Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,857
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8
SEBULAN telah berlalu semenjak Tengku Azri pulang ke tanah air. Sekarang dia memang tidak berapa lekat di rumah. Ada sahaja orang yang mencari dan menelefon untuk mengajak keluar melepak. Ada sahaja tempat yang hendak dituju. Dia pun tidak pula membantah dan menolak pelawaan kawan-kawannya itu. Apabila ditanya oleh Puan Adila dia hendak ke mana dan ada urusan apa, ada sahaja alasan yang diberi. Katanya, kalau dia sudah mula bekerja nanti, dia tidak akan berpeluang berbuat demikian.

“Lily, nanti tolong gosok baju-baju Abang Ayie yang mama letak atas iron board tu. Esok Abang Ayie dah nak mula kerja,” pesan Puan Adila sebelum melangkah menyusuri anak tangga ke bilik.

“Baik ma, nanti Lily buat.”

Selesai mencuci pinggan dan mengemas dapur malam itu, Lily Athira ke bilik dobi bersebelahan bilik tidur. Sedang dia menggosok kemeja Tengku Azri, terdengar deruman kereta masuk ke pekarangan rumah. Dia kenal bunyi deruman enjin kereta Civic Type R Tengku Azri yang baru seminggu dibeli bersama dengan pak sunya, Tengku Izwan.

Kalau nak pakai Volvo S40 arwah papanya punya boleh saja, tapi dia tidak minat. Besar sangat, katanya. MyVi tu lagilah dia tak ingin. Nak dijual Volvo itu untuk beli kereta lain, Tengku Azri pula yang kata sayang kerana itu kereta kenangan arwah papanya.

Hmm... orang kalau ada duit ni macam-macam, bisik hati Lily Athira. Namun dia meneruskan juga kerja yang diarahkan Puan Adila. Dia tahu anak bujang Puan Adila mempunyai kunci rumah. Terdengar bunyi pintu kereta ditutup. Pintu gril ditarik buka dan kemudian ditutup. Bunyi pintu rumah ditolak buka dan ditutup kembali dan dikunci. Bunyi derapan tapak kaki macam menuju ke dapur sambil bersiul kecil. Lampu dapur yang tadi sudah dimatikan kini dibuka kembali. Terang dan senyap seketika. 

Alamak, siapa tu? Buatnya yang masuk tu bukan Abang Ayie? Mana tudung aku tadi? Lily Athira cuba memberanikan diri untuk keluar menghendap. Dia menarik tudung kepala yang disangkutkan di tempat penyidai. Disarungnya ke kepala ala kadar sahaja. Okeylah tu, janji tutup. Dia menapak perlahan ke pintu. Terkejut Lily Athira bila dia membuka pintu, Tengku Azri Iskandar terjengul di depan pintu bilik dobi. Mujur tak dibalingnya dengan seterika panas.

Tengku Azri Iskandar juga sama-sama terkejut, namun dia cuba sedaya upaya menyembunyikan rasa terkejutnya itu, takut ketara pula. “Lily, abang belum makanlah. Ada nasi lagi tak?” tanya Tengku Azri sambil berjalan menuju ke ruang dapur. Tangannya mengurut-urut dada akibat terkejut.

Kecohlah mamat ni. Tadi keluar sehari suntuk tak makan ke? Aku dah siap-siap kemas dapur, dia nak mintak makan pulak. Namun kata-kata itu hanya dalam hati sahaja. Mana mungkin dia berkata begitu dengan anak bujang Puan Adila?

“Nanti Lily siapkan,” jawab Lily Athira sambil mematikan suis seterika.

Bukan tak boleh nak makan kat luar tadi. Budak-budak tu pun asyik nak makan western aje. Jemu! Dahlah masa duduk kat luar negara dulu tu balik-balik roti, sandwic, stik. Eee... baik balik, makan kat rumah, bisik hati kecil Tengku Azri. 

“Kenapa tak tidur lagi?” tanya Tengku Azri yang sedang duduk di kerusi meja makan dapur.

“Mama mintak tolong gosok baju kemeja abang. Mama cakap esok abang dah mula kerja.”

Tanpa memandang jejaka itu, Lily Athira terus memanaskan lauk asam pedas siang tadi. Puan Adila yang minta dia memasak lauk kegemaran Tengku Azri, namun anaknya itu tidak balik makan tengah hari.  

Tengku Azri sendiri pun macam tahu-tahu sahaja, di rumah ada lauk kegemarannya. Bila kawan-kawan mengajak makan malam tadi, dia menolak dengan alasan mahu pulang awal kerana dia akan mula kerja pada esok hari. Kembang kuncup hidung Tengku Azri menghidu bau asam pedas yang sedang dipanaskan.

“Hah, cakap pasal kerja ni esok abang nak nasi goreng kampung, yang ada letak belacan. Hari tu abang makan dengan kawan abang kat warung depan gelanggang futsal tu, best. Lepas tu malam nanti buatkan sambal belacan. Hmm...” pinta Tengku Azri memejam mata sambil menggeleng-geleng perlahan.

Sebenarnya teman-teman tadi sibuk bercerita pasal perempuan zaman sekarang yang masak mengikut resipi yang senang dicari dan di‘google’ daripada internet.

“Aku nak try suruh awek aku buat sambal belacan, tengok dia pandai tak?” kata Roslan yang baru belajar bercinta itu dan sering dihidang dengan makanan yang dimasak aweknya untuk menarik perhatian. 

“Yalah, sekarang buku resipi melambak. Masa bercinta ni dah tentu mereka rajin menunjuk pandai, sedangkan mereka rujuk buku resipi. Kalau test suruh masak on the spot, aku gerenti menangis perempuan tu nanti,” ujar Zahid turut sama menyokong kata-kata Roslan.

Jadi Tengku Azri si kaki buli ini hendak mencuba nasibnya dengan anak arwah Mak Esah yang dipuji melambung Puan Adila.

Kenapa mamat ni? Semua menu yang dimintak nak diletak belacan. Lily Athira menyenduk nasi ke pinggan dan diletakkan di depan Tengku Azri yang mengaku belum makan walau jam sudah menunjukkan pukul 10.45 minit malam.

“Nak tambah apa-apa lagi tak?” tanya Lily Athira.

Tengku Azri memandang Lily Athira.“Kenapa?”

“Lily nak sambung kerja kat bilik dobi tu.”

Belum sempat Tengku Azri bersuara, Puan Adila sudah menegur. “Hah! Ingat dah tak nak makan kat rumah lagi. Nasib baik lauk masih ada. Ni kenapa pulak mintak makan malam-malam buta ni?”

Hampir tersembur nasi yang disuap ke mulut. Tidak disangka Puan Adila turun ke dapur. Mungkin bau asam pedas tadi naik ke bilik.

“Saja Ayie balik cepat, esok kan Ayie dah mula kerja?”

“Cepat sangatlah tu. Cuba tengok jam dah pukul berapa?”

“Alah ma, kira cepatlah tu.” 

Puan Adila sudah malas melayan. Dia membancuh segelas susu dan dibawa naik ke bilik. “Nanti nak naik, bawak baju-baju yang Lily dah gosok tu ke bilik. Mama dah nak tidur ni,” pesan Puan Adila, sudah mengatur langkah memanjat anak tangga untuk ke bilik

“Okey ma, good night.”“Good night. Assalamualaikum.”

Puan Adila sudah hilang daripada pandangan. 

“Waalaikumussalam,” jawab Tengku Azri dan Lily Athira automatik serentak.

Tengku Azri menyambung suapan. Nampak tekun benar dia membuang tulang ikan parang yang halus itu. Kalau makannya gelojoh, sudah lama dia tercekik. “Siapa masak asam pedas ni, Lily?”

Lily Athira yang sedang terpacak di bingkai pintu terus menegakkan badan dengan pertanyaan itu. Kenapa? Tadi Puan Adila makan tak tanya apa-apa pun? Mamat ni pulak sibuk semacam. Gaya orang pakar masak pula. “Lily yang masak. Kenapa? Tadi mama makan tak kompelin pun?”

“Sedap,” jawab Tengku Azri pendek.

Kembang rasanya dada Lily Athira mendengar pujian itu. Dia memalingkan muka, menyembunyikan senyuman gembira yang teramat sangat. Belum pernah arwah ibunya memuji masakannya selama ini. Selalunya arwah Mak Esah akan hanya menjawab, ‘bolehlah tu...’.

“Terima kasih,” ucap Lily Athira.Baru sahaja dia mahu berpusing untuk ke bilik dobi menyambung kerjanya yang terbantut tadi, tiba-tiba..

“Lily, tolong buatkan nescafe,” arah Tengku Azri.

Hai, macam-macam pulak mamat ni. Tadi masa mama dia ada, tak nak suruh pulak. Aku dahlah penat dari siang tadi kerja tak berhenti. Banyak cekadak karang, ada yang kena siram dengan air panas anak bujang Puan Adila ni, getus Lily Athira.

“Lily, tak rimas ke siang malam pakai tudung walaupun kat dalam rumah?”

Sudah hampir sebulan dia pulang ke rumah itu. Selama itu juga dia belum pernah melihat Lily Athira tanpa tudung. Mengalahkan mak haji yang baru balik dari Mekah. Tengku Azri bangun, menatang pinggan ke singki. Dia mencuci tangan dan kembali duduk di kerusi meja makan sambil memerhati 
Lily Athira yang sedang membancuh nescafe.

Dia terus menunggu. Boleh aje dijadikan bini. Pandai masak dan buat segala kerja rumah. Tapi budak sangatlah. Kalau tengok pada paras rupa, tak adalah nampak macam budak kampung. Cuma dia suka pakai baju kurung tak kira siang atau malam, desis Tengku Azri.

“Dah biasa,” jawab Lily Athira pendek.

Ada ke tanya? Dia tak tahu ke aku dan dia dalam rumah ni bukan muhrim? Itulah, lama sangat duduk luar negara, lepas tu asyik pandang minah salih yang tak tutup aurat, pelik pulak dia tengok aku bertudung dalam rumah, getus Lily Athira. Lily Athira menghulurkan mug berisi nescafe panas kepada Tengku Azri. 

Tengku Azri menyambut huluran mug itu. “Terima kasih. Abang nak naik.”

“Abang, bajunya?”

“Esok abang ambiklah.” Tengku Azri terus menapak ke anak tangga.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian