Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
165,860
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12
MINGGU berlalu dan bulan berganti. Tengku Azri Iskandar jadi seronok tinggal di rumah dengan Puan Adila. Sebenarnya yang menjadikan dia lebih seronok kerana dapat membuli Lily Athira. Diarahnya itu dan ini, gadis itu nampak gaya hanya mengikut.

Puan Adila yang mendengar kadang-kadang tumpang senyum tanda suka. Kadang-kadang diluku juga kepala Tengku Azri kalau sudah melampau.

“Sakitlah, ma.”

“Kamu tu lebih-lebih sangat, mama tak suka tau?”

“Mama ni, Ayie saja aje nak kacau dia. Nak tengok dia boleh ke buat apa yang Ayie suruh. Kan mama kata dia tu pandai dalam segala hal?” Sambil menggosok-gosok kepala yang kena luku tadi, Tengku Azri melabuhkan punggung di sofa.

“Kamu ni dah Solat Maghrib ke belum?” tegur Puan Adila yang berjalan menuju ke dapur. 

“Dah,” jawab Tengku Azri pendek. Tangannya mencapai remote Astro. Entah apa channel yang dicari. Malam ni cerita apa yang best agaknya? Hah, 134. Adam & Hawa. Mama mesti suka. 

“Kamu buat apa tu, Lily?” tanya Puan Adila bila melihat Lily Athira terbongkok-bongkok dengan kepalanya dalam peti ais.

Hampir terhantuk kepala Lily Athira bila mendengar suara Puan Adila yang menegurnya itu. “Abang Ayie mintak sambal belacan, ma.” Lily Athira berdiri dengan bekas belacan dan beberapa batang cili merah dan limau kasturi. Pintu peti ais disiku dengan lengan. 

“Macam-macam anak bujang tu. Rasanya tak pernah dia pandai makan sambal belacan. Mimpi apa pulak hari ni dia mintak?” rengus Puan Adila sambil mengangkat periuk gulai siang tadi ke atas tungku dapur untuk dipanaskan. 

Lily Athira meletakkan kuali di atas tungku sebelah. Sedikit minyak masak dituang ke dalamnya. Apabila minyak cukup panas, belacan dan cili tadi digoreng. Baunya mencucuk hidung. Tengku Azri yang di ruang tamu bersin macam nak gila. 

“Ma! Masak apa ni? Sakit hidung Ayielah.”

Lily Athira rasa macam hendak pecah perut, tapi disimpan. 

“Padan muka, nak sangat makan sambal belacan. Bunyinya macam senang, dia tak tahu orang yang membuatnya kat dapur ni macam mana?” jawab Puan Adila sedikit meleter. 

Tung! Tang! Tung! Tang! Bunyi anak lesung bertemu dengan ibunya. 

Tengku Azri Iskandar sedikit rasa terganggu dengan bunyi yang datang dari dapur itu. Hai! Masak pun bunyi macam orang nak bergaduh? Ni mesti dia marah kat aku sebab kena order macam-macam ni, getus Tengku Azri. 

Lily Athira sedang menumbuk. Dimasukkan sedikit garam dan gula untuk membuang rasa pedas. Limau kasturi dikerat-kerat dan dibuangkan bijinya, lalu airnya diperah ke dalam bahan yang siap ditumbuk tadi. Dengan hanya menggunakan jari-jemari, dia menyenduk sambal belacan yang telah siap itu ke dalam piring kecil.

“Ma, nak dilawan dengan apa sambal belacan ni?” tanya Lily Athira yang sudah berdiri sambil menatang piring berisi sambal belacan ke meja makan.

“Kita ada timun ke?” Puan Adila yang sedang menyenduk nasi masuk ke mangkuk tambah itu pula bertanya. 

“Nanti Lily tengok.” Lesung batu tadi dibawa ke singki untuk dibasuh. Dia ke peti ais pula untuk mencari timun. “Nak buang kulit tak?” tanya Lily Athira lagi.

Kalau dengan Puan Adila dia sudah faham. Tak payah dibuang kulit. Garukan saja dengan garpu. Tapi dengan tuan muda ni dia tidak biasa. Kenalah bertanya. 

“Buanglah, Lily. Nanti banyak songeh pulak,” kata Puan Adila yang sudah tahu sangat perangai anak bujangnya yang sedikit cerewet. Menurun arwah suaminya juga. 

“Tengku Azri Iskandar! Dah! Mari makan!” jerit Puan Adila dari meja makan. Dia sudah duduk menyenduk nasi ke pinggan. 

Tengku Azri ke singki untuk membasuh tangan. Lily Athira yang masih berada di singki sedang membasuh batu lesung itu terpaksa memberi laluan kepada lelaki itu dahulu kerana gaya dia macam orang nak berebut makan dengan adik-beradik sepuluh orang. 

“Lily, jom makan sekali,” panggil Puan Adila. 

“Mama makanlah dulu, Lily nak kemas dapur kejap.” 

Lily Athira memang tidak betah makan dengan Puan Adila kalau ada anak bujangnya sama. Tidak tersuap nasi ke mulut. Mahu tersuap lubang hidung. Kalau masuk ke mulut pun rasanya macam tak boleh nak ditelan. Sebab mata si tuan muda asyik mengerling memandangnya. Apa yang dia tak puas hati dengan aku agaknya? Puan Adila pun macam sudah faham. Jadi dia tak berapa nak paksa.

“Lily, abang nak jus,” perintah Tengku Azri sambil menyuap nasi. Aku memang saja nak buli dia. Ada dah air kosong yang dah bertuang dalam gelas atas meja ni. Biasa pun makan nasi dengan air kosong aje, bisik hati kecil Tengku Azri. “Cepat sikit, pedasnya!” jerit Tengku Azri sambil mengipas-ngipas mulut. “Sambal belacan ke sambal berapi ni?” soal Tengku Azri menahan pedas. 

“Apalah anak bujang mama ni? Buat malu aje, lelaki tak tahan pedas,” tukas Puan Adila.

“Saja Lily ni nak cili mulut Ayie, ma. Kan Ayie selalu buli dia?” Terlepas juga perkataan buli itu daripada mulutnya sendiri. 

Hisy dia ni, kejap air kosong, kejap air suam, kejap nescafe. Makan nasi selalu dengan air suam aje, ni nak jus pulak. Sabar ajelah aku dengan lelaki seorang ni. Lily Athira datang dengan kotak jus dan sebiji gelas. 

“Tuangkanlah. Abang nak tuang macam mana? Tangan penuh sambal ni?” ujar Tengku Azri sambil menunjuk tangan yang berlumur dengan sambal belacan. 

Lily Athira pecah ketawa tiba-tiba. Tidak tertahan. Sudah tidak mampu hendak disimpan lagi. Empat biji mata itu tertumpu memandangnya. Maklumlah selama ini dia dapat control ayu. Tapi ketika ini memang hendak pecah perut dibuatnya. Dia menekup mulut dengan kedua-dua belah tapak tangan sambil bahunya masih terhinggut-hinggut. 

“Lily? Kenapa?” Puan Adila yang tidak pernah melihat Lily Athira ketawa besar itu kehairanan.

Ek? Apa yang lawak sangat ni? Tengku Azri pula berkerut dahi. 

“Mama tengoklah. Mana ada orang makan sambal belacan macam makan serunding? Patutlah Abang Ayie kepedasan,” jawab Lily Athira sambil menekan perut menahan geli hati.

“Haahlah. Kamu ni sakai betul.” Puan Adila yang sudah macam nak ketawa itu memberi jelingan maut. Buat malu betul anak bujang aku ni. Ada ke sambal belacan tu digaul rata dengan nasi. Ingat macam makan serunding ke? 

Tengku Azri terpinga-pinga. Apa hal? Makan pun ada teknik ke? 



“WOI! Apa yang tersenyum seorang-seorang tu? Makruh tau?” tegur Wafie tengah hari itu ketika mereka berkumpul waktu makan. 

Tengku Azri teringat peristiwa dia ditertawakan kerana tidak pandai makan sambal belacan. Tidak pernah dia melihat Lily Athira ketawa begitu. Mungkin itu juga balasan baginya kerana nak buli orang. Padan muka aku.

“Sambal belacan?” soal Wafie.

Tengku Azri menuding jari ke pinggan Wafie sambil tersenyum. Sejak berkawan dengan Wafie, Tengku Azri jarang balik makan tengah hari. Asyik diperli saja. Kacau betul. Anak emaklah, dah tua-tua pun manjalah. 

“Orang Melayulah katakan. Mana boleh lari daripada sambal belacan. Tapi kalau sambal belacan mak aku buat lagi sedap. Dia tumbuk sendiri,” jawab Wafie yang tidak tahu-menahu tentang cerita di sebalik sambal belacan Tengku Azri. 

“Habis yang ni bukan ditumbuk ke?” tanya Tengku Azri pula. 

“Kalau dah kat restoran ni dia orang main blender ajelah.” 

Wafie sudah mula mengangkat kedua-dua belah tangan untuk membaca doa makan.

“Ada beza ke?” tanya Tengku Azri beria-ia ingin tahu kerana malam itu dia teringat Lily Athira membuat sambal belacan yang diminta dengan menggunakan lesung batu.

“Kau ni apa hal? Dah nak belajar memasak pulak ke?” Wafie yang mahu menyuap nasi sedikit marah kerana terus diganggu dengan pertanyaan yang remeh-temeh dan bukan dalam bidang kerjanya.

“Saja aje tanya,” jawab Tengku Azri tersenyum.

Wafie berkerut dahi melihat temannya. Pelik mamat seorang ni. Sambal belacan pun nak dikaji dengan terperinci.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian