Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
36,463
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

Seorang budak perempuan berwajah sinis sedang bertungkus lumus mengeluarkan segala isinya dari dalam sebuah beg lusuh. Pemilik beg sekolah lusuh dengan wajah sugul hanya terkebil-kebil memerhati segala isi beg sekolahnya diselongkar.Entah apa nasib yang bakal menimpanya dia sendiri tidak pasti. Suasana kelas mula hinggar binggar seperti pasar pagi baru mula beroperasi.

“Betulke awak yang curi pensil warna tu!” soalan keras dari guru muda berusia dalam lingkungan 30-an itu bagaikan petir menyambar kelas. Suasana kelas yang riuh tadi hening seketika. Jarang mereka melihat guru kelas mereka seperti itu bagai singa yang sedang mengaum lapar. Terlihat akan sekotak pencil warna bersaiz buku latihan sekolah yang terselit bersama-sama dengan buku teks dan latihan membuatkan gadis cilik itu terasa lumpuh.

Dia yang dituduh terketar-ketar kepala lutut berdiri dihadapan rakan sekelas seramai 29 orang itu. Degupan jantung mula tidak sekata, berlari kencang bagaikan mahu menembusi dadanya lalu menjadikannya kaku tidak bergerak. Jika ditoreh wajah itu sudah tentu tidak tercalit walau setitik darah. Susuk kurus itu cuba memberanikan diri menatap wajah gurunya namun tidak lama apabila matanya terpandang wajah tegang guru kesayangannya sebelum kepala itu kembali jatuh menekur ke lantai. Yakin kesemua rakan sekelasnya terus terpaku menatap kearahnya menjadikan dia semakin tidak berani mengangkat wajah. Apakah perlu dia mengaku sesuatu hal yang tidak dilakukan. Soalan tegas dari guru kelasnya itu seolah-olah menyatakan dialah pencurinya membuatkan perasaannya teragak-agak untuk mempertahankan diri. Siapa lagi mahu mempercayai kata-katanya jika guru kelasnya sendiri meragui.

Kotak pencil warna bertulisan LUNA milik rakan sekelas itu tetap kaku diatas bangku bersama-sama barang-barang miliknya setelah beg lusuh warna hijau tua itu digeledah dengan rakus. Pandangannya kosong, sekosong hatinya ketika itu.

“Saya memang dah agak dia yang curi pensil warna saya cikgu. Sudah la miskin perangai buruk patut lah semua orang tak nak kawan dengan dia!” sedikit mengah nafas Rozita bertutur menahan perasaan marahnya apabila melihat pencil warna itu berada diatas bangku Nurin. Mata bundar itu tajam menikam wajah anak miskin yang tidak punyai apa-apa. Ketika mendapati kotak pencil warna itu hilang tidak semena-mena Rozita menangis dan membuatkan seisi kelas yang tadinya damai dan bersiap-siap mahu menerima pembelajaran baru mula tercengang-cengang. Dan orang pertama berada didalam kepalanya adalah Nurin anak si miskin yang duduk dibarisan belakang sekali. Tentu saja ini semua perbuatannya.

Matayang berair tadi disekanya kasar. Mana tidak menangisnya pensil warna yang mempunyai 24 batang dengan pelbagai warna berjenama LUNA yang baru dihadiahkan oleh ayahnya minggu lepas sempena hari lahirnya telah dicuri. Ketika mata pelajaran matematik yang diajar Cikgu Raihan tamat Rozita tidak sabar-sabarmahu menerima pembelajaran baru iaitu pendidikan seni namun baru hendak dimulai keterujaannya mati apabila dia mendapati kotak pencil warnanya hilang. Puas dia mencari namun tidak ditemuinya. Tidak pernah dia ketinggalan membawa kotak pencil itu walaupun pada hari-hari yang tiada mata pelajaran pendidikan seni.Kotak segi empat itu sudah menjadi barang wajib yang perlu dibawanya ke sekolah dan teman-teman yang lain maklum semua itu. Rozita juga tahu ramai kawan-kawannya berminat dengan pencil warnanya itu termasuklah Nurin.

Cikgu Raihan terdiam. Mata hitamnya terus terarah ke wajah Nurin yang hanya menunduk kelesuan. Perasaannya libang libu. Memandang pakaian yang tersalut dibadan Nurin hatinya tidak sampai hati mahu menghukum lagipula dia masih tidak percaya apa yang dilihatnya itu. Dia memahami kesukaran hidup Nurin sekeluarga namun untuk mempercayai apa yang dilihat hatinya terasa berat.

Tiap kali terpandang akan wajah Nurin terlihat semangat yang ada pada kanak-kanakitu. Tidak pernah mengalah dengan kemiskinan. Dia antara tiga pelajar yang sering mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran matematik yang diajarnya.Menuduh Nurin mencuri, hatinya sendiri bagai dihiris-hiris.

“Betul tu cikgu, siapa yang mencuri patut dikenakan hukuman yang berat” Sokong satu suara halus dan gemersik itu dengan berani. Teman-teman yang lain mengangguk membenarkan kata-kata Adeebah yang sedang tersenyum sinis melihat Nurin berdiri seperti patung tidak laku ditempat duduknya.

Cikgu Raihan tersentak.

“Potong tangan dia cikgu!” jerit Shakir tersengih-sengih menampakkan barisan gigi kekuningan ditambah lagi dengan rambut kusut masai seperti orang tidak mandi sebulan. Walaupun mulutnya mengata, namun matanya tertumpu pada seseorang.Seseorang yang sedang berdiri dengan penuh semangat untuk melihat gadis itu dihukum.  

“Rotan sampai lebam cikgu!”

Tidak sempat menangkap suara siapa yang mencadangkan, terdengar pula saranan pelajar lain. Ah pantas sekali murid-muridnya memberi cadangangan walhal kalau diminta menghafal sifir tidak seorang pun berani berdiri malah semakin menunduk sampai dahi bertemu meja.

“Ikat dia bawah pokok mangga lepas tu biarkan dia digigit kerengga cikgu.” Usul Adeebah dengan suara lantang tidak mahu kalah. Pelajar yang melantik diris endiri menjadi ketua kelas dan cikgu Raihan tidak menyangka pencalonan diri sendiri rupanya mendapat undian majoriti.

“Ya..betul..betultu cikgu!” Serentak dengan itu suara satu kelas bergema menyokong hukuman itu dilaksanakan segera. Senyum bangga mula terbit pada ulas bibir itu apabila cadangannya mendapat sokongan daripada rakan sekelas. Disini cikgu Raihan dapat melihat pengaruh besar Adeebah dalam kelasnya.

Suasana menjadi semakin bingit apabila masing-masing cuba menyatakan hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada Nurin membuatkan cikgu muda itu menarik nafas dan cuba menenangkan suasana. Nurin memandang sekelilingnya dengan mata berkaca sebelum pandangan itu jatuh ke lantai.

“Nurin”perlahan namun tegas nama itu diseru oleh cikgu Raihan.

Nurin pangung kepala, memandang guru kelas yang sedang menghampirinya dengan rasa cuak dan berdebar. Mendengar cadangan-cadangan yang menderu-deru masuk ketelinga seolah-olah telah memutuskan dia yang bersalah tanpa perbicaraan itu cukup mengetarkan hatinya. Ya dia memang anak miskin. Kenyataan itu sudah lama dia hadap sendiri-sendiri. Hidup dalam serba serbi kekurangan bukanlah satu tiket untuk dia menjadi pencuri dan dengan kemiskinan yang dilalui juga bukanlah satu alasan untuk meletakkan dia sebagai seorang pesalah. Nurin hela nafas berat begitu kejamkah dunia terus menghukumnya tanpa ada sebarang pembelaan.

 Pendidikan Seni adalah mata pelajaran yang mahu dielaknya bukan kerana dia tidak minat melukis dan mewarna tetapi keran amata pelajaran itu memerlukan peralatan mewarna sedangkan dia tidak mampu memilikinya. Dia segan meminta-minta dengan rakan kerana apa yang dia dapat hanyalah ejek-ejekan dan kata-kata nista. Apa yang mampu dia lakukan hanya mengeluarkan pensil warna yang sudah kontot sepanjang satu inci dengan pelbagai jenama yang diperolehi hasil kutipannya didalam longkang dibelakang dewan sekolah dan juga tong-tong sampah kelas mereka beberapa hari yang lalu. Itupun hanya beberapa batang dan kebanyakannya adalah warna yang sama. Pensil warna yang bersepah diatas meja ditenung sayu. Hatinya bukanlah sehitam itu untuk memiliki pencil warna seperti Rozita. Pesanan emak dipegang kemas sehingga kini. Semiskin manapun hidup mereka jangan sesekali mencuri atau mengambil hak orang. Nurin semat dalam hati. Ketika ini dia tidak mampu untuk membela diri dan waktu itu dia yakin dan malah lebih sangat yakin hukuman pasti menjadimiliknya. Pasrah.

“Diam! Yang lain-lain tak perlu masuk campur biar cikgu uruskan perkara ni. Rozita,Nurin sila ikut cikgu ke bilik guru.” Perintah cikgu Raihan tanpa berlengah.Kelasnya baru sahaja tamat namun tidak sempat kakinya melangkah keluar dari bilik darjah tiba-tiba suara meraung Rozita kedengaran membuatkan langkahnya mati. 

Nurin menerima perintah itu dengan hati libang libu meninggalkan kelas dengan suara-suara yang masih berbisik mengejinya. Dia berjalan sedikit terkebelakang daripada Rozita yang mengekor rapat disebelah cikgu Raihan. Murid-murid dikelas lain mula menjenguk kepala tertanya-tanya apa yang sedang berlaku hingga suara Rozita menganggu mereka. Rozita menoleh kebelakang, memastikan Nurin ada bersama mereka dan tidak melarikan diri. Dia berjalan beriringan dengan cikgu Raihan menuju ke bilik guru.

Kedua-dua pelajar tahun empat Anggerik berdiri menghadap guru kelas dengan pelbagai rasa.Nurin mula gundah entah apalah jadi dengan nasibnya nanti, bagaimana dia mahu membela diri. Seorang guru lelaki yang lebih kurang seusia guru kelas mereka masuk ke bilik guru. Langkahnya perlahan sambil mata memerhati mereka berdua sebelum beralih ke wajah cikgu Raihan. Tiga orang guru yang sedang sibuk dengan hal dimeja masing-masing tidak mengendahkan mereka, mungkin sedang sibuk membuat persiapan untuk mengajar mengikut jadual waktu mereka. Nurin memerhati sekitarnya, matanya teruja melihat bilik guru yang kelihatan nampak lengan.Beberapa coretan pada papan tanda dibahagian belakang dibacanya sepintas.Tertulis senarai nama pelajar-pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah mereka dalam acara pidato dan nama Aiman salah seorang daripadanya. Dalam diam Nurin merasa bangga dengan kejayaan Aiman. Ini adalah kali kedua dia menjejak kaki ke bilik guru ternyata banyak yang dia tidak tahu tentang Aiman.

“Apakes” Soal cikgu muda itu lalu meletakkan beberapa buah buku latihan yang dikepit ke atas mejanya bersebelahan dengan meja cikgu Raihan. Kehadiran dua murid itu menarik minatnya lebih-lebih lagi bila terpandang akan wajah Nurin. Dia berdiri disebelah cikgu Raihan menunjukkan minat untuk mengetahui kejadian apa yang menyebabkan dua murid perempuan berdiri dihadapan guru kelas mereka.

“Mencuri”Jawab cikgu Raihan sepatah sambil membetulkan cermin matanya yang sedikit melorot. Hatinya simpati kepada Nurin namun bukti telah ditemui. Ketika Rozita sendiri menyelongkar beg sekolah yang sudah lusuh, kotak pencil warna itumelorot jatuh diatas mejanya.

Baga itertusuk jarum. Pedih hati Nurin mendengar ungkapan itu.

“Budak perempuan sekarang pun dah pandai mencuri. Apa nak jadilah dengan budak-budak sekarang ni menjadi-jadi betul.” Selar guru muda itu dengan pandangan sinis.Matanya terus mencerlung ke arah wajah Nurin yang bertatapan tanpa sengaja itu.Wajah itu langsung tidak menyentuh hatinya namun semakin hangat pula jadinya.Dia tidak perlukan wajah sedih yang menagih simpati. Salah tetap salah. Siapa tidak kenal ayah Nurin, kaki judi, pemalas. Entah-entah barangnya yang hilangdua bulan lepas mungkin angkara ayah Nurin. Siapa tahu.

“Kenapa awak mencuri, kecil-kecil lagi dah pandai mencuri besar nanti nak jadi apa?penyamun? Ayah dengan anak sama je” Ulas cikgu Bakri dengan suara sinis.

Nurin ketap bibir hati kecilnya pedih menahan rasa. Tajam sungguh kata-kata cikgu Bakri kepada mereka tanpa sedikitpun memikirkan perasaanya ketika ini.

Cikgu Raihan tersentap. Hatinya sedikit terguris mendengar kata-kata cikgu Bakri.Apalah dayanya dia hanya mampu diam memerhati walaupun tidak setuju dengan cara cikgu Bakri ikut masuk campur dalam urusannya namun dia tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan cikgu Bakri merupakan guru disiplin sekolah lagipun bukti sudah nyata. Jauh disudut hati dia berharap cikgu Bakri berlalu dari tempatnya.Hatinya masih tidak mempercayai itu perbuatan Nurin.

“Siapa?Barang apa yang dicuri?” Soal cikgu Bakri semakin berminat mengetahui kisah selanjutnya. Jika bukan Nurin orangnya mungkin dia sudah lama berlalu dan membiarkan cikgu Raihan menyeselaikan sendiri masalah itu. Riak wajah cikgu Raihan yang tidak senang dengan kehadirannya itu langsung tidak dipeduli. Dia selaku guru disiplin ada hak untuk masuk campur dalam urusan cikgu Raihan. Wajah-wajah murid rakannya itu dipandang silih berganti. Melihat mata memerah pada murid bernama Rozita dia sudah dapat mengangak siapa pelakunya.

“Penci lwarna saya cikgu” Jawab Rozita lancar. Seketika itu juga bibit-bibit senyum mula terbit dari ulas bibirnya. Dia tidak mengharapkan hukuman daripada cikgu Raihan, kerana dia tahu cikgu Raihan melayan Nurin dengan baik dan sudah pasti Nurin cuma diberi amaran sahaja namun sebaik melihat kelibat cikgu Bakri dia mula melihat ada harapan Nurin menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya lebih menggembirakan hatinya cikgu Bakri yang bakal memberi habuannya.

“Tapi saya tak curi cikgu.” Balas Nurin dengan suara perlahan dan tegas. Dia tidak mencuri jadi mengapa dia perlu menerima hukuman yang dia tidak lakukan.

“Bohong! kalau kau tak curi macam mana pencil warna aku ada dalam beg kau?” Mata Rozita membesar, bulat bagai bola api yang siap untuk dilontar. Berani betul Nurin tidak mengaku sedangkan pensil warna itu dia dapati dari dalam beg Nurin sendiri.

“Tak,saya tak curi cikgu” lirih suara itu memohon pengadilan. Perasaan beraninya semakin menurun apabila wajahnya ditenung guru disiplin yang terkenal dengan sikap tegasnya.

“Sudah !Diam!” Arah cikgu Raihan dengan tegas dan terus mematikan rasa ingin membela diri Nurin. Dipandang wajah anak muridnya sebelum pandangannya berpindah kepada cikgu Bakri bagaikan sedang menunggu keputusannya. Dia memanggil Nurin dan Rozita sekadar untuk memberi amaran dan nasihat kerana dia yakin Nurin tidak akan sesekali mencuri namun nampaknya hasratnya tidak kesampaian untuk dia berbuat demikian apabila masalah itu telah diketahui cikgu Bakri.

Nuri ntarik nafas berat, semangatnya jatuh merundum sebaik mendengar suara ketegasan cikgu Raihan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana pencil warna milik Rozita boleh berada didalam beg sekolahnya.

“Apa bukti awak tak bersalah Nurin?” Soal Cikgu Bakri ingin mendengar apa lagi alasan yang akan diberikan Nurin. senyum sinis mula terbit dari ulas bibirnya.Dia mahu tahu sampai tahap mana Nurin akan membela dirinya.

Nurin geleng kepala. Mengalah. Tidak mahu cikgu Raihan dan cikgu Bakri terus menunggu jawapannya sedangkan dia memang tidak punyai jawapannya. Sesungguhnya dia tiada bukti untuk menepis semua tuduhan itu.

“Dia takkan mengaku, siapa yang nak mengaku mencuri cikgu.” Balas Rozita tidak inginkalah. Dijeling sekilas wajah rakan sekelas itu sebelum menatap wajah cikgu Raihan. Dia tidak sabar mahu melihat Nurin menerima hukumannya.

“Macam mana saya nak mengaku, saya tak buat cikgu.” Tutur Nurin lemah lalu mengangka twajah merenung seketika wajah cikgu Bakri yang menyaksikan pengakuannya sebelum mata itu beralih menatap wajah cikgu Raihan semula. Kedua-dua tangannya saling bertaut kemas.

“Boleh awak jelaskan macam mana pencil warna Rozita boleh ada dalam beg awak. Hulur tangan.” Pinta cikgu Raihan tegas. Tidak sanggup dia menatap wajah sugul Nurin.Cikgu Bakri menatap dengan mata tajam seakan memberi amaran kepada Nurin supaya tidak melawan dan mengaku sahaja perbuatannya itu. Nurin geleng kepala beberapa kali. Bagaiamana dia mahu jelaskan dia sendiri tidak tahu bagaimana pensil warna Rozita boleh melompat masuk ke dalam beg sekolahnya. Entah siapalah yang pedajalkan dirinya.

Cikgu Raihan angkat rotan, bersedia memberi hukuman kepada Nurin.

“Tapi saya tak curi…” lemah suara itu kedengarannya.

“Melawan? Keras kepala betul budak ni” Jerkah cikgu Bakri  membuatkan bahu Nurin terangkat akibat terkejut. Kecut perutnya apabila secara tiba-tiba cikgu Bakri menjerkah itu seakan-akan kedengaran seperti suara ayahnya yang sedang memetir. Hati Nurin bertambah kecut. Senyap. Kepala semakin menunduk.

“Hulur tangan tu. Lain kali kalau mak bapak kamu tak mampu nak adakan jangan cuba-cuba mencuri. Ini baru sikit hukumannya kalau saya dapat tahu kamu buat lag ikerja-kerja mencuri tahulah nasib kamu nanti. Nasib baik cikgu Raihan guru kelas kamu, kalau saya yang jadi guru kelas kamu teruklah kamu kena dengan saya.” Ugut cikgu Bakri mengambil alih tugas cikgu Raihan dengan sengaja. Rotan sudah bertukar tangan. Entah bila cikgu Bakri mengambilnya dari tangan cikgu Raihan dia sendiri tidak sedar. Cikgu Bakri memang suka menghukum pelajar lebih-lebih lagi pelajar yang selalu buat hal. Dan kali ini Nurin tidak mungkin terlepas lagi.

Hatinya lebih dulu berbirat sebelum tangannya dirotan, sakit dan pedih menelan kata-kata hinaan cikgu Bakri lebih sakit lagi apabila terlihat senyuman kecil tersunging dibibir Rozita.  Telinganya tidak sanggup mendengar keluarganya dihina biarlah kesalahan itu diletakkan kepadanya seorang walaupun dia tidak bersalah. Perlahan-lahan Nurin hulurkan tangan bersedia menerima hukuman yang dia sendiri tidak lakukan hanya dengan alasan pensil warna itu berada didalam beg sekolahnya.

 

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.