Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
48,656
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
1


Elika bangun dari katil lantas mencapai tuala. Kedengaran sayup-sayup suara Karina yang sedang membebel. Tidak ada orang lain yang sedang dibebel oleh ibu tirinya itu melainkan dirinya. Dia dapat bayangkan wajah Lanaa yang tersenyum lebar apabila Karina membebelnya. Lanaa adalah saudara tirinya. Anak kandung Karina dengan bekas suaminya sebelum berkahwin dengan papanya, Jaim. Elika menguap perlahan sebelum menuju ke bilik air.

                                    ***** 

“Hah, baru bangun?” tegur Karina apabila melihat Elika yang sedang membuka peti ais.

“Kau tak reti nak bangun awal? Kau ingat aku dan Lanaa orang gaji kat rumah ni?” soal Karina dengan wajah bengis memandang setiap gerak geri Elika.

“Mama ni buat lupa ke? Elika ni nama aje budak pandai. Tapi kerja kat rumah ni bukannya dia reti nak buat,” sampuk Lanaa yang sedang duduk menghadap sarapan. Selepas mengisi botol air, Elika berpaling memandang Jaim yang sedang menikmati sarapannya. Seperti biasa papanya itu hanya mendiamkan diri apabila Karina dan Lanaa menyerangnya. Mula-mula dia memang terasa dengan sikap papanya itu. Namun lama kelamaan dia mula terbiasa. Dia sedar, dalam rumah mewah ini tidak ada seorang pun yang dia boleh percaya. Tidak juga papanya yang dulu penyayang kini seperti orang asing baginya.

“Papa, Elika pergi dulu,” beritahunya tanpa mempedulikan jelingan tajam Karina. Walaupun dia sudah tidak rapat seperti dulu dengan papanya, namun masih ada rasa hormatnya pada orang tua itu.

“Hati-hati,” pesan Jaim sambil memandang langkah gadis itu yang sudah menjauh. Entah dengar atau tidak Elika akan pesannya itu.

                                   *****

Jaim menoleh ke arah isterinya yang baru melangkah masuk selepas menghantar Lanaa yang berangkat ke kolej.

“Saya tak suka cara awak layan Elika. Dia tu anak saya. Saya tak ada masalah dengan Lanaa. Tapi kenapa awak tak boleh terima Elika?” soalnya dengan riak wajah serius. Dia memang mendiamkan diri dengan setiap perilaku wanita itu kepada Elika. Namun itu tidak bermaksud dia setuju dengan tindakan isterinya itu. Karina menarik kerusi di hadapan Jaim sambil mendengus perlahan.

“Anak abang tu selalu aje buat hal. Tu sebab saya selalu bising. Saya bising bukan bermakna saya tak suka Elika,” balasnya sambil mencapai sudu.

“Elika tu budak baik. Dia tak pernah ganggu sesiapa. Awak tu yang suka sangat nak bebel dia. Lepas ni saya tak nak lagi dengar suara awak bebel Elika tanpa sebab,” kata Jaim separuh memberi amaran. Dia bangun dari kerusi lantas berlalu. Karina hanya memandang langkah suaminya itu.

“Suka sangat nak menangkan anaknya,” balasnya dengan nada perlahan.

                                 *****

Elika berjalan perlahan menuju ke arah perhentian bas. Walaupun ayahnya ada mencadangkan kepadanya untuk membelikannya kereta, namun dia menolak apabila mengingat semula jelingan tajam Karina. Mama tirinya itu memang tidak suka jika duit papanya habis untuknya seorang. Elika mengeluh perlahan. Sudah tujuh tahun pemergian ibu kandungnya. Selama itu juga dia mula belajar hidup sendiri. Keluarga yang ada sangat terasa asing. Teman? Seorang pun dia tidak ada. Masanya banyak dihabiskan dengan belajar.

“Hoi! Kau pekak ke?” tegur satu suara dengan kasar. Elika berpaling menoleh. Kelihatan Gloria rakan sekelasnya yang sedang berlari menuju ke arahnya.

“Tepi lah!” kata Gloria sambil menolak tubuh Elika untuk naik ke dalam bas. Hampir saja Elika jatuh tersungkur. Dia mendengus geram. Elika memang tidak suka dengan gadis itu. Di dalam kelas Gloria asyik ingin bertanding dengannya. Apabila berada di luar kelas pula, Gloria asyik mencari kesilapannya.

“Adik, tak nak naik?” tegur pemandu bas apabila melihat Elika yang hanya berdiri di depan pintu bas. Elika tersenyum sebelum melangkah masuk. Dia hanya menjeling Gloria yang tersenyum sinis membalas pandangannya.

Perempuan gila!

Kutuknya dalam hati.

                                  *****

Gloria menarik kerusinya dengan kasar. Dia kemudian berpaling memandang Elika yang duduk dibelakangnya.

“Macam mana kau dapat markah lebih tinggi daripada aku?” soalnya yang berang apabila kalah hanya satu markah dengan gadis itu. Elika tersenyum sinis.

“Kau nak tahu?” soalnya sengaja ingin menyakitkan hati Gloria.

“Tak ingin aku!” balas Gloria sambil memandang ke hadapan semula. Geram dia melihat senyuman gadis itu.

“Aik, tadi bukan main kau tanya aku. Sekarang jual mahal pula,” kata Elika sebelum tergelak.

“Kau dengar eh, aku akan pastikan ujian akan datang kau akan gagal!” marah Gloria.

“Kau nak buat apa?” soal Elika mula naik angin dengan gadis itu. Dia memang tidak faham dengan Gloria. Ada saja yang tidak kena padanya. Entah apa yang membuatnya sakit hati sangat.

“Elika, Gloria! Saya masih ada dalam kelas ni. Kamu berdua tak nampak?” tegur Taj pensyarah muda yang digilai ramai pelajar perempuan di universiti mereka. Pensyarah muda itu memang agak terkenal kerana rupanya.

“Issh, menyibuk aje,” kata Gloria perlahan namun masih didengari oleh Elika.

“Kau punya pasal, aku pun kena sekali,” balas Elika sambil menendang kerusi Gloria dari arah belakang. Gloria berpaling memandang gadis.

“Nak mampus?!” soalnya mula berang.

“Elika, Gloria! Keluar dari kelas saya sekarang!” arah Taj dengan nada tegas. Elika mendengus geram. Dia bangun dari kerusi lantas berlalu keluar tanpa rasa bersalah. Gloria hanya mengikut dari belakang.

“Jangan masuk selagi saya tak bagi arahan,” sambung Taj lagi.

“Tahu lah,” balas Gloria kasar. Taj hanya menggeleng meilhat kedua-dua gadis itu berlalu.

                                    *****

Elika berlalu ke arah perpustakaan tanpa menghiraukan Gloria.

“Kau nak ke mana pula tu?” soal Gloria dengan riak wajah yang tidak puas hati.

“Suka hati aku lah!” balas Elika tanpa memandang. Sampai sahaja di hadapan perpustakaan, dia melangkah masuk dengan perasaan lega. Lega kerana dapat melarikan diri daripada Gloria yang digelarnya perempuan gila. Langkahnya laju menuju ke arah barisan rak yang menempatkan buku-buku yang berkaitan dengan arkeologi. Elika mengeluh perlahan.

Mengapa aku pilih kos ni? Kalau aku pilih kos lain tak lah aku jumpa perempuan gila tu setiap hari.

Sempat Elika mengutuk dalam hati. Dia mencapai sebuah jurnal. Langkahnya diatur menuju ke kerusi yang berhampiran lantas duduk. Dia ingin menghabiskan masanya dengan membaca sebelum Taj mencarinya. Dia sudah jemu asyik dipanggil ke bilik lelaki itu berdua dengan Gloria. Taj memang suka mencuci telinga mereka.

                                  *****

“Sebagai denda, kamu berdua akan ikut saya bulan depan. Kita akan melawat satu tempat ni. Tapi lawatan ni masih dalam perbincangan,” kata Taj dengan riak wajah yang serius. Elika dan Gloria saling berpandangan tanpa senyuman.

“Tempat apa?” soal Gloria dengan kening berkerut.

“Ini denda ke peluang?” soal Elika pula. Taj menggeleng.

“Kamu berdua ni memang tak boleh duduk diam dan ikut arahan ke?” soalnya separuh memerli. Gloria berdehem perlahan.

“Saya okay aje. Tak tahu lah perempuan seorang ni,” katanya tanpa memandang Elika.

“Saya ikut,” balas Elika sambil menjeling tajam ke arah Gloria.

“Baik lah, kamu berdua kena bersedia. Mungkin kita akan lama kat sana,” kata Taj sambil membetulkan cermin matanya.

“Sebenarnya tempat apa kita nak pergi ni?” soal Elika mula berminat ingin tahu.

“Tapak peninggalan kerajaan lama,” jawab Taj ringkas.

“Wah! Saya dah lama nak turun ke tapak yang sebenar,” sampuk Gloria dengan teruja.

“Apa-apa nanti saya akan hubungi kamu berdua dari masa ke semasa. Sekarang ni kamu berdua boleh balik ke kelas,” arah Taj. Elika dan Gloria hanya menurut.

Kerajaan lama?

Soal Elika dalam hati. Dalam diam dia juga tidak sabar untuk pergi ke tempat yang disebut oleh pensyarah mereka itu. 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.