Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,965
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Sepuluh tahun kemudian…

 

Kuala Lumpur, Malaysia.

SYAFIQ meletakkan diari milik arwah Tengku Seri di atas meja kopi yang berada di hadapannya. Badan disandarkan ke belakang sofa sambil memejamkan kedua-dua matanya buat seketika. Dalam diam dia cuba untuk menyelesaikan teka-teki yang bersarang di kepala.

‘Dah sebelas tahun Mak Engku meninggal. Dah berkali-kali aku baca diari, novel bahkan manuskrip yang tidak sempat Mak Engku siapkan. Mak Engku ni mati dibunuh atau memang kemalangan? Kalau dibunuh, siapa pembunuh yang sebenarnya? Papa? Mama? Atau Uncle Zarif?’

Syafiq mengeluh panjang. Dia menegakkan tubuh badannya. Tangannya mengambil diari hitam di atas meja kembali. Dipusing-pusing diari itu. Cuba mencari sesuatu yang boleh mencantumkan teka-teki yang ada dibenak fikiran.

‘Kalau nama pembunuh tu ada dalam ni, maknanya antara Uncle Zarif, mama atau papa. Aunty Aqila dan Uncle Sufi antara suspek juga tapi mereka dah meninggal.’

Fikiran Syafiq menerewang mengingati apa yang Datin Aira pernah katakan kepadanya tentang kemalangan yang menimpa Tengku Seri dan Puan Aqila.

“Pihak polis dah putuskan yang kemalangan menimpa Mak Engku dan Aunty Aqila adalah kemalangan dan kecuaian.”

“Mama yakin kawan baik mama meninggal disebabkan kemalangan dan kecuaian?”

Datin Aira mengeluh berat.“Mama tak tahulah nak cakap tapi polis dah sahkan yang itu kemalangan disebabkan kecuai Mak Engku sendiri. Jadi… mungkin apa yang polis cakap tu betul.”

“Kalau kes pembunuhan?”

“Boleh jadi juga.”

“Mama syak siapa pembunuhnya?”

“Papa atau kerabat Mak Engku. Mereka gilakan harta Mak Engku.” Datin Aira memberitahu dalam keadaan berbisik. Bimbang didengari si suami dengan apa yang dia bisikkan pada anak tunggalnya.

“Polis tak soal siasat papa atau kerabat Mak Engku?”

“Syafiq lupa ye, papa pernah disoal siasat oleh polis. Papa ada alibi dan saksi yang kuat.”

“Mungkin pembunuh dia bukan papa tapi orang lain yang ambil kesempatan atas kebencian papa terhadap Mak Engku? Boleh jadi kan, mama?” Syafiq menduga.

“Setahu mama, papa je orang yang sangat bencikan Mak Engku. Dia tu musuh kuat Mak Engku.”

“Mungkin ada musuh lain yang mama tak tahu?”

“Tak mungkin. Mama dengan Mak Engku rapat sejak sekolah. Takkan mama tak tahu apa-apa pasal kawan baik mama,kan?”

Syafiq mengangguk dalam keterpaksaan. Dalam diam, dia cuba pandang wajah Datin Aira lama-lama. Dia tidak menyangka wajah yang mengatakan dia kawan baik Tengku Seri sebenarnya menyimpan dengki dan dendam terhadap kawan baiknya sendiri.

“Kenapa pandang mama macam tu?”

“Syafiq cuma fikir je, adakah mama bencikan Mak Engku?”

Datin Aira ketawa kecil. “Nak buat apa mama bencikan Mak Engku?” Datin Aira menjawab persoalan si anak dengan satu persoalan yang lain.

“Harta... atau cinta, maybe.”

“Syafiq ni... Mentang-mentang novelis jauh benar dia fikir.” Datin Aira menggelengkan kepalanya. “Mama sayang dengan Mak Engku. Takkanlah mama nak bunuh dia.’

‘Tipu!’ balas Syafiq dalam hatinya.

Sedang Syafiq asyik dalam dunianya, telefon bimbitnya berbunyi.

“Maaf tengku saya menganggu malam-malam ni, tapi boleh tak kalau tengku datang hotel sekarang? Salah seorang pelanggan VIP kita ditemui mati oleh staff kita dalam tandas, Tengku. Saya dah call GM, tapi dia di Tokyo sekarang.”

“Saya datang sekarang.” Syafiq terus mematikan talian lalu bangun dari sofa.

Diari yang ada di atasmeja kopi, diambil untuk dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Pintu peti besi yang berada di sebelah bahagian baju yang tergantung, dibuka.

‘Kalau betul Mak Engku mati dibunuh, mesti ada yang tak kena dengan alibi seseorang. Lagi-lagi suspek utama. Yang paling penting, mesti ada bukti kukuh yang mengatakan ini kes pembunuhan. Tak apa, aku yakin aku akan jumpa sesuatu nanti.’ Syafiq menutup pintu peti besi.

Kemudian dia mengatur langkah untuk keluar dari rumah yang dihuninya di kawasan Hotel Star Blink. Sebagai salah seorang pekerja yang memegang jawatan penting di Hotel Star Blik, dia diberi keistimewaan untuk mendiami salah sebuah rumah di kawasan perumahan staff Residence Blink. Kawasan itu, tidak jauh dari hotel. Mudah untuknya memantau keadaan hotel.

*****

MELIHAT ada icon warna hijau pada gambar profil facebook Syafiq, Hana menarik senyum. Dia terus mengelik messenger untuk berhubung dengan lelaki itu.

+Assalamualaikum abang. Kenapa tak tidur lagi?

Sent.

- Waa’laikumussalam Hana. Abang baru balik dari hotel ni.

+ Ooo, maaf kacau abang kerja.

- Dah selesai dah, Hana. Tak ada menganggunya.

+ Abang sihat?

- Alhamdulillah. Hana adik abang ni, sihat?

+ Sihat.

- Hana dengan Reza, okey?

Hana membiarkan persoalanabangnya. Tidak tahu apa yang perlu dia jawab? Kejujuran atau penipuan?

- Abang tak ada niat nak sibuk hal rumah tangga Hana, abang cuma risaukan Hana dan Reza.

Hana menahan air matanya dari tumpah. Meskipun dia dan Syafiq berkongsi ayah yang sama, lelaki itu tetap prihatin terhadapnya. Dia dapat rasa, kasih sayang seorang abang yang ikhlas dari lelaki itu walau mereka berbeza ibu.

Berbeza dengan apa yang dia rasa apabila bersama dengan ayah mereka; Dato’ Hamsyari. Dia rasa dia dipergunakan sesuka hati oleh si ayah. Diarah untuk buat itu dan ini. Sekiranya dia membantah dengan arahan atau kata Dato’ Hamsyari, dia diugut akan dipisahkan dari ibu angkat yang sudah dia anggap sebagai mak kandungnya sendiri. Sudah la ibunya itu sedang sakit.

Syafiq merenung lama messenger yang memaparkan perbualan dia dengan Hana. Pesanan yang sudah dihantar sudah menunjukkan bahawa ia sudah dibaca tetapi mengapa adiknya tidak membalas apa-apa? Gusar hatinya.

‘Hana ada masalah ke? Reza marah Hana? Atau papa ugut Hana lagi?’

Dek terlalu risau dengan siadik, Syafiq membuat keputusan untuk menghubungi Hana. Dia dapat rasakan, ada sesuatu sudah berlaku kepada Hana.

“Hana, apa dah jadi?” soal Syafiq sebaik sahaja panggilan berjaya disambungkan. Lama juga dia menanti panggilan bersambung.

“Abang… Hana takut…” Hana menghemburkan tangisannya.

Syafiq mengerutkan dahi. Dia dapat mendengar suara adiknya bergema.

“Reza benci Hana. Dia tetap salahkan Hana sebab kes tangkap khalwat tu walau Hana dah jelaskan Hana tak terlibat apa-apa.” Hana mula mengadu. Sudah tiga bulan lebih dia menyimpan rasa ini seorang diri.

Syafiq mendiamkan diri. Membiarkan si adik mengadu sepuasnya terlebih dahulu.

“Hana tak tahu… macammana nak bagi dia faham yang Hana tak terlibat langsung dengan kes nak perangkap dia kahwin dengan Hana ni.”

Syafiq mengangguk perlahan. Dia sudah agak Reza bencikan Hana kerana kes itu. Dia sudah lama mengenali personaliti Reza yang cepat marah itu. Jatuh kesian dia dengan nasib Hana dapat ayah seperti Dato’ Hamsyari dan suami seperti Reza.

Disebabkan dia masih tidak dapat apa-apa klu tentang kes kemalangan Tengku Seri, dia telah mengupah seseorang untuk mengintip dan mengekori Dato’ Hamsyari dan Datin Aira. Hasil jejaknya yang itulah dia dapat tahu kewujudan Hana. Itupun dia dapat tahu tiga bulan yang lalu, saat Hana ditangkap berkhalwat dengan Reza.

Menurut kata Hana, papa mereka menikah sekali lagi secara senyap di Selatan Thailand. Perkahwinan kedua papa mereka tidak didaftarkan di Malaysia sehingga ke hari ini untuk mengelak Datin Aira dari mengetahui hal ini. Mak kandung Hana pula sudah lama meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan Hana.

Ujian DNA di antara dirinya dengan Hana menunjukkan mereka memang adik-beradik seayah. Namun ada sesuatu yang Hana tidak tahu. Sebenarnya Dato’ Hamsyari tidak pernah menikah dengan mak kandung Hana. Dalam kata mudah, Hana ialah anak luar nikah papanya sendiri. Sebab itulah papanya mengabaikan Hana selama ini sehinggalah tiba detik Dato’ Hamsyari membuat rancangan untuk memerangkap Hana dengan Reza.

Disebabkan ada rasa kesiandan wujud rasa tanggungjawab sebagai seorang abang, dia cuba untuk sentiasa disisi Hana. Hidup Hana sudah banyak menderita kerana papa mereka, sebab itulah sampai detik ini dia tidak pernah memberitahu Hana yang Hana sebenarnya anak luar nikah. Dia yakin Hana akan bertambah kecewa apabila mengetahui status sebenar dirinya.

Bertambah kecewa Hana nanti sekiranya Hana turut mengetahui bahawa Dato’ Hamsyari sekarang sudah beristeri dua. Isteri muda papanya itu pula sudah berikannya seorang adik lelaki yang diberi nama Tengku Muhammad Shahir.

“Abang, kenapa hidup Hana macam ni? Hana dah buat salah apa, abang?”

“Hana tak buat apa-apa salah.”

“Hana sedih…”

Hati Syafiq tersentuh. ‘Ya Allah, kesian Hana. Tolonglah dia.”

Thanks, abang. Hana dah okey,” ujar Hana secara tiba-tiba. Timbul rasa serba salah terhadap Syafiq – menganggu masa rehat si abang.

Sejak dia dan Syafiq mengetahui yang mereka sebenarnya adik-beradik, ditambah pula dengan sikap prihatin Syafiq terhadapnya menjadikan dia sangat selesa dengan Syafiq.

“Kalau ada masalah, pm atau email abang. Kalau abang ada masa, abang call Hana.”

“Tapi boleh tak kalau lepas ni, Hana call abang?”

“Jangan!”

“Mesej? WhatsApp?”

“Reza tak suka, Hana.” Syafiq mengingatkan adiknya tentang hal itu.

“Gaya abang cakap macam abang kenal sangat dengan suami Hana.”

Syafiq menarik senyum. Ini juga perkara yang Hana tidak tahu. Dia sudah lama mengenali Reza. Rezaialah abang Natalia; anak arwah Tengku Seri. Sudah tentu dia kenal dengan Reza. Mereka teman sepermainan semasa kecil.

“Abang kenal suami Hana ke?”

“Reza tak tahu kita ni adik-beradik, kan? Papa pun tak tahu yang kita ni masing-masing dah tahu yang kita ni adik-beradik. Abang tak nak Hana ditimpa apa-apa masalah disebabkan Hana call atau mesej abang.”

“Okey. Hana faham. Hana minta maaf ye abang, kacau masa rehat abang.”

“Tak apalah Hana. Hana nisatu je adik yang abang ada. Lagipun bukan selalu abang dapat luang masa dengan Hana.”

“Terima kasih abangku sayang.”

Lebar senyuman lelaki itu mendengar suara ceria dari si adik.

“Hana nak abang tahu, Hana seronok sangat bila dapat tahu yang abang ialah abang Hana. Hana rasa Hana ada pelindung dan tempat untuk Hana luahkan rasa sedih Hana. Hana tak ada sesiapa dalam dunia ni kecuali abang, papa, Reza dan mak.” Air mata Hana mengalir.

“Mak Hana macam mana sekarang?” Sengaja Syafiq menyoal tentang mak angkat Hana yang menjaga Hana selama ini.

“Macam tu la. Sakit orang tua.”

“Papa ada ugut Hana guna nama mak ye?”

“Ada.”

“Papa nak apa kali ni?”

“Tak ada apalah.”

“Bagilah tahu abang.”

“Hana malu la nak cakap.”

“Kenapa? Papa minta cucu ke?” Syafiq cuba berseloroh untuk mengusik si adik.

“Bukan. Papa nak...video... kami. Video yang... hm...”

“Ooo. Papa ada cakap nak buat apa?”

“Nak jatuhkan Reza lagi kut.”

Syafiq mengangguk-angguk. “Hana jangan risau, abang dah upah orang untuk jagakan mak Hana. Jadi papa tak akan apa-apakan mak Hana.”

“Papa ugut nak pisahkan Hana dengan mak.”

“Bab tu pun, Hana jangan risau. Mata-mata abang banyak. Abang pasti akan tahu mana papa sorokkan mak Hana.”

Thank you, abang.”

My pleasure.”

“Hana sayang abang. Dah la, Hana dah mengantuk. Esok ada kelas pagi.”

“Hana dah okey, kan?”

“Dah!” Hana menjawab dengan nada ceria.

“Kalau macam tu, alhamdulillah. Hana pergi rest. Esok, mulakan hari dengan senyuman. Abang doakan kebahagian dan keselamatan Hana.”

Thank you, abang. You’re so sweet and caring.”

Syafiq ketawa.

Bye, abang!” Tidak menunggu lebih lama, Hana terus memutuskan panggilan. Dia takut sebenarnya untuk berlama-lama di dalam tandas memandangkan ada CCTV dalam bilik dan beberapa ruang di dalam rumahnya ini.

CCTV itu dipasang oleh orang suruhan Dato’ Hamsyari untuk mengawal gerak-gerinya dengan Reza sekiranya suaminya itu menjenguknya. Disebabkan itulah dia takut sekiranya Dato’ Hamsyari tahu dia berhubung dengan Syafiq.

Pada masa yang sama, Syafiq memandang telefon bimbit yang masih dipegangnya. Dia menarik senyum. Inilah rasanya apabila mempunyai adik.

‘Abang pun sayang Hana. Walaupun hubungan kita ni sebenarnya membolehkan abang untuk menikahi Hana, tapi abang janji abang akan jaga dan lindungi Hana sebagai adik abang sampai bila-bila. Hana, Reza tu baik sebenarnya tetapi sebab papa dia jadi macam tu. Sebab tu, Hana kena sabar dan kuat. Abang akan selalu ada untuk Hana.’

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah