Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,987
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Beberapa bulan kemudian…

ENCIK ZARIF memandang si anak dara yang masih duduk di atas kerusi sambil memegang erat tiket penerbangan dan passport untuk ke bumi United Kingdom sebentar lagi.

Baginya kemalangan yang menimpa Tengku Seri dan Puan Aqila sebenarnya satu kemalangan yang sudah dirancang. Namun demikian, polis telah pun mengesahkan bahawa kedua-dua kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian pemandu bukan kes pembunuhan seperti yang Encik Zarif syak.

Mana tidak dia berfikiran seperti itu kalau anaknya bersama Tengku Seri ini mewarisi begitu banyak harta pusaka dari keluarga Tan Sri Tengku Daud; arwah ayah mentuanya. Memiliki beberapa jenis perniagaan dan anak syarikat, ladang, kebun dan tanah.

Seingatnya juga, arwah Tengku Seri pernah memberitahunya mengenai saudara-maranya yang mata duitan. Mendampinginya kerana harta. Sebab itu, Tengku Seri menolak untuk tinggal bersama kaum kerabatnya selepas ayahnya meninggal dunia. Dia lebih suka hidup sendiri.

Sebab itu, dia rasa kemalangan yang berlaku sebenarnya kes pembunuhan bukan kemalangan.

Andai benar apa yang dia sangkakan, dia yakin target pembunuh yang seterusnya ialah Natalia. Sebab itu dia bertekad untuk memulakan hidup barunya di luar negara bersama kedua-dua anaknya.

“Lia...”

Natalia menoleh ke belakang untuk sekian kalinya. Dia berharap Syafiq akan hadir hari ini memandangkan sebentar lagi dia akan pergi meninggalkan bumi Malaysia.

Encik Zarif memegang bahu kiri Natalia. “Lia, jom.”

Natalia mengeluh panjang.

Selepas kematian Tengku Seri dan Puan Aqila, dia sering ditemani Syafiq. Lebih-lebih lagi saat Encik Zarif disoal-siasat oleh pihak polis.

Namun entah kenapa, seminggu dua ini Syafiq seakan menjauhinya.

‘Dia merajuk kut sebab aku kena pergi UK,’ Natalia cuba menyedapkan hatinya sendiri.

“Tak apa la, nanti bila kita balik sini mungkin dia datang ambil kita.” Encik Zarif menarik senyum manis.

Natalia memandang novel pemberian Syafiq di tangannya. “Lia janji, Lia tak akan lupakan abang.” Natalia mengusap permukaan novel pemberian Syafiq sempena hari jadinya yang ke-14.

“Jom, Lia.”

Natalia melepaskan keluh berat. Dia mengambil beg sandang di atas kerusi sebelum mengatur langkah mengikuti Encik Zarif dan Reza.

Syafiq keluar dari tempat persembunyiannya. Dia memandang lama belakang tubuh Natalia yang semakin mengecil pada pandangan matanya.

Datin Aira memegang bahu kanan Syafiq.

“Lia akan selamatkan selepas ni?” Syafiq menyoal Datin Aira tanpa matanya beralih dari memandang kelibat Natalia yang sedang beratur di satu tempat bersama Encik Zarif dan Reza.

“Insya-ALLAH. Syafiq jangan risau, kalau ada apa-apa nanti Uncle Zarif akan bagitahu mama.”

Syafiq menoleh ke arah Datin Aira.

“Lia dan Syafiq muda lagi.” Datin Aira menarik senyum. Dia tahu anaknya ini ada menyimpan perasaan untuk Natalia. Begitu juga dengan Natalia.

Datin Aira menepuk-nepuk bahu anak terunanya itu. “Mungkin satu hari nanti, Syafiq akan jumpa yang jauh lebih baik dari Lia,” tambah Datin Aira.

Syafiq memandang ke hadapan semula. “Bukan mama suka Lia?”

“Mama memang suka tapi sekarang bukan masa yang sesuai. Mama nak Syafiq dan Lia berjaya dalam pelajaran dulu. Kalau ada jodoh, tak kemana. Kan?”

Syafiq mengangguk. Dia tahu hakikat itu.

Sehingga ke hari ini, dia tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh Tengku Seri di dalam diarinya. Apa yang dia tahu, mamanya dan Tengku Seri berkawan baik sejak kecil. Jadi dia tidak faham kenapa Datin Aira dalam diam membenci kawan baiknya sendiri.

“Jom kita balik.”

Syafiq mengangguk.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah