Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,377
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5


SAMPAI ke pagi Ameera tidur dengan perut kosong. Sampai ke pagi juga, egonya bertahan dengan utuh. Subuh itu, dia bangun dari lena yang menyeksakan akibat keegoan sendiri. Juliana, masih lagi berdengkur. Begitu juga dengan Fatihah dan Lindadi bilik sebelah, masih lena diulit mimpi.

            Perut Ameera mula terasa memulas.Dia sedar perutnya itu sudah dipenuhi angin. Dia menapak ke arah ruang dapur untuk meneguk air masak demi mengisi sementara perutnya. Ketika membuka peti ais untuk mengambil botol Coca-cola yang isinya air berwarna jernih, matanya sekilas terpandang satu bungkusan burger. Sekilas juga fikirannya cuba diracuni. Namun, ego di hatinya masih kuat walaupun bau burger itu terus cuba menghasut fikirannya. Dia menutup semula peti ais dan membawa botol air ke meja makan. Sebiji gelas diambilnya dari atas singki. Air dingin dari dalam botol plastik dituangnya kedalam gelas dan sepantas kilat dia meneguk air itu. Namun, nyata air itu tidak mampu untuk menghilangkan bunyi keriut di dalam perutnya. Matanya menjeling semula ke arah pintu peti ais.

            Akhirnya, tembok egonya runtuh jua.Seumpama runtuhnya ego Tembok Berlin. Dia bingkas bangun dan menuju semula ke arah peti ais. Tangannya pantas menarik kembali daun pintu peti ais itu. Burger daging special sebesar tapak tangan orang dewasa itu segera dicapainya seumpama geladangan yang sudah berhari-hari kebuluran. Plastik pembungkus burger itu dibukanya dengan pantas. Bau kelazatan burger itu menusuk lebih jauh ke liang hidungnya.  Walaupun sudah semalaman berada dalam peti ais, aroma kelazatannya belum luput. Mulutnya kemudian rakus menggigit burger itu. Dirasakan saat itu sungguh nikmat sekali. Nyata rasa burger itu juga sangat menyelerakan. Tak sampai tiga minit, sebiji burger itu ditelannya. Tak ubah seperti seekor jerung dalam filem Jaws. Ironinya, betapa dia telah menikmati burger yang telah dimasak oleh musuh ketatnya itu sehingga menjilat jari. 

          BRRRPP!

          Dia tersenyum kelucuan bila telinganya menangkap bunyi letusan gas dari saluran cernanya. Meletus bersama baunya sekali. Pasti malu besar jika rakan-rakannya sedar akan hal itu. Pantas dia membuang plastik pembungkus burger ke dalam plastik sampah. Plastik sampah itu diikatnya ketat-ketat. Lagaknya tak ubah seperti seorang penjenayah yang cuba menghapus bukti kerja jenayahnya. Kemudian dia masuk semula ke kamar tidurnya dan mengambil tuala untuk mandi. Perut rampingnya kini terasa sedikit penuh.

          Selepas Ameera masuk ke bilik air. Juliana terjaga dari lenanya. Wajahnya sedikit bengang kerana mimpinya bersama dengan Fatah Amin berguling-guling di pergunungan Kashmir tiba-tiba tergantung, seumpama vcd yang tercalar dan hang di pertengahan cerita. Dengan muka hampa dan sesekali menguap, dia menapak malas-malas ke arah ruang tamu untuk mencari Ameera. Namun, pencariannya berakhir di depan pintu bilik air. Berpandukan bunyi curahan air dan suara Toilet Got Talents, dia mendapat kepastian Ameera sedang membilas dirinya di dalam bilik itu. 

         Kaki Juliana menapak terus ke arah dapur. Tekaknya terasa haus pula. Barangkali kesan bahan perasa di dalam burger yang dimakannya malam tadi. Dalam keadaan masih mamai, dia mencapai botol air dan membuka penutup botol itu. Air dalam botol itu terus diteguknya tanpa dituang ke dalam gelas terlebih dahulu, perilaku yang cukup tak digemari oleh Ameera. Terutamanya, dengan mulut berair liur basi sebegitu. Selepas hilang dahaganya, dia menutup semula botol itu dengan penutup dan meletakkan kembali botol itu  ke rak  peti ais. Pintu peti ais itu kemudian ditututpnya. Namun, tiba-tiba dia terperasan sesuatu. Lantas dia menarik semula pintu peti ais. Meniti senyum di dua tubir bibirnya.

         Beberapa minit Ameera membilas dirinya di dalam bilik air, dia keluar sambil mengelap rambutnya dengan tuala. Menyedari Juliana sudah bangun dan berada di ruang tamu, dia menyapa rakannya itu.

            “Hoi, cepat pergi mandi! Don’t dare to switch on tv tu. Tak nak terlewat lagi, macam semalam.”

            “Alah, best apa terlewat,”balas Juliana dengan senyuman nakal dan lagak malasnya.

            “Apa yang bestnya?” Ameera menjenggil matanya.

            “Dapat jumpa Mr Skinhead,” usik Juliana. Senyuman nakalnya makin senget.

            “Kau jangan nak putus mood aku balik, tak nak aku bertembung dengan si budak botak itu!” Ameera mencebik.

            “Okey-okey, aku pergi mandi sekarang.” Cepat-cepat Juliana bangkit. Tak mahu dia membangkitkan kembali kemarahan rakannya itu. Pasal malam tadi pun masih berlegar-legar di benak kepalanya.

            Sebelum jam 8.00 pagi lagi, dua sahabat itu sudah tiba di kampus Puncak Perdana. Menyedari masih ada waktu, mereka melencong ke Kandang terlebih dahulu untuk bersarapan.

            “Eh, kau nak makan apa?” Soal Juliana, lebih kepada menguji sebenarnya.

            “Aku nak minum saja, order aku teh hijau,” balas Ameera yang tiba-tiba sibuk dengan telefon bimbitnya. Pagi-pagi lagi Reza dah bermanja-manja dengannya. Teh hijau memang popular di situ sebab rasanya sedap dan dibawa dari Thailand. Pembuatnya juga awek siam yang cun melecun. Kerana itu jugalah pelajar-pelajar lelaki suka melepak di gerai itu.

            “Tak nak makan ke?” Juliana terus dengan niat nakalnya untuk menguji rakannya itu. Ameera sekadar menggeleng kepalanya.

            “Eh, tak lapar ke? Hari ini kelas full sampai tengah hari. Dari malam tadi kau tak makan.”  Juliana sengaja mahu melihat reaksi Ameera.

            Riak wajah Ameera sedikit berubah. Kepalanya diangkat sedikit kepada Juliana.

            “Err…aku masih kenyang.”

            Juliana spontan memberinya satu sengihan.

            “Apa sengih-sengih, I’m just don’t want to waste it.” Ameera pantas memahami maksud sengihan senget Juliana itu.

            “Aku tak kata apa pun.” Juliana membalas dengan gelakan kecil ketika bangun untuk ke kaunter.

            “Aku faham maksud sengihan senget kau tu, tapi tak memberi apa-apa makna okey! ” Ameera mula merah pipinya.

            “Ya lah Cik Ameera Natasha Moore. I understand,” ulas Juliana dengan senyuman melirik di bibirnya. Dia berlalu ke kaunter meninggalkan seketika Ameera yang sedang menahan malu.

            Ketika Juliana membuat pesanan di kaunter, Jeff tiba-tiba muncul. Dia juga mahu membuat pesanan.

            “Hai, Jeff,” sapa Juliana segan-segan.

            “Hai,” balas Jeff acuh tak acuh. Penyakit menyampah dah berjangkit kepadanya juga. Setiap yang ada kena-mengena dengan musuh Indra turut akan bersangkut paut kepadanya. Lebih-lebih lagi juga Juliana selalu melepak bersama Reza Asyraf, seteru yang sudah mempunyai sejarah permusuhan dengannya.

            “Err, order minuman ke?” Juliana tiba-tiba sahaja diganggu hormon gabra.

            “Tak eh, order kereta kebal sebab nak pergi berperang sekejap lagi. Dah tahu kat restoran, tanya lagi soalan bodoh macam itu,” balas Jeff bersama keluhan menyampah.

            Juliana menggaru kepalanya yang tidak gatal bersama sengihan kebodohannya. Tiba-tiba sahaja dia jadi gabra.

            “Err, seorang sahaja ke?” Soalan bodoh nombor dua keluar lagi dari mulut Juliana walaupun dia sendiri sudah tahu jawapannya.

            “Sudah kanggaru buaya pula, sudah tahu bertanya pula. Kak, bungkus saya milo ais satu, pagi-pagi dah rasa panas.Satu lagi kopi o suam. Ikat tepi ya.” Jeff terus dengan sikap cuba mengabainya. Juliana akur. Walaupun dia cuba mahu berbaik-baik, dia tahu rakan akrab Indra itu juga tidak menyenangi setiap orang yang rapat dengan Ameera.

            “Err, Jeff! Tunggu sekejap.” Juliana cuba menahan Jeff daripada terus berlalu selepas teringatkan duit bayaran harga burger malam tadi.

            “Ada apa lagi? Soalan bodoh nombor tiga ke?” Jeff merengus.

            “Ini duit bayaran harga burger malam tadi.”

            “Duit harga burger?” Jeff mengerut dahinya.

            “Malam tadi kan saya ada order burger dengan awak. Indra yang hantar, tapi dia tak ambil bayarannya sebab berlaku perang mulut dengan Mer, tahu sajalah mereka berdua tu.” Juliana menjelas,

            “Err… oh, jadi awak lah pemesan dari Alam Budiman itu ya.” Jeff mula mengerti. Juliana mengangguk dengan senyuman. Riak wajah Jeff perlahan-lahan berubah. Menyesal pula dia bersikap kasar dengan Juliana tadi.

            “Tapi,  Indra dah bagi duit harga burger itu waktu balik dari membuat penghantaran malam tadi,” ujar Jeff. Kini dia pula menggaru kepalanya yang tidak gatal.

            “Oh, ya ke? Hmm, maybe dia guna duitnya sendiri sebab dia memang tak ambik duit ini. Nah, pulangkan balik duit ini kepada Indra.” Juliana membuat konklusi. Jeff mahu tak mahu menyambut huluran Juliana itu. Kemudian Jeff berlalu dengan satu tangannya masih mengaru kepala yang tidak gatal. Rasa kesal dengan sikapnya terhadap Juliana tadi juga masih bersarang di benaknya.

            Usai membuat pesanan makanan dan minuman, Juliana kembali semula mendapatkan Ameera.

            “Hai, nampak panjang lebar berborak dengan kawan si skinhead itu. Ingatkan dah tak ingat pada aku yang sedang haus menunggu ni.” Ameera memerli saat Juliana melabuh kembali punggungnya ke kerusi.

            “Mana ada berborak panjang, aku cuma bagi duit bayaran harga burger malam tadi aje.” Juliana kembali mengukir sengihan sengetnya.

            “Kau jangan sebut pasal burger itu lagi, boleh tak?” Ameera mencebik, buat-buat merajuk.

            “Ya lah, ya lah. Jom cepat minum, kejap lagi kelas dah nak mula. Kan tak pasal-pasal menadah telinga leter Dr. Romi pulak.”

               “Hah, tahu pun takut,”

               Kedua-duanya kemudian tersembur tawa.

             “Tapi, boleh tahan sedapnya kan?”

              “ Jue!”


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan