Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
44,338
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

Keringat yang mengalir di tepi telinga meleleh sehingga ke lehernya. Safwan berhenti sejenak sambil meletakkan kapak yang di tangan di atas longgokan kayu api yang sedang dibelahnya. Nafas yang dihela agak laju menandakan dia sudah kepenatan kerana membanting kudrat hampir dua jam untuk membelah kayu api. Sejenak pandangan matanya dilontar ke bawah pokok manggis berhampiran rumah. Masih ada selonggok kayu api yang menanti hentakan kapaknya. Safwan mengeluh dalam. Mahu tak mahu dia wajib menyelesaikan tugasnya pada hari itu juga.

“Safwan, berhentilah dulu. Dari pagi tadi, Safwan tak berhenti membelah kayu api. Dah banyak dah tu..”tegur Aryati yang datang membawa sejag air kosong dan sesisir pisang emas yang sudah masak ranum. Hanya juadah itu sahaja yang mampu disajikan untuk adik sepupunya itu.

“Tak banyak. Dalam lima ketul sahaja lagi. Aku nak habiskan, lepas tu boleh menolong emak membuat kerja lain pulak..”jawab Safwan terus mengambil seketul kayu sebesar pehanya lantas dikapak menjadi belahan-belahan kecil.

“Bak sini kapak tu. Biar Ati buat..”ujar Aryati lantas merapati Safwan lalu cuba mengambil kapak dari tangan Safwan.

“Tak usah, Ati. Kau tu nak jadi pengantin baru. Nanti luka tangan macamana nak jadi pengantin?”kata Safwan sambil menghalang tangan Aryati dari menyentuh kapak yang di tangannya.

“Alah, luka di tangan boleh dirawat…”jawab Aryati tak mahu mengalah terus berebut kapak dengan Safwan. Luka di hati, diri sendirilah yang menanggung kepedihannya.

“Tak usah, Ati. Biar aku buat. Kalau kau nak tolong, pergi susun kayu-kayu yang aku dah belah itu supaya cepat kering..”suruh Safwan.

“Baiklah. Minun air tu dulu. Air masak aje. Nak buat teh O, gula dah habis..”adu Aryati lalu menundukkan kepalanya. Kemiskinan yang membelengu kehidupan mereka menyebabkan dia rela mengorbankan dirinya untuk bernikah dengan Aji Kudus.

“Ati, aku tanya kau jangan menangis ya..”ungkap Safwan sambil mengacu-acu kapak di atas ketulan kayu. Dua tiga kali mengacu barulah kapak diangkat tinggi-tinggi lantas dihentamnya di atas ketulan kayu itu. Bukannya terus terbelah pun! Kayu pokok getah, urat-uratnya memang liat.

“Safwan nak tanya apa?”soal Aryati sambil menyusun belahan kayu api secara bertingkat berselang-seli. “Kau dah fikir masak-masak ke nak kahwin dengan orang tua tu? Kau tak sayang masa depan kau ke?Tak menyesal nanti?”soal Safwan bertubi-tubi. Empat lima hari ini fikirannya lelah memikirkan tentang Aryati yang merelakan dirinya untuk bernikah dengan lelaki tua bertaraf ayah. Kalau ia pun hendak melakukan ihsan kepada keluarga, diri sendiri hendaklah diberi keutamaan.

“Dah jodoh, Ati..nak buat macam mana?”jawab Aryati perlahan sambil menelan airliur pada tekak yang terasa kesat tiba-tiba. Amat sulit perasaannya kerana berada dalam posisi yang terjepit.

“Ati, jodoh itu boleh dipilih. Nak buat apa nak kahwin dengan orang tua?Di luar sana ramai lelaki lagi. Dunia ini masih luas..”syarah Safwan. Hari ini dia nekad untuk mencelikkan mata hati sepupunya itu yang tiba-tiba menjadi buta dan tidak tahu memilih antara pasir atau butiran permata! Lantas lelaki tua itu dilihatnya sebagai putera raja yang kacak tampan dan dianggap dapat memberi kebahagiaan kepadanya.

“Safwan, pilihan Ati ialah kebahagiaan emak, Pak Anjang dan keluarga kita..” pintas Aryati lalu menoleh melihat Safwan yang sedang membongkok membetulkan ketulan kayu yang tumbang di tanah.

“Emak tak bersetuju, Ati. Hari-hari aku nampak emak menangis..”beritahu Safwan sambil menyeka peluh yang mengalir di hidungnya dengan belakang tangan.

“Emak setuju dah..”balas Aryati. Perlahan suaranya seolah sedang bercakap dengan dirinya sendiri. Untuk mengelakkan fikirannya berserabut tentang hal yang mengusutkan hati Safwan dan emak saudaranya dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada ALLAH.

“Safwan, tak usah fikirkan tentang Ati lagi…”rayu Aryati dengan suara tertahan. Membincangkan hal perkahwinannya menyebabkan hatinya perit dan pedih. Sudah lama dia bekerja dengan Aji Kudus. Sudah masak dia dengan perangai lelaki tua itu.

“Ati, aku tak nak kau korbankan diri untuk aku, kerana aku. Ikutkan hati, aku tak nak pergi ke Sabah tu. Biarlah aku duduk di kampung ni dan lakukan kerja kampung sahaja sementara mendapat kerja dengan kerajaan. Panjat pokok kelapa pun tak apa..”celah Safwan. Kebelakangan ini dia ada mengambil upah memanjat pokok kelapa dan menjolok buah kelapa sawit.

“Kenapa kau hendak mencampakkan diri di dalam kebinasaan? Nabi larang. Allah juga larang..”Tiada istilah putus asa dalam hati Safwan demi memujuk Aryati. Mendengarkan kata-kata itu, Aryati terdiam sejenak. Perasaannya jadi lemas. Benarkah dia telah mencampakkan dirinya di dalam kebinasaan dengan merelakan dirinya bernikah dengan Aji Kudus?

“Safwan,tolonglah. Jangan fikirkan tentang Ati. InsyaAllah, Tuhan tahu apa yang terbaik untuk Ati. Bukankah kita ini, orang Islam..kena percaya kepada qadak dan qadar..?”

“Aku..tak naklah pergi ke Sabah..”Terpacul ungkapan itu dari bibir Safwan.

“Peluang yang datang hanya sekali, Safwan. Jika ditolak tidak mungkin ia akan berulang kembali. Anak-anak emak yang lain tidak sempat menyambung cita-cita kerana berkahwin muda. Hanya Safwan sahaja yang mendapat peluang ini. Mungkin Allah telah menjanjikan sebutir bintang untuk Safwan dengan tawaran itu.” Kalimah yang diungkapkan oleh Aryati terputus sejenak kerana dadanya sebak. Disebabkan kemiskinan dia tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan lebih tinggi.

“Dengan bintang itulah, dengan izin Allah, Safwan mampu menerangi keluarga kita pada suatu hari nanti..”sambungnya apabila sebak yang melanda dada mulai memudar.

“Ati, untuk itu kau sanggup mengorbankan diri? Korbankan masa depan? Korbankan kebahagiaan?”soal Safwan yang masih belum dapat menerima keputusan sepupunya itu.

“Pengorbanan itu hanya secebis jika dibandingkan dengan kasih sayang yang emak telah curahkan kepada Ati sejak emak Ati mati. Safwan, masa depan kita di dalam genggaman Allah. Kita tidak mampu meneka hal-hal yang mendatang..”jawab Aryati yang tetap mempertahankan keputusan yang telah dibuatnya.

“Alangkan lilin pun merelakan dirinya dibakar untuk menerangi kegelapan orang lain, Safwan..”

“Ati, lilin tu tidak mempunyai akal fikiran. Ia bukan benda hidup yang mempunyai hati dan perasaan..tapi kau..Allah dah bagi akal,kan?”soal Safwan bersungguh-sungguh. Pelik hatinya apabila manusia sering menyamakan diri mereka dengan sebatang lilin!

Aryati kehilangan kata-kata untuk beberapa ketika. Pandangan Safwan itu memang tidak mampu disanggah. Namun sebagai manusia yang lemah, dia harus menerima ketentuan Allah.

“Safwan, Ati terima ketentuan Allah..”balas Aryati akhirnya. Giliran Safwan pula mengunci bibirnya.

“Hanya satu yang Ati pinta…”Kata-kata Aryati terputus di situ kerana asakan sebak seolah menyekat peti suaranya. Safwan kehilangan kata-kata.

“Apabila Safwan sudah berjaya nanti, janganlah abaikan emak dan Pak Anjang. Berilah mereka merasa nikmat hidup senang di atas dunia ini. Ati tak berdaya untuk memberi kesenangan kepada mereka sebagai membalas jasa..hanya ini sahaja yang Ati dapat lakukan..”sambung Aryati dengan suara bergetar. Airmata yang berlandung di kolam mata, dikekangnya kuat-kuat. Hari ini, airmata itu janganlah tertumpah lagi, bimbang semangatnya akan berderai umpama embun di pagi hari.

Safwan terdiam mendengar jawapan sepupunya itu. Sungguh mulia hati gadis itu. Sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain.

‘Mudahan Allah merahmatimu, kakak sepupuku,’doanya di dalam hati sambil merenung Aryati yang terus menyusun bilah-bilah kayu api dengan sabar. Lagi tiga hari, Aryati akan bernikah dengan Aji Kudus. Aryati akan menjadi isteri seorang lelaki tua. Safwan terus merenung kakak sepupunya itu dengan mata yang tidak berkedip.

Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.