Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,384
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

BILIK kuliah di Fakulti FiTA itu masih lengang. Hanya beberapa kerusi sahaja baru terisi. Satu kerusi itu diisi oleh Indra yang sedang bersedia untuk sesi perbentangan sebentar lagi. Oleh kerana perlu bersedia untuk memasang projektor di bilik kuliah itu, dia tidak menyertai Jeff ke Kandang tadi. Sekadar meminta Jeff untuk membungkuskan minuman kegemarannya.

            “Kopi kau, bro,” hulur Jeff. Frasa  yang keluar dari mulutnya itu boleh membawa dua maksud. 

            “Eh, duit apa pulak ni? Tadi rasanya aku bagi cukup-cukup untuk kopi ni aje,” sambut Indra sedikit hairan apabila turut dihulurkan beberapa keping duit kertas dan syiling.

            “Duit harga burger malam tadi, Juliana yang bagi,” jelas Jeff .

            “Oh,” Indra pantas mengerti. Suaranya berubah perlahan.

            “Tak tahu pulak aku yang telefon semalam si Juliana tu. Kalau aku tahu, takkan aku ambik order mereka.Tentu kau dah berperang besar dengan si Setan Merah kacuk tu malam tadi.” Jeff mengeluh sedikit berat, seperti menahan satu lagi rasa kekesalan.

            “Tak ada apalah, bro. Small matter aje. Macam selalu-selalu juga.” Indra sekadar membuat acuh tak acuh dengan mula menyedut minumannya walaupun hatinya terasa juga dengan cara Ameera menghinanya malam tadi. Perlakuan membaling duit sebegitu sememangnya satu perbuatan menghina yang melampau. Ibarat tuan tanah membaling makanan kepada hamba-hamba di zaman Apartheid dulu.

            Ruang bilik kuliah itu makin diisi oleh pelajar-pelajar. Ameera dan Juliana juga sudah mengambil tempat mereka. Beberapa minit kemudian, pensyarah subjek Directing mereka masuk. Sesi pengajaran dan pembelajaran pun bermula dengan Indra mengambil tempatnya di depan bilik kuliah itu untuk sesi perbentangannya. Setiap pelajar memberi tumpuan sepenuhnya, kecuali Ameera yang sekadar membuat acuh dan tak acuh sahaja sepanjang sesi perbentangan itu berlangsung. Keras sekali hatinya untuk mengakui setiap buah fikiran Indra yang sudah diakui oleh pelajar-pelajar lain. Begitu juga dengan Reza. Dia hanya banyak bermain telefon di bawah meja. Ada seseorang sedang bermesej gelap dengannya. Yang pasti bukannya Ameera.

           Indra setiap kali sesi perbentangannya cukup berbeza sekali dengan perilaku hariannya yang nampak seperti seorang pemberontak. Seolah-olah dia sedang mengalami split indentity ketika itu.

            “Well done, Indra! Satu perbentangan yang berkualiti. Nyata kamu telah membuat homework sebelum pembentangan ini dilakukan.” Dr. Romi memberi pujian. Indra tersenyum. Lebih kepada kepuasan peribadi sebenarnya. Sempat dia menjeling nakal kepada Ameera. Ameera segera memberi reaksi menyampahnya. Senyum kepuasan di bibir Indra pantas bertukar menjadi satu senyuman yang nakal pula, demi mengapikan lagi Ameera.

           “Guys, segala apa yang Indra bentangkan sebentar tadi padat dengan nota-nota yang berguna untuk topik pelajaran kita pada hari ini. Moga-moga kamu semua sempat mengambil nota-nota itu tadi kerana malam nanti saya akan kemukakan soalan-soalan kuiz di I-Class. Harap kamu semua dapat menjawabnya nanti. ” Dr. Romi menambah lagi.

          “Kau ada ambil nota tak tadi?” Soal Juliana dengan nada berbisik kepada  Ameera.

           “Aku? Ambil nota si skin sial tu? Sorry sikit!” cemuh Ameera dalam nada suara yang perlahan. Tidak mahu yang lain mendengar cemuhannya itu, terutama Dr. Romi.

           Juliana mengeleng-geleng kepalanya mengenangkan betapa keras hati rakannya itu. Terngiang-ngiang di dalam fikirannya juga sepotong dialog dari filem Gila-Gila Remaja lakonan Faizal Hussein. "Sungguh keras hatimu, Roy!"

           Kadangnya dia sendiri tidak bersetuju dengan tingkah yang ditunjuk oleh Juliana itu. Indra Nampak sahaja kasar, tapi dalam kasarnya tetap ada kualiti yang tersendiri. Dia sendiri pun secara rahsia, amat mengagumi Indra.  

          “Peringatankepada kamu semua tentang projek akhir yang perlu kamu lakukan. Projek akhir ini akan dibuat secara berkumpulan. So, hari ini saya akan tetapkan kumpulan kepada kamu semua. Saya pasti kamu semua sudah maklum, projek akhir kamu ialah menghasilkan sebuah video muzik. Setiap kumpulan nanti bebas untuk memilih artis masing-masing.” Dr. Romi membuat satu peringatan yang nyata menggamit keresahan kepada semua pelajar.

           Nyata projek akhir itu satu tugasan yang rumit kerana pembikinan sesebuah video muzik banyak perkara yang perlu difikirkan. Tambah meresahkan lagi, pensyarah mereka itu seorang yang sukar ditafsir fikirannya. Pastinya masing-masing resah memikirkan di kumpulan mana mereka bakal ditempatkan? Dr. Romi selalunya tidak suka meletakkan ahli kumpulan yang sama dalam sesuatu projek. Pensyarah mereka itu lebih sukakan memberi cabaran kepada mereka untuk membina keserasian dalam setiap tugasan yang dinilai. Tujuannya tak lain, mahu mereka sentiasa bersedia dan tiada masalah bekerja dengan sesiapa pun di alam kerjaya nanti.

         “Saya harap kamu semua akur dengan senarai ahli kumpulan yang saya telah tetapkan ini. Jika ada bantahan sila kemukakan bersama sekotak kek Secret Recipe perisa chocolate. Tapi yang pasti bantahan kamu itu tidak akan saya layan.” Sempat lagi Dr. Romi membuat lawak. Niatnya tidak lain tidak bukan untuk meredakan kerisauan para pelajar di kelas Skrin 1 itu. Objektif lawak itu tercapai. Seperti selalunya juga, terhibur seketika semua pelajar dengan selitan komedi spontannya itu.

          Pensyarah berkulit putih, berambut kerinting dan sedan-sedan tinggi itu sememangnya mempunyai personaliti yang unik. Rupa dan tingkahnya persis pengarah filem terkenal Indonesia, Riri Riza. Juga mempunyai gaya klasik tersendiri. Warna hitam adalah kegemarannya. Tiada kemeja atau t-shirt berwarna lain membalut tubuhnya setiap kali muncul di kelas atau dewan kuliah. Kakinya juga selalu bersarung sepatu berwarna itu.  Seremeh bingkai kaca matanya juga berwarna kegemarannya itu. Dalam berlawak dia ada ketegasannya. Dianggap seorang perfectionist oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya, lebih-lebih dalam soal pendidikan. Menjadikannya lebih unik, dia tidak seperti netizen zaman kini yang mengangap telefon pintar itu adalah nyawa mereka. Dia juga tidak pernah memiliki kenderaan. Hidupnya ke mana-mana dengan teksi dan kapal terbang. Ironinya, walaupun dia seorang tenaga pengajar dalam teknologi skrin, namun di rumahnya tidak pernah ada kotak televisyen. Katanya, itu semua akan melalaikan. Walau sedemikian rupa kekontraan gaya hidupnya, dia  tetap seorang ceniphile.

         “Doc, bantahan dengan burger boleh tak?” Indra  cuba mencipta jenaka dengan niat cuba untuk berdiplomasi. Jenakanya itu disambut pelajar-pelajar lain dengan tawa. Gamat seketika jadinya. Namun, ada yang tidak terkesan dengan lawak bersahajanya itu. Siapa lagi? Juliana di sebelah terpaksa mengalih pandang sambil menekuk mulutnya rapat-rapat supaya lava tawanya tidak meletus, mengelak kepalanya dihempak bakul cemuhan. Reza dan budak suruhannya, Amirul  juga kelihatan seperti menyampah.

        “Tahulah kamu ada bisnes burger, tapi saya tak makanlah makanan berkolestrol tu. Takut gemuk,” sambut Dr. Romi dengan mimik mukanya sekali. Sekali lagi berderai tawa.

        “Betul tu, Doc, apalah sangat dengan burger, lebih-lebih lagi burger tepi jalan!” laung Reza,  menunjuk sikap lekehnya. Laungannya itu disambut derai tawa yang jelas juga kelihatan sengaja dibuat-buat dari mulut Amirul. Ameera juga ikut ketawa. Namun, yang lain sekadar menunjuk reaksi kehambaran. Kata-kata Reza itu disedari mereka berbaur penghinaan. Bukan kepada Indra sahaja tetapi juga kepada peniaga-peniaga burger kecil-kecilan yang lain.

        “Sekurang-kurangnya burger tepi jalan itu satu usaha dari tulang empat kerat aku, berbanding orang macam kau dan makwe kau tu! Hanya pandai merengek dan menadah tangan daripada mak bapak semata-mata. Come to papa, come to mama, alolo.” Indra yang sedikit terkesan dengan penghinaan Reza tadi pantas memulang kata yang disulam bersama jenaka sindiran. 

         Apa lagi Reza, berdesing telingannya. Di tambah pula dengan sambutan derai tawa daripada pelajar-pelajar lain yang terhibur dan dalam masa yang sama juga seperti menyokong kata-kata Indra itu.

         Ameera pula terpanar seketika. Kata-kata Indra itu dirasainya makan dalam.

         Merah padam muka kedua-duanya. Darah muda Reza mula menyirap. Buku limanya secara automatik tergenggam. Dia cuba bangkit bangun dari labuhan punggungnya di kerusi.

        “Sudah! Sudah! Pokok persoalan kita bukan pasal burger, tapi pasal projek akhir kamu semua!” Dr. Romi yang menyedari bibit-bibit ketegangan itu segera masuk campur. Sudah ketahuan dia dua pelajar yang berlainan arah angin itu. Dia juga sudah lali melihat percakaran antara Indra dan Ameera. Sebab itulah juga, dalam benak fikirnya sudah ada satu rencana.

         Reza akur. Begitu juga Indra yang sebelumnya sudah bersedia dengan pasak kekuda. Baginya, kalau orang mahu menjual,  dia juga tak segan membelinya. Hanya pandangan mata kedua-duanya sahaja yang belum akur, saling merenung tajam.

        “Okey,semua pasang telinga. Saya nak umum senarai ahli kumpulan. Memandangkan kelas ini ada 20 orang, saya akan bahagikan kamu kepada dua kumpulan produksi sahaja. Setiap kumpulan 10 orang. Memandangkan juga Reza dan Indra sudah menunjukkan adrenalin persaingan, adalah lebih baik persaingan itu dilakukan secara sihat. Jadi, saya lantik kedua-duanya untuk menjadi ketua kepada setiap kumpulan. Reza mengetuai kumpulan produksi 1, manakala Indra akan mengetuai kumpulan produksi 2. Ada bantahan?” Dr. Romi menarik  perhatian semua pelajar. Namun, beberapa saat menunggu tiada tanda-tanda bangkangan daripada para pelajar.

       “Kata orang-orang tua, kalau diam tanda setuju. Hmm, tak ada rezeki saya nak melahap kek chocolate Secret Recipe hari ini nampaknya,” keluh Dr. Romi dengan mimik wajah

buat-buat hampanya. Niatnya tidak lain tidak bukan, ingin mencipta kembali keriangan di situ. Nyata niatnya itu bersambut.

        “Saya setuju sangat dengan cadangan Doc itu!” Jerit Amirul penuh semangat.

        “Terima kasih, Amirul. Memandangkan kamu cukup bersemangat sekali, saya beri kamu kelebihan untuk memilih kumpulan yang kamu ingin sertai.” Begitulah Dr. Romi, dalam ketegasannya tetap ada tolak ansur dan sikap menghargai pelajar-pelajarnya.

        “Semestinya saya mahu berada dalam kumpulan Reza, Doc!” Bersemangat sekali Amirul memberi kata putusnya, tanpa perlu berfikir panjang lagi. Sempat juga dia high five dengan Reza. Pastinya juga Reza cukup gembira dengan pilihan budak suruhannya itu. Makin mudah kerjanya nanti kerana sudah ada yang sukarela untuk dikerah. Dr. Romi melirik senyum melihat semangat yang ditunjukkan Amirul dan Reza itu.

        “Baiklah, beta perkenankan permintaan tuan hamba itu," kata Dr. Romi meminjam sepotong dialog teater bangsawan. 

         Amirul mengukir senyum sampai ke telinga.

        " Jadi kumpulan produksi 1 terdiri daripada Reza, Amirul… err, sekejap ya. Saya perlu buat sedikit rombakan pada senarai nama ini.” Pengumuman lanjut Dr. Romi itu tergendala seketika. Dia mengambil pen dan mencatit sesuatu pada kertas senarai nama. Ketergendalaan itu membuatkan dada pelajar-pelajar lain kembali berombak. Penuh debaran mereka menanti. Pastinya, masing-masing tidak mahu berada di dalam kumpulan yang bermasalah. Lebih-lebih lagi kepada Ameera yang sesekali tidak mahu berada dalam satu kumpulan dengan Indra. Selama ini dia Berjaya mengelak. Begitu juga Indra.

         Lain pula kepada pelajar-pelajar lain, awal-awal lagi sudah memasang impian untuk berada dalam satu kumpulan dengan Indra kerana mereka cukup mengetahui kepakaran dan pemahaman Indra dalam selok-belok pembikinan video sebegitu. Berada dalam satu kumpulan dengan Reza seumpama mencari nahas. Masak benar mereka dengan Reza yang hanya pandai mengarah dan berlagak pandai semata-mata. Mahu disimpang mereka jauh-jauh, termasuklah Juliana yang sudah cukup mengenali  Reza yang suka lepas tangan dan mengambil kesempatan itu. Dia sendiri sebenarnya berasa pelik mengapa Ameera boleh tersangkut dengan Serigala Jadian itu?

        “Okey, kumpulan 1 terdiri daripada Reza, Amirul, Juliana, Ravi, Nik, Suzie, Idris, Khairul, Jeff dan Irma.” Dr. Romi menyambung pengumumannya. Rata-rata pelajar yang disebut nama itu menarik muka hampa kecuali Amirul dan pelajar bernama Irma yang lebih dikenali dalam kalangan mereka sebagai minah gedik itu sahaja yang menunjukkan wajah keterujaan.

        “Damn!”

          Air muka Ameera terus berubah. Dia yang mengharapkan ada persimpangan terpaksa melalui jalan yang lurus kini. Ketiadaan namanya dalam senarai ahli kumpulan produksi 1 yang diumum Dr. Romi sebentar tadi memberi makna betapa dia akan berada di dalam  kumpulan yang akan dipimpin oleh musuh ketatnya. Fikirannya mula rasa dikongkong oleh lingkungan kuasa dan keegoan Indra. Hampanya makin mencengkam apabila terpaksa berpisah dengan Juliana.

         Juliana pula berbaur rasa. Sememangnya rasa hampa turut membias di hatinya kerana kali pertama terasing daripada BFFnya.Tetapi dalam waktu yang sama juga hatinya dalam diam melonjak keriangan bila berada dalam satu kumpulan dengan Jeff. Gembiranya bukan kepalang lagi dan menyingkir sedikit keresahannya berada dalam kumpulan yang diketuai oleh Reza.

          Sudah lama Juliana mengimpikan untuk berdampingan dengan Jeff dan berkerjasama dalam satu pasukan. Menjadi harapannya untuk lari daripada kejengkelan Amirul yang gila seks itu. Dia sudah naik rimas dengan perangai tak senonoh budak suruhan Reza itu. Setiap kali dia menemani Ameera melepak dengan Reza, pandangan Amirul pasti melilau ke tubuhnya. Pasti dia akan direnung atas bawah oleh si penggila seks itu. Pernah suatu ketika juga, di luar pandangan Ameera,  Amirul cuba merabanya. Sekiranya dia dapat berdampingan dengan Jeff, pasti Amirul tidak akan berani mendekatinya kerana penumbuk Jeff pernah hinggap kemuka si bedebah itu beberapa bulan yang lalu.

         “Bagi kumpulan produksi 2 yang diketuai oleh Indra pula, ahli-ahli kumpulan terdiri daripada Badrul, Razif, Abigail, Roslina, Fitri, Lukman, Alvin, Nurin dan akhir sekali ialah Ameera.” Dr. Romi melanjutkan lagi pengumumannya. Wajahnya tenang sahaja walaupun dia sudah dapat mengagak gelora yang bakal membadai.

          Sial! Seranah itu terungkap keras dalam hati Indra. Sempat juga dia menjeling kepada Jeff. Jelas juga Jeff berasa hampa.

          Seperti juga Ameera, Indra sesekali tidak mahu ada ikatan kerjasama antara mereka. Letaklah siapa sahaja dalam kumpulannya, asalkan bukan gadis bernama

Ameera Natasha Moore. Malah, kalau diletakkan sekumpulan dengan Reza sekalipun, dia masih boleh kompromi.

          Namun,dia tidak mahu membazirkan sekotak kek chocolate Secret Recipe untuk membeli pertimbangan Dr. Romi kerana dia sudah maklum, muktamad kata pensyarahnya itu takkan digugat oleh rasa sentimental. Tiada istilah pilih kasih atau berat sebelah dalam kamus hidup figura Film itu walau serapat mana seseorang itu dengannya. A takkan mungkin boleh diubah menjadi B sewenang-wenangnya. Seorang pensyarah yang penuh dengan integriti.

         “Ketua bagi setiap kumpulan produksi secara automatik juga menjadi pengarah kepada projek pembikinan video muzik tersebut. Posisi bagi krew pula, saya serahkan kuasa penuh kepada ketua untuk menentukannya. cuma penolong pengarah sahaja dah saya tetapkan.”

          Sekali lagi Dr. Romi menggoncang tangkai jantung Ameera. Dalam hatinya berdoa moga-moga dia tidak dipilih menjadi pendamping Indra. Berada dalam kumpulan yang diketuai oleh Indra sudah diakurinya walaupun seberat lori tiga tan beban itu dirasainya. Cukuplah sekadar itu. Dia tidak mahu menambahkan lagi beban emosinya. Dia lebih rela menjadi krew biasa sahaja walaupun kredit bagi posisi penolong pengarah itu lebih tinggi daripada krew-krew biasa yang lain.

          “Yes!” Irma melonjak riang apabila diumumkan sebagai penolong pengarah kepada Reza. Tanpa segan silu dia bertepuk tangan dengan Reza, betapa menunjukkan keterujaan berlebihnya. Perlakuan mereka berdua itu pantas mengundang kejutan kepada semua. Sebelum ini, rata-rata pelajar di kelas itu sudah mendengar desas-desus kisah pancaran gelap mereka berdua. Namun belum ketahuan bukti yang jelas. Ameera pula selama ini memekakkan sahaja telinganya kerana tidak percaya Reza berkelakuan begitu. Percayanya kepada Reza sepenuh hati.

          Namun kali ini, perlakuan dua muda mudi itu cukup untuk memberi satu pertanyaan kepada Ameera. Dia menjeling kepada Reza. Melihat jelingan tajam dan bertanda tanya itu, riak wajah Reza cepat-cepat berubah. Tingkah lakunya juga. Mungkin gelaran Sesumpah lebih cocok dengannya berbanding Serigala Jadian. Drama berlagak seperti tiada apa-apa antara dia dan Irma segera dipertontonkan.

         Begitu juga Irma yang seperti baru diketuk kepalanya untuk sedar dan berada kembali di alam nyata. Ikutkan hatinya, sememang dia mahu kisah antara mereka itu diketahui umum kerana sudah tidak tertahan menyembunyikan rahsia itu lagi. Ditambah pula rasa cemburunya terhadap Ameera yang membuak-buak. Namun, Reza telah memberi amaran yang keras supaya tidak membocorkan rahsia mereka itu dan mengugut akan meninggalkannya jika hubungan gelap mereka itu diketahui Ameera.

         Reza pastinya mahu mengelak hubungannya dengan Ameera berantakan. Ada agenda keluarga yang licik sebenarnya di sebalik pertautan kasih antara mereka berdua. Ayah Reza merupakan rakan kongsi perniagaan kepada ayah Ameera. Emak kedua-duanya pula sudah bersahabat sejak di zaman kolej dahulu lagi. Secara licik, ayah dan emak Reza telah mengaturkan hubungan mereka itu demi membolot kekayaan keluarga Ameera. Umpama klise telenovela Melayu siaran tv jam 7.00 petang. Biasalah, penyakit turun temurun bangsa Melayu yang tak habis-habis tamak haloba.

         Bagi Reza yang suka berfoya-foya, sememangnya dia tidak akan setia pada yang satu. Sebenarnya juga, dia tidaklah berminat sangat untuk melanjut pelajaran di jurusan filem di kampus Puncak Perdana itu. Namun, demi aturan keluarga dia mengikut sahaja seperti kerbau dicucuk hidung. Mudah bagi keluarganya untuk membuat dia menjadi Yang Menurut Perintah. Cukup dengan ugutan memotong duit poketnya. Itulah kelemahan Reza, bahana Cash is the king!

         "Dan penolong pengarah bagi kumpulan produksi 2 pula ialah Ameera." Perhatian semua pelajar sekali lagi ditarik oleh Dr. Romi.

         Ameera tergamam. Begitu juga Indra walaupun kelebihan masih berpihak kepadanya.

        "Err.. Doc, boleh gantikan dengan orang lain?" Ameera cuba mencari talian hayat.

       "My decision is final!" Terus Dr. Romi memberi kata putusnya.

        Ameera tertunduk hampa. Mahu tak mahu dia harus akur.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan