Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 17

SUDAH 12 tahun berlalu sejak kali terakhir dia bertemu dengan Idham. Dalam tempoh ini dia sudah berubah. Bracesnya sudah ditanggalkan menyerlahkan deretan gigi yang lebih cantik terusun. Rambutnya juga tidak kontot dan kerinting seperti dahulu. Sebaliknya dia kini lebih bergaya dengan potongan rambut separas bahu yang diikalkan di hujungnya. Malah pakaiannya juga menggambarkan seorang wanita yang ada karisma dan gaya.

Sengaja dia menukar pakaiannya dengan yang lebih menawan. Bukan kerana dia takutkan ibunya. Tapi terlintas sesuatu di fikirannya. Kalau dia Syafika Nordin terpaksa berhadapan juga dengan Idham Hariz lagi, maka lebih baik dia terlihat dengan penampilan yang lebih baik dan ceria berbanding 12 tahun yang lalu. Dia harus menunjukkan pada Idham yang sombong itu bahawa dia juga boleh jadi cantik jika dia mahu. Dia juga boleh nampak cute kalau dia hendak! Biar lelaki sombong itu terkedu dan tidak lagi memperlekeh-lekehkan dirinya. Ya, itu yang harus aku buat! Cika memujuk diri sendiri.

“Dah besar panjang si Idham tu Cika. Handsome orangnya, ada pendidikan yang baik, kerja yang bagus. Umi rasa antara banyak-banyak calon yang umi carikan untuk awak tu, Idham yang paling bagus. Sesuai sangat untuk awak.” Puan Bahyah tersenyum-senyum membayangkan hasrat hati. Gembira benar dia apabila bercakap tentang anak sahabat baiknya itu.

“Dua bulan lepas Auntie Jamilah awak ada call dengan umi, bertanyakan samaada Cika ni dah berpunya atau belum. Umi kata awak tu jenis liat nak kahwin. Terus dia cadangkan awak dipertemukan dengan si Idham tu. Tapi umi ingat dia mesti tak serius, jadi umi pertemukan awak dengan yang lain-lain. Tak sangka betul Idham tiba-tiba nak balik ke sini.” Cerita ibunya sekadar mengulang cerita yang sama sejak beberapa hari yang lalu. Cika sendiri sudah muak mahu mendengar cerita yang sama diperdengarkan berulangkali. Mahu muntah darah dia kalau mendengar nama Idham disebut-sebut lagi. Aduh umi! Cukuplah tu!

“Auntie Jamilah awak kata, Idham balik ke mari sebab awak. Mesti dia berkenan betul dengan awak.” Sambung Puan Bahyah berdebar-debar, seperti dia pula yang hendak ditemukan jodoh. Cika buat muka blur! Sudahlah! Kerat jari dia kalau Idham betul-betul berkenan dengannya. Kalau lelaki itu suka padanya, memang dunia sudah berputar dalam keadaan terbalik. Hendak memikirkannya pun dia tidak sanggup.

“Orang belajar kat oversea takkan tak ada calon pilihan sendiri kut.” Cika mencebik, perlahan sahaja suaranya.

Puan Bahyah mengerling ke arah si anak. Melihat wajah Cika yang tidak ada mood, dia hanya mampu mengeluh panjang. Dasar anak degil! Rungut Puan Bahyah.

“Idham tu anak kesayangan ibunya. Takkanlah dia nak cari calon isteri yang bukan-bukan. Awak tu janganlah asyik nak buruk sangka dengan orang, tak baik.”

“Umi, Cika tak buruk sangka. Cika cakap yang betul ni.”

“Sudah! Awak memang banyak songeh tahu Cika. Pening Umi tengok awak ni. Rasanya tak ada mana-mana lelaki pun dalam dunia ni yang boleh handle awak macam umi.” Marah Puan Bahyah.

“Umi, please…Cika..Cika tak sukalah dengan Idham tu.” Cika mengeluh.

“Tak suka? Aik, jumpa pun jarang. Apa benda yang awak tak suka fasal dia? Umi tengok Idham tu baik, kacak orangnya, berpendidikan tinggi pulak tu. Apa yang tak kena dengan dia?” Soal Puan Bahyah.

Cika terdiam. Ringan mulutnya mahu bercerita dengan ibunya tentang Idham. Tapi sejurus kemudian dia merasa tidak wajar pula dia membuka pekung 12 tahun yang lalu. Lagipun hal itu sudah lama berlalu! Hal dah lama, tapi sakit hati masih kekal di dalam!

Tanpa disedari, perbualan Cika dan Puan Bahyah mencuri masuk ke gegendang telinga seorang lelaki yang duduk membelakangi Cika. Sudah lama dia duduk di situ apabila kedua beranak itu muncul dan mengambil meja di belakangnya. Mendengar perbualan itu, entah kenapa bibirnya tersenyum lebar. Lucu! Di zaman moden ini, masih ada lagi kes kahwin kerana pilihan keluarga?

“Kenapa kau senyum-senyum tu?” Jak bertanya. Hairan melihat si teman yang tersengih-sengih seperti ada sesuatu yang mencuit hati.

Nadim berpaling ke arah Jak yang sudah muncul dan duduk di hadapannya. Dia sekadar menggelengkan kepala.

“So macamana dengan offer abang tu? Kau setuju ke tidak ni?” Jak kembali ke pokok persoalan yang masih belum selesai dibincangkan.

“Berapa lama?” Soalnya.

“Lebih kurang dua minggu. Fasal salary, kau jangan risau. Abang jamin memang lumayan.” Jak tersengih.

“Dua minggu tu lama sangat.” Komennya separuh mengeluh.

Come on Nadim. Abang tak rasa itu masalah besar untuk kau. Lagipun antara banyak-banyak orang, abang rasa kau yang paling layak.” Pujuk Jak.

Nadim tidak terus memberi jawapan. Dia mahu berfikir dahulu sebelum memberi kata putus. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan pasport dan tiket kapal terbang yang diserahkan kakaknya malam semalam. Tarikh penerbangannya di tiket tersebut bertarikh seminggu dari sekarang. Patutkah aku ke New York? Atau patutkah aku terima sahaja kerja yang Jak tawarkan? Entah kenapa Nadim rungsing memikirkannya.

Sedang dia tenggelam dalam persoalan yang memeningkan dirinya, dia merasakan ada sesuatu yang melanggar kerusinya. Gadis di belakangnya bingkas bangun. Perhatian Nadim beralih.

“Nak ke mana pulak ni?” Dia terdengar wanita di samping gadis itu bertanya.

“Ke rest room. Cika nak betulkan make up.” Jawab si gadis.

“Jangan nak mengarut. Mekap awak dah cantik dah tu.” Tegah si ibu.

“Sekejap la umi. Perut Cika memulas sangat ni.” Balas si gadis pula lalu bergegas pergi dari situ. Nadim sempat berpaling lalu terpandang kelibat tubuh itu yang bersarung gaun berwarna pink muda dan kasut tumit tinggi yang sempurna dengan bentuk badannya.

“Kenapa Nadim?” Jak tiba-tiba bertanya. Hairan melihat Nadim asyik merenung ke arah seorang gadis yang berlenggang-lenggok pergi ke suatu arah.

Nadim hanya menggelengkan kepala.

“Soal tadi, INSYA ALLAH saya akan berikan jawapannya esok. Bagi saya satu hari untuk berfikir.” Pinta Nadim.

Jak menarik nafas panjang. Sejurus dia mengangguk. Menyetujui permintaan Nadim yang bukan keterlaluan.

“Okeylah, tapi jangan lama-lama sangat tau. Kapal tu nak berlepas minggu depan. Kau kena beri abang jawapan awal sebab abang perlu cari orang untuk jadi pengganti kalau-kalau kau reject job ni.” Ujar Jak.

Sepeninggalan Jak, Nadim masih termenung di kerusinya. Pergi ke tak pergi ni? Kalau dia pergi, sekurang-kurangnya dia dapat lari sebentar dari ayahnya dan Emilia. Mungkin ini peluang terbaik untuknya berehat dan menenangkan fikiran. Lagipun tak lama mana pun. Pejam celik pejam celik dua minggu itu akan cepat berlalu! Pujuk hati kecilnya.

Ketika dia mahu beredar, dia baru perasan gadis itu masih belum kembali ke tempat duduknya. Dia sempat mengerling wajah si ibu yang kelihatan gelisah. Nadim ketawa kecil. Jangan-jangan gadis itu sudah lesap kerana tidak mahu ditemukan jodoh dengan pilihan keluarganya. Seperti dirinya yang menolak Emilia yang mahu dijodohkan oleh ayahnya sendiri. Good job! Puji Nadim mengagumi helah gadis itu. Dia segera berlalu dari situ menuju ke arah keretanya yang diparkir di suatu sudut di laman restoran yang agak lapang dan berangin.

Namun belum panjang langkahnya, tiba-tiba dia terhenti. Nun jauh di hadapannya terdapat seorang gadis yang sedang bersandar di badan Toyota Prius miliknya. Wajahnya berkerut, memerhatikan gadis itu dalam-dalam. Siapa pulak ni? Nak kata aku tak bayar duit ansuran kereta, rasanya semuanya cukup. Tiap-tiap bulan, pendapatannya dari mengajar piano secara sambilan di sebuah kelas muzik dan bermain piano di Jumbo Jeep diperuntukkan untuk bayaran ansuran keretanya. Tak pernah miss pun walau sebulan!

Dia ralit memerhatikan gadis itu. Pakaian gadis itu kelihatan cantik dengan dresslabuh berwarna pink muda dan kasut tumit tinggi yang senada dengan warna pakaian. Melihat pakaian gadis itu, entah kenapa Nadim tiba-tiba teringatkan sesuatu. Gadis di restoran tadikah?

Tiba-tiba gadis itu menoleh, menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan Nadim tergaman. Wajah itu semakin mencuri tumpuan. Gadis itu lagi! Gadis yang ditemui di tandas wanita di Jumbo Jeep. Kali kedua sewaktu dia menyelamatkan gadis itu dari hampir jatuh di balkoni pejabat ayahnya. Dan hari ini dia menemui semula gadis itu bagaikan putaran roda. Seolah-olah mereka mempunyai ikatan dengan Jumbo Jeep itu.

Melihat gadis itu mengalihkan pandangan, dia berasa lega sedikit. Ternyata arah pandangan mata gadis itu bukan tertumpu ke arahnya. Tapi satu hal yang menjadi masalah besar ialah bagaimana dia mahu menuju ke arah keretanya jika gadis itu seolah-olah mahu berkampung di situ. Hendak menegur dan bertanya khabar tentulah janggal dirasakannya apatah lagi mereka baru sahaja berperang dingin beberapa hari yang lalu. Silap-silap haribulan, dia boleh kena penampar! Aduh tak sanggup!

Melihat kelibat seorang budak lelaki berkulit hitam, berusia dalam belasan tahun, Nadim didatangi idea baik. Dia segera menggamit budak lelaki itu supaya menghampirinya. Sambil menyeluk saku seluar dan mengeluarkan sekeping not RM5, dia membisikkan sesuatu ke telinga kanak-kanak itu.

“Boleh?” Tanyanya ingin tahu.

“Beres bang.” Jawab budak lelaki itu sambil menaikkan ibu jarinya sebelum berlalu ke arah gadis di keretanya. Nadim hanya ketawa kecil. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia melakukan jenaka sebegini terhadap gadis itu. Yang pasti ini tentunya menarik! Balas dendam? Entah, dia tidak pasti. Yang nyata dia mahu mengenakan gadis yang poyo itu.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh