Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
165,868
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6
VOLVO S40 yang dipinjam Tengku Azri daripada Puan Adila sampai pada waktu yang dijanjikan. 

Azzahani melempar senyuman apabila melihat kereta itu. Sejak pulang dari luar negara, Azzahani memang tidak memberi peluang pada jejaka itu untuk melupakannya. Kalau nak harap Tengku Azri yang menelefon untuk mengajaknya keluar, memang payah. Hati batu betul. 

Takkanlah dah selalu keluar sama-sama pun tak ada hati kat aku? Azzahani bermonolog. Sudah beberapa kali dia menelefon Tengku Azri untuk diajak bertemu. Namun ada sahaja alasan yang diberi lelaki itu. 

Bila Azzahani mengajaknya keluar pada waktu siang, dia kata nak melepak di rumah dengan Puan Adila. Bila diajak keluar pada waktu malam, dia sibuk nak main futsal pula. 

Malam itu nak tak nak, Tengku Azri terpaksa juga menerima pelawaan Azzahani. Kalau tidak dia sudah sibuk mengugut hendak datang ke rumah. Mereka melepak di Restoran Pelita, Plaza Masalam. Di kawasan itu memang tempat Tengku Azri dan kawan-kawan bertemu pada hujung minggu. Semua senang, masing-masing di sekitar kawasan itu sahaja. 

“Ada apa call nak jumpa ni?”

Tengku Azri datang santai dengan t-shirt dan seluar Camel. Kunci kereta dimasukkan ke dalam poket sisi di paha. Dia duduk menyandar. 

“You ni sejak balik Malaysia, nak jumpa pun susah. Semua nak tanya ada apa, mengapa, kenapa?” bebel Azzahani. 

“Yalah. Parents you tak marah ke anak perempuan dia keluar malam seorang-seorang?” 

“Excuse me? I keluar dengan you sekarang kan?” 

“I lebih suka lepak kat rumah. Mama I tu seorang-seorang aje. Kalau dulu masa I tak ada tu lainlah,” ujar Tengku Azri sambil menghirup nescafe tarik. 

“Habis tu, you nak suruh I datang ke rumah you? Kita lepak sama-sama kat sana. Boleh sambil-sambil teman mama you sekali?” ujar Azzahani memberi cadangan. 

Dia memang tidak boleh kalau tidak melihat Tengku Azri dalam sehari. Rindu rasanya. Kalau di telefon cakapnya pendek-pendek sahaja. Tidak pandai betul nak berbahasa jiwang karat. Kalau SMS lagilah, langsung tak berbalas. Takkan tak tahu balas SMS kut? 

“Hisy, you ni pelik aje. Tak payahlah.” 

“You tak nak makan ke?” soal Azzahani bila pelayan yang mengambil order datang dan Tengku Azri hanya memesan minuman. 

“I dah makan kat rumah tadi. Hari ni my...” 

Tengku Azri mencari kata-kata yang sesuai untuk disebut. Nak cakap my sister, Azzahani tahu dia anak tunggal. Nak cakap mama masak, tadi Lily yang masak. 

Dalam Tengku Azri termangu-mangu, Azzahani menyergah. 

“My what?” 

“Mama I masak nasi beriani.” 

“Oh! Bestnya. You all tak pakai pembantu rumah ke lepas you cakap Mak Esah dah meninggal dulu tu?” soal Azzahani meneguk liur mendengar nasi beriani.

Ibu Puspawati mana pandai masak makanan macam tu. Makanan cara Indonesia dia pandailah. Kalau tak ayam penyet, asyik dengan bakso. Tapi Azzahani masih boleh layan juga kerana dia memang jenis yang tidak makan makanan pedas. Kalau Ibu Puspawati masak ayam penyet, sambal belacannya memang tak laku. 

Hendak tunggu Datin Sarah masuk ke dapur, wallahualam. Kalau sesekali Datuk Sulaiman ada dekat rumah barulah Datin Sarah turun ke dapur. Itu pun selalunya mereka akan keluar makan. Mommynya memang tidak pandai masak. Untung Tengku Azri dapat mama yang pandai memasak. Untung aku jugak kalau dapat jadi menantu rumah tu, desis Azzahani. 

“Memang best. Lagi sedap daripada nasi beriani yang ada kat restoran ni. My mom’s version, tak adalah banyak sangat segala bagai rempah yang dimasukkan dalam masakan tu. I rimas bila makan dalam makanan tu banyak sangat sampah-sarap macam dalam tomyam,” rungut Tengku Azri. 

Dia memang tidak gemar tomyam. Pembantu rumah? Takkan nak cakap Lily tu pembantu rumah? Eee... mahu kena pelangkung dengan Puan Adila. 

“Mama I memang tak pakai pembantu dah. Kami kerja sama-sama. Sebab tulah sekarang I payah dapat keluar,” ujar Tengku Azri tersenyum dalam hati. Ambik kau! 

“Kenapa you tak nak jemput I makan kat rumah you?”

Tengku Azri merenung Azzahani dengan pertanyaan itu. 

“You pandai masak ke? Nanti siapa nak tolong mama I kat dapur? Mama I bukan orang gaji.” 

“Tapi malam ni I lapar, I nak makan,” rengek Azzahani. 

“Hah, orderlah.” 

Tengku Azri mengangkat tangan kepada pelayan di situ. 

“Bulan depan I dah mula kerja.” 

Tengku Azri bersuara bila Azzahani mula menyuap hidangannya. Cuma nasi putih dengan sup ayam. Kasihannya!

“So?” tanya Azzahani. 

“You jangan suka-suka hati nak call I pulak.” 

“Call you masa belum kerja ni pun susah nak angkat, inikan pulak bila you dah mula kerja? Kenapa dengan you ni?” soal Azzahani sambil menghirup sup ayam. 

“Kenapa dengan I? Tak faham,” soal Tengku Azri berkerut dahi. 

“Macam orang tak ada perasaan, you tahu tak?” 

“I malaslah nak susahkan kepala otak nak memikirkan pasal relationship. Pada I kalau dah sampai serunya I akan terima. In the meantime, I masih rasa nak enjoy life without any commitment,” ujar Tengku Azri masih menyandarkan badan sambil bercerita.

“Tengok pak su I tu, dah lebih 30 tahun pun masih tak sibuk dengan cerita nak kahwin. Tok umi I pulak yang kecoh semacam.” 

“Orang lelaki ni semua memang macam tu agaknya,” perli Azzahani. 

“Habis, orang perempuan semua macam you ke?” 

“Yalah. Kami perempuan ni, kalau lambat kahwin nanti kena gelar andalusialah, andartulah. Lagipun kalau lambat-lambat nanti susah nak beranak tau? Lelaki lain, makin tua makin laku,” ujar Azzahani sambil menjeling Tengku Azri. 

“Oh, ya ke? I didn’t know that.” Tengku Azri melempar senyuman sambil menegakkan duduknya. Dia menghirup nescafenya lagi. 

“So, macam mana?” tanya Azzahani sambil meletakkan sudu ke pinggan. 

Nasi dan sup tadi sudah licin dikerjakan. Mujur serai dan daun limau purut yang berada dalam sup itu tidak boleh dimakan. 

“Macam mana apa?” tanya Tengku Azri macam orang bodoh. 

Tapi dia ni kalau bab nikah kahwin memang sengal sikit. Nak cakap, kena straight to the point baru dia faham. Kalau cakap berbelit-belit, sampai tahun depan pun belum pasti masuk dalam kepala otaknya.

“Oh my god, you’re so impossible. Masih tak faham ke maksud I?” soal Azzahani menepuk dahi. 

“What is it?” 

“Bila you nak hantar mama you untuk pinang I?”  

Bulat mata Azzahani memandang Tengku Azri. “Pinang you? You mean propose to you?” 

“Haah,” jawab Azzahani sambil menyedut carrot susu dengan segaris senyuman. 

Tengku Azri mengangkat kedua-dua tangan macam kena acu dengan pistol pula gayanya. 

“No...no...no...not now.” 

“Tengku Azri! You are so mean.” 

“Excuse me? I’m not ready for that, okay? Let’s drop the subject. You buat bulu roma I meremang.” 

“Habis tu, you nak I tunggu sampai bila?” 

“I tak janji apa-apa. Tengok ajelah kalau kita ada jodoh.” 

Pegangan hidup Tengku Azri memang begitu. Dia lebih suka rezeki datang bergolek. Kalau kena bersusah payah mencari, memang dia tak kuasa. Dia percaya ALLAH sudah tulis segala urusan untuknya di dunia sejak azali. 

“I hate you! You’re making me feel so bad.” 

“Sorry. That’s not my intention.” 

Hisy lelaki seorang ni, nak tunggu sampai kucing bertanduk ke? Atau aku yang nak kena tunggu sampai bongkok? Getus Azzahani.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian