Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
36,442
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Butir-butir peluh mula merenek membasahi pipi lalu diseka dengan lengan kemeja lusuhnya. Bau tengit kulit dan rambut terbakar dek panas mentari yang menyilau tidak mematahkan semangat Kadir mengumpul barang-barang terpakai untuk dijual. Kembang kempis hidungnya menahan bau busuk dari tong sampah yang diselongkarnya itu. Dia mahu berubah mahu menyara keluarganya dengan tulang empat kerat walaupun tiada yang sudi membantu. Dia mahu ada didalam lukisan anak-anaknya. Sungguh! lukisan Ammar sebentar tadi menyentuh hati nuraninya. Tidak semena-mena mata bergenang, masih terbayang lakaran itu mindanya bagai merobek sekeping hati miliknya. Melihat wajah ketakutan anak-anaknya sebentar tadi bagaikan menghiris relung hati ditambah pula dengan nasi yang hanya berlaukkan telur asing sungguh menyiksakan batinya. Seingat Kadir waktu kecilnya dia tidak pernah menjamah lauk sebegitu ringkas bahkan setiap hari dia dijamu dengan ayam goreng dan pelbagai makanan yang menyelerakan. 

Kadir dan keluarganya hidup dalam kemewahan namun tidak sedikitpun dia tidak menyangka ketika dia sedang mengecap bahagia bersama Gayah dia diuji dengan kemiskinan. Segala harta milik ayahnya tiba-tiba jatuh ke tangan mak Ngah dan sekarang telah diwarisi Senah sehinggakan dia sendiri hidup melarat. Rumah peninggalan arwah ayahnya juga terpaksa diberikan kepada Senah. Kadir mengesat peluh bersama airmata yang masih berjejeran keluar, mengenangkan nasibnya yang berubah seratus peratus dia termanggu sendiri. Ujian apakah untuknya. 

Guni buruk yang sudah terisi separuh dengan botol-botol plastik dan tin minuman itu dibelek-belek. Sampai dikedai Ah Seng nanti dia akan asingkan barang-barang buruk yang dikutipnya dan sementara itu dia mengambil kesempatan untuk berehat seketika bagi melepas lelah. Bahang kepanasan semakin terasa menggelegak dikepala. Kadir duduk bertinggung dengan kedua tangan memeluk lutut. Berehat seketika sambil menyeka keringat yang mengalir. Mentari yang masih menyinar galak dipandang seketika sebelum mata itu terkatup sebentar dek silau cahayanya. Berpinar. Perut yang masih belum diisi tadi mula berkeroncong. Tangan yang kelihatan lebih tau dari usia itu cuba menekan perut agar rasa lapar itu menghilang pergi.  

Bunyi derapan langkah berlari melalui lorong tempat istirehat Kadir menganggunya. Kadir kepelikan melihat dua orang remaja yang sedang membawa dua biji tayar motorsikal dalam keadaan resah gelisah. Mungkin mereka sedang memerlukan pertolongan. Remaja itu tidak perasan akan kewujudannya disitu memandangkan tubuhnya sedikit terlindung disebalik longgokan sampah. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena mata itu terus memerhati perlakuan dua remaja itu dalam diam. Apabila dia semakin  curiga dengan perlakuan dua remaja itu Kadir bingkas bangun dan cuba menegur. Rasa ingin tahunya melonjak saat melihat wajah kepucatan dua remaja itu ketika mata mereka bertatapan seolah-olah yang dilihat remaja itu sekarang adalah jembalang. 

Tanpa sempat Kadir membuka mulut untuk bertanya tiba-tiba dua remaja lelaki membaling tayar motorsikal itu ke dalam longkang lalu melarikan diri.

“Hei!..Hei!..tunggu!” panggil Kadir dengan perasaan berbaur hairan. Tertanya-tanya adakah rupanya yang menakutkan atau remaja itu telah melakukan hal yang salah. Nafas dihela panjang. Seolah-olah apa yang digambarkan remaja itu tadi begitulah yang dilihat anak-anaknya apabila dia berada dirumah, berbaju lusuh, seluar koyak dan kotor. Rambut pula semakin kusut dan berserabai. 

Langkah diatur ke longkang niat Kadir untuk mengeluarkan tayar itu dan mahu meletakkannya ditepi dinding agar siapapun pemiliknya nanti akan menemui. Kadir mengangkat sepasang tayar motorsikal yang basah terkena air longkang. Bau hanyir air longkang mula terhidu namun Kadir sudah terbiasa dengan bau begitu. Dibiarkan bau itu merebak seketika lalu tangannya menilik dua biji tayar yang masih kelihatan baru sebelum telinganya menangkap bunyi suara keributan sekali lagi. Beberapa buah motorsikal tiba-tiba muncul dari lorong belakang membuatkan dia terpaku. Nasib baik tubuhnya sedikit terlindung namun dia dapat melihat beberapa orang lelaki yang membonceng motorsikal nampak tergesa-gesa. Ada diantara mereka membawa kayu bersama. Bunyi dari ekzos motor mengurangkan pendengaran Kadir arah percakapana mereka. Kadir tidak mahu ikut campur urusan mereka kerana dia tahu orang kampong tidak suka akan kehadirannya oleh itu dia mahu segera menyudahkan kerja-kerjanya. Mendengar arahan ketua mereka beberapa buah motorsikal mula berpecah dan meninggalkan tempat itu. Kadir mula melangkah kearah guni barang terbuang miliknya dan saat itu juga tiba-tiba sebuah motorsikal berhenti betul-betul dihadapannya.

“Kadir apa kau buat kat sini?” soalan dari lelaki yang sama mengarahkan kumpulan motorsikal berpecah sebentar tadi menyapanya. Kadir cuba mengukir senyum. Rupanya cikgu Bakri yang mengarahkan mereka tadi. Dia hanya menjawab dengan menunjukkan barang-barang terpakai yang dikutipnya namun Kadir baru tersedar ditangannya itu bukannya guni barang-barang terpakai tetapi dua biji tayar yang dibuang remaja tadi.

“Errr.. saya cari besi-besi buruk dan barang-barang terpakai cikgu.” Tutur Kadir sedikit gagap. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan dua biji tayar yang dibuang remaja itu dan kenapa dia nampak seperti orang tertangkap ketika sedang mencuri.

“Itu apa?” Soal cikgu Bakri dengan nada sedikit tinggi.

Kadir serba salah, seperti keputusan idea untuk menjawab soalan cikgu Kadir itu.

“Ditangan kau tu apa. Ini yang kau cakap besi buruk” Telunjuk cikgu Bakri dihalakan kearah tangan Kadir lalu dia turun dari motosikalnya menuju ke arah Kadir. Mata hitam berbau kemarahan itu terus menikam ke wajah Kadir yang tampak sedikit gelisah. Cikgu Bakri cukup mengenali Kadir malah seluruh penduduk kampung juga mengenali Kadir seorang yang suka berjudi. Sudah lama dia sakit hati dengan Kadir dan kawan-kwannya yang sengaja mahu mencemarkan nama baik kampung mereka. Dia nyaris-nyaris mahu membakar pondok yang selalu menjadi tempat Kadir dan kawan-kawannya berjudi namun sempat ditahan pak Aji yang memintanya supaya tidak terlalu berkeras dengan mereka. 

Nampaknya hari ini nasib Kadir akan berubah. Kedua-dua tangan cikgu Bakri dicekakkan ke pingang seolah-olah dia sudah berjaya menangkap pencurinya. Senyum sinis tersunging dikedua-dua bibir itu. Sudah lama dia menantikan saat bertemu muka dengan Kadir dan sekarang dia telah mendapat. Bukan sekali dua hal kecurian berlaku dalam kampung mereka sudah acap kali namun mereka tidak berjaya menangkap si pelaku dan sekarang orang yang paling dia syaki sudah ada didepan mata bersama buktinya ditangan.

 Kadir memandang seketika tayar itu sebelum wajahnya menatap cikgu Bakri. Bukan dia tidak kenal cikgu Bakri seorang yang aktif dalam komuniti penduduk malah mengajar disekolah anaknya pula. Dia tahu apa yang ada didalam fikiran cikgu Bakri malah dia maklum kebencian cikgu Bakri kepadanya. Apa yang buruk berlaku didalam kampong mereka dia adalah orang pertama berada dalam senarai orang kena tuduh.

“Oh tayar ni saya jumpa dalam longkang cikgu, ada dua orang budak lelaki tadi terserempak dengan saya takut agaknya terus dia orang campakkan ke longkang. Tak sempat nak panggil mencecet lari” Jelas Kadir cuba menerangkan keadaan sebenar walaupun dia tahu  cikgu Bakri tidak akan percaya akan kata-katanya itu. Dari raut wajah itu sudah jelas memang kata-katanya tidak akan dipercayai.

“Jumpa.. kau buat lawak apa ni Kadir, penat kami mencari sekeliling kampong, tak sangka rupanya kau yang ambil. Aku dah agak dah takde orang lain lagi berani buat kerja macam ni selain kau. Lepas tu dah kena cekup pandai pula kau bagi alasan terjumpa ya. Kalau takut kena tangkap sekalipun takkan lah kau tak boleh nak cari alasan lain. Biar logik sikit telinga aku ni dengar.” Cikgu Bakri ketawa sinis. Langsung tidak percaya akan kata-kata Kadir. Siapa hendak percaya cakap seorang kaki judi seperti Kadir.

“Dengan orang lain kau boleh la nak tipu tapi dengan aku kau jangan main-main Kadir.” Ujar cikgu Bakri kedengaran sedikit angkuh. Waktu yang ditunggu-tunggu semakin tiba dia takkan lepaskan Kadir begitu sahaja. Inilah peluang terbaik yang pernah dia dapat setelah sekian lama dia mahu mengajar Kadir supaya menjadi orang. Selalunya ada sahaja yang menghalangnya untuk menghukum Kadir lebih-lebih lagi pak Aji. Entah apa yang pak Aji pandang kepada Kadir yang hidupnya langsung tidak berguna malah suka menyusahkan penduduk kampong pula. Bukan sekali dua kes kecurian berlaku didalam kampong mereka sudah acap kali namun sampai sekarang tidak pernah tertangkap.

“Benarlah kata pepatah kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Aku tak sangka betul sesuai sangatlah dengan keluarga kau. Pagi tadi anak yang buat hal sekarang bapak pulak.” Cikgu Bakri ketawa sinis dengan kata-katanya. Wajah Kadir tetap ditenung. 

“Hebat betul keluarga kau ya, satu generasi bakal mengharumkan nama kampung kita ni dengan benda-benda tak elok.” Sindir cikgu Bakri bersama ketawa seoalah-olah tindakannya pagi tadi betul dan dia tidak perlu menyesal dengan tindakannya terhadap Nurin.

“Apa cikgu cakap ni, apa maksud cikgu?” Kadir merenung wajah keangkuhan seorang guru dihadapannya tanpa memahami apa yang dimaksudkan cikgu Bakri. Rasa hormat kepada guru yang mengajar disekolah anaknya itu masih tinggi walaupun guru itu sedang menuduhnya mencuri. Namun semakin dibiarkan semakin berani pula cikgu Bakri mengatanya. Apa yang diperlukan hanya penjelasan bukan perlian atau kata sindiran yang menyakitkan hati. Detak jantungnya bergerak pantas, terbayang wajah anak perempuannya dirumah. 

Cikgu Bakri senyum sinis, terasa meluat pula melihat wajah tidak bersalah Kadir mendengar kata-katanya itu.

“Kalau dah bapaknya mencuri anak pun ikut samalah. Kau tak pernah tanya apa anak kau buat disekolah. Tak pernah nak ambil tahu pasal dia kan sebab itulah tangan Nurin berbirat dirotan pun kau tak tahu. Ah! aku lupa kau mana nak hiraukan sangat fasal dia orang semua sebab kau pun sama. Mencuri tu memang dah jadi darah daging kau orang anak beranak kan?”

Kadir berdiri kaku. Terbata dengan penjelasan cikgu Bakri yang mencucuk tajam disegenap saraf.

“Sampai bila kau nak buat kerja macam ni Kadir? Malam berjudi siang mencuri, kau nak bina keluarga pencuri ke?” Selar cikgu Bakri sesedap rasa tanpa sedikitpun mempedulikan perasaan Kadir yang sedang menahan rasa. Semakin Kadir diam semakin banyak pula cikgu Bakri menghina. 

Kadir tarik nafas dalam, telinganya berdesiang apabila anaknya turut dikatakan pencuri. Hina sungguh keluarganya dimata cikgu Bakri sampaikan anak-anaknya turut tercalit sama. Telinganya masih lagi boleh menerima kata hinaan untuknya namun mendengar keluarganya dihina sebegitu siapa yang dapat menahan.

“Pagi tadi aku rotan Nurin sebab dia didapati mencuri dalam kelas tak sangka pula kurang dari 24 jam aku dapat tangkap bapak dia pula mencuri” Sebaris kata itu dilontarkan tanpa rasa penyesalan malah cikgu Bakri merasa bangga pula apabila dia dapat merotan Nurin dan sekaligus menangkap Kadir, lelaki yang dimusuhi dalam diam. Mendengar nama Kadir disebut pun telinganya sudah berdengung. Kerana Kadir dan kawan-kawannya lah semakin berani pula anak-anak remaja dikampung mereka melakukan hal yang tidak bermoral. Kegiatan mencuri juga semakin menjadi-jadi. 

Nafas Kadir mula kelihatan berombak dan kedengaran kasar. Cuping telinganya terasa panas bagaikan dibakar apabila berkali-kali telinganya mendengar sindiran cikgu Bakri tanpa henti. Apakah benar Nurin sudah pandai mencuri disekolahnya.

“Kalau bapaknya tak boleh nak ajar biar aku yang ajar. Biar besar nanti anak tu jadi orang tak perlu nak menyusahkan orang lain macam kau buat sekarang ni!” Sambung cikgu Bakri tanpa menyedari perasaan Kadir mula berombak ganas.

Dua biji tayar yang dipegang Kadir dilepas kasar. Kadir mara menuju ke arah cikgu Bakri dengan perasaan marah meluap-luap. Sebelah tangannya digegam erat jika diletakkan sebiji gelas digengaman itu boleh hancur dibuatnya. Kadir berhadapan dan bertentang mata dengan cikgu Bakri. Dia masih mampu bersabar namun seandainya dia tidak lagi mampu membendung kemarahan dan kesabarannya pasti lunyai mulut cikgu Bakri dikerjakan. 

Terkejut melihat tindakan secara tiba-tiba Kadir cikgu Bakri mengundur ke belakang. Dia memandang sekeliling mencari sesuatu yang boleh dijadikan perisai atau senjata andai Kadir ingin melakukan sesuatu terhadapnya. Sememangnya tindakan Kadir itu tidak mampu dijangka. Cikgu Bakri mula tersedar dari kesilapannya kerana berani menaikkan amarah Kadir ketika dia bersendirian. Liur ditelan berkali-kali bersama debar yang mula berkocak. Peluh mula merenek dipermukaan dahinya dek kerana rasa takut yang menyelubungi.

“Mulut jangan sebarang cakap cikgu, aku tahu hidup aku tak sempurna macam kamu semua tapi aku tak pernah mencuri atau ambil hak orang! Aku tahu aku berjudi tapi aku tak pernah kacau hidup orang lain! Jadi tolong jaga mulut tu baik-baik jangan kerana mulut badan kau yang binasa. Kalau kau yakin aku yang mencuri dan kau ada bukti nah! kau ikat aku dan bawa aku ke balai aku sedia terima hukumannya tapi kalau aku tak bersalah jangan cabar aku buat sesuatu yang kau tak pernah jangka!” Kadir angkat kedua tanganya seolah-olah minta digari. Dia bersedia untuk dibawa ke balai andai memang cikgu Bakri boleh membuktikan yang sememangnya dia bersalah mencuri tayar-tayar itu. 

Cikgi Bakri menelan liur. Peluang apa lagi yang ditunggu Kadir telah bersedia untuk dibawa ke balai namun akal warasnya menegah dia tidak mempunyai bukti yang cukup untuk membawa Kadir ke balai. Merenung mata Kadir yang merah menahan marah bagaikan air yang memadamkan keberaniannya, menakutkan. Ugutan Kadir bukan sekadar ugutan dia merasa aura kemarahan Kadir kepadanya tidak bertepi mungkin rasa itu juga bercampur baur dengan kisah Nurin yang baru keluar dari mulutnya. Perlahan-lahan cikgu Bakri mahu mengatur langkah bimbang lagi lama dia berada disitu lagi besar risikonya menjadi mangsa hentaman Kadir.

“Sebelum kau berambus ambil balik barang kau tu!” arah Kadir. Jari telunjuk mengarah ke arah dua biji tayar yang telah menyusahkan hidunya. Bertalu talu dia menerima hinaan daripada cikgu Bakri. Kadir hela nafas kasar. Ada perkara yang lebih penting sedang membelenggu fikirannya.

Tidak menunggu lama cikgu Bakri terus mencapai dua biji tayar yang tersadai ditepi longkang itu sebelum cepat-cepat menghidupkan motorsikalnya dan berlalu dari situ. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.