Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,671
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Bab 4

Tiga minggu kemudian…


Bahagia adalah satu mitos. Kata orang, hidup ini bagaikan roda, adakalanya kita di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Tetapi, di mataku, orang yang di bawah terus-menerus dipijak. Bagaikan sudah jatuh terduduk, dipaksa pula mencium lantai. Orang di atas pula, semakin tinggi mendabik dada, lupa pada yang tertindas di bawah sana.

Adakah silapnya kerana kami dilahirkan sebagai wanita? Kaum yang dianggap lemah, yang perlukan perlindungan. Kaum yang dianggap tidak mampu memperjuangkan nasib sendiri. Namun, kalau benar kami selemah itu, di mana perlindungan itu di saat kami memerlukannya? Kenapa kami dibiarkan bagaikan daun kering yang gugur, mengikut arah angin ke sana sini tanpa arah yang pasti?

Aku mencari di segenap sudut, mencari apa ertinya hidup seorang hawa. Di depanku, yang kelihatannya hanya sakit dan payah. Mama dan Latifa bukti terdekat. Aku teringatkan mama yang duduk di atas kerusi roda saban hari, memandang ke luar tingkap, menanti dia yang bergelar suami pulang ke rumah. Papa tak pernah pulang. Papa tidak pernah menelefon untuk bertanya khabarnya.

Aku teringatkan Latifa yang berperang dengan emosinya, marah tanpa henti kerana risaukan suaminya berpelesaran di luar rumah. Aku teringatkan ibu kawan baikku, Lyn yang bertungkus-lumus bekerja untuk menjaga suami yang lumpuh sedangkan suaminya itu tidak pernah mengucapkan terima kasih malahan kerapkali memarahi isterinya yang sudah penat bekerja. Aku teringatkan Mak Yong Kamisah yang dijamu dengan tamparan oleh Pak Asyim kerana kopi yang dibancuhnya terlalu panas.

Di mana letaknya kebahagiaan seorang isteri? Kata orang syurga seorang isteri letaknya di bawah telapak kaki suami. Tetapi mengapakah kerap benar tapak kaki sang suami melayang ke kepala dan tubuh isteri? Kalau kesakitan itu diibaratkan sebagai syurga dunia, biarlah dia tidak bertemu syurganya. Biarlah dia membujang sampai ke tua.

Kau fikir apa, Iris?” soal Lyn, memecah kebisuan yang sejak tadi mewujudkan aura sepi. Mereka duduk di situ berdua. Tetapi masing-masing kelu tanpa bicara.

Kenapa perempuan selalu disakiti, Lyn? Kenapa lelaki boleh buat sesuka hati, sakitkan perempuan yang mereka sayang?” soal Cahaya.

Lyn tersenyum.

Bukan semua lelaki macam tu. Ada lelaki yang pentingkan diri. Tetapi ada juga yang setia, penyayang,” sangkalnya lembut.

“Tapi, kebanyakan lelaki suka menyakiti. Mereka berlagak macam ada kuasa veto ke atas perempuan. Macam perempuan ni barang,” ucap Cahaya sambil melipat kertas F4 yang mengandungi nota Kimianya menjadi kapal terbang kertas. Kapal terbang itu dilayangkan ke udara, mengikut arah angin sebelum mendarat atas rimbunan pohon hijau.

“Kau banyak sangat fikir, Iris,” balas Lyn.

Cahaya tersenyum.

“Tapi, betul kan?” soalnya.

Lyn. Menggelengkan kepala.

“Jangan fikirkan benda-benda macam ni, memberatkan fikiran kau. Satu hari nanti kau akan jumpa lelaki yang baik untuk kau, lelaki yang akan jaga kau dan sayangkan kau sampai mati. Masa tu nanti kau takkan ungkit semua ni lagi,” balas Lyn.

Cahaya terdiam.

“Oh, ya! Aku selalu nak tanya tapi selalu tak teringat. Habis SPM, kau nak ke mana, Iris?” soal Lyn.

Tangannya menggenggam tali beg galas yang beratnya tak sampai sekilo, hanya menampung nota-nota catatan ringkas dan beg kain yang digunakannya untuk menyimpan alat tulis. Dia menarik kain baju sekolahnya sedikit sebelum duduk mencangkung di sebelah Cahaya yang sedang bersandar pada pagar sekolah.

“Kau nak masuk U?” soal Cahaya kembali

Cahaya tidak menjawab soalan yang ditanyakan Lyn. Matanya disauhkan nun jauh di angkasa. Gumpalan awan raksasa mencipta bentuk-bentuk unik yang kemudiannya dicerna pemikiran Cahaya kepada bentuk-bentuk flora dan fauna bumi. Dia tersenyum sendiri, menidakkan gelisah yang cuba menyerap masuk ke dalam lubuk hati.

Tidak. Dia tidak sedih. Kalau dia merasakan dirinya malang, pasti ada yang lebih malang. Semua orang mempunyai kesedihan masing-masing. Setiap manusia mempunyai kisah, perjalanan perit yang terpaksa dirempuhi. Tiap yang berjaya, pasti pernah tewas, pasti pernah terjelupuk di bawah dulu sebelum mendaki ke atas.

“Mestilah. Aku nak jadi seorang pensyarah. Kalau aku tak sambung belajar, macam mana aku nak capai cita-cita aku. Kau pula macam mana? Apa rancangan kau lepas keluar result nanti?” balas Lyn.

Cahaya hanya membatukan diri.

“Aku nak masuk U juga… UFO,” gurau Cahaya. Dia melompat-lompat sambil membentuk pusaran dengan tapak tangannya. “Terbang! Terbang! Sampai dekat Marikh!” jeritnya dalam nada girang. Dia tertawa tetapi cepat-cepat berhenti apabila melihat riak wajah serius Lyn.

“Tak kelakar!” balas Lyn.

Cahaya terdiam.

“Kita dah habis paper akhir SPM, Iris. Kau kena pilih hala tuju kau lepas ni. Takkan kau nak duduk kat ladang teh ni selama-lamanya. Apa sangat yang ada kat sini, Aya? Kau kena sambung belajar,” bebel Lyn.

“Tak. Aku tak bercadang nak terus tinggal di sini. Cuma aku tak pernah ada cita-cita macam kau,” jawab Cahaya.

“Iris! Kau student yang top kat sekolah kita. Kau selalu tidur dalam kelas tapi kau masih boleh score dengan cemerlang dalam semua subject. Takkan kau tak ada cita-cita nak berjaya macam orang lain?”

“Cita-cita aku hanya ada satu, Lyn.”

Apa?” soal Lyn, tidak sabar menanti.

Aku nak lari dari rumah. Tu cita-cita aku. Aku nak tinggalkan Cameroon Highland, tinggalkan Latifa. Aku nak pergi jauh dari sini supaya papa dan Latifa tak dapat cari aku,” jawab Cahaya, jujur kali ini.

Lyn pula yang terdiam dengan mata yang terkebil-kebil.

“Iris!”

Tak ada kata yang mampu meluahkan sebak yang selama ini hanya didakap dalam dada, tidak dilontar keluar dari anak tekak. Deritanya. Sakitnya. Kecewanya. Segalanya terlipat dalam ruangan ingatan, terbit satu persatu sambil air matanya gugur ke pipi. Dia menyelak lengan baju kurung yang dipakainya. Ada kesan kelaran pisau pada daging tangan kanannya. Lukanya masih baru, belum sempat sembuh.

“Iris, kenapa kau buat tangan kau macam ni?” soal Lyn sambil menarik tangan Cahaya, terkejut melihat luka di tangan Cahaya. Kelaran yang sepanjang dua inchi itu kelihatan dalam lukanya. Luka yang pada pandangan Lyn sepatutnya dijahit untuk lekas sembuh. Namun, riak wajah kawannya selamba, seakan-akan luka itu tidak menyakitkan.

“Aku tak buat, Lyn. Latifa mengamuk semalam, lepas dia tengok gambar perkahwinan papa. Aku tak tahu mana dia dapat gambar tu. Mungkin dari penyiasat persendirian yang dia upah. Aku tahu papa dah lama kahwin dengan perempuan tu. Aku dengar dah ada tiga anak. Papa cakap nenek pun tau. Macam biasa, papa cakap tu idea nenek. Macamlah aku nak percaya,” cerita Cahaya.

“Latifa cakap apa?” soal Lyn.

Latifa berdegil nak papa ceraikan perempuan tu. Dia cakap kalau papa tak ceraikan perempuan tu, dia nak mati dengan aku. Dia ugut papa macam tu dalam telefon, kemudian dia kelar tangan aku dan tangan dia sendiri,” cerita Cahaya.

Lyn tergamam lagi, sukar untuk mencerna cerita yang baru disampaikan Cahaya. Dia bersimpati dan dalam masa yang sama keliru. Mungkin kerna Cahaya jarang menceritakan perbuatan Latifa kepadanya. Susah untuk Lyn percaya. Dalam masa yang sama dia tahu Cahaya takkan berani menipu tentang perkara serius seperti itu.

“Papa? Nenek? Apa yang kau cakapkan ni, Aya? Aku langsung tak faham apa-apa” ucap Lyn, keliru.

“Lyn, aku bukan anak perempuan Filipina. Aku anak tiri Latifa. Arwah mama aku, isteri pertama suami Latifa. Fauzan bukan derma nama dia untuk bintikan aku. Aku memang anak dia,” luah Cahaya, menjelaskan perkara yang sebenar, membunuh desas-desus palsu yang tersebar tentang dirinya selama ini. Kononnya ayahnya dibunuh Ah Long sampaikan ibunya terpaksa menyerahkan dia kepada Latifa sebelum pulang ke Filipina. Ah, cerita itu lebih dongeng dari cerita Bawang Putih Bawang Merah.

“Jadi kau ni betul-betul anak tiri Latifa?” soal Lyn.

Cahaya mengangguk.

“Aku kena pergi, Lyn. Aku mesti lari dari sini. Kalau tak, Latifa akan bunuh aku. Aku tak nak tinggal dengan Latifa ataupun isteri papa yang satu lagi. Hidup ni hanya sekali. Aku nak terus hidup, Lyn. Aku belum bersedia untuk mati,” ucap Cahaya sambil menggenggam pergelangan tangan Lyn.

“Aku tau kau kuat semangat, Iris. Tapi, kalau kau larikan diri, kau nak ke mana? Macam mana kalau dia dapat cari kau?” soal Lyn, risau.

“Aku tak tau. Tapi, aku tetap nak lari dari sini,” ucap Cahaya.

“Ni bukan perkara main-main, Iris. Kalau Latifa tu betul-betul macam yang kau ceritakan, aku rasa dia dah gila. Dia pesakit mental. Kalau dia dapat tangkap kau, nahas kau nanti. Kau kena fikir masak-masak,” luah Lyn, mengingatkan Cahaya risiko yang terpaksa dihadapinya.

Kalau aku tak lari, aku mati. Kalau aku lari, mungkin aku akan dapat teruskan hidup. Hidup ni sekali aje, Lyn. Aku belum bersedia nak mati,” cetus Cahaya.

Ni idea gila. Kenapa kau tak report polis?” soal Lyn.

Buat kes polis. Then what? Tunggu papa ambil aku kemudian hantar ke rumah isteri dia yang satu lagi. Macam mana kalau perempuan tu lagi teruk dari Latifa?” ungkit Cahaya.

Bibir Lyn terkunci. Kata-kata Cahaya ada benarnya.

Malam ni. Aku nak lari dari rumah Latifa malam ni juga.”

* * * * * * *

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.