Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
95,957
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 13

ANAK tangga dipanjat satu demi satu. Sedetik demi sedetik. Lambat saja langkahnya. Sehingga dia tiba di hadapan pintu yang terpampang papan tanda Flash Floor Studio. Di bawahnya pula ditulis Taekwondo Kicks. Pintu yang dipasang dengan penggera keselamatan dibuka sendiri.

“Hai, Abang Airel...” Fizi menyambut kedatangan Airel dengan senyuman.

Airel hanya senyum sebaris. Terus dia ke mejanya di sudut tepi ruang itu.

Terangkat kening Fizi. “Okey tak, bang? Ada masalah ke masa submit surat proposal kat sekolah-sekolah tadi?”

Dia tahu Airel baru balik daripada menghantar proposal ke sekolah-sekolah tadika di sekitar untuk mengadakan kelas taekwondo. Dia yang sediakan surat-surat itu.

“Taklah. Semua okey. Tunggu sekolah-sekolah tu respons je,” balas Airel bersahaja. Komputer di atas mejanya dibuka.

Fizi perhatikan Airel. Lelaki itu cakap macam semua okey. Tapi muka Airel pula ‘cakap’ sebaliknya. Kalau penat pun, Airel jarang serius begini.

“Oh...” Fizi teringat sesuatu. “Yang nak sewa studio kita untuk zumba tu confirm, bang.”

Airel memandang Fizi sambil berfikir. Cuba ingat semula siapa yang mahu menyewa itu.

“Alah... yang kerja kat Central Market tu.” Fizi mengingatkan.

“Ohh...” Baru Airel ingat.

“Dia sewa hari Rabu pukul 9.00 sampai 10.00 malam. Dengan hari Sabtu. 9.00 sampai 10.00 malam jugak. Okey kan?”

Terangguk-angguk Airel. Memang waktu dan hari itu studio mereka kosong. “Okey.” Dia menatap skrin komputernya semula. Dibuka internet, tapi tak ada tujuan.

Fizi diam melihat reaksi Airel. Tak begitu memberangsangkan. Okey je? Tak teruja langsung! Patutnya bila dapat tahu ada orang nak sewa studio, melonjak ke... bersorak ke... Ini keras je. Macam ada sesuatu yang mengganggu akal bosnya itu.

“Lain macam je bos hari ni,” komennya sambil merenung Airel dengan renungan tajam.

Airel yang perasan dirinya diperhatikan Fizi, hanya meleretkan senyuman tawar. “Mana ada...” Cuba dinafikan apa yang sedang mengkucar-kacirkan fikirannya.

Dia tak boleh berhenti daripada mengingati nama Abdul Jazadin. Juga tak boleh lupakan gadis yang dia jumpa di Dataran Merdeka itu. Nama Abdul Jazadin dan gadis bernama Intan Nadra itu sama-sama bergelodak membuatkan dia tak tentu arah selagi tak jumpa jawapannya.

“Kau pernah tak, Fizi...” Terpancul soalan itu dari mulut Airel.

Sekali lagi Fizi memandang Airel. Menunggu soalan itu disudahkan.

Sedangkan Airel masih teragak-agak. Tak pasti sama ada dia patut tanya soalan itu pada Fizi atau tak.

“Pernah apa, bang?” Fizi dah tak menyempat nak tahu.

Airel tak boleh nak berundur. Kalau tak nanti, tak berhentilah si Fizi ni tanya soalan yang sama. “Hmm... pernah tak kau macam pernah kenal nama seseorang tu, tapi kau tak ingat?”

Berkerut terus muka Fizi. Seakan dia tak begitu faham soalan Airel itu.

“Kau kenal nama orang tu, tapi kau lupa. Kau tahu nama dia, tapi kau tak ingat siapa. Faham tak?” Bersungguh-sungguh Airel nak bagi Fizi faham.

“Okey, okey... saya faham. Tapi kenapa? Ingat nama, tapi tak ingat orangnya. Okey... so?” Fizi tak nampak apa-apa masalah kat situ.

Airel berdesir sambil menyandarkan diri ke kerusi. “Selagi aku tak ingat siapa orangnya, selagi tu aku tak puas hati. Otak aku macam jammed.”

“Laa...” Fizi ketawa. Itu rupanya yang Airel runsingkan.

Airel mengeluh. Nak ingat sesuatu yang dia tahu, tapi dia lupa tu rasa macam satu beban.

“Saya tak pernah lagi macam tu, bang. Biasanya, saya cam muka orang tu. Tapi tak ingat nama.”

Sekali lagi Airel mengeluh. Dia teringat gadis di Dataran Merdeka itu. Teringat gadis itu kebasahan berhujan semalam. Masih kat dataran lagi ke budak tu?


--------------------


YA... Intan masih setia menanti kedatangan Jazadin. Seperti biasa, dia menunggu sejak pagi tadi hinggalah menjelang malam. Selagi dia berdaya menunggu, dia akan menunggu.

Dia perasan ada mata yang memerhatikannya dengan pandangan semacam. Langsung dia tak ambil peduli. Dia tak kacau orang. Dia tak buat bising. Dia tak menyusahkan sesiapa. Biarlah orang nak pandang dia dengan jelek sekalipun. Dia tak kisah!

Memang sudah tiga hari dia berada di sini. Dan sudah tiga hari juga dia memakai baju yang sama. Ada bau yang tak menyenangkan. Tapi biarlah. Bukan setakat duit saja dia perlu berjimat. Pakaian juga.

“Cik Intan Nadra...”

Terkejut Intan mendengar namanya dipanggil. Segera dia menoleh. Matanya bulat memandang sekujur tubuh di hadapannya itu. Spontan dia berdiri.

“Hai...” Airel melambai-lambaikan tangan pada Intan dengan wajah ceria.

Muncung terus wajah Intan. Dipandang lelaki di hadapannya dengan riak sinis.

“Saya yang pulangkan wallet Cik Intan Nadra hari tu. Ingat tak?”

Wajah Intan mengeras. Peduli apa aku kalau kau yang pulangkan pun.

“Nama saya Airel Azrai. Cik Intan Nadra boleh panggil Airel je,” sambung Airel dengan ramah.

Intan meneliti lelaki bernama Airel itu dari atas hingga ke bawah. Lelaki itu berkulit agak cerah. Rambut lurus menutup separuh dahi. Wajah bersih tanpa misai, janggut atau jerawat. Ya, kacak. Pakaiannya sangat ringkas. Baju-T warna putih dan seluar jeans paras lutut warna biru cair. Kasut pula warna wheat jenis Timberland.

Dipandang Airel dengan skeptikal. Apa lelaki ni nak? Datang tiba-tiba je tersengih-sengih.

“Sayalah yang pulangkan wallet awak malam hari tu. Masa kejar peragut tu, saya tak tahu pun tu wallet awak. Sebab tu masa nak pulangkan, saya terpaksa tengok IC awak dulu. Saya mengaku saya tengok gambar awak. Sebab nak tahu wallet siapa yang saya nak pulangkan tu.” Airel bercerita pula apabila Intan hanya diam. Pandang dia pun macam nak tak nak je.

So? Ni datang nak mengungkit ke?”

Terlopong Airel mendengar kata-kata Intan itu. Dia tergamam. Tak sangka itu yang keluar dari mulut Intan. Tertelan liur dia dibuatnya. Wah, garang!

“Walaupun awak dah tahu nama saya, saya tetap anggap tak kenal awak.” Makin bertambah ragu-ragu Intan dengan Airel. Buat baik sebab ada makna. Bukan sebab betul-betul ikhlas.

“Tak... saya ni...”

“Ikhlas?” sampuk Intan dengan nada sinis. “Kalau ikhlas, tak payah sebut-sebut apa yang awak dah buat. Ikhlas tu maksudnya diam. Biar Tuhan je yang tahu. Ni kalau dah bercerita mengungkit semua, ikhlas apa kebendanya?”

Sekali lagi Airel rasa macam mukanya kena tumbuk. Tajam betul bicara Intan. Tu belum lagi dia cakap yang dia letak duit RM50 dalam dompet Intan. Kalau tak, mahu panjang lagi syarahan yang dia kena dengar.

Dia tergelak kemudian. Berpeluk tubuh dia di hadapan Intan. Nampaknya, Intan suka berburuk sangka. Suka fikir yang bukan-bukan. Hmm... menarik.

So... awak tak marahlah saya tengok IC dengan gambar awak?” Ini sebenarnya isi yang Airel fokuskan dalam ayat keterangannya tadi. Tapi Intan cuma nampak yang dia mengungkit pasal dia kejar peragut dan pulangkan dompet saja.

Bulat mata Intan. Nak tunjuk yang dia tersangat marah. “Saya...”

Sorrylah... bukan saya sengaja nak tengok. Tapi kena tengok jugak sebab nak pulangkan wallet tu. Saya kena tahu siapa tuan wallet tu supaya tak tersalah pulang pada orang lain.” Kali ini, Airel pula yang memintas kata-kata Intan.

Intan terdiam. Namun, dia tetap waswas dengan Airel. Dia takkan percaya dengan orang asing. Lebih-lebih lagi lelaki!

“Bila tengok nama awak... saya rasa macam familiar, macam kenal,” sambung Airel.

Mendengar ayat itu, naik terus darah Intan. Teringat duit yang mungkin Airel masukkan dalam dompetnya. Jadi, inilah sebenar kehendak Airel.

“Taktik sampah! Saya bukan macam yang awak sangka tau. Saya takkan terpedaya dengan cara murahan ni. Familiar konon. Macam kenal konon. Padahal ada niat jahat,” cebik Intan. Menyampah.

Dia terus berlalu. Geram betul dia dengan jantan macam ni. Nasib baik ayahnya dah pesan awal-awal. Jangan mudah percaya dengan orang. Dan betullah kata orang yang selama ni dia pernah dengar. Lelaki KL tak boleh dipercayai. Guna cara murah nak pikat perempuan, nak perdaya perempuan. Dia ingat, semua perempuan boleh dibeli dengan duit? Sorrylah...

Airel terpinga-pinga. Kehairanan. Aku salah cakap ke tadi? Tiba-tiba je dia meroyan.

“Cik Intan Nadra... Cik Intan Nadra...” Dikejar Intan, tapi Intan tak pedulikannya. “Cik Intan Nadra...” Lalu dicapai lengan kiri Intan.

Serentak dengan itu Intan mengaduh. Langkahnya terhenti. “Erghh... sakitlah!” Mukanya berkerut menahan pedih.

Tergamam Airel. Dia cuma pegang saja. Tak kuat pun pegangannya. Bukan hentak atau cubit pun.

“Lepaskan!” Intan menarik tangannya supaya terlepas dari pegangan Airel.

Airel menjatuhkan tangannya. Terpinga-pinga dia memandang Intan. Tangan Intan yang dilindungi kemeja lengan panjang menjadi tumpuannya. Ni berlakon ke... betul-betul? Kalau tengok muka Intan yang sedang menahan sakit tu, macam Intan tak main-main.

“Saya nak warning awak! Jangan berani-berani nak jumpa saya lagi. Kalau tak, tahulah nasib awak nanti. Saya belasah awak cukup-cukup!” Intan mengugut.

Tak terkata Airel. Dia hanya mendiamkan diri.

Sebelum beredar dari situ, Intan menjeling Airel dengan riak muka geram. Dia nak Airel tahu yang dia tak ada masa nak bergurau. Sambil melangkah pergi, mukanya berkerut menahan sakit. Luka di lengan yang Airel pegang tadi terasa berdenyut. 

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.