Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
30,020
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

Bab 10


“Warna apa? Pink ke ungu?” soal Azriq sambil menepuk bahu Ilham yang sejak tadi berangan sambil menongkat dagu di rak baju. Dia terlalu asyik memandang tona warna lembut di depannya. Azriq keliru, tak tahu yang mana satu hendak dipilih.

“Ilham!” panggil Azriq dalam nada merajuk. “Kau ni langsung tak dengar kan aku cakap dengan kau.”

“Dua-dua okaylah,” balas Ilham sambil melangkah ke bangku baldu berwarna putih bertentangan dengan fitting room.

Matanya mengikut lenggok Azriq yang sedang sibuk membelek baju-baju di rak. Gaya rambutnya seakan perempuan, panjangnya sudah sama paras dengan bahu, dikaratkan dengan highlight warna maroon. Azriq mengenakan t-shirt putih berjalur pink dengan seluar paras lutut. Dia menyarungkan sandal lelaki di kaki. Tiba-tiba saja fikiran Ilham melayang, mengenangkan teguran mama. Salahkah dia berteman dengan Azriq?

Memang benar Azriq lemah lembut orangnya tetapi bagi Ilham, selagi hubungan mereka tidak terpesong, dia masih menghormati sahabatnya itu. Ilham tidak pernah menaruh hati pada Azriq. Sungguhpun dia suka memasak dan mengemas, dia sedar yang dirinya anak Adam. Ilham tak pernah lari dari tanggungjawabnya sebagai lelaki. Dia juga punya impian, keinginan untuk beristeri dan mempunyai anak-anak dari benih yang halal.

“Riq, aku tengok kau ni makin rapat dengan Herdi tu,” tegur Ilham yang sejak tadi menyepi. Dia memandang air muka Azriq yang tampak resah sedikit apabila hal Herdi dibangkitkan.

“Kenapa kalau aku rapat dengan dia? Kau tu kan selalu sibuk, dah jarang ada masa temankan aku. Setiap kali aku ajak keluar aje mesti sibuk,” balas Azriq, sedikit bergetar suaranya, seakan gugup.

“Tak adalah. Cuma banyak benda tak elok aku dengar pasal dia. Kau tu hati-hati sikit. Nak pilih kawan berpada-pada. Jangan nanti kau terikut sama macam dia,” ucap Ilham, memberi peringatan.

Ilham bimbang kalau-kalau Azriq akan terikut-ikut perangai Herdi. Dia tahu Herdi memang sudah terpesong jauh. Pasangan Herdi semuanya dari spesies sendiri, sudahlah asyik bertukar-tukar tiap bulan. Semua nasihat teman-teman mereka masuk telinga kanan, keluar semula melalui telinga kiri.

“Kau cemburu kalau aku rapat dengan Herdi?” soal Azriq tiba-tiba.

Azriq meninggalkan pakaian yang mahu dicubanya di atas rak. Langkahan kakinya disusun ke arah Ilham. Dengan sopan, dia duduk di sebelah Ilham, menantikan jawapan yang tak pernah meniti di bibir Ilham selama beberapa tahun mereka berkawan.

“Aku tak cemburu. Buat apa aku nak cemburu. Kita berhak kawan dengan siapa saja yang kita nak,” balas Ilham.

Air muka Azriq bertukar kelat, merajuk. Dia bangun semula, melangkah ke rak yang tak sampai dua minit ditinggalkan tadi. Dia menarik baju yang mahu dicubanya ke dalam fitting room berdekatan.

“Cuma…” Ayat Ilham tergantung di situ.

Azriq menoleh semula.

“Aku tak nak kau terpesong sama,” sambung Ilham.

Air muka Azriq yang berubah-ubah dari keliru ke kelat tadi kini bertukar ke marah yang bercampur-baur dengan terkilan. Dia sekali lagi melangkah ke arah Ilham. Baju-baju di tangan dicampak ke Ilham, melepaskan amarah yang memanggang jiwanya. Dia terus bebal sambil kakinya menendang-nendang angin.

“Riq, apa ni?” soal Ilham, tidak mengerti.

Ilham bangun, berdiri menghadap Azriq.

“Hey, jantan! Kau ingat aku ni apa? Tak ada perasaan? Dah bertahun aku ke hulu-hilir dengan kau. Sekarang kau dah masuk hospital tu, dah banyak misi lawa, kau ingat kau nak buang aku! Buat macam selama ni kau tak ada perasaan kat aku?!” marah Azriq. Dia terus menumbuk dada Ilham.

“Kau ni dah gila ke? Apa kau merepek ni?” soal Ilham dalam nada terkejut.

Ilham menggenggam pergelangan tangan Azriq, cuba menahan dari tumbukan bertalu-talu yang menghentam dadanya. Sakitnya hanya TUHAN yang tahu. Meskipun Azriq lembut sifatnya tapi kudratnya tetap kudrat seorang anak Adam. Tumbukan tangan lebarnya masih menyakitkan dada, menyesakkan nafas Ilham.

“Kau kata aku gila? Sampai hati kau, Ilham! Bila kau susah, tak ada kawan, kau cari aku. Sekarang, kau dah ada ramai nurse cantik kat hospital tu, kau lupakan aku! Dulu kau yang beriya-iya tunjukkan yang kau tu ada hati kat aku. Sekarang bila ramai pilihan lain, kau dah tak suka kat aku lagi kan? Kau ni memang bukan anak jantan!” marah Azriq.

“Riq, memang aku ni bukan anak jantan. Aku bukan binatang kau faham tak?! Aku lelaki!” balas Ilham. Dia memegang bahu Azriq. “Kau tu pun sedarlah! Kau tu lelaki! Cuba bawa mengucap! Jangan tertipu dengan si Herdi tu!”

“Kau ni memang bodoh! Buta!” jerit Azriq sambil menempis tangan Ilham. Dia berlari keluar, meninggalkan Ilham terpinga-pinga sendirian.

“Aghstafirullah al-azim,” ucap Ilham sambil memerhatikan kelibat Azriq menghilang. Dia tidak terniat untuk mengejar.

Ya Allah. Malunya. Ilham menundukkan muka apabila menyedari ada berpasang-pasang mata yang sedang terarah kepadanya. Ada jua jelingan yang menuduh dulu tanpa usul periksa. Ya Rabbi. Dia malu.

Tak pernah terniat di hatinya untuk menyimpangkan persahabatan mereka ke jalan yang penuh noda dosa. Baginya, Azriq hanyalah seorang sahabat normal. Bertahun-tahun dia terlepas pandang niat hati lelaki itu terhadapnya.

Bodohkah dia? Ya, memang dia terasa dungu. Dia kesal kerana memberi harapan palsu secara tidak sengaja pada Azriq. Kalau dari dulu, dia menyedari yang sahabatnya itu sudah terpesong, pasti sejak awal lagi sudah dihulurkan tangan untuk membantu sahabatnya keluar dari jalan itu.

* * * * * *

Azriq


Malu. Malu. Malu. Rasa itu semakin menebal dalam diri Azriq, membuatkan matanya tidak mahu pejam. Insiden siang tadi berlegar dalam ruang ingatan. Ya. Dia bodoh kerana mempercayai Herdi.

Kata Herdi, Ilham menyintainya. Herdi memujuk dia menerima hakikat bahawa lelaki sepertinya takkan dicintai mana-mana wanita. Mereka takkan dapat menerima perwatakan lembutnya. Kini, dia sudah kehilangan satu-satunya sahabat yang menganggap dia sebagai lelaki di sebalik kelembutan dan keayuan sifatnya.

Bukan niatnya untuk berkelakuan seperti perempuan. Bukan niatnya untuk menyukai sesuatu yang cantik, gemar pada make-up dan berdandan. Dia sememangnya begitu meskipun dia cuba sedaya upayanya untuk menidakkan ia. Sejak kecil, dia memang bersifat lembut, bersopan santun seakan wanita.

Azriq pernah cuba bergaul dengan lelaki-lelaki sempurna yang lain tetapi dirinya dipinggirkan. Mereka menuduh dia cuba memikat mereka. Dia diketawakan, diperbodohkan dan dihina sepanjang pengajiannya di kampus. Mereka tidak mahu menerima keadaannya yang sebegitu.

Azriq pernah jatuh cinta. Dia pernah berjuang untuk memenangi hati seorang Hawa. Tetapi, suara hatinya diketepikan kerana sifatnya yang lembut. Tak ada Hawa yang sudi mendampinginya, sudi menerima keadaannya seadanya. Dalam menepuh hidup sunyinya, dia berkenalan dengan Ilham. Hanya Ilham yang mengerti perasaannya.

Berkali-kali dia cuba menidakkan apabila ada teman-temannya yang sudah jauh menyimpang mengatakan dia dan Ilham adalah pasangan kekasih. Dia tahu hubungan itu berdosa. Meskipun dia bersahabat dengan teman-teman seperti itu, dia tidak pernah terfikir untuk mengikut hala tuju yang sama. Malahan dia selalu menasihati mereka agar berubah. Dalam hatinya, dia masih mengakui yang dia seorang lelaki. Dia masih turun ke masjid tiap Jumaat untuk menjalankan ibadah yang diwajibkan ke atasnya.

Tetapi, dia tunduk juga apabila ditakutkan Herdi. Kata Herdi, kalau dia tidak menghargai perasaan Ilham kepadanya, dia akan kehilangan Ilham. Dia akan hidup sendirian sampai ke tua. Untuk apa dia mengharapkan cinta seorang Hawa sedangkan dia tahu tak ada satupun yang akan jatuh cinta pada kelembutannya. Herdi menyuruh dia menerima kenyataan bahawa dia bukan seorang lelaki normal. Herdi menyuruh dia memilih sama ada hidup bertemankan Ilham ataupun hidup sendirian sehingga ke akhir hayatnya.

“Bodoh! Bodoh!” jerit Azriq sambil menolak semua barangan make-up di atas meja berdekatan cermin.

Air matanya meleleh, mencairkan eye liner yang dilukiskan ke matanya. Dia mencapai tisu, cuba menanggalkan foundation yang disapu ke pipinya. Setelah gagal, dia membasahkan kapas dengan make-up remover dan menyapunya pada seluruh muka. Semua make up yang melekat pada mukanya ditanggalkan satu per satu.

Beg sandangnya dimuatkan dengan beberapa helai t-shirt berwarna-warni yang diambil dari dalam almari. Dia mengambil dokumen-dokumen penting dari lacinya. Tanpa berlengah, dia terus keluar dari rumah bersama segugus kunci.

“Riq!” panggil Herdi yang menanti di depan pintu.

“Kau nak apa?” soal Azriq geram. Dia menekan mangga pada pagar besi. Kemudian, dia terus melangkah laju ke jalan, mahu menahan teksi. “Tak puas lagi kau malukan aku selama ni? Tak puas?”

“Riq?”

“Tepilah!” bentak Azriq sambil menolak Herdi ke tepi.

“Kenapa dengan kau?” soal Herdi. Dia menarik lengan Azriq, tidak mahu membiarkan lelaki itu meninggalkannnya sebelum memberi penjelasan.

Azriq mematikan langkah.

Kenapa dengan aku?!” soalnya kembali. Dia menghempaskan begnya ke atas jalan tar. Tubuh Herdi ditolaknya ke belakang sekali lagi dengan kudrat keras.

Persoalannya bukan aku. Tapi, kau! Kenapa dengan kau? Apa sebenarnya masalah kau? Kau tau siapa aku? Aku ni lelaki! Ilham tu lelaki! Tak mungkin aku boleh hidup dengan dia! Kau yang mengiyakan benda yang sepatutnya jadi! Kau sogokkan aku dengan impian-impian bodoh kau!”

Ilham tolak kau?” soal Herdi, meneka.

Habis, kau ingat dia nak kahwin dengan aku? Kau ingat dia cintakan aku?” soal Azriq dalam nada lantang.

Jangan pedulikan Ilham lagi. Kalau Ilham tak sayangkan kau, pilihlah aku. Ilham tak layak untuk kau. Betul tak aku cakap? Lepas dia kerja kat hospital tu, dia akan lupakan kau!” ungkit Herdi sambil cuba menarik tangan Azriq.

Sebuah teksi berhenti di bahu jalan. Pemandunya membongkok sedikit melihat dua orang lelaki ayu yang sedang tolak-menolak. Dia menggelengkan kepala.

Please jangan pergi. Tolong jangan biarkan apa yang jadi antara kau dan Ilham rosakkan hubungan kita. Aku sayang kau,” ucap Herdi.

Ingat TUHAN, Herdi. Aku dah buat silap sekali. Aku takkan buat silap lagi,” ucap Azriq sambil mengesat air matanya yang gugur.

Silap apa?” soal Herdi.

Insaflah, Herdi. Apa kita buat selama ni salah! Ni bukan kita! Bukan!” cetus Azriq.

Azriq masuk ke dalam teksi dan cepat-cepat menarik daun pintu, menghalang Herdi dari cuba masuk ke dalam. Hatinya terasa sakit yang teramat. Dia malu. Dia takut. Semua rasa itu berjelaga dalam hatinya. Dia teringatkan abangnya, Nukman dan adiknya, Halem. Dia menyesal kerana tergamak meninggalkan mereka.

Barangkali inilah balasan untuk orang jahil sepertinya, tidak mempunyai pegangan yang kuat. Inilah selayaknya diterima kerana mempercayai Herdi. Dia terlupa ajaran ibunya, pesanan abangnya. Dia hilang dalam alpanya, merealitikan apa yang tidak sahih. Belum terlewat. Meskipun terpaksa merangkak dan mengesot, dia akan terus meloloskan dirinya dari dunia khayalan itu. Dia mahu berpijak pada paksi yang nyata, berpegang pada apa yang benar.











Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.