Bab 3

Sebuah kenderaan hitam melintasi aku di hadapan mata.

Laju. Sangat laju.

Tak lama selepas itu, datang pula sebuah lori simen. Juga melintasi aku.

Pap!


Pen yang dipegang aku hentak kuat ke atas meja.

Tolong. Janganlah perkara yang sama datang kembali.

Aku tak pasti aku di mana. Tapi yang aku tahu, aku berada dalam sebuah kereta proton saga merah.

Kereta ayah aku dulu.

Suasan di sini pula gelap. Mujur masih ada sama-samar cahaya yang membenarkan aku memerhati sekeliling.

Berkali-kali aku cuba untuk menghidupkan enjin. Namun seperti biasa, aku gagal.

Seat belt yang mengganggu keselesaan aku cuba untuk buka. Tapi entah kenapa, macam ada yang tersangkut.


Ya Allah... Tolonglah. Aku nak siapkan kerja aku sikit saja lagi. Janganlah perkara seperti ini datang buat kali yang entah ke berapa.

Tolonglah. Jangan.

Aku menarik-narik seat belt tersebut. Tak boleh lagi.

Aku tahu apa akan jadi kalau aku tak lari sekarang.

Kereta hitam tanpa plat nombor, bersama dengan lori simen tadi makin mendekat.

Memang. Aku boleh mati kalau kena langgar lagi.


"Ya Allah..."

Tak ada kata yang mampu aku ucapkan ketika ini melainkan nama Yang Maha Kuasa. Bayangan demi bayangan kembali hadir dalam kotak fikiranku.

Macam biasa, hampir tiap malam segala memori pahit akan menerjah.

Mungkin boleh katakan yang aku terlampau banyak berfikir. Tapi aku tak mampu nak tahan.

Macam yang diandaikan,  sebuah kereta hitam bersama-sama dengan lori simen tadi merempuhku kuat.


Dengan kelajuan dan berat dua buah kenderaan, kalau difikirkan secara logik akal, pastinya aku akan mati.

Tapi tak. Aku masih ada di sini. Masih dapat menghirup oksigen.

Cedera sikit, itu normal.


Aku meraup wajahku kasar. Rambutku juga habis diserabaikan.

Aku mungkin boleh dikatakan selamat kerana masih diberikan peluang melihat dunia.

Tapi, fikir mereka akan terus berhenti?

Tidak.

Kalau tadi, ada sebuah kereta bersama sebuah lori simen. Kini, bilangan kenderaan bertambah.

Dua buah motor polis.

Nampak seperti mustahil motor tersebut tidak akan mengalami kemalangan, kan? Yalah, ianya hanya sebuah motor, sedangkan aku sedang berada dalam kereta.

Siapa kata motor-motor tersebut ingin melanggarku? Mereka hanya mahu menambahkan beban di fikiranku.

Tanganku terketar-ketar. Kepalaku terasa berat sekali.

Macam ada batu besar yang terjatuh di atas kepala.

"Ya Allah... Bantulah hambaMu ini Ya Allah..."

Motor-motor tadi melintasi bahagian sisi kereta saga milik ayahku. Satu di sebelah kanan, satu lagi di sebelah kiri.

Dan kedua-duanya sedang menyebut perkataan 'mati'.

Selepas dua buah motor tadi hilang dari pandangan, datang pula sebuah lagi lori simen.

Jadinya sekarang, ada dua buah lori simen bersama dengan sebuah kereta hitam.

Dan dengan sekelip mata, aku dilenyek oleh tiga kenderaan. Badanku berkecai. Cecair merah mula membasahi jalan yang aku sendiri tak tahu di mana.


Mataku dipejam rapat. Air jernih dari tubir mataku seakan-akan hampir menitis.

Peritnya nak melawan fikiran sendiri.

Badanku berpeluh teruk. Kipas yang menari-nari di atasku seakan tidak ada fungsi.

"Ratna, kau okay tak ni?"

Hajar. Itu suara Hajar. Mungkin dia dah bangun untuk berqiam.

Soalan tadi aku abaikan. Memang aku nampak tengah okay pun sekarang ini.

Aku kini menarik nafasku sedalam-dalamnya meskipun tersekat-sekat.

Chill Ratna... Kau dah biasa.

"Nah. Kau minum dulu air ni."

Air yang dihulur oleh Hajar aku ambil dengan sedikit kasar.

Ya Allah... Tangan aku masih terketar-ketar sekarang. Bayangan aku dilenyekkan lori tadi masih terngiang.

"Selawat Ratna. Tarik nafas... Lepas. Tenangkan dulu fikiran kau. Ingat Allah."

Saranan Hajar aku ikuti. Aku menarik nafasku perlahan-lahan sambil mulut tidak lepas dari berselawat. Hajar pula kelihatan masih menggosok lembut belakang badanku. Cuba menenangkan aku yang sudah tidak keruan.

"H... Hajar.... ak... aku takut. A... aku tak sanggup nak alami lagi perkara yang sama."

Sakit.

Penat.

Dan paling penting, takut.

Itu yang aku rasa ketika ini.

Hajar cuba merangkul tubuhku. Sekelip mata, aku sudah berada dalam pelukan erat seorang insan bernama sahabat.


"Dah, Ratna. Tak ada apa. Itu semua hanya sekadar bayangan."

Bayangan.

Ya, itu hanyalah bayangan.

***

"Mak aku kata lagi lima minit dia sampai. Kau nak mak aku hantar dekat TBS ke?"

"Boleh juga."

Macam yang semua tahu, hari ini cuti semestar telah pun bermula. Memang sejak pagi tadi lagi aku nampak ramai yang mula bersesak-sesak di  kawasan hostel ini. Semua tak sabar mahu pulang ke kawasan halaman.

Hajar pula, masih sibuk mengemas barang dia. Mak dia dah nak sampai katanya.

Disebabkan aku tak nak ikut dia balik... Terpaksalah aku tumpang juga Si Hajar ni untuk dihantar ke Terminal Bersepadu Selatan. Kalau nak tempah grab ataupun teksi... mahal sangatlah pula.

Aku memang dah siap kemas barang malam tadi. Tak mainlah last minute ni.

Lain pula dengan Hajar. Dia selagi belum mak dia cakap 'dah nak sampai', selagi itulah dia tak akan usik barang-barang dia.

Jaranglah perempuan macam ni kan? Tapi tulah, kawan aku ni limited edition sikit.

"Bila lagi kau nak siap, Aja? Kan aku dah pesan sebelum ni... Janganlah suka sangat mengemas minit-minit akhir macam ni. Nanti tertinggal itu, tertinggal ini, kau bising dekat aku juga," bebelku.

Macam cuti sebelum ni, dia pergi tuduh aku yang aku sorok laptop dia. Sedangkan laptop dia tu ada saja dekat atas meja. Last minute punya kerja kan... Memanglah macam tu.

"Ya, ya. Aku dah siap dah ni. Jomlah turun. Kau tu mana barang-barangnya?"

Aku hanya memandang Hajar yang sedang menarik bagasinya hingga ke bahagian hadapan pintu dengan riak kosong.

Dia tanya barang aku kat mana ke? Barang aku dah lama ada dekat depan pintu itu juga. Seriuslah dia tak perasan?

"Ratna. Mak aku kata dia dah sampai. Dah ada dekat tempat parkir blok A.

Aku hanya buat tak endah. Memanglah dia kata mak dia dah sampai. Tapi dia baru nak kemas meja belajarnya yang memang macam tongkang pecah.

"Ratna! Cepatlah..."

Kali ini, aku pandang dia dengan jelingan tajam. Nasib aku fikir yang dia ni anak orang je... Kalau tak, dah lama aku humban dia dalam tanah.

Boleh pula disuruh untuk cepat... Padahal dia yang lambat.

"Kau dah siap kemas belum tu? Lain kali buatlah lagi kerja minit-minit akhir macam ni. Banyak faedah."

"Bisinglah kau."

Eleh. Padahalnya dia bising juga. Aku jadi banyak mulut pun lepas terjangkit dengan dia. Tahu nak marah aku je...

Aku membuka pintu. Suis-suis yang patut ditutup aku padamkan. Bilik ni nanti akan ditinggalkan tanpa berpenghuni selama sebulan lebih. Jadi, kenalah tinggalkan dalam keadaan yang elok.

Selepas yakin tiada apa-apa lagi yang tertinggal, kami mulai melangkah keluar dari bilik dan berjalan menuju ke tempat parkir di Blok A.

Blok A tidaklah jauh sangat pun. Hanya dengan berjalan kaki selama dua minit, sampailah kami ke tempat tersebut.

Kami hanya menunggu kereta Myvi ibu Hajar menjemput kami di bahu jalan. Malas nak melilau untuk cari kereta ibu dia nanti.

Tak sampai satu minit menunggu, kereta Myvi milik ibu Hajar sampai betul-betul dihadapan kami.

Aku dan Hajar mengangkat bagasi untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta.

Aku baru sahaja mahu mengangkat bagasiku, tiba-tiba ada satu tangan yang menarik kasar.

"Kau masuk jelah dalam kereta tu dulu. Nanti mak marah aku pula sebab tak tolong kau. Kalau bukan sebab aku nak pergi jumpa member lama aku kat sini, memang taklah aku nak ikut pergi ambil kau sekarang. Dah besar tapi menggedik juga nak mak ambil. Bukannya tak boleh nak naik bas aje. Nampak sangat kau tu nak jimat duit. Dahlah kedekut, aku minta sikit nak buat beli baju baru pun kau tak nak bagi. Kan dah menyusahkan aku, mak... Kau tahu tak yang mak tu kena ambil cuti..."

"Dik, kau tak boleh diam eh? Kalau rasa tak ikhlas nak tolong... Baik kau duduk diam je."

Tak, yang cakap tu bukan Hajar. Tapi aku.

Kan aku dah cakap, perangai adik Hajar ni memang mencabar...

"Weh! Tak cakap pun kawan kau ada sekali! Minah ni nak menumpang lagi ke? Bapak tak malunya dia... Rumah sendiri ada kan!"

Ya Allah... Sakit pula hati aku. Apa ingat aku nak sangat ke balik rumah dia? Kena paksa lagi adalah.

"Syafiq! Jaga sikit mulut tu. Jangan nak kurang ajar sangat."

Suara wanita separuh abad yang separa menjerit kedengaran.

Ambik kau... Kan dah kena marah dengan mak sendiri.

Aku mengintai sebentar bahagian dalam kereta. Cis! Hajar dah masuk ke dalam lama dah rupanya.

Segala jenis bagasi aku tinggalkan sahaja di atas jalan. Tadi budak tu kata dia nak masukkan barang-barang dalam bonet kan... Buat apa lagi aku nak susah-susahkan diri sendiri untuk angkat bagasi tersebut.

"Woi, woi! Kau nak pergi mana tu? Kalau barang kau, kau masukkan sendirilah! Dahlah menumpang, lepastu nak suruh-suruh orang buat kerja pula."

Haihlah. Aku jarang jumpa lelaki yang mulut sebiji macam makcik-makcik ni. Syafiq ni orang pertama mungkin. Entahlah, aku pun jarang bergaul dengan kaum adam ni.

"Maaflah ye. Tapi aku tak suruh kau buat pun tapi, kau sendiri yang nak buat, betul tak?" jawabku sambil tersenyim sinis.

Syafiq masih memanggil-manggilku. Aku hanya memekakkan sahaja telinga dan terus masuk ke dalam kereta milik ibu Hajar.

"Assalamualaikum auntie..."

Aku menyapa lembut Auntie Iqa, ibu Hajar. Huluran tangan turut diberikanku.

"Waalaikumussalam. Ratna apa khabar? Sihat."

'Tak.'

"Alhamdulillah, sihat saja auntie. Auntie pula macam mana?"

"Amboi-amboi ibu... Khabar Ratna tanya sangat eh? Anak ibu ni ibu tak layan pun kan? Nak merajuklah macam ni."

Jelingan tajam aku berikan pada Hajar yang duduk di sebelahku. Dengan aku pun dia nak cemburu ke? Macam budak-budak.

"Ratna, auntie nak tanya kamu ni..."

Aku kaget seketika sebelum menjawab soalan Auntie Iqa.

"Tanya apa auntie?"

"Hajar memang mengada ke?"

Soalan itu membuatkan aku tergelak terbahak-bahak.

Haah auntie. Mengada sangat. Semalam dia baru menangis dekat bahu saya. Habis basah baju saya dengan air mata dia.

"Gelak dah serupa macam Kak Ponti."

"Kau tak puas hati cakap ajelah."

"Ibu! Tengok Ratna."

Heh. Dasar anak manja betul Hajar ni. Sikit-sikit nak mengadu. Maklumlah, dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga tersebut.

Auntie Iqa hanya tersenyum kecil melihat gelagat kami yang tak ubah macam budak tadika. Namun senyumannya hanya sekejap sebelum wajahnya kembali beriak biasa.

"Ratna nak auntie hantar sampai dekat TBS aje kan? Betul tak nak balik sekali?"

Sekali lagi. Tolonglah. Bila aku cakap tak, maksudnya tak. Aku rasa Hajar pun dah bagitahu ibunya. Kenapa perlu tanya lagi?

"Haah auntie. Hantar TBS aje."

"Lambat lagi ke nak gerak ni? Penat tahu tak Fiq angkat barang tadi?"

Aik. Bila masa pula budak ni masuk kereta?

"Mak! Jomlah gerak. Silau tau duduk sini."

Tangannya menutup mata. Yalah, depan dia tu betul-betul cahaya matahari yang memancar.

"Yalah, yalah. Kita on the way ke terminal dulu, hantar Ratna."

Aku tersenyum nipis, "terima kasih auntie."

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh