Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
96,001
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 11

WANIFAH yang sudah duduk di meja makan itu memandang hidangan yang diatur. Nasi lemak berlaukkan sambal udang dan rendang ayam. Dia puas hati melihat hasil masakan Midah.

“Puan nak makan sekarang ke?” Midah menyoal kerana melihat hanya Wanifah berada di situ.

“Sendukkan dulu untuk saya.” Wanifah menyuruh.

Midah menurut. Disusun hirisan timun, kacang tanah goreng, ikan bilis goreng dan telur rebus bersama nasi lemak ke dalam pinggan sebelum meletakkannya di hadapan Wanifah.

Seketika, muncul Airel di ruang itu. “Hmm... sedapnya bau nasi lemak Kak Midah.” Sempat dia mencucuk pinggang wanita itu.

“Tom tom tom tom kriuk kruik kruik nasi lemak mak mak mak.” Midah melatah sambil kaku berdiri. “Eh! Hisyh...” Dia menggeleng-geleng melihat Airel yang sudah ketawa.

“Kriuk kruik kruik tu bunyi apa, Kak Midah?” sakat Airel dengan sisa ketawa.

“Sehari Airel tak menyakat Kak Midah, tak sah ya?” Midah bercekak pinggang kononnya garang.

“Airel ni...” Wanifah mencelah. “Buatnya Midah tu melatah dihembuk kepala Airel dengan pinggan, baru tahu.”

Airel hanya menyengih. Lantas dia duduk di sebelah Wanifah.

Midah ketawakan Airel pula. Disendukkan nasi lemak untuk anak majikannya itu.

“Papa dah turun belum?” Wanifah memalingkan kepala mahu mencari suaminya.

Ramli muncul di situ dengan lengkap berpakaian golf daripada Hugo Boss. Baju-T warna kelabu yang di tuck in, berseluar panjang putih dan bertali pinggang putih. Lengkap dengan topi sekali.

“Lepas breakfast papa terus main golf ke?” Wanifah bertanya. Dia tahu setiap pagi hari Ahad, suaminya itu akan bersama teman-teman bermain golf.

“Yalah... macam biasa.” Ramli mengambil tempat duduk di kepala meja. Lalu, dipandang Midah. “Sendukkan saya nasi sikit je, Midah.”

Midah menurut. Sesudah siap menyenduk untuk Airel, dia sediakan nasi lemak untuk Ramli pula.

“Hari ni mama tak nak ikut papa. Mama nak rehat.” Wanifah memberitahu suami dan anaknya itu.

Ramli mengangguk-angguk. “Kalau mama ikut papa, mesti nak balik cepat.”

Wanifah tersenyum. Suaminya dah faham sangat dengan perangainya. “Airel tak nak ikut papa? Boleh belajar-belajar main golf,” usulnya.

“Tak minatlah, mama.” Mentah-mentah Airel menolak.

“Dia minat karate je, puan. Pukul-pukul orang.” Midah mencelah sambil meletak sepinggan nasi lemak di hadapan Ramli. “Dush, dush, dush!” Dibuat aksi menumbuk pula.

“Karate apa pulak? Taekwondolah, Kak Midah.” Airel mahu mencucuk pinggang Midah, namun wanita itu sempat mengelak menjauhinya.

“Sama je.” Midah buat lagi aksi menumbuk.

Mereka semua ketawa.

“Apalah yang diminat sangat dengan taekwondo tu entah.” Wanifah menggeleng-geleng. “Dari dulu lagi mama tak suka. Pukul-pukul orang kan bahaya. Diri sendiri pun kena belasah. Sakit-sakit badan. Main golf macam papa tu lagi bagus. Relaks je.”

“Biarlah dia. Dah itu minat dia. Taekwondo bagus jugak. Boleh pertahankan diri, selamatkan orang.” Ramli mencelah.

“Tak larat mama nak tegah. Dari sekolah lagi mama memang tak bagi Airel main taekwondo.” Wanifah tetap dengan pendiriannya. Kalau boleh memang tak nak Airel berkecimpung dengan dunia taekwondo. Tapi itu jugalah yang Airel pilih.

“Mama doakan je Airel selamat ya?” Itu sajalah yang Airel katakan kalau mamanya mengungkit tentang hal ini.

Masing-masing menikmati sarapan dengan berselera. Airel makan dengan tangan saja. Makan nasi lemak tak sedap kalau dengan sudu dan garpu. Dan dia suka makan dengan sambal yang banyak. Sudah separuh pinggan nasi lemaknya habis, dilihat adik-adiknya masih tak muncul-muncul.

“Mana budak-budak ni? Kata ada aktiviti kat sekolah. Ni batang hidung tak nampak lagi.” Airel seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.

“Tak apa... Kak Midah pergi tengok budak-budak tu.” Midah terus beredar mahu mendaki tangga, namun langkahnya terhenti. Senyumannya melebar.

Kedengaran riuh-rendah suara di anak tangga. Semua mata beralih memandang ke arah itu.

“Haa... turun pun. Ingatkan dah pergi sekolah tadi.” Airel memerli kedua-dua adik lelakinya itu sambil menyambung makan.

“Selamat pagi, semua!” sapa Aariz.

“Selamat pagi, semua!” ulang Harraz.

Midah segera menyenduk nasi lemak untuk kedua-duanya.Selepas itu, dia masuk ke dapur pula menyambung kerja.

Aariz dan Harraz duduk bersebelahan. Kedua-duanya memakai pakaian sukan yang sama warna. Merah berbelang hitam dan berseluar hitam.

“Asyik main sukan je. Tahun ni nak SPM jangan lupa.” Wanifah berpesan.

“Mama cakap dengan Harraz ke, dengan Aariz?” Harraz bertanya dengan riak muka keliru.

“Tak kelakarlah!” Airel mencemik.

“Kalau Aariz yang SPM, Harraz tak SPM jugak ke?” Ramli tak faham jenaka anaknya itu.

“Harraz tu, papa... berangan muda setahun dari Aariz.”Wanifah menerangkan pada suaminya.

“Entah. Perasan.” Aariz mengerling Harraz.

“Muka dah sama, tinggi pun sama, minat benda sama... SPM tak nak sama pulak?” Ramli menyindir.

“Kalau dah kembar tu, kembar jelah. Apasal? Takut nak SPM ke?” Airel mengusik.

“Eh... mana ada. Seronok nak SPM. Kan? Kan? Kan?” Harraz bertanya dengan Aariz yang khusyuk menikmati nasi lemak di pinggannya.

Airel sudah selesai makan. Air teh panas dihirup sedikit. “Dah, cepat. Kata nak abang yang hantarkan. Kalau lambat, abang tinggal.” Dibasuh tangannya.

Wanifah terhenti makan. Dipandang Airel. “Mama nak ikutlah.”

Berkerut muka Airel. “Bukan ke mama kata tadi nak rehat kat rumah?” Dialihkan pandangan ke Ramli pula.

Ramli sudah tersenyum menahan gelak.

“Lepas hantar Harraz dengan Aariz kat sekolah, kita jalan-jalan. Nak tak, Airel?” Wanifah mengusul pula.

Senyuman Airel meleret sebaris. Serba salah dia nak jawab ‘tak nak’. Dia memang tak ada rancangan lain hari ini. Sekadar mahu bermain video games. Kalau nak berjalan pun, mungkin selepas menghantar adik-adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan St. John, dia meronda Kuala Lumpur sekejap.

Tiba-tiba dia teringat peristiwa malam tadi. Teringat nama Intan Nadra binti Abdul Jazadin. Dia tak hiraukan nama Intan Nadra tu. Tapi nama Abdul Jazadin tu mengganggu fikirannya. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingati.

“Abang Airel, boleh tak nanti ajar kita orang add math?” Harraz tiba-tiba bertanya pula.

Airel berkerut. Hilang terus ingatannya pada nama Abdul Jazadin itu. “Aik? Dah belajar kat sekolah, pergi kelas tuisyen lagi... takkan tak boleh nak ‘tapau’ add math tu?”

“Kalau abang nak tahu, cara abang mengajar lagi senang kita orang faham daripada cikgu yang ajar.” Aariz memberitahu.

“Kalau macam tu, buat rugi jelah ambil kelas tuisyen,” ujar Wanifah.

“Tulah... tak payahlah pergi kelas tuisyen add math tu. Math pun tak payah. Belajar dengan abang lagi senang. Abang sepatutnya buat kelas tuisyen pulak.”

Ketawa Airel dibuatnya mendengar cadangan Harraz. “Kalau abang free bolehlah tolong ajar. Ni abang sibuk mengajar taekwondo. Sibuk kat studio lagi.”

“Kalau ada masa ajarlah adik-adik tu, Airel. Tapi kenalah pergi jugak kelas tuisyen tu. Yang mana tak faham baru tanya abang.” Ramli mencadangkan.

“Boleh, no problem. Tapi sorang kena bayar RM100 kat abang.” Airel menyakat adik-adiknya.

“Cekik darah! Dah macam pontianak abang ni,” cebik Harraz.

Tergelak semua mendengar kata-kata Harraz itu.


-----------------


KEDENGARAN suara gelak ketawa yang sangat mengasyikkan. Suara yang keriangan. Intan menyangka dia bermimpi. Tapi suara itu masih berpanjangan. Matanya terkedip-kedip. Suara itu kedengaran lebih jelas.

Matanya dibuka luas-luas. Saat itu barulah dia tahu yang hari sudah cerah. Mendadak dia bangun dan duduk bersila. Jam tangan dilihat. Sudah pukul 8.40 pagi.

Terpinga dia seketika. Dilihat keadaan sekeliling. Dia masih berada di bawah jambatan. Dan dia masih ingat yang dia tidur beralaskan kotak di situ. Nafas panjang dilepaskan lemah. Kerana terlalu penat, nyenyak betul dia tidur. Bunyi kenderaan yang lalu-lalang di atas jambatan itu langsung tak mengganggunya.

Dihala pandangan ke arah datangnya suara gelak ketawa yang dia dengar tadi. Kelihatan dua orang kanak-kanak lelaki sedang bermandi di sungai itu sambil bermain-main. Air sungai itu sangat keroh, tapi kanak-kanak itu begitu gembira mandi di situ.

Berbaur perasaan Intan. Sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata. Membuatkan dia termenung sayu. Kanak-kanak seusia begitu masih belum faham erti kehidupan sebenar. Tiada masalah yang mereka fikirkan.

Dengan menggunakan air mineral dari dalam begnya, dia membasuh muka dan berkumur. Dia tiada pencuci muka, berus gigi dan juga ubat gigi. Kalau dirasakan wangnya mencukupi, dia akan membelinya kemudian.

Dia mula bersiap-siap. Kameja lengan panjang biru tua itu disarung dengan berhati-hati. Luka di lengannya masih belum kering. Topi disarung setelah rambutnya diikat kemas-kemas dan disanggul.

Kotak yang digunakan sebagai alas tidur dibawa ke tempat si ibu dan anak-anaknya tidur. Dibentangkan di situ sebelum dia duduk bersila. Dia mahu makan terlebih dahulu. Roti dan air mineral menjadi sarapannya. Itu sajalah rutin makanannya.

Ketika itu, si ibu dan anak-anaknya kembali naik ke situ. Masing-masing sudah selesai mandi. Intan hanya memerhati. Tak reti nak beramah terlebih dahulu. Apatah lagi melihat riak wajah wanita itu yang serius. Sejak dia datang malam tadi, wanita itu tak hirau pun pada dirinya.

Wanita itu duduk di atas kotak yang memang menjadi tempatnya ‘menginap’. Dipakaikan anak-anaknya baju. Sedangkan anak-anaknya memandang Intan yang sedang mengunyah roti.

Intan yang perasan aksi kanak-kanak itu, lantas mengeluarkan bungkusan roti dari dalam beg. Dihulur kepada kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu memandang ibunya bagaikan meminta izin.

“Kita makan sama-sama, kak,” pelawa Intan ikhlas. “Ambillah... mesti anak-anak akak suka makan roti kacang merah ni. Sedap.”

Barulah wanita itu menyambutnya. Diberi anak-anaknya seorang sebuku roti. Dia juga turut makan.

Tersenyum Intan. Tak apalah, nanti dia beli lagi roti buat bekalan makanannya. Seronok dia melihat kanak-kanak itu makan dengan berselera.

“Kau lari dari rumah ke?” soal wanita itu tanpa mukadimah.

Intan tergamam disoal begitu. Lari dari rumah? Secara zahirnya memang dia lari dari rumah. Tapi bukan betul-betul ‘lari’ dari rumah. Dia lari daripada lintah darat. Dia tak tahu mahu menjawab apa pada persoalan begitu.

“Lari ikut pakwe?” Soalan wanita itu semakin tajam.

“Eh, taklah!” Cepat-cepat Intan menafikan. Dia takkan buat perkara sebodoh itu.

“Habis tu?”

Intan merasakan wanita di hadapannya betul-betul mahu tahu. “Hmm... saya tunggu ayah saya datang dari kampung.”

Wanita itu bagaikan tak percaya. Tapi didiamkan saja. Dia ambil lagi sebuku roti dan diberikan kepada anak-anaknya.

“Tapi saya tak tahu bila dia datang.” Suara Intan berubah sayu. Sayu mengenangkan nasib diri yang terumbang-ambing begini.

Wanita itu memandang Intan dengan riak bersalah. “Tak apalah... kalau kau rasa nak tidur kat sini, datang jelah.”

Bertambah sebak dada Intan. Matanya mula terasa panas. Harap-harap dia berjumpa dengan Jazadin hari ini dan mereka mulakan hidup baru seperti yang ayahnya katakan tempoh hari.

“Kalau kau nak mandi, boleh mandi kat sini.”

Intan memandang air sungai yang keruh coklat itu. Dan dia nampak ada sampah-sarap di tepi-tepi sungai itu. Masih belum tergamak dia nak mandi di sini.

“Tak apalah. Nanti saya cari bilik air, mandi kat sana.”

“Kau geli?” Wanita itu ketawa tawar. “Kat KL ni, masuk bilik air pun kena bayar. Aku tak ada duit. Biarlah mandi kat sungai ni je. Basuh baju pun kat sini. Tu je yang aku mampu.”

Diam Intan mendengar. Mesti wanita ini ada kisah yang membawa dia hidup bergelendangan sekeluarga di sini. Nak bertanya, tapi dirasakan seperti dia mahu menyibuk jaga tepi kain orang pula.

“Aku dah tak peduli dengan pandangan orang. Orang tak lalui apa yang aku dah lalui. Orang pandang hina, pandang jijik pada aku, pada anak-anak aku. Tapi orang tak tahu apa sebenarnya yang buat aku terpaksa hidup macam ni.”

Intan merenung wajah wanita di hadapannya itu. Rambutnya yang kusut dan kesat ditocang satu. Berkulit agak sawo matang. Hanya memakai baju-T bersama kain batik. Wajahnya tiada sinar bahagia. Kaku tanpa riak. Dikalih memandang anak-anak itu pula. Kurus kering bagaikan tiada zat. Terlalu simpati hatinya.

“Aku tak harap pun orang tolong aku sekeluarga. Laki aku masih boleh cari duit sikit-sikit buat makan kami anak-beranak. Tapi cukuplah tak pandang hina kat kami. Bukan kami minta sedekah pun. Ini tak... bila nampak kami, buat muka geli. Mencebik jijik kat aku dengan anak-anak aku. Manusia ke macam tu?” Wanita itu masih mahu melempiaskan rasa kecewa yang dah lama terbuku di hati.

Makin sayu hati Intan. Masyarakat hanya tahu menilai dan menghukum. Tak ada yang cuba memahami dan menghulurkan bantuan. Nilai kemanusiaan makin menipis barangkali.

“Nama kau siapa?” soal wanita itu, mematikan diam Intan.

Intan berdeham, membuang perasaan sebak yang sedang bergelora. “Intan.”

“Panggil aku Kak Lina.”

Intan hanya mengangguk. Suami Lina tak kelihatan di situ. Mungkin sudah pergi mencari rezeki. Diperhatikan anak-anak Lina yang begitu asyik mengunyah roti yang diberikannya. 

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.