Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 11

ROSSIE dari firma guaman Aaziz & Co bergegas datang dan memberikannya segelas mug berisi coklat panas. Cika mengambilnya tanpa banyak soal lalu menghirup coklat tersebut perlahan-lahan. Gerak-gerinya menjadi santapan mata semua pekerja-pekerja di firma tersebut. Dia menyedarinya namun dia pura-pura tidak perasan.

Dari hujung mata, dia melihat Gina dan Datuk Fakhri sedang berbual-bual dengan pemilik firma tersebut Tuan Aaziz Ibrahim. Sesekali mata ketiga-tiganya berpaling ke arahnya. Dia makin gugup diperhatikan begitu. Macam aku pula yang buat salah. Takkan mereka berkomplot nak serahkan aku pada pihak polis pulak. Sudahlah Pakcik Mat tadi siang-siang sudah diangkut ke balai polis kerana tuduhan menganggu ketenteraman awam. Dia pula terpaksa berkurung di pejabat guaman itu sejak satu jam yang lalu, kerana di luar pejabat itu kononnya sekumpulan wartawan sedang menantinya untuk diwawancara. Maklumlah dalam sekelip mata dia sudah jadi wirawati yang berjasa kepada nusa dan bangsa.

Tiba-tiba ingatannya singgah pada lelaki yang menarik tangannya sebentar tadi. Sudah kerap kali lelaki itu muncul di hadapannya. Seolah-olah kemunculan lelaki itu suatu petanda. Aneh dirasakan tetapi entah kenapa dia senang sekali. Hatinya melonjak-lonjak rasa seronok apabila diselamatkan lelaki yang menjadi mainan tidurnya sejak dua malam yang lalu. Sehingga terigau-igau dia dibuatnya.

Mana lelaki itu agaknya? Dia masih belum sempat mahu mengucapkan terima kasih, tiba-tiba sahaja lelaki itu menghilang seperti hantu. Dia memandang ke arah Rossie yang berada tidak jauh darinya. Niat hatinya mahu bertanya tentang lelaki itu. Tentu si Rossie ni tahu siapa lelaki itu. Apakah dia bekerja di firma guaman ini?

Namun belum sempat dia mahu membuka mulut, matanya terpandang kelibat Gina, Datuk Fakhri dan Tuan Aaziz sedang melangkah ke arahnya.

“Cik Syafika, saya nak ucapkan terima kasih atas keberanian Cik Syafika selamatkan Encik Mat hari ni. Saya tak sangka, zaman sekarang ni masih ada perempuan yang berani seperti Cik Syafika.” Puji Tuan Aaziz.

Dia hanya tersenyum sambil menjeling ke arah Gina.

“I pun tak sangka Cika, yang you sanggup panjat tingkap dan susur beranda tu dari pejabat you tu ke mari semata-mata sebab nak selamatkan lelaki tu. I’m so proud of you Cika.” Pintas Datuk Fakhri pula tanpa mengetahui hal sebenarnya. Sangkanya Cika sengaja memanjat tingkap itu untuk menyelamatkan lelaki tua itu.

Senyuman Gina semakin melebar, lucu mendengar tafsiran Datuk Fakhri yang tidak mengena. Manakala kerutan di dahi Cika pula semakin berlapis. Kata-kata Datuk Fakhri membuatkan dia hampir tersedak, padahal tak makan apa-apa pun, minum air coklat aje.

“Itulah Datuk, Cika ni memang tak boleh nampak orang yang dalam kesusahan dia mesti nak tolong sama. Dah jadi penyakit dia sejak azali.” Sampuk Gina sambil mengerling wajah sahabatnya yang sudah merah padam.

Cika mengerling ke arah Gina. Oh diam-diam kau kenakan aku ya! Nantilah kau Gina! Hendak tak hendak Cika pura-pura tersenyum. Apa boleh dibuat kalau tindakannya hari ini disalahertikan. Terima ajelah!

“Err Tuan Aaziz, siapa lelaki yang selamatkan saya tadi?” Cika menyoal didorong perasaan ingin tahu.

“Lelaki?” Wajah Tuan Aaziz berkerut. Gina dan Datuk Fakhri turut menunjukkan wajah blur yang serupa.

“Lelaki tadi. Lelaki yang tarik saya ke dalam.” Ujar Cika.

Tuan Aaziz terdiam. Lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah Rossie.

“Rossie, you nampak ke siapa yang selamatkan Cik Syafika?” Soal Tuan Aaziz pada setiausahanya.

Rossie menggeleng. “Maaf tuan, kelam kabut sangat tadi. Saya tak perasan.” Jawab Rossie sejujurnya.

Cika terdiam mendengar jawapan wanita cina itu. Aneh sungguh, kenapa Nadim Ammar boleh berada di sini? Kalau dia pekerja di sini, sudah pasti orang di firma itu mengenalinya.

* * * *

“Cika? Kau okey ke tak ni?” Tanya Gina sewaktu mereka keluar minum di kafeteria di hadapan bangunan pejabat petang itu.

Dia menoleh ke arah Gina agak lama. Apa punya soalan daa?

“Hari ni aku nyaris-nyaris jatuh bangunan pejabat tu, kau ingat aku okey ke?” Soal Cika kembali. Gina mengaru kepala tidak gatal. Dia yang bertanya, Cika pula mengulang pertanyaannya. Ada logik ke?

“Kau trauma lagi fasal tadi?”

“Tak...trauma aku kejap aje.” Sahut Cika selamba sambil menghirup fresh orange yang hanya tinggal separuh.

“Habis yang muncung macam mak nenek ni kenapa? Hari ni kau kan dah jadi heroin, muka siap masuk televisyen lagi tadi. Apalagi yang kau menungkan ni?” Tanya Gina lalu tersengih.

Cika mengeluh panjang. Fasal mukanya masuk televisyen, itu satu hal. Dia sendiri tidak menyangka kes di firma guaman Tuan Aaziz Ibrahim itu awal-awal sudah dihidu oleh wartawan. Malah dibesar-besarkan sehingga tak fasal-fasal namanya jadi popular sekejap. Melihat wartawan dan jurugambar itu sudah menanti di luar pejabatnya, mahu tak mahu dia terpaksa melayan mana-mana yang patut. Hendak dihalau, macam tak kena pula dengan imej heroin yang ditampilkannya hari ini secara tidak sengaja.

Tapi ketika ini entah kenapa hatinya asyik teringat pada wajah itu. Lelaki yang membantunya hari ini benar-benar membuatkan dia tidak senang duduk. Sepertimana dia terkejut melihat lelaki itu, dia juga tahu lelaki itu merasakan hal yang sama. Baru kelmarin mereka terserempak dan berbalah soal yang tak masuk akal, hari ini mereka bertemu lagi dalam suasana yang kecoh dan huru-hara. Lagi huru-hara dia diselamatkan lelaki yang sengal itu.

“Gina…” panggil Cika.

Gina yang sedang ralit menghirup minumannya segera mendongak ke arahnya.

“Tadi kau memang tak perasan ke lelaki yang selamatkan aku tadi?” Tanya Cika lagi. Dia tak sudah-sudah bertanya, sekadar mahu memastikan. Dalam malu-malu kucing, dia sudah tidak mampu menahan diri. Sekalipun Gina akan mengetawakannya, dia akan terima sahaja dengan hati terbuka. Asalkan dia tahu siapa sebenarnya lelaki itu dan bagaimana lelaki itu boleh muncul di situ.

“Lelaki yang tarik tangan kau tu?” Soal Gina.

Cika mengangguk pantas. “ Kau ada nampak dia tak masa kat pejabat Tuan Aaziz tu?”

“Bukan dia salah seorang staffkat situ ke?” Soal Gina pula.

Cika mengeluh panjang. “Aku pun ingat macam tu tadi. Tapi puas aku intai dia, memang dia tak ada kat situ lepas tu.”

Sorrylah Cika, aku pun tak nampak muka mamat tu. Cuma nampak belakang dia aje. Itupun masa aku nampak kau nak jatuh tadi, fikiran aku asyik melayang kat kau aje. Kalau Tom Cruise atau Brad Pitt ada sekalipun, sah-sah aku tak perasan.” Jawab Gina sambil tersengih.

Cika menjeling panjang. Pulak dah!

“Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih kat dia sebab tolong aku tadi. Tadi aku nak tanya orang-orang kat pejabat Tuan Aaziz tu fasal lelaki tu, tapi aku segan pulak. Nanti apa pulak kata diaorang kan.” Almaklum, orang berbudi dia mesti berbahasa. Meskipun lelaki itu sering membuatkan dia sakit hati sejak dua menjak ini, tapi dia harus juga meluangkan masa untuk mengucapkan terima kasih.

“Habis, kau nak suruh aku tanya?” Gina mengenyitkan mata.

Mata Cika mula bersinar-sinar. Dengan muka tak malu dia mengangguk. “Ahah kau tolong aku ya. Tolong tanyakan fasal lelaki tu. Aku nak tahu siapa dia.”

Gina tergelak besar. “Pelik! Ini kali pertama aku nampak kau berminat dengan spesies yang namanya lelaki. Kau dah ubah selera kau ya!” Usik Gina.

Cika tercengang. Gurauan Gina disambut dengan jelingan panjang. “Jangan nak mengada-ngada buat spekulasi tak tentu hala. Aku nak cari dia sebab nak berterima kasih aje, bukan ada niat apa-apa pun.”

“Kalau ada pun, tak ada siapa pun yang nak marah.” Sahut Gina selamba.

Cika terdiam. Kata-kata Gina membuatkan dia jadi keliru. Dengan wajah muram, dia merenung gelas fresh orange di hadapannya yang semakin kosong. Wajah lelaki itu tiba-tiba tertancap pada gelas fresh orange itu. Seolah-olah tersenyum padanya. Tanpa disedari Cika turut jua tersenyum. Imej pada gelas fresh orangenya berjaya membuatkan dia naik angau. Sesuatu yang tidak pernah berlaku selama ini. Yang nyata lelaki seiras Josh Duhamel itu benar-benar memberi kesan kepada seluruh hati dan jiwanya saat ini.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh