Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,856
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9
TOK! Tok! Tok! Kedengaran pintu bilik diketuk.

“Ayie!” Terdengar suara Puan Adila memanggil anak bujangnya.

Lily Athira sudah ‘bersilat’ di dapur dengan sudip sambil mengacau nasi goreng di kuali, permintaan tuan muda rumah itu. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 7.00 pagi.

“Ayie tengah bersiaplah ni,” sahut Tengku Azri dari dalam bilik. 

Eh, dia tak ambil pun baju-baju kemeja yang aku dah gosok? Takkan aku pulak nak hantar ke biliknya? Berpintal sekejap kepala otak Lily Athira mengingatkan bahawa malam semalam bila disuruh bawa sekali, tuan muda itu kata dia akan ambil pagi nanti. Ah, pandai-pandai dialah. Aku dah gosok pun dah kira untung. Tapi tak boleh pakai jugak kepala si tuan muda ni. Kalau tiba-tiba dia cakap tak cukup licin, macam mana? Lily Athira bermonolog sambil mencedok nasi goreng masuk ke mangkuk.

“Lily, tolong bawak baju kemeja abang tu ke atas,” arah Tengku Azri sambil menjengul dari arah atas tangga bilik.

Semalam yang aku pesan dia suruh bawak naik sekali, tak dibawaknya jugak? Memang anak bujang aku saja nak mendera anak dara orang. Puan Adila yang berada dalam bilik terdengar jeritan anak bujangnya itu.

Hampir terlepas mangkuk daripada tangan Lily Athira ketika mendengar arahan itu. Kalau pecah tadi siapa nak ganti? Bukan murah pulak tu barangan kat rumah Puan Adila ni. Sesuka hati dia aje nak memerintah. Lily Athira membebel dalam hati. 

“Nanti Lily bawakan!” Namun dia juga sama terjerit menyahut dari dapur. Lily Athira meletakkan mangkuk berisi nasi goreng di atas meja makan dan cepat pula langkahnya menuju ke bilik dobi untuk mengambil baju-baju kemeja yang siap bergosok dari malam tadi. Memang menyusahkan aku betullah mamat ni. Kalau dari malam tadi dah dibawa sekali kan senang?

“Li...” Baru Tengku Azri Iskandar mahu membuka mulut memanggil, dia sudah nampak kelibat Lily Athira memanjat anak tangga. Empat helai kemeja bertukar tangan.“Nasi goreng ada?” Sempat Tengku Azri Iskandar bertanya. 

“Siap, tuan muda.”

Ketika itu juga Puan Adila membuka pintu bilik. Lily Athira segera beredar dan Tengku Azri yang mahu membuka mulut, mati kata-katanya di situ juga. Dia nak berloyar buruk dengan aku ke? Tengku Azri bertanya sendiri. 

“Cepat, Ayie. Dah pukul berapa ni?” Tengku Azri Iskandar berlari-lari menuruni anak tangga. 

Puan Adila yang sedang menghirup teh menoleh. “Mana tali leher kamu?”

“Tak payahlah, ma. Eee... rimas. Kat Malaysia ni kan panas?” jawab Tengku Azri sambil menarik kerusi dan melabuhkan duduknya. 

“Kamu kena kerja bawah panas matahari ke? Kan kamu kerja dalam ofis. Kamu ingat TGI Holdings tu sengkek sangat ke sampai tak mampu nak pasang air-cond?”

“Alah, Ayie malas nak naik ambil tie. Esok ajelah.” Tengku Azri sedang menunggu Lily Athira di sisi yang menyendukkan nasi goreng.

“Tak apalah, ma. Biar Lily aje yang tolong ambil. Nak warna apa?”

Tengku Azri segera tunduk memandang kemeja yang dipakai saat itu. Warna light yellow padan dengan tie warna apa? Dia mengangkat wajah memandang Lily Athira yang sedang menunggu arahan. 

“Tengokkanlah warna apa yang sesuai dengan baju ni.”

Lily Athira segera berlalu dari situ.

“Kalau dah kahwin kan senang? Mana dia pernah membantah apa yang disuruh?” tukas Puan Adila memancing anak terunanya.

“Hisy mama ni. Asyik cakap pasal tu aje,” rungut Tengku Azri sambil menyuap sesudu nasi goreng ke mulut.

“Yalah, kamu ingat kalau isteri yang sama bekerja boleh layan kamu macam ni? Entah-entah pagi pun tak sempat nak breakfast.” Kedua-dua tangan Puan Adila memegang cawan teh. Matanya merenung anak teruna yang berselera menyuap nasi goreng.

Perbualan mereka terhenti apabila Lily Athira sudah mendekati meja makan bersama tali leher berwarna kelabu. “Warna ni okey tak?” tanya Lily Athira sambil mengunjukkan tali leher itu kepada Tengku Azri. Semasa dia menyelongkar bagi mencari tali leher untuk Tengku Azri tadi, baru dia teringat Tengku Azri memakai seluar slack berwarna kelabu. Jadi mungkin padan bila digandingkan dengan tali leher yang berwarna serupa.

“Nice colour combination,” jawab Puan Adila sambil memandang Tengku Azri dari atas ke bawah. Dia mengenyit sebelah mata bila Tengku Azri memandangnya.

Tengku Azri sedikit terkedu dengan pujian yang diberikan Puan Adila. Tapi memang pilihannya bagus. Tali leher itu sudah siap disimpul, tinggal dipakai sahaja. Ingat taste budak kampung macam manalah tadi. Pandai! Memang benar kata Puan Adila. Lily Athira pandai serba-serbi. Hai mama, tinggi betul saham Lily dijualnya, desis Tengku Azri. 

Puan Adila menghantar Tengku Azri ke muka pintu. “Mama nak Ayie tunjuk pada pak su, Ayie boleh ganti papa kat situ,” pesan Puan Adila ketika Tengku Azri sedang mengikat tali kasut.

“Yes, ma. I won’t forget that.” Tengku Azri tunduk sambil mencium tangan Puan Adila. Dia kemudian meraba-raba poket seluar. “Eh, where’s my car key?”

Puan Adila berpusing masuk ke dalam mencari di atas meja konsul. Ketika itu Tengku Azri yang terpacak menunggu di muka pintu terpandang Lily Athira yang sedang sibuk mengemas meja. Lily Athira juga mengangkat wajah memandang ke muka pintu dan mata mereka bertentangan. Berderau darah Tengku Azri. Cepat-cepat dia memegang tali leher dan mengucap ‘thank you’ tanpa suara. Bimbang didengari Puan Adila. Dia kan sedang jual mahal sekarang. Lily Athira hanya memberi senyuman.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian