Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
191,502
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7
SEJAK kejadian malam itu, Azzahani memang tidak senang hati. Entah mengapa dia memang sudah jatuh sayang pada lelaki itu. Tapi lelaki itu macam tidak langsung ada perasaan padanya. Tak apalah, bagi dia peluang hendak enjoy life, konon. Masa dekat Jerman dulu bukan dah puas enjoy ke? Tengku Azri Iskandar yang dikenalinya itu memang tidak pernah balik bercuti ke Malaysia. Azzahani sudah lama mahu mendekati pemuda itu kerana dia suka dengan penampilannya. Tengku Azri peramah dan rajin membantu sesama mereka yang memerlukan pertolongan. 

Selain Azzahani, ada seorang lagi budak perempuan dari Sungai Petani, Kedah, iaitu Nurul Syuhadah. Mereka bersaing untuk merebut hati Tengku Azri. Nampak macam Tengku Azri lebih menggemari Nurul Syuhadah yang berpenampilan agak sederhana. 

Tapi Azzahani yakin dia boleh mendapatkan Tengku Azri bila pulang ke tanah air kerana dia tinggal sama daerah dengan Tengku Azri. Mereka senang berhubung selain boleh dapat selalu berjumpa. Rupa-rupanya lelaki ini tidak semudah yang dijangka. Mungkin kerana dia anak tunggal. Anak emak, anak manja, jenis yang dengar cakap emak.

Sambil berbaring bermalas-malas tengah hari pada hari minggu itu, Azzahani mendapat akal. Dia lalu beralih posisi. Dia meniarap pula.

“Yes!” Azzahani memetik jari. “Kalau kau susah sangat nak jumpa dengan aku, macam mana kalau aku pulak ke rumah kau? Boleh berkenalan dengan bakal mama mentua. Sambil menyelam minum air,” ujar Azzahani ketawa sendirian.

Di rumah besar itu hanya tinggal Azzahani dan Ibu Puspawati. Datin Sarah sekarang makin ligat keluar mengikut ke mana sahaja Datuk Sulaiman pergi. Dulu Datin Sarah sibuk dengan perkumpulan wanitanya. Datin Sarah akan keluar negara dengan geng mak datinnya. Selepas Datin Sarah mendapat sebuah panggilan daripada seseorang yang mengaku sangat menyenangi Datuk Sulaiman, macam ribut rumah itu jadinya. Nasib baik masa itu Azzahani berada di luar negara. 

Itupun Ibu Puspawati yang menceritakan kejadian itu kepadanya kerana dia hairan kenapa mommynya selalu bersama daddynya. Bila ditanya, Datin Sarah akan cakap, ‘tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.’ Pelik! Dulu tu boleh aje makan angin sendiri?Azzahani bergolek ke kiri dan sekejap ke kanan. Hisy, boring betullah. 

Dah telefon Tengku Azri, ajak tengok wayang, dia malas nak keluar, katanya. Ada ke lelaki macam tu? Desis Azzahani. Telefon bimbit ditarik dari bawah bantal. Dia menekan butang ‘contact’, mencari nama-nama yang boleh diajak keluar petang itu. Tiada siapa yang dia minat untuk diajak keluar. Semua kenalan lelakinya sudah mempunyai pasangan. Kawan perempuannya boleh dikira dengan jari. Siapa? Azzahani mengetuk jari ke bibir. Dia mengingat bagaimana hendak mencari kawan-kawannya. 

Azzahani ke meja belajar. Butang ‘power’ pada PC ditekan. Sementara menanti ‘loading’, jarinya diketuk-ketuk di atas meja memainkan lagu ‘Abracadabra’ daripada Brown-Eyed Girl, sebuah kumpulan dari Korea. Badannya dihayun-hayun mengikut rentak lagu itu. Dia memang peminat lagu-lagu Korea. Paling dia suka ialah penyanyi Rain yang terkenal dalam drama bersiri Full House. Kalau boleh Tengku Azri pun dia nak suruh ikut berfesyen macam pelakon dan penyanyi Korea itu. Tapi Tengku Azri tak minat. Penampilan Tengku Azri ringkas sahaja.

Azzahani ke ‘google chrome’. Dia menekan ‘click’ untuk ke ‘Facebook’. Sudah lama dia tak memeriksa laman ‘Facebook’. Banyaknya ‘notifications’. Terdapat ‘10 friends request’. Azzahani menekan ‘click’. Terpapar nama-nama kenalan yang minta di ‘add’ dalam lamannya. Lepas seorang, seorang diperhati. Oh, kawan sama-sama sekolah menengah dulu. Dalam ramai-ramai itu ada seorang yang menarik perhatian. Norman. 

Lelaki itu pernah menjadi teman lelakinya semasa di sekolah menengah. Ketua pengawas yang tua setahun daripadanya. Dia menekan ‘click’ untuk ‘Accept’. Terpapar kemudian: Azzahani Datuk S and Norm d’HB are now friends. 

Yes! Azzahani lalu membuka laman ‘Facebook’ lelaki itu dan membaca ‘profile’nya. Kalau dilihat pada gambar-gambar yang dimuat naik dalam album di ‘profile’nya, dia memang semakin kacak. Daripada statusnya ditulis: Married. Hisy, dia dah kahwinlah. 

Terdapat gambar-gambar Norman bersama rakan-rakan setugas, rasanyalah. Beberapa keping gambar terdapat perempuan yang turut sama bersamanya. Yang ini ke? Macam kenal aje? Azzahani mengagak sendiri dalam hati sambil menekan butang klik. Dia bertugas di Jabatan Kerajaan. Wah! Hebatlah Norman sekarang. 

Matanya mencari nama chatters pada petang itu. Norman ‘online’ nampaknya. Azzahani segera menekan klik pada nama Norman.

Azzahani Datuk S> Salam.

Azzahani mengetuk jari di meja sambil merenung skrin. Satu minit berlalu...dua minit...tiga minit... Hisy dia ni, tak nampak aku ke? Atau sengaja dibiarkan PC on tapi orang tak ada kat situ? Tak apa, sabar, bisik hati kecil Azzahani sambil mengurut dada.

Dia terasa dahaga. Sementara menanti Norman masuk dalam channelnya, Azzahani ke dapur. Dia tahu rumahnya memang senyap sunyi kalau bukan dia atau Ibu Puspawati yang membuat bising. Ibu Puspawati pun bukan ada kerja sangat kalau Datin Sarah dan Datuk Sulaiman tidak ada di rumah. Cuma kerja-kerja mengemas rumah dan laman sahaja.Kelihatan dari tingkap dapur, Ibu Puspawati sedang membersihkan laman belakang. 

Azzahani membuka peti ais dan mengeluarkan sebotol jus Tropicana Twister kegemarannya. Sebiji gelas dicapai dari rak pengering dan dia menapak semula menaiki anak tangga untuk ke bilik.

Yes! Norman dah masuk. Azzahani menuang jus ke dalam gelas. Botol jus tadi diletak di atas meja. Hah, kan bagus macam tu. Senyuman Azzahani sudah melebar ke telinga.

Norm d’HB> Salam 2 U 2. Where have U been?

Azzahani Datuk S> Kat rumah. Bina badan.

Norm d’HB> Bina badan?

Azzahani Datuk S> Tunggu pinangan.

Norm d’HB> Tunggu I ke?

Azzahani Datuk S> Kalau masih sudi.

Azzahani sudah tersenyum melebar ke telinga. Seronoknya dapat berbual-bual dengan Norman, bekas teman lelakinya walaupun hanya menerusi laman web.

Norm d’HB> Can we meet somewhere...some place?

Azzahani Datuk S> U just name it.

Norm d’HB> Hari minggu ni I ada kat Putrajaya. C U kat Alamanda at around 4.00?

Mak ai! Jauhnya? Tapi okey kut. Lagipun dah lama tak jumpa dengan Norman. Nampak dalam gambar ni bukan main segak dan handsome lagi sekarang.

Azzahani Datuk S> Sure, I’ll be there.

Norm d’HB> C U then, bye.

Azzahani tersenyum tawar. Rasa macam perempuan yang bertudung dalam gambar bersama Norman, pernah dia kenali. Tapi gambarnya kurang jelas. Mereka macam dalam sebuah majlis. Tapi di mana ada Norman, di situ ada perempuan itu. Hisy, menyampahnya aku. Kenapa dengan lelaki sekarang? Nak cari bini yang bertutup ke? 

Azzahani kemudian menghempas tubuh ke katil. Dia cuba mengingat perempuan yang bersama Norman dalam setiap gambar itu. Siapa? Siapa? Berkerut-kerut keningnya mengingat. Macam... Nurul Syuhadah?Azzahani bagai diketip lipan, terus bangun daripada pembaringan. Dia berlari ke almari. Album ketika dia belajar di Jerman bersama Tengku Azri dulu dicari. Dia kembali bersila di atas katil, tidak sabar menyelak album gambar itu untuk memastikan apakah benar perempuan yang bersama Norman itu adalah Nurul Syuhadah.

Setelah gambar itu ditemui, dia mendekatkan album tadi ke PC bagi mencari persamaan. Eh! Yalah, perempuan ni kerja kat mana? Macam mana dia boleh kenal dengan Norman pulak? Yang Norman pun macam mana dia boleh minat dengan perempuan yang bertudung ni? 

Album tadi ditutup kembali dan dilempar ke atas katil. Hatinya begitu kecewa. Tapi tak apa, hari minggu ni aku akan jumpa dia kat Alamanda. Tengoklah nanti, aku goda dia cukup-cukup. Dia pun belum pernah jumpa aku setelah sekian lama kami berpisah kan? Dulu aku Azzah yang masih bersekolah, kini aku Azzah yang dah berkerjaya. Kini Azzahani tersenyum sendiri, macam pasti dia dapat mencairkan hati lelaki yang pernah menjadi teman lelakinya suatu ketika dahulu.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian