Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
48,425
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3


Gloria dan Elika turun dari bas sambil memandang sekeliling. Di sebelah mereka sudah disediakan kawasan yang agak luas untuk mendirikan khemah.

“Siapa nak pasang khemah?” soal Gloria dengan kening berkerut.

“Siapa nak tidur dia lah yang kena pasang,” balas Elika sinis sebelum berlalu. Gloria mendengus geram. Selepas selesai memasang khemah, Gloria dan Elika dipanggil oleh Taj.

“Kamu dibenarkan untuk melihat sekeliling. Tapi jangan pergi jauh. Lagi satu, jangan usik apa-apa,” nasihat Taj. Elika dan Gloria serentak mengangguk.

“Lagi satu nak pesan. Kamu berdua tidak dibenarkan bertekak kat sini. Ingat, kita ni kat mana sekarang,” sambung Taj lagi.

“Okay,” jawab Elika dengan senyuman. Gloria hanya berdehem perlahan. Selepas Taj berlalu, Elika memandang Gloria.

“Jom,” ajaknya.

“Nak pergi mana?” soal Gloria dengan kening berkerut. Dia memandang sekeliling. Beberapa pelajar sudah menghilang entah ke mana.

“Inilah masanya kita nak teroka tempat ni. Jom,” ajak Elika sambil melangkah. Gloria tidak ada pilihan lain selain mengikut langkah gadis itu dengan berat hati.

“Kau tak takut?” soal Gloria yang kini berada di sisi Elika. Matanya meliar memandang sekeliling.

“Nak takut apa? Hantu?” soal Elika separuh bergurau.

“Mulut!” marah Gloria yang mula merasa tidak sedap hati apabila jalan yang mereka lalui itu sangat sunyi. Elika hanya menggeleng.

“Kau rasa pelajar lain dah pergi mana?” soal Gloria lagi.

“Entah. Mereka dah masuk hutan kot,” balas Elika sambil memandang sekeliling. Pokok-pokok yang tumbuh di kiri dan kanan mereka sangat tinggi.

“Jom lah balik. Aku tak sedap hati lah. Aku rasa tak selamat. Sekarang ni kita berdua aje. Kalau jadi apa-apa kita nak minta tolong dengan siapa?” soal Gloria bertalu. Elika berhenti melangkah.

“Kau ni penakut lah. Kau tak dengar ke Taj cakap tadi? Hutan ni dijaga. Maksudnya mereka dah teroka hutan ni dulu,” balasnya dengan kening berkerut.

“Kalau kau takut sangat tinggal kat sini,” arahnya sebelum menyambung langkahnya semula. Gloria mendengus geram.

“Ehh!” katanya separuh menjerit.

“Apa lagi?” soal Elika yang agak terkejut. Gloria menunjuk ke arah kanan mereka. Elika menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh gadis itu. Kelihatan sebuah perigi tidak jauh dari tempat mereka.

“Jom,” katanya dengan perasaan agak teruja.

“Kau nak buat apa? Kau tak ingat apa Taj pesan tadi? Jangan usik apa-apa,” balas Gloria separuh mengingatkan.

“Aku nak tengok aje,” balas Elika sambil mula melangkah. Gloria mengikut dengan berat hati. Sebenarnya bukan hantu yang dia takutkan tapi binatang buas. Dia takut jika Sang Rimau tiba-tiba datang menerkam mereka. Gloria mengeluh lagi. Mereka kini sudah berada di hadapan perigi yang memang kelihatan sudah lama.

“Ini pertama kali aku lihat perigi depan mata,” kata Elika dengan senyuman lebar. Tangannya pantas mengambil gambar.

“Cepat lah. Aku nak balik. Hari dah nak gelap ni,” kata Gloria sambil memandang sekeliling yang mula gelap. Dia memandang jam di tangannya.

Jam 3 petang? Tapi…, kenapa dah nak gelap sangat?

Berkerut kening Gloria. Dia memandang Elika yang sedang berdiri di tepi perigi.

“Jangan lah dekat sangat,” kata Gloria yang agak risau jika Elika tiba-tiba terjatuh ke dalam perigi. Elika mengangkat tangannya. Jari telunjuknya diletakkan pada bibir sebagai isyarat supaya Gloria tidak mengeluarkan sebarang bunyi.

“Kau dengar tak?” soal Elika separuh berbisik.

“Apa lagi ni?” balas Gloria semakin rasa tidak sedap hati. Dia melangkah dengan berat hati apabila Elika memberi isyarat supaya menghampirinya.

“Apa?” soalnya separuh berbisik.

“Kau tak dengar?” soal Elika. Gloria memasang telinga. Kedengaran seperti suara orang sedang berbual namun tidak begitu jelas. Bulat mata Gloria memandang Elika.

“Jom balik,” katanya mula melangkah namun Elika pantas menahan.

“Sekejap. Aku nak pastikan betul ke suara tu datang dari perigi ni,” katanya sebelum memandang perigi tersebut.

“Kau dah gila?” soal Gloria yang mula tidak tentu arah. Elika tunduk cuba memasukkan separuh badannya ke arah perigi.

“Elika!” jerit Gloria yang panik melihat telatah gadis itu. Dia pantas memeluk pinggang Elika. Namun kerana lumut yang licin di tepi perigi, kedua-duanya tergelincir lalu…,

“Elika!”

“Gloria!”

Suasananya gelap.

                                   *****

Elika membuka matanya perlahan. Sinar matahari benar-benar memedihkan matanya. Dia pantas bangun. Elika memandang sekeliling. Keningnya berkerut. Dia kini berada di sebuah kamar tidur yang agak luas. Angin pagi bertiup masuk ke dalam bilik tersebut kerana pintu beranda dibiarkan terbuka. Elika memandang dirinya. Dia kini memakai baju tidur satin yang benangnya jelas kelihatan berkilau.

“Apa ni?” soalnya lantas turun dari katil. Dia baru perasan bilik itu di penuhi dengan perabot antik. Bulat mata Elika.

Gloria!

“Selamat pagi Cik muda,” sapa satu suara. Elika pantas mencari arah datangnya suara tersebut. Kelihatan seorang wanita dalam lingkungan 30 tahun sedang tersenyum menghampirinya.

“Si…siapa?” soal Elika dengan perasaan takut. Cara pemakaian gadis itu seperti pembantu rumah zaman dahulu. Gaunnya yang separuh kembang dengan rambut yang diikat rapi mengunakan reben.

“Bonda Cik muda sudah lama menunggu di ruang makan,” beritahu wanita tersebut.

“Gloria mana? Aku kat mana sekarang ni? Kau siapa?” soal Elika bertalu.

“Elika, belum mandi lagi?” soal satu suara. Jantung Elika bagaikan terhenti saat mendengar suara tersebut. Dia berpaling menoleh ke arah pintu. Hana tersenyum sedang berjalan menghampiri.

“Ma…ma?” soal Elika dengan matanya yang mula berkaca.

“Ya sayang. Cepat bersiap. Elika ada sesi pertemuan dengan orang istana pagi ini. Ayah pun sudah lama menunggu di halaman rumah,” beritahu Hana sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Elika pantas memeluk wanita itu. Dia tidak dapat menahan air matanya lalu menangis teresak-esak. Hana agak terkejut dengan reaksi gadis itu. Dia memandang Maya yang merupakan ketua pembantu di rumah mereka. Maya menggeleng tanda tidak tahu. Dia juga turut hairan melihat tingkah laku Elika sejak bangun tadi. Gadis itu kelihatan keliru dan terkejut. Seperti baru pertama kali melihatnya.

“Mama? Ini mama kan?” soal Elika dengan perasaan yang masih tidak percaya.

Apa yang sudah berlaku? Aku dah mati ke?

“Ya sayang. Ini mama. Cepat bersiap. Ayah kamu sedang menunggu,” balas Hana dengan senyuman. Dia mengucup dahi gadis itu lalu mengesat air matanya.

Mimpi buruk kah anaknya itu?

Elika memeluk wanita itu lagi. Dia masih belum puas. Sudah lama dia menanggung rindu pada wanita itu.

“Elika, belum bersiap?” tegur satu suara. Elika melepaskan pelukannya lalu menoleh ke arah suara tersebut. Dia terkedu.

Siapa lelaki itu?

“Cepat sikit. Ayah tidak mahu lambat nanti jumpa raja,” kata lelaki itu.

“Ayah?” soal Elika sambil memandang Hana. Hana mengangguk agak hairan dengan reaksi Elika. Dia memandang Idham. Idham yang turut hairan menggeleng perlahan.

“Ibu, Elika kat mana sekarang?” soal Elika dengan wajah kebingungan. Hana tergelak kecil.

“Kita masih di Mataair sayang,” jawabnya dengan perasaan pelik.

“Mataair?” soal Elika dengan kening berkerut.

Bukan syurga?


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.