk bahu anak gadis itu. Dia sendiri turut menitiskan airmata sebak.

“Jangan pedulikan mereka Cika. Kita tak perlukan lelaki-lelaki seperti itu. Kita lebih istimewa dari apa yang mereka sangkakan.” Bisik Gina.

“Aku cuma mahu mencari lelaki yang mampu mencintai aku seadanya. Tapi yang selalu aku temui adalah lelaki-lelaki yang bersikap seperti Idham Hariz. Aku benci dia Gina. Aku benci Idham Hariz.”

Gina mengeluh panjang. Lagi-lagi Idham. Apakah kehadiran Idham yang membuatkan sikap ceria Cika berubah? Jangan-jangan lelaki itu pernah mencari Cika malam semalam, maka itu sebabnya Cika jadi pemurung hari ini, duga Gina.

Dia melonggarkan pelukannya. Wajah Cika yang basah disapu dengan tisu yang tersedia di atas meja bilik mesyuarat. Anak mata Gina ralit mmerhatikan wajah itu dalam-dalam.

“Cika, aku minta maaf..” Ujar Gina.

Cika terdiam. Wajahnya berkerut memerhatikan ke arah Gina.

“Aku patut minta maaf dengan kau beribu-ribu kali lagi. Dua belas tahun lalu, aku dah menyusahkan kau. Aku yang buat kau diejek dan dihina. Aku juga yang menyebabkan kau nyaris-nyaris berhenti sekolah.”

“Gina, bukan salah kau..”

“Tak Cika, semuanya salah aku. Surat tu surat aku. Sepatutnya masa kau dituduh bermacam-macam, aku yang tampil dan bersihkan nama kau. Tapi aku tak buat begitu. Aku penakut Cika. Aku bukan sahabat yang baik.” Akui Gina muram.

Cika terdiam. Dia tidak pernah menyalahkan Gina kerana surat itu. Memang jika diikutkan semuanya kerana Gina yang meletakkan surat cintanya kepada Idham di dalam fail kerja kursusnya. Dan sudah takdir, surat itu jatuh dan dikutip oleh teman-teman Idham.

“Aku ada jumpa Idham malam semalam.” Ujar Gina berterus-terang.

“Hah?” Cika tersentak. Jumpa Idham?

“Aku balik lambat dari office kelmarin. Idham Hariz telefon pejabat kita cari kau. Aku tak tahu macamana dia boleh dapat nombor telefon pejabat kita ni. Dia nak jumpa dengan kau malam semalam.” Beritahu Gina.

“Dia nak jumpa aku?”

Gina mengangguk. “Maafkan aku sebab tak beritahu kau fasal panggilan Idham tu. Aku cuma nak lindungi kau. Aku tak mahu kau disakiti lagi Cika. Tapi kau jangan bimbang. Aku dah jumpa Idham dan beri amaran pada dia agar jangan ganggu kau lagi.” Ujar Gina.

Cika terdiam kali ini. Perasaan serba salahnya mula muncul. Sebenarnya dia yang merasa bersalah kerana tidak berterus-terang dengan Gina tentang Idham yang sebenarnya. Tentang ibunya yang berniat menjodohkannya dengan lelaki itu. Gina langsung tidak tahu bahawa ibunya dengan ibu Idham sebenarnya adalah kawan lama sejak di universiti lagi. Banyak yang Gina tidak tahu dan banyak juga yang cuba dirahsiakannya dari pengetahuan Gina sendiri. Apatah lagi dia tahu Gina masih menyimpan perasan pada Idham.

“Cik Syafika, Rossie dari Aaziz & Co nak jumpa.” Muncul salah seorang stafnya di muka pintu bilik mesyuarat. Serentak kedua-duanya berpaling.

“Bawa dia ke bilik saya.” Arah Cika. Staf itu hanya mengangguk lalu segera beredar. Cika berpaling ke arah Gina yang turut memandangnya.

“Rossie dari pejabat sebelah. Dia nak apa ya?” Tanya Cika bingung. Wajahnya berkerut sedikit memikirkan apa tujuan setiausaha Tuan Aaziz itu datang bertandang.

“Pergilah jumpa dia.” Suruh Gina.

Cika mengangguk lalu segera melangkah ke muka pintu. Namun sebelum dia menghilang, dia berpaling sejenak ke arah Gina.

“Gina, aku emosi sangat tadi. Kau jangan susah-susah fikir. Agaknya aku dah nak datang PMS, itu sebab aku macam ni.” Ujar Cika. Gina hanya tersenyum. PMS konon! Kalau Cika PMS, dia juga sama agaknya. Sama-sama emosi, macamlah dunia sudah mahu runtuh!

* * * *

ROSSIE meletakkan sesuatu di atas meja. Tersengih-sengih wanita berusia dalam lingkungan 30an itu memandangnya. Cika mengerling ke arah kepingan kertas di atas mejanya. Terpisat-pisat dia memandang wajah Rossie yang nampak ceria serta kepingan kertas seperti tiket itu. Apa tu? Tiket wayang ke? Cerita apa? Harry Porter atau Breaking Dawn?

“Apa ni Cik Rossie?” Tanya Cika ingin tahu.

“Tuan Aaziz yang kasi. Hadiah dari firma kami untuk Cik Syafika sebab banyak membantu insiden Encik Mat Topup tu.” Ujar Rossie.

“Hadiah? Tuan Aaziz yang beri?” Cika tersengih dengan riak wajah yang pelik. Dia kenal lelaki itu, tapi mereka jarang bercakap-cakap. Hanya sesekali bertembung di pintu masuk lift sahaja. Wajah lelaki itu seperti ahli korporat, Maklumlah wajah seorang peguam dikenali yang sering bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar. Tapi airmuka Tuan Aaziz agak serius, tidak seperti ayahnya Encik Nordin yang sentiasa tersengih-sengih sepanjang masa. Wajah seorang konduktor orkestra mesti sentiasa manis, julang ayahnya setiap kali dia menegur kekerapan ayahnya tersenyum.

“Saya tak fahamlah Cik Rossie. Saya bukan buat apa-apa pun waktu tu. Kenapa pula Tuan Aaziz nak bagi hadiah ni?”

“Tuan Aaziz ikhlas Cik Syafika. Cik Syafika tengoklah dulu apa bendanya. Saya rasa Cik Syafika tentu suka kalau nampak hadiah ni.” Canang Rossie separuh mendesak.

Cika terdiam. Perlahan-lahan dia mengutip kepingan tiket tersebut lalu menatapnya. Sejurus wajah Cika berkerut. Rossie masih menanti reaksi gadis itu dengan sabar.

Sejenak kemudian, anak mata Cika beralih dari kepingan tiket di tangannya ke wajah Rossie. Dia seperti tidak percaya. Wow! Biar betul!

“Cruise? Tuan Aaziz hadiahkan tiket cruise ni? Biar betul Cik Rossie. Mahal hadiah ni, saya tak boleh terima.” Cika menolak. Hatinya benar-benar mahukannya tapi dia tidak sanggup mahu menerima hadiah semahal ini. Lagi-lagi bukan besar mana pun jasanya menyelamatkan Encik Mat Topup tempohari. Dia hanya wirawati bidan terjun yang nyaris-nyaris hendak terjun ke bawah bangunan.

“Jangan macam tu Cik Syafika. Kebetulan tuan punya kapal persiaran ni salah seorang klien Tuan Aaziz sendiri. Kapal ni akan mula berlayar dalam beberapa hari lagi selama lebih kurang 2 minggu merentasi Lautan Pasifik. Rugi kalau Cik Syafika tolak peluang ni.” Nasihat Rossie beria-ia.

“Kat situ ada dua keping tiket merangkumi bilik penginapan kelas pertama dan kemudahan-kemudahan lain. Cik Syafika boleh bawa teman kalau mahu. Semuanya dah berbayar, percuma. Rugi kalau tolak.” Sambung Rossie lagi.

Cika menghembus nafas panjang. Dia benar-benar tidak mampu mempercayai ada orang sanggup memberinya tiket kelas pertama pelancongan dengan kapal persiaran mewah. Dia memang sudah lama berhajat mahu melancong dengan kapal persiaran, tak sangka kesempatan ini datang bergolek dalam keadaan tidak diduga. Kalau begini harga budi dibayar, dia lebih dari sanggup memanjat beranda pejabatnya sekali lagi dan menyelamatkan berpuluh-puluh Mat Bin Topup yang lain pula.

“Kamu suka kapal? Kalau kamu ada peluang naik kapal besar dan bersiar-siar, pergi sahaja jangan berfikir panjang. Itu peluang kamu!”

Cika terpaku. Kata-kata itu! Aneh! Bukankah dia baharu sahaja membicarakan tentang kapal dengan nenek tua yang ditemuinya tempohari? Kalau dahulu kata-kata nenek itu kedengaran aneh di telinganya. Kali ini, dengan tiket kabin kelas pertama yang ada di hadapannya, dia merasa lebih aneh lagi. Seperti nenek tua itu tahu-tahu sahaja apa akan berlaku terhadapnya.

“Itu peluang kamu!” Kata-kata nenek tua itu berulang lagi di fikiran.

Peluang? Peluang apakah yang dimaksudkan nenek tua itu? Cika menarik nafas panjang.

“Macamana Cik Syafika?” Tanya Rossie apabila dilihatnya Cika asyik termenung sahaja. Anak gadis itu segera memandang ke arah Rossie.

“Kalau macam tu saya terima tiket ni Cik Rossie. Tolong sampaikan ucapan terima kasih saya pada Tuan Aaziz ya.” Ujar Cika.

Rossie kelihatan berlapang dada mendengar persetujuan Cika. Apatah lagi majikannya ada berpesan agar dia memastikan gadis itu menerima hadiah dari firma guaman mereka sebagai tanda penghargaan.

Sebaik Rossie beredar, Cika terus memanggil Gina. Sebaik dia memberitahu Gina hajat kedatangan Rossie, gadis itu terus terjerit-jerit seperti orang kurang siuman. Darren yang sedang lalu di situ tertinjau-tinjau, barangkali hairan dan pelik melihat kedua-dua bosnya menjerit seperti orang gila. Konspirasi apa agaknya! Keluh Darren lalu berlalu pergi dari situ.

I don’t believe it.” Ujar Gina terlongo.

Yeah me too.” Jawab Cika.

“Dalam banyak-banyak benda yang dia boleh kasi, dia kasi kau ini. Kau tahu tak dah berapa lama kita berdua buat rancangan nak naik kapal persiaran mewah ni pergi bercuti?” Gina benar-benar teruja.

“Entahlah Gina, hadiah ni best..tapi lama sangat. Kita ada banyak kerja nak kena siapkan. Lagipun lagi beberapa hari kapal ni akan bertolak melalui pelabuhan Sandakan di Karamunting, Sabah. Aku takut kita tak sempat nak siapkan saki baki kerja yang ada ni.” Keluh Cika.

“Cika, kita berdua boleh bekerja dari kapal tu. Mesyuarat atau taklimat boleh dibuat melalui video conferencing. Aku percaya kapal sebesar itu tentu ada kemudahan-kemudahan seperti itu. Kerja-kerja selebihnya di sini, Darren dengan Qistina boleh uruskan di sini.” Cadang Gina.

Cika terdiam. Betul juga tu! Kenapa dia boleh tak terfikir pulak. Tapi dia masih ragu-ragu lagi. Sekalipun hal dan urusan pejabat boleh diselesaikan dengan cara itu menurut cadangan Gina, tapi bagaimana dengan ibunya? Mahukah wanita itu mengizinkannya? Lagipun dia tidak pernah keluar dari rumah lebih dari beberapa hari. Ini kan pula dua minggu berada di atas kapal pesiaran, jauh dari perairan Malaysia.

Think about it Cika. Ini peluang terbaik kita untuk pergi jauh buat seketika, lupakan masalah-masalah di sini dan enjoy. Kita akan berseronok puas-puas kat atas kapal tu nanti.” Ujar Gina tersenyum.

Terkelip-kelip mata Cika memerhatikan Gina. Dari riak wajah Gina, dia tahu gadis itu mahu sangat menaiki kapal persiaran mewah itu.

“Aku rasa kita patut berterima kasih pada Pakcik Mat tu. Sebab dia, kita pulak dapat durian runtuh.” Gina tersengih-sengih.

Cika ketawa kecil. Tiba-tiba sahaja dia teringat pada orang tua yang kini sedang syok-syok bermalam di lokap. Tempohari dia ada berjanji dengan orang tua itu mahu mengambil Pak Mat bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikatnya. Meskipun bangunan itu ada memiliki pengawal sekuriti, tapi tak salah kalau dia menambah jawatan itu untuk membantu orang tua yang mudah tension itu. Mujurlah bila dia mengungkitnya di hadapan Gina, gadis itu langsung tidak kisah. Hanya mereka perlu menanti orang tua itu keluar lokap dahulu! Itupun lagi beberapa bulan dari sekarang!

Cika kembali membelek-belek tiket kapal persiaran bernama Elemental Supreme itu. Namanya boleh tahan dan gambar kapal yang terpapar pada tiket kelas pertama itu cukup indah dan memukau. Ada namanya pada tiket tersebut manakala tiket yang satu lagi pula merupakan pas ekslusif di mana sesiapa sahaja boleh menaiki kapal tersebut dengan membawa tiket tersebut. Tarikh boardinghanya tinggal beberapa hari sahaja. Dan Elemental Supreme akan berlepas dari sebuah pelabuhan di Sandakan, Sabah. Jadual perjalanan pula akan diberi semasa penumpang selesai check in di bilik masing-masing. Begitulah maklumat ringkas yang terdapat pada sehelai kertas yang dilampirkan bersama tiket.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh