Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,988
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

SYAFIQ meletakkan dulang makanan di hadapan Natalia yang sedang duduk di hadapan kotak televisyen. Dilihatnya televisyen tidak terpasang namun cara Natalia memandang kotak itu seolah-olah sedang khusyuk melihat sesuatu yang tersiar pada skreen.

“Lia, makan.” Syafiq menolak dulang makanan ke kiri sedikit. Biar makanan tersebut betul-betul di hadapan Natalia.

Natalia menggeleng.

“Makan sikit.” Syafiq memujuk.

Natalia memandang wajah Syafiq. “Rasanya Lia ada selera nak makan ke sekarang?”

“Abang Fiq tahu, Lia tak ada selera tapi Lia kena teruskan hidup Lia.”

Natalia memandang menu makanan yang dihidangkan di depan matanya. Ada lauk ayam masak merah. Lauk kegemaran arwah bondanya. Tiba-tiba fikirannya teringat saat indah bersama dengan Tengku Seri.

Natalia yang berusia dua belas tahun memanjangkan tangan kanannya ke tengah meja untuk mengambil lauk ayam masak merah. Ada satu bahagian ayam di situ. Namun belum sempat dia mahu ambil, Reza yang duduk bertentangan dengannya sudah ambil bahagian terakhir ayam.

“Abang! Tu Lia punya!”

“Nasi Lia dah habis, kan? Bagi je la ayam ni dekat abang. Nasi abang ada lagi.”

“Tapi Lia nak!”

“Lia.” Puan Aqila dan Encik Zarif memandang Natalia yang mengada-ngada.

“Lia nak ayam tu...”

“Lia, biarlah abang ambil ayam tu. Abangkan duduk asrama. Esok abang balik, mama masak lagi.” Puan Aqila mengambil gelas berisi air kosong di atas meja.

Mendengar jawapan dari si mama,Natalia terus menarik muncung.

Melihat perilaku Natalia seperti itu,Tengku Seri menarik senyum. Diambil sebahagian ayam masak merah di pinggannya lalu diletakkan di atas pinggan anak daranya. “Makan ni.”

Natalia mengangkat wajah dari menunduk kerana merajuk ayam terakhir di tengah meja sudah diambil oleh Reza.

“Tak elok muncung depan rezeki.”Tengku Seri menyentuh lembut bibir muncung Natalia dengan jari telunjuk kanannya yang ada sedikit kesan sambal ayam masak merah. Kemudian dia ketawa kecil.

“Kenapa bonda ketawa?”

“Lia muncung nampak comel.”

Perlahan-lahan Natalia menarik senyum.

Syafiq memandang wajah Natalia yang termenung. Melihat ada cecair jernih mengalir dari tubir mata Natalia, Syafiq mengambil posisi duduk di sebelah anak kawan mamanya itu. Tanpa Syafiq berfikir panjang, dia memegang kedua-dua bahu Natalia.

Natalia tersentak dari lamunannya. Dia memandang wajah Syafiq di sebelah kanannya. Tidak menunggu lebih lama, dia menyembamkan wajahnya pada dada lelaki itu. Tangannya melingkar di pinggang Syafiq.

“Lia…” Syafiq memandang sekeliling sambil cuba meleraikan pelukan dari Natalia. Bimbang dia sekiranya ada ahli keluarga melihat keadaan mereka berdua seperti ini. Lebih-lebih lagi sekiranya Datin Aira yang melihatnya. Mati dia!

“Lia rindu bonda dan mama. Lia rindu… Rindu sangat-sangat.”

Mendengar rintihan syahdu Natalia, Syafiq tidak sampai hati untuk merenggangkan pelukkan di antara mereka berdua.

“Lia rindu abang dan papa… Sampai hati abang dan papa tak pedulikan Lia…” Natalia menangis teresak-esak di dada Syafiq.

Perlahan-lahan Syafiq membalas pelukan tersebut. Tangan kanannya mengusap rambut Natalia yang panjang sehingga ke pinggang. Niatnya untuk membantu mengurangkan sedih di hati Natalia. Itu sahaja.

Encik Zarif yang baru sahaja melangkah ke ruang tamu, terpandang ke arah Natalia dan Syafiq. Melihat adegan peluk-memeluk seperti itu, laju dia mengatur langkah ke arah kedua-dua remaja tersebut. Dia mahu mereka berdua berhenti memeluk memandangkan rumah mereka masih menerima kunjungan tetamu untuk tahlil Tengku Seri dan Puan Aqila.

“Lia perlukan papa dan abang, tapi abang dan papa tak hiraukan Lia…” adu Natalia.

Encik Zarif terkejut mendengar aduan Natalia. Dia kini berdiri tidak jauh dari belakang Syafiq. Hati tuanya tersentuh dan tanpa sedar air mata jantannya mengalir. Dia mulai sedar khilaf dirinya.

Kerana terlalu mengikut kata hati yang sedih, dia telah membiarkan anak daranya begitu sahaja. Walhal, Natalia masih muda dan masih memerlukan sokongan darinya untuk menghadapi ujian seperti ini. Tapi apa yang dia buat ialah dia membiarkan Natalia sendirian dan melayan perasaan sedihnya yang kehilangan kedua-dua isteri dalam masa yang singkat.

Encik Zarif menyentuh lembut bahu kanan Syafiq.

Syafiq tersentak lalu menoleh ke belakang. Naik turun dadanya dengan laju saat melihat Encik Zarif memandang anak matanya. Tangan Syafiq bergerak ke belakang tubuhnya. Ingin meleraikan pelukan Natalia pada tubuhnya.

Encik Zarif memanjangkan tangan kanannya ke arah kepala Natalia di dada Syafiq.

Natalia mendongak.

“Papa mintak maaf, Lia. Papa mintak maaf…”

Natalia laju melepaskan pelukan pada tubuh Syafiq lalu berdiri dan memeluk tubuh tua papanya. “Lia perlukan papa…”

“Papa tahu. Maafkan papa sayang.” Encik Zarif membalas pelukan anak daranya.

‘Maafkan abang Seri. Abang lupa dengan kerapuhan hati anak kita sampai abang tergamak biarkan dia sendiri. Mujurlah ada Syafiq…’ monolog Encik Zarif sambil memandang wajah Syafiq yang masih duduk di depan matanya.

Syafiq menunduk. Dalam hatinya sudah ada perancangan untuk pergi sahaja dari situ. Namun baru sahaja dia mahu mengangkat punggung, Encik Zarif bersuara.

“Terima kasih Syafiq.”

Syafiq mengangkat wajah. Terkejut dia melihat senyuman diwajah tua Encik Zarif. Tidak marahkah lelaki itu terhadapnya? Bukankah sebentar tadi dia sewenang-wenangnya memeluk Natalia yang terang-terang bukan mahramnya.

“Terima kasih sebab jaga anak uncle dan selamatkan dia tadi.” Encik Zarif mencium ubun-ubun Natalia dengan linangan air mata.

Kalau tidak Datin Aira memberitahunya sebentar tadi,pasti dia tidak tahu bahawa sedihnya anak daranya ini sehingga hampir-hampir sahaja mahu membunuh diri.

Uncle tak boleh bayangkan hidup uncle kalau Lia pergi juga dari hidup uncle, Syafiq. Jadi terima kasih Syafiq.”

Syafiq mengangguk. Dia turut tersenyum untuk membalas senyuman ayah kandung Natalia itu meski dia was-was dengan senyuman lelaki itu. Ikhlas atau sekdar lakonan?

Apa salah aku sampai aku diperlakukan seperti ini? Aku tak minta untuk jadi mangsa perkosaan Hamsyari. Aku tak minta untuk mengandung anak luar nikah. Aku tak minta dia jadi pak sanggup, dia yang mahu. Jadi adakah wajar dia memperlakukanku sebegini?

Tengku Seri.

“Andai sesuatu terjadi kepada uncle dan Reza…”

Kata-kata Encik Zarif menyedarkan Syafiq dari mengingati sebahagian petikan diari milik Tengku Seri.

Natalia merenggangkan pelukan tatkala menangkap butir bicara papanya seperti itu. “Papa nak tinggalkan Lia ke?”

“Tak sayang. Papa tak tinggalkan Lia. Papa cuma harap…” Encik Zarif mengusap pipi kiri si anak sebelum dia memandang wajah Syafiq semula. “Syafiq masih sudi jaga dan selamatkan Lia lagi selepas ni kalau ada apa-apa jadi pada keluarga kita.”

Syafiq dan Natalia berbalas pandang.

Agak lama juga Natalia merenung wajah lelaki yang namanya sudah penuh di ruangan hatinya itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah