Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
96,021
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 19

"TU, tu, tu... tu budak tu yang aku cakap semalam,” tunjuk lelaki berbibir hitam itu kepada kawan-kawannya setelah motosikal masing-masing berhenti di tepi Dataran Merdeka. Topi keledar dibuka.

Kesemua lima orang lelaki sekawan itu terangguk-angguk dengan senyuman penuh makna.

“Celaka perempuan tu. Dia pakai baju semalam. Heh... malam ni, tahulah dia nasib dia macam mana.”

“Macam perempuan kampung je.”

Disambut ketawa yang lain-lain.

“Memang kampung pun! Dressing kampung gila. Aku ingatkan senanglah nak ajak meronda pusing KL sambil geli-geli dengan aku. Tapi berlagak tak sedar diri! Dia ingat, dia suci sangat agaknya.”

“Kau ayat tak power kot,” provok salah seorang daripada mereka.

“Kau macamlah tak kenal aku. Aku pandai mengayatlah. Tak pernah try tak dapat.”

Mereka ketawa lagi.

“Jom!” ajak lelaki berbibir hitam itu, lalu mematikan enjin motosikalnya.

Yang lain menurut. Mereka mula melangkah menghampiri Intan yang duduk di tangga tiang bendera paling tinggi itu. Tidak ramai sangat orang malam ini. Lebih-lebih lagi waktu sekarang sudah hampir pukul 11.00 malam.

Lelaki berbibir hitam itu mendahului yang lain-lain. Tersengih dia apabila melihat Intan terkejut dengan kedatangannya.

“Hai, awak yang manis...” tegurnya lembut.

Tergamam Intan. Lelaki miang semalam datang lagi. Kali ini bawa geng pulak! Dilihat geng lelaki itu tersengih-sengih sambil memandangnya semacam. Dia mula cuak. Berderau dia ketakutan. Cuba diselambakan diri seolah-olah tak takut langsung dengan mereka semua.

“Awak buat apa kat sini? Mana pakwe awak yang semalam tu?Takkanlah pakwe awak biarkan awak sorang-sorang kat sini lagi. Tak apa, malam ni biar yang saya temankan awak.” Lelaki berbibir hitam itu ketawa gatal.

Meluat Intan melihat lelaki jenis begini. “Jangan nak menyibuklah kat sini. Suka mengacau orang ni kenapa? Menyemak je.” Dia bersuara dengan berani.

“Woww...” sahut lelaki-lelaki itu dengan sorakan bagaikan rasa tercabar dengan kata-kata Intan.

Intan menjeling menyampah. Macam monyet!

“Awak ni suka marah-marah. Tak elok tau untuk kesihatan. Jom saya bawa awak jalan-jalan pusing KL. Boleh hilangkan marah awak tu. Jomlah, jomlah...” desak lelaki berbibir hitam itu menggoda.

Rimas Intan dibuatnya. Lantas dia bangun dan berlalu dari situ. Tak sanggup dia nak menghadap lelaki-lelaki kurang ajar itu lama-lama. Lagipun, dia sudah merasa lain macam takut. Sebelum dia bertambah takut, baik dia blah.

Langkah diatur panjang-panjang. Kawasan Dataran Merdeka itu ditinggalkan. Dia mahu terus ke bawah jambatan. Lega rasanya tak dikelilingi geng monyet tadi. Dia mula menarik nafas lega.

Laluan untuk ke bawah jambatan itu agak sunyi. Tapi tiba-tiba dia terdengar bunyi deruman sekumpulan motosikal di belakangnya. Dia berpaling. Cahaya motosikal itu menyilaukan pandangan. Sekumpulan motosikal itu mengepungnya sebelum enjin dimatikan.

Dada Intan sudah berdebar. Terasa darah mengering dari tubuh. Lututnya bagaikan longlai. Dipandang setiap wajah lelaki itu walau dalam keadaan suram begitu. Dia tunjuk muka garang walau sebenarnya dia menggeletar.

Lelaki berbibir hitam itu turun dari motosikal mahu menghampiri Intan. Dia ketawa perlahan. “Awak jangan takut. Saya cuma nak kawan je dengan awak. Saya takkan apa-apakan awak. Sumpah!”

Kawan-kawannya menyambut dengan ketawa sinis.

“Kau jangan berani dekat dengan aku.” Intan memberi amaran.

“Alahai... nak dekat dengan awak pun tak boleh. Macam mana nak rapat-rapat? Nak mesra-mesra? Kalau naik motor dengan saya, kena melekat. Sebab saya bawa motor laju. Ngeng! Ngeng! Ngeng! Ngeng!” Lelaki itubuat aksi merempit. Membuatkan mereka ketawa lagi.

Jijik Intan melihatnya. “Aku tak kacau hidup kau. Apasal kau nak kacau hidup aku? Baik kau orang blah dari sini. Aku tak nak tengok muka kau orang lagi. Blah! Kalau tak, aku menjerit!” Bergetar suaranya kerana gementar.

Terkekeh lelaki itu ketawa. “Awak takut ke? Buat apa nak takut dengan saya? Saya tak makan oranglah. Saya gigit-gigit manja je. Mesti awak suka nanti. Masa tu mesti awak menjerit sebab seronok.”

Intan rasa mual lagi loya dengan jenaka lucah seperti itu. Jijik! Meluat! Lebih-lebih lagi melihat lelaki-lelaki itu tersenyum miang. Sungguh meloyakan!

“Baik kau orang blah sebelum aku menjerit.” Dia memberi amaran sekali lagi.

Belum sempat dia mahu membuka mulut semula, lelaki berbibir hitam itu menerpa ke arahnya dan menekup mulutnya. Seorang lagi lelaki memeluk dari belakang. Dia meronta-ronta supaya dilepaskan sambil cuba menjerit. Matanya bergenangan mahu menangis.

Dia diseret ke arah belakang bangunan di tepi jalan yang gelap itu. Oleh kerana dia dipeluk dari belakang, tangannya tak boleh nak bergerak. Dia meng­gelepar sekuat hati sehingga kakinya terangkat tinggi cuba menendang lelaki berbibir hitam itu. Tapi lelaki itu dapat mengelak.

Dua orang lagi lelaki memegang kakinya di kiri dan kanan. Membuatkan dia langsung tak boleh bergerak. Dua orang lagi lelaki hanya memerhati sambil mengawasi keadaan.

Air mata Intan sudah berderai ke pipi. Walaupun mulutnya ditekup, dia meraung kuat-kuat minta dilepaskan. Dia tetap cuba meronta sehabis tenaga. Sehingga tertanggal topi yang dipakai.

“Dengan aku, kau nak tunjuk berlagak. Kau silap oranglah, perempuan kampung!” Lelaki berbibir hitam itu ketawa puas hati. Tangannya yang menekup mulut Intan dilepaskan, lalu mahu mengucupnya.

Intan cuba mengelak, sedangkan kedua-dua tangan lelaki itu menekap ke mukanya supaya tak boleh bergerak. Terasa bibir lelaki itu merata-rata kena ke muka dan bibirnya walau dikerah tenaga sedaya upaya supaya dia dapat mengelak. Dia cuba menjerit tapi tak termampu kerana lelaki-lelaki yang memegangnya itu juga cuba meraba seluruh tubuhnya!

Buk! Buk! Buk! Buk! Buk!

Lelaki berbibir hitam itu terhenti perlakuan jahatnya. Gengnya yang lain juga tergamam. Mereka semua memandang ke satu arah.

Intan yang sudah lemah tak bermaya menggigil satu badan. Dalam keadaan gelap itu dia nampak dua orang lelaki yang berkawal tadi sudah terbaring menahan kesakitan.

Intan berasa dirinya dilepaskan, membuatkan dia tersandar ke dinding sebelum melurut jatuh ke bawah. Tubuhnya benar-benar lemah. Dia sedang menggeletar.

“Kau siapa nak masuk campur hal aku?” Lelaki berbibir hitam itu merengus. Geram kerana hajatnya tak kesampaian.

“Kau tak kenal aku ke?”

Suara yang Intan sangat kenal kedengaran.

Airel mengundur beberapa langkah ke arah yang tak begitu gelap. Barulah wajahnya kelihatan sedikit jelas.

Lelaki berbibir hitam itu mendengus. “Kau lagi ke?” Dia tergelak mengejek. “Jangan masuk campur hal aku boleh tak? Berambus!”

Airel bercekak pinggang. “Aku dah kata aku ni pakwe dia. Apasal kau masih nak kacau dia? Kau tak faham bahasa ke? Perangai mengalahkan binatang!”

Mendadak lelaki berbibir hitam itu naik angin. Diberi isyarat kepada kawan-kawannya supaya menyerang Airel. Salah seorangnya mengangkat kaki kanan mahu menendang Airel.

Airel dengan tangkas menangkap kaki lelaki itu yang hampir hinggap ke pinggangnya. Dipaut kepala lelaki itu sehingga tertunduk. Secepat kilat sebelah lagi kaki lelaki itu ditendang sambil tangan kanannya menghentak belakang lelaki itu. Terdengar bunyi ‘prak’. Menyebabkan lelaki itu rebah menyembam ke tanah. Mengerang dia kesakitan.

Lelaki berbibir hitam dan seorang lagi menyerang Airel serentak mahu menumbuk. Airel pantas menepis kedua-dua tumbukan itu dan menolak lelaki berbibir hitam itu dengan kuat sehingga dia terdorong ke belakang.

Tak berlengah Airel menumbuk muka salah seorang lelaki itu dan menumbuk perut pula. Tersungkur lelaki itu ke bumi. Ditekap perutnya yang ditumbuk sambil berkeruh keras.

Lelaki berbibir hitam itu pula menyerang Airel. Tangan kanannya yang mahu menumbuk pantas Airel tangkap dengan tangan kiri dan tangan kanan pula menumbuk muka lelaki berbibir hitam itu. Dengan menggunakan lutut, dihentakkan ke celah kangkang. Terduduk melutut lelaki berbibir hitam itu sebelum meringkuk senak tak boleh bangun.

“Kau bukan lawan aku, bro. So, lepas ni jangan cari pasal lagi dengan aku. Kalau kau nak merasa masuk lubang kubur awal, cubalah kalau berani.” Airel menepuk-nepuk kedua-dua tangan seakan membuang habuk setelah membelasah mereka semua.

“Hari ni aku lepaskan kau semua. Tapi ingat! Lepas ni kalau kau cari pasal lagi, remuk tulang kau orang aku kerjakan. Aku seret kau orang semua masuk lokap!” Dia memberi peringatan lagi. Walaupun geng rempit itu semua terlantar rebah di tanah dan meringkik kesakitan, tapi dia tahu mereka semua mendengar.

Lalu dia menghampiri Intan yang masih kaku tersandar di dinding. Dipaut kedua-dua bahu Intan dan membantu gadis itu berdiri. Topi Intan yang terbiar di atas tanah diambil. Dikibas-kibas seketika, kemudian memakaikannya di kepala Intan. Kepala Intan yang beralaskan topi itu diusap perlahan bagaikan mahu memberitahu yang Intan sudah selamat. Tak ada apa yang perlu ditakutkan lagi.

Namun tatkala Airel berbuat begitu, hati Intan terasa benar-benar sebak. Air matanya yang bergenangan cuba ditahan.

“Awak boleh jalan tak?”

Intan sekadar mengangguk. Tapi baru setapak melangkah, dia hampir longlai.

Cepat-cepat Airel memaut bahu Intan semula. Dilihat keadaan Intan sangat lemah. “Saya papah awak ya?” Dia meminta izin.

Bergetar bibir Intan mahu bersuara. Dia mengangguk saja. Kali ini, dia akur saja dengan Airel. Tubuhnya bagaikan sudah lumpuh.

Airel merendahkan sedikit tubuhnya agar sama tinggi dengan Intan. Tangan kiri Intan dibawa melilit dari belakang lehernya. Tangan kirinya memegang tangan kiri Intan itu. Manakala tangan kanannya memaut bahu Intan. Sepatutnya dia perlu paut pinggang Intan. Tapi demi hormatkan Intan, bahu Intan yang dipaut.

“Okey, kita jalan perlahan-lahan.” Airel mengarah sebelum melangkah. Dia melangkah dengan berhati-hati.

Gugur berderai air mata Intan ke pipi. Runtun jiwanya ketika ini. 
Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.