Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
44,226
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

Raungan Mak cik Zaitun meleret-leret. Kesakitan yang dirasai akibat ditendang oleh Pak Jaafar tadi semakin membisa apabila dia mendengar berita tentang Aryati.

“Itulah, suruh lagi dia lari dari rumah senja-senja ni!”sanggah Pak Jaafar tanpa rasa belas simpati kepada isterinya itu. Berita yang disampaikan oleh jirannya tadi sedikit melegakannya. Aryati ditemui terguling di tepi jalan berhampiran dengan kebun getah.

“Pergilah awak tengok dia!!”tangis Mak cik Zaitun yang terjelepuk di tepi dinding. Rasa sakit diperutnya menyebabkan dia kehilangan daya.

“Kenapa awak ni tak berhati perut sangat?Pergilah tolong tengok dia. Dia tu yatim piatu..”suruh Mak cik Zaitun sambil merintih. Sakit hatinya apabila melihat Pak Jaafar tersandar di dinding sambil menggulung daun rokok nipah.

“Tak kuasa aku hendak pergi menengok dia!Bukannya mati pun!”tukas Pak Jaafar. Mindanya pada waktu itu hanyalah memikirkan tentang perkahwinan Aryati dan Aji Kudus. Peristiwa yang terjadi hari ini menyebabkan dia ingin menyegerakan majlis pernikahan pasangan itu. Sebelum Aryati melarikan dirinya sekali lagi.

“Awakk!!”rengus Mak cik Zaitun yang tidak puas hati.

“Biarkan saja dia tidur kat rumah Busu malam ini. Lagipun mereka dah bawa dia ke hospital. Jika teruk kecederaannya, tidur di wadlah dia malam ni..”

“Hisy!Awak ni lahhh..”rengus Mak cik Zaitun lantas menggagahkan dirinya untuk bangun dan berdiri sambil berpegang pada dinding. Hatinya lega apabila mendengar suara batuk Safwan yang sudah balik dari surau.

“Emak..”sapa Safwan sebaik naik ke rumah. Pandangannya sempat singgah ke kolam mata emaknya yang memerah. Wajah emaknya yang berkerut seolah sedang menyembunyikan sesuatu. Pandangan matanya terarah pula kepada ayahnya yang sedang tersandar ke dinding sambil menghisap rokok daun nipah.

“Safwan..tolong bawa emak pergi ke rumah Busu..”beritahu Mak cik Zaitun dengan suara tertahan. Selagi dia tidak mendengar cerita yang sebenarnya daripada mulut Aryati, hatinya tidak akan berasa senang.

“Dah malam ni,mak. Nak buat apa ke sana..?”soal Safwan. Rumah Busu terletak di pinggir kebun getah tempat emaknya menoreh, agak jauh dari rumah mereka. Tambahan pula pada waktu itu sudah hampir 10 malam. Jalan di dalam kampung itu gelap gelita.

“Dah gelap,mak..”terang Safwan sambil menggaru telinganya. Dia serba salah sebenarnya.

“Kalau kau tak mahu temankan, biar emak pergi sorang..”balas Mak cik Zaitun seolah merajuk. Dia bukan sahaja ingin ke rumah Busu untuk mengetahui tentang Aryati yang dipatuk ular, tetapi dia juga ingin pergi ke klinik bidan kampung itu untuk memeriksa kandungannya. Entah-entah anak yang di dalam kandungannya mati kerana diterajang oleh ayahnya sendiri!

“Ayah dan anak, semuanya sama. Tak ada hati perut!”rungutnya sambil memakai tudung kepala. Tak tertahan pula airmatanya lantas meleleh membasahi pipi.

“Kalau terjadi perkara yang tidak elok kepada Ati..aku akan terkilan sampai mati,”tangis Mak cik Zaitun meleret. “Ya Allah Ya Tuhanku kenapalah nasibku begini,”rintihnya dalam tangisan yang berlarutan mengenang nasib malang. Mak cik Zaitun cepat-cepat menuruni tangga tanpa peduli warna pekat malam.

“Emakk..emakk..nanti dulu. Tunggu sekejap. Saya ambil lampu picit..”panggil Safwan kepada emaknya yang sudah turun ke tanah.

Bunyi burung pungguk bersahutan. Suasana kampung yang gelap dihiburkan oleh suara cengkerik yang sayup-sayup kedengaran. Pada saat itu kebanyakan penghuni kampung sudah memerap di dalam rumah masing-masing. Berehat dan mungkin juga telah tidur. Barangkali juga ada yang leka menonton televisen. Hanya Mak cik Zaitun dan Safwan sahaja yang sedang menapak menuju ke rumah Busu.

“Ayah pukul emak ke tadi?”tanya Safwan sebaik sahaja mereka berjalan agak jauh dari rumah. Perangai panas baran ayahnya itu sudah difahaminya benar. Cepat naik angin dan rengan tangannya jika ada hal yang tidak mengikut kehendak hatinya.

“Tak..”jawab Mak cik Zaitun berahsia. Tidak guna menceritakan hal keburukan suaminya itu kepada anak-anak, bimbang anak-anak akan berdendam dengan ayah mereka. Lantas memadamkan rasa hormat kepada ayah kandung mereka sendiri.

“Emak bohong..”tukas Safwan. Perlahan suaranya bagaikan berkata untuk dirinya sendiri. Mak cik Zaitun buat-buat tidak dengar pada rungutan anaknya itu. Kakinya terus dihayun perlahan dan berhati. Hatinya terus berbicara sendiri. Fikirannya terus berterbangan mengenangkan nasib diri serta anak-anak. Likuan hidup yang dilalui selama ini begitu memeritkan,entah bila akan berhujungnya.

“Emak, saya hendak pergi cari kerja di Kuala Lumpur…”beritahu Safwan setelah agak lama berjalan dan membiarkan emaknya hanyut di dalam lamunannya sendiri. Mak cik Zaitun diam.

“Jadi tak perlulah Ati mengorbankan dirinya untuk keluarga kita,mak..”sambungnya lagi. Mak cik Zaitun diam lagi. Buntu fikirannya dengan kenyataan anaknya itu. Kalau boleh dia ingin Safwan meneruskan pengajian sama seperti kakak dan abangnya yang lain. Biar suatu hari nanti Safwan menjawat jawatan yang baik dan menjamin masa hadapannya. Biar generasinya nanti keluar dari kepompong kemiskinan dan kedunguan.

“Safwan kena teruskan pelajaran,”tegas Mak cik Zaitun. Jika boleh, Aryati pun ingin dipaksa untuk meneruskan persekolahannya. Namun sayang keputusan SPM Aryati setakat cukup makan sahaja. Jadi dia tidak menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Emak..kenapa Ati berada di rumah Busu pula..?” Safwan mengalihkan tajuk perbualan mereka. Sedari tadi emaknya tidak menjelaskan hal yang telah terjadi. Cahaya lampu dari rumah Busu pun sudah kelihatan. Mungkin seminit dua lagi mereka akan sampai ke kaki tangga rumah jirannya itu.

“Emak suruh Ati lari dari rumah,”jawab Mak cik Zaitun hampir tidak kedengaran suaranya. Safwan tersentak dengan kenyataan itu.

“Emak suruh Ati lari dari rumah?”soalnya seolah tidak percaya. Selama ini emaknya begitu menyayangi Aryati kerana sikap Aryati yang penyayang serta rajin.

“Emak tak nak Ati kahwin dengan orang tua tu..”pintas Mak cik Zaitun menahan kesedihan.

“Habis tu..apa yang terjadi?”soal Safwan yang tidak sabar. Sungguh tidak diduga emaknya mengambil keputusan senekad itu.

“Pak Busu kamu jumpa Ati terguling di tepi jalan kat kebun getah tempat emak menoreh tu. Katanya Ati dipatuk ular sewaktu berlari di dalam semak samun di situ..”jelas Mak cik Zaitun.

“ Ati dipatuk ular? Teruk ke? Ma..macamana boleh kena?”tanya Safwan bertubi-tubi sambil mengeluh panjang. Sekali lagi Mak cik Zaitun berdiam diri kerana dia sendiri kurang jelas cerita yang sebenarnya. Dalam kegelapan Mak cik Zaitun mengelap airmata yang tiba-tiba meleleh.

Safwan memberi salam sebaik sahaja mereka sampai di halaman rumah Busu. Mereka dipersilakan naik ke rumah oleh isteri Busu. Lega hati Mak cik Zaitun apabila mendapat penjelasan daripada Aryati akan hal yang telah terjadi. Rupa-rupanya Busu yang pergi ke kebun getah pada waktu malam untuk mengendap pencuri getah buku telah ternampak seseorang. Disangkanya pencuri lantas dia pun mengejarnya. Aryati pula menyangka dia dikejar oleh lembaga yang yang tidak diketahui terus lari kerana ketakutan. Entah macam mana tiba-tiba dia terasa kakinya amat sakit. Mujur pada waktu itu dia sudah sampai ke jalan dan terus jatuh terguling kerana kepenatan,ketakutan dan kesakitan.

Mereka baru sahaja balik dari hospital sewaktu Mak cik Zaitun dan Safwan tiba. Mujurlah Aryati hanya digigit oleh lipan, bukannya dipatuk ular seperti yang disangka oleh Busu.

“Malam ini biar Ati tidur di rumah ni..”pelawa Busu disokong pula oleh isterinya. Setelah didesak oleh Busu untuk mengetahui cerita yang sebenarnya barulah Mak cik Zaitun berani membuka mulut. Apatah lagi Busu bersuami isteri jiran mereka yang paling dekat. Mereka juga orang yang boleh dipercayai dan tidak suka membawa mulut.

“Sabarlah,Tun. Dah tabiat Jaafar tu memang begitu. Nak buat macam mana! Anak-anak pun dah ramai..”kata Busu. Hiba hatinya melihat warna kesedihan yang terlukis di wajah Mak cik Zaitun, Safwan dan Aryati.

“Ati….”seru Mak cik Zaitun. Hatinya hampa kerana Aryati gagal melarikan dirinya pada malam itu. Jika Aryati hendak melarikan dirinya pada hari yang lain, pasti tidak berpeluang lagi. Suaminya itu pasti akan mengawal Aryati. Silap hari bulan Aryati akan dinikahkan dengan Aji Kudus dengan segera.

“Tak sempat Ati lari..”katanya pula dengan nada sebak dan tertahan-tahan. Tubuh Aryati yang kurus dirangkulnya kemas.

“Emak,tak apalah…”pintas Aryati untuk memujuk hati emak saudaranya. Faham dengan kekecewaan yang sedang menahtai hati emak saudaranya itu mungkin sama dengan kehampaan yang sedang membelit di sanubarinya.

“Emak..biarlah Ati ikut cakap Pak Anjang. Ati tahu, tadi mesti emak kena pukul dengan Pak Anjang. Ati tak sanggup melihat emak susah hati atau dipukul oleh Pak Anjang lagi. Mungkin ini perencanaan Tuhan yang telah ditetapkan buat Ati. Ati redha,mak. Hanya dengan cara ini Ati dapat membalas budi baik emak dan Pak Anjang yang telah memelihara Ati. Sebab itu Allah gagalkan percubaan Ati untuk melarikan diri,”ujarnya lagi dengan panjang lebar.

“Lagipun, kalau Ati melarikan diri, mesti Ati tak dapat pulang ke rumah lagi,mak..”kata Aryati seolah merintih. Jika dia tidak dapat lagi balik ke rumah wanita tempat dia menumpang sayang selama ini, kemana lagi dia hendak menumpang kasih. Emak dan ayah kandung yang telah pergi buat selamanya, tak mungkin akan kembali lagi.

“Kalau Ati kahwin dengan Aji Kudus, rumahnya kat kampung bersebelahan saja. Kedainya pun dekat pekan tu. Ati masih ada peluang untuk bertemu dan melihat wajah emak..”

“Atii…”kata Mak cik Zaitun. Terus dia mendakap Aryati kerana tidak tertahan hati mendengar kata-kata anak saudaranya itu. Begitu mulianya. Sanggup mengorbankan dirinya untuk kebaikan orang lain.

“Kalau begitu keputusan hati Ati, emak tak dapat menghalang…”bisiknya sebelum meleraikan tubuhnya dari tubuh Aryati. Kekecewaan hatinya tidak terlontar. Namun jika Aryati sendiri sudah berlapang dada hendak menggalas dugaan berat yang mendatang, hanya doa sahaja yang mampu dipanjatkan kepada yang Maha Berkuasa. Mudahan ada sinar bahagia yang menanti anak saudaranya itu.

“Pagi esok..Ati baliklah ke rumah,nak..”suruhnya sebelum beredar dari rumah Busu.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.