Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 14

BANGLO MISTERI

BUKITANTARABANGSA

               

Banglo putih yang dibina dengan gaya Mediterranean itu kelihatan gagah tersergam disimbahi cahaya bulan purnama. Sebuah kolam air pancut tiga tingkat yang dikelilingi oleh pohon-pohon palma renek melengkapi langskap laman hadapan banglo itu. Mikhael berdiri di hadapan kolam air pancut itu sambil matanya tajam memerhatikan keadaan di sekitar kawasan banglo, satu rutin yang sering dia lakukan sebelum melangkah masuk ke dalam banglo kesayangannya itu.

Degup jantung Mikhael bagai terhenti apabila dia terpandang satu makhluk berbadan kecil kurus serta berambut panjang sedang duduk bertinggung di atas dahan pohon mempelam berdekatan dengan pintu pagar masuk ke banglo itu. Sudah beberapa kali Mikhael melihat makhluk itu berlegar-legar di atas pohon mempelam itu. Dia tak pasti makhluk apakah itu. Mungkinkah ia pontianak, langsuir, ataupun mungkin juga sejenis beruk yang masih belum dikenalpasti spesiesnya. Apapun spesies makhluk itu, kehadirannya sudah cukup membuatkan bulu roma di tengkuk Mikhael meremang tinggi dan rongga-rongga halus di mukanya merembeskan manik-manik peluh dingin. Dia mendengus meluahkan rasa gelisahnya lalu membuka kunci pintu dan melangkah masuk ke dalam banglo.  

Banglo dua tingkat itu sebenarnya adalah hadiah daripada Tuan Bathor kepada Mikhael.Ia sebagai satu penghargaan di atas peranan Mikhael menaikkan nama firma guaman milik Tuan Bathor menjadi sebuah firma guaman yang paling terkenal di Malaysia. Sejak berkhidmat di firman guaman itu, hidup Mikhael bertambah mewah diiringi limpahan rezeki yang melimpah ruah.

Selain daripada bidang guaman, Tuan Bathor juga mempunyai rangkaian perniagaan yang luas meliputi pelbagai bidang. Dia merupakan seorang tokoh perniagaan yang sangat berpengaruh dan terkenal dengan sifat dermawan. Sifat dermawan dan perihatin Tuan Bathor dapat dilihat melalui penubuhan Yayasan Munirah.

Yayasan Munirah berfungsi sebagai tabung kewangan untuk menolong rakyat Malaysia yang tidak bernasib baik terutama mereka yang memerlukan pembedahan pemindahan organ. Yayasan Munirah akan menanggung segala perbelanjaan pembedahan dan bekalan organ baru kepada pesakit-pesakit yang terpilih secara percuma. Golongan miskin dan berpendapatan rendah akan diberikan keutamaan. Yayasan Munirah amat dekat di hati Tuan Bathor kerana ia diilhamkan sempena nama anak angkat kesayangan Tuan Bathor yang meninggal dunia akibat barah otak.

Sebaik saja kakinya melangkah masuk ke dalam banglo, Mikhael terus menuju ke bahagian dapur dan membuka pintu sebuah bilik kecil. Bilik yang direka khas itu digunakan oleh Mikhael untuk menyimpan botol-botol wain dan wiski kegemarannya. Dia menilik-nilik botol-botol wain yang ada dalam bilik itu. Ada Cabernet Sauvignon, Merlot, Pinot Noir dan Chardonnay. Namun dia belum lagi ada selera untuk minum wain.

Mikhae lmencapai sebotol wiski berlabel Tony Walker. Dia membuka penutup botol wiski itu lalu menuangkan kandungannya ke dalam gelas kaca yang berisi ketulan ais. Mikhael meneguk sedikit cecair yang berwarna perang cerah itu. Rasa hangat alkohol bercampur dingin ais mengisi tekaknya. Dia meneguknya lagi, menghabiskan sisa yang ada di dalam gelas itu.

Mikhael kembali rasa lapar walaupun baru saja lepas makan daging lembu dengan Ezrina. Sekarang dia bukan laparkan daging lembu. Daging lembu tidak memberikan kepuasan kepadanya. Sekarang dia laparkan daging manusia. Hanya daging manusia yang mampu memuaskan seleranya.

Mikhael bergegas ke bilik bacaan. Bilik bacaan itu kelihatan seperti sebuah perpustakaan kecil, penuh dengan buku dan journal undang-undang yang tebalnya mengalahkan Kamus Dewan. Dia menghampiri sebuah almari buku antik. Almari buku itu dipenuhi fail-fail kes dari seluruh dunia yang dijilid dan disusun mengikut turutan abjad.

Mikhael menolak almari itu ke tepi. Di bawah almari itu tersembunyi roda kecil untuk memudahkan pergerakannya. Sebuah pintu rahsia muncul di sebalik almari buku antik itu. Mikhael membuka pintu rahsia itu lalu melangkah masuk ke dalam.

Bilik yang dimasuki oleh Mikhael itu bukan bilik biasa. Ia seperti sebuah bilik sembelihan tapi dengan saiz yang lebih kecil. Ia kedap udara dengan suhu bilik yang nyaman. Cermin tingkap sedikit gelap bertujuan untuk menapis cahaya terik dari luar pada waktu siang. Lantainya dilapisi jubin putih untuk memudahkan proses mencuci darah, kencing, najis dan segala kekotoran hasil daripada proses penyembelihan. 

Mikhael memetik suis lampu utama. Seluruh bilik menjadi terang-benderang. Sebuah katil khas yang diperbuat daripada besi yang dilapik getah kalis air berada di tengah-tengah bilik. Seorang perempuan tidak berpakaian kelihatan terbaring diatas katil itu. Tangan dan kakinya yang diikat dengan tali getah tebal kelihatan tergantung ke atas. Dia masih tidak sedarkan diri setelah disuntik dadah oleh Mikhael beberapa jam yang lalu.

Perempuan Vietnam yang berusia 18 tahun dan tidak mempunyai dokumen sah itu dihantar oleh pekerja Tuan Bathor kepada Mikhael ketika dia bersiap-siap hendak keluar menjemput Ezrina. Dia berasa sedikit berang kerana penghantaran secara mengejut itu telah menyebabkan dia terpaksa membatalkan beberapa acara yang telah dirancang untuk diraikan bersama Ezrina. Namun begitu, dia sedar bahawa urusanTuan Bathor perlu diberi perhatian terlebih dahulu. Dia agak bernasib baik kerana Tuan Bathor bukan dalam keadaan tergesa-gesa memerlukan khidmatnya. Dia punya masa hingga esok pagi.

Mikhael kembali ke bilik bacaan. Dia menanggalkan pakaian dan mencampakkannya ke kerusi. Senarai yang diberi oleh pekerja Tuan Bathor kembali diteliti. Buah pinggang, paru-paru, jantung dan hati. 

Dia kembali ke bilik sembelihan bertelanjang bogel. Almari antik kembali ditarik ke tepi. Pintu rahsia ditutup rapi. Mikhael menghidupkan midi hifi dan memainkan lagu Romeo and Juliet gubahan Tchaikovsky.

Mikhael membuka kabinet yang terletak di sebelah katil besi itu. Pelbagai jenis pisau dan gergaji yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk kelihatan tersusun rapi di dalam kabinet itu. Mikhael mengeluarkan sebilah pisau kecil berhujung tirus yang biasanya digunakan oleh doktor untuk membedah pesakit. Pisau yang tajam berkilat dan baru dibeli itu kemudian dicelup ke dalam larutan alkohol.

Perempuan Vietnam bertubuh sedikit berisi itu dihampiri. Dos morfin yang tinggi telah diberi. Dia tidak akan merasai sakit lagi.

Perlahan-lahan Mikhael menusuk pisau bedah ke bahagian bawah leher perempuan Vietnam dan mula membelah kulit secara memanjang dari kawasan dada hingga ke bahagian ari-ari.

Kulit perut kemudian dihiris melintang dan dikuak ke tepi. Ini untuk memudahkan proses pengasingan dan pemindahan organ-organ yang diingini ke dalam bekas-bekas khas yang disediakan oleh pekerja Tuan Bathor. Empat buah bekas untuk empat jenis organ. Organ-organ yang berada di dalam bekas-bekas khas itu mampu bertahan selama 28 jam sebelum ia mereput.

Setelah proses pengasingan dan pemindahan organ-organ itu selesai, Mikhael kembali menghampiri perempuan Vietnam itu. Walaupun sudah tidak bernyawa tapi dagingnya masih lagi segar. Mikhael mengambil pisau boning. Pisau boning sering digunakan oleh tukang sembelih untuk memisahkan daging daripada tulang.

Mikhael membuat kelaran di kedua-dua bahagian pergelangan kaki perempuan Vietnam.Daging di bahagian betis itu dihiris memanjang rapat ke tulang kering. Daging betis sangat digemari Mikhael kerana rasanya yang pejal dan manis. Sangat enak dimasak stew ataupun dibuat rendang. Daging betis itu kemudian dimasukkan ke dalam bekas plastik kedap udara dan diletakkan dalam freezer yang berada disudut kanan bilik sembelihan itu.

Perhatian Mikhael kini beralih pula ke bahagian paha. Kedua-dua belah paha perempuan Vietnam itu kelihatan agak berisi dan kurang pejal. Mengikut pengalaman Mikhael, biasanya peha yang sebegitu mengumpul banyak lemak. Mungkin kerananperempuan Vietnam itu kurang bersenam. Mikhael tak suka daging yang berlemak kerana lemak yang banyak akan merosakkan rasa sebenar daging dan juga mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Namun begitu dia juga tidak suka membazir. Mikhael memilih bahagian daging peha yang kurang berlemak dan memotongnya kepada bahagian-bahagian kecil. Potongan daging paha itu juga dimasukkan ke dalam bekas plastik kedap udara dan kemudian diletakkan di dalam freezer.

Proses melapah daging daripada tubuh perempuan Vietnam itu mengambil masa hampir dua jam. Satu jam lagi dihabiskan untuk proses mengerat dan mengumpul tulang-tulangnserta sisa-sisa tubuhnya yang lain seperti usus besar, usus kecil, organ pembiakan dan sebagainya. Segala tulang-tulang, kepala dan sisa-sisa tubuh perempuan Vietnam itu dimasukkan ke dalam beg plastik khas dan akan diserahkan kepada pekerja Tuan Bathor untuk dijadikan makanan dubuk-dubuk peliharaan Tuan Bathor.

Setelah selesai mencuci bilik sembelihan itu sebersih-bersihnya, Mikhael beredar ke bilik mandi untuk mencuci badannya yang terpalit darah.

Keluar dari bilik mandi, dia mengambil sepotong daging dari dalam freezer dan membawanya ke dapur. Potongan daging itu dilapah dari bahagian belakang tubuh perempuan Vietnam dan merupakan bahagian daging yang paling lembut. Sangat enak dimasak percik atau dipanggang.

Ingatan Mikhael menerawang ke saat pertama kali dia menikmati kelazatan daging manusia. Ketika itu dia masih baru beberapa bulan berkhidmat di firma guaman Bathorlomew & Co milik Tuan Bathor dan dia baru saja memenangi kes pecah amanah bernilai jutaan ringgit  yang membabitkanDatuk Kharun, kawan baik Tuan Bathor. Beberapa hari kemudian dia menerima mesej peribadi daripada Tuan Bathor yang menjemputnya hadir ke rumah agam Tuan Bathor di Bukit Beruntung sempena majlis sambutan hari jadi Tuan Bathor.

        Tuan Bathor ada satu tradisi sambutan hari jadi yang agak unik. Setiap kali menyambut harijadi,  dia akan menjemput semua kawan-kawan rapat dan orang-orang kepercayaannya ke rumah agamnya di Bukit Beruntung. Mereka akan dijamu sepuas-puasnya dengan bermacam-macam hidangan yang enak-enak serta layanan penuh mesra oleh perempuan-perempuan cantik berhidung mancung dan berkulit mulus yang dibawa masuk dari negara-negara bekas Soviet Union. Selepas itu mereka akan disajikan pula dengan aksi Tuan Bathor beradu kekuatan dengan seekor lembu laga yang diimport khas dari Lisbon.

            Ketika tetamu-tetamu lain yang hadir beredar pulang meninggalkan rumah agam itu, Tuan Bathor telah memanggil Mikhael serta Datuk Kharun ke kamar tidurnya. Kamar tidur Tuan Bathor sangat luas dan penuh dengan perabot-perabot mewah serta mempunyai bahagian ruang makannya sendiri. Tuan Bathor menjemput Mikhael dan Datuk Kharun duduk bersamanya di ruang makan dan mengarahkan tukang masak peribadinya membawakan satu mangkuk berisi stew kepada Mikhael. Dia mempelawa Mikhael menikmati stew yang menurutnya dimasak menggunakan resepi turun temurun keluarganya yang berasal dari Alhandra, Portugal iaitu bandar kelahiran penakluk Kota Melaka, Alfonso de Albuquerque.

            Di saat dia menyuapkan stew itu ke dalam mulutnya, terlintas juga di fikiran Mikhael mengapa Tuan Bathor dan Datuk Kharun tidak sama-sama menikmati stew itu malah mereka berdua juga kelihatan agak resah dan asyik memerhatikan Mikhael dengan pandangan yang penuh curiga. Segala persoalan yang muncul dalam kepala Mikhael hilang begitu saja bila mana kewarasan berfikirnya mula dikuasai oleh kelazatan stew itu. Ternyata stew yang dihidangkan kepada Mikhael itu bukan seperti stew yang pernah dirasanya sebelum ini. Keenakan rasanya sungguh luar biasa sekali. Bahan apakah yang digunakan dalam masakan stew itu? Itulah soalan yang bermain-main dalam kepala Mikhael berhari-hari lamanya.

            Akhirnya Mikhael mendapat jawapannya melalui Datuk Kharun. Dengan selamba saja Datuk Kharun memberitahu Mikhael bahawa bahan utama yang digunakan dalam masakan stew itu ialah daging betis seorang perempuan muda berbangsa Filipina yang pada asalnya dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab malam milik Datuk Kharun. Perempuan Filipina itu kemudiannya didapati melacurkan diri sebagai ‘gadis peneman’ tanpa kebenaran Datuk Kharun. Sebagai hukumannya, Datuk Kharun menyerahkan perempuan itu kepada tukang sembelih Tuan Bathor untuk dilapah dagingnya, dituai organ-organ pentingnya dan juga dijadikan makanan dubuk-dubuk peliharaanTuan Bathor.  Terkejut besar Mikhael mendengarnya. Dia sama sekali tidak menyangka Tuan Bathor tergamak menjamunya makan daging manusia. Namun Datuk Kharun segera menjelaskan kepada Mikhael bahawa itu adalah salah satu cara Tuan Bathor memilih orang kepercayaannya. Tuan Bathor sukakan Mikhael dan inginkan Mikhael menjadi sebahagian daripada orang-orang kepercayaannya dalam organisasi Bathor Corporation.

            Mikhael diuji dengan daging manusia kerana Tuan Bathor percaya Mikhael adalah orang yang paling layak menguruskan Unit Penuaian, Divisyen Pengumpulan Organ, Yayasan Munirah. Untuk melaksanakan tugasnya mengendalikan proses penuaian organ-organ manusia dengan sempurna, Mikhael telah dilatih secara peribadi oleh pakar-pakar bedah dan tukang-tukang sembelih yang terbaik di Malaysia. Latihan yang intensif dan otak yang pintar memudahkan Mikhael menguasai segala yang dipelajarinya dalam masa yang singkat. Seleranya terhadap daging manusia menjadi motivasi utama untuk dia kekal setia melakukan setiap tugas yang diamanahkan oleh Tuan Bathor.

            Mikhael memicit-micit potongan daging perempuan Vietnam itu. Dia kemudian tersenyum sendiri. Hidangan yang akan disediakannya nanti akan diberi nama “Vietnamese steak with campignon ratatouille”. Paling lazat dinikmati bersama segelas Cabernet Sauvignon.                    

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY