Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
182,884
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

Bella akhirnya tidur nyenyak. Bella yang tertidur tidak sedar Ben sudah kembali dengan buku yang diminta. Buku tersebut diletakkan di atas meja Bella dan dia duduk menunggu Bella di situ dengan senaskah buku di tangan. Sesekali dia memandang pada Bella yang tidur nyenyak di atas katil hospital itu. Lega hatinya bila melihat wajah gadis itu tidur dengan tenang. Sudah lama dia tidak mengambil berat pada seseorang seperti dia lakukan untuk gadis itu. Dia membiarkan sahaja Bella tidur. Sememangnya gadis itu perlukan rehat setelah semua yang berlaku terhadapnya. 

Sewaktu Bella membuka mata dua jam kemudian kelibat Ben kelihatan di matanya. Bella yang mamai pada mulanya lupa di mana dia berada seketika. Dia juga seperti tidak ingat siapa lelaki kacak dan tegap yang sedang menunggunya itu. Semuanya seolah-olah berada di dalam mimpi. Hanya bila Ben memanggil namanya barulah Bella sedar. Baru teringat apa yang telah berlaku. Namun yang buat dia rasa sedikit bergetar di jiwa ialah bila menyedari itu sedang menunggunya di dalam bilik di hospital itu sedangkan sebenarnya lelaki itu tidak perlu berbuat begitu pun untuknya. Dia bukan sakit tenat dan bilik itu bilik VIP. Mudah sahaja untuk memanggil jururawat bila dia perlu. Itu yang buat Bella tidak faham. Mengapa Ben buat semua itu?

Tidak lama kemudian Puan Rubiah tiba dengan wajah yang terkejut. Puan Rubiah meluru ke arah Bella dengan wajah penuh bimbang. Bayangkan anaknya masuk ke hospital sedangkan selama ini ke klinik pun jarang-jarang. 

“Anak mak,” rintihnya lantas memeluk Bella. Dia nampak benar-benar risau apatah lagi bila melihatkan balutan di kepala dan kaki Bella. 

“Apa dah jadi ni?” soalnya. Tangannya meraba dahi dan kemudian kaki Bella. Kemudian matanya tertuju ke arah lelaki tinggi berpakaian kemas yang berada di situ. Tidak pernah dia melihat lelaki sesegak lelaki itu. Orangnya dalam usia tiga puluhan dan sangat tinggi. Tubuhnya tegap dengan pakaian kot yang kemas. Sangat berketerampilan dan ada gaya. Wajahnya tenang bila memandang Puan Rubiah. 

“Makcik jangan risau. Bella tak apa-apa kata doktor. Cuma kaki sedikit bengkak dan kepalanya luka sikit. Esok baiklah,” jelas Ben. Semasa datang tadi Kadir telah menerangkan yang dia diarahkan oleh bossnya untuk bawa Puan Rubiah ke hospital untuk berjumpa Bella dan keadaan Bella elok-elok sahaja cuma ada sedikit kemalangan yang memerlukan Bella dirawat. Puan Rubiah hairan juga. Kalau tiada apa-apa mengapa Bella perlu masuk ke hospital?. Hospital swasta pula. Apa yang berlaku sebenarnya? Desis hatinya kehairanan. 

“Macamana boleh jadi macam ni Bella?” soal Puan Rubiah.

“Bella hampir dilanggar tadi. Kami bawa dia ke sini,” jawab Ben lebih pantas sebelum Bella dapat membuka mulut. Bella hanya terpinga seketika kemudian tersenyum pada ibunya. Ibunya lantas memeluk Bella. Kemudian dia mengucapkan syukur. Syukur Bella hanya cedera ringan sahaja. Dia melirik seketika kepada Ben yang sedang duduk tenang di salah sebuah kerusi di situ. Mata Puan Rubiah memandang lelaki segak itu ke atas ke bawah.

Bila Puan Rubiah melihat lelaki itu dengan sosok dan perawakannya yang kemas dia terus tahu lelaki itu pasti seorang boss. Nampak berketerampilan. Baju kot dan slack yang dipakai nampak elok terletak. Jam yang dipakai pun jam mahal dan berjenama. Terus dia buat kesimpulan. Perlahan senyum terukir di bibir tua dan kusam itu. Rasa hatinya sedikit berbunga. Kesimpulannya ialah, Bella dapat kerja kah? Dan lelaki itu boss Bella? Puan Rubiah tersenyum lagi. Hatinya rasa sangat gembira dan penuh kesyukuran. Syukur Bella sudah dapat kerja, desis hatinya. Kalau tidak tak kan lah lelaki itu sanggup bawa Bella ke hospital swasta. Bilik single pula. Masa masuk tadi dia dapat lihat tatarias ekslusif hospital tersebut. Hanya dikunjungi oleh mereka yang ada duit ataupun dibayar oleh syarikat. Jadi, Puan Rubiah pasti Bella sudah dapat kerja hari itu. Puan Rubiah mengucap syukur teramat di dalam hati. Bella kesayangannya sudah dapat kerja.

“Anak ni siapa?” soal Puan Rubiah pada Ben. Ben tersenyum sedikit. 

“Saya Ben, Bella jatuh di depan kereta saya,” jawab Ben mesra.

“Terima kasih Tuan Ben sebab bawa Bella ke sini,” ucap Puan Rubiah.

“Sama-sama. Err panggil Ben sahaja. Tak perlu bertuan-tuan makcik,” jawabnya sambil tersenyum ramah kepada Puan Rubiah. Memancarkan lesung pipitnya. Bella yang melihat layanan Ben pada ibunya terkesima. Senyuman itu amat terkesan di jiwa. Meskipun bukan ditujukan padanya. Bella mula menyedari betapa menawannya senyuman itu menyebabkan wajah lelaki itu makin kacak pada matanya. 

Namun sejak tadi Bella masih sangsi dengan semua itu. Dia bukan sesiapa kepada lelaki itu tetapi lelaki itu sediakan semua itu untuknya. Pasti ada sesuatu yang Ben mahukan. Kalau ikut hati sudah lama Bella pergi dan balik sendiri tetapi dengan buku lali di kaki sebelah kanannya bengkak dia hanya mampu terhencot-hencot. Kalau dia mahu lari pun sampai mana sahaja. Pasti semuanya sia-sia. Dan sekarang ibunya pula telah dibawa ke situ. Dan sekarang ibunya nampak seperti berkenan dengan Ben. 

Ben pula satu hal. Sejak ibunya masuk ke bilik itu, Ben melayan ibunya sangat baik. Bertanya itu dan ini. Sejak bila pula lelaki itu mesra alam? Bukankah tadi semua percakapannya dengan Bella bernada sinis namun dengan ibunya terus peramah dan berhemah? Bukan itu sahaja malam itu Puan Rubiah dibenarkan meneman Bella. Ben bahkan meminta Kadir untuk belikan makanan malam untuk Puan Rubiah. Selepas maghrib Ben meminta diri.

“Saya ada hal. Esok saya akan datang semula. Kalau ada apa-apa yang Puan atau Bella perlukan, hubungi sahaja Kadir,” ujarnya pada Puan Rubiah. Puan Rubiah dan Bella berpandangan seketika. Puan Rubiah tersenyum lantas mengusap bahu anaknya. Bella hanya tersenyum. Kemudian Bella perasan mata Ben padanya. Bella membalas pandangan Ben. Mata keduanya bertaut seketika. Anak mata Bella merenung mata bundar itu. Ingin menelah apakah sebenarnya semua itu namun mata itu tidak mendedahkan apa-apa. Ia tetap kelihatan seperti di dalam lif tadi. Seolah tiada perasaan. Tiada apa-apa terpamir untuk Bella meneka apakah niat sebenarnya. Ben merenung Bella seketika sebelum dia berlalu. 

“Jumpa esok,” ujarnya pada Bella. Bella hanya mengangguk. Matanya menghantar kelibat lelaki itu pergi. Bila Ben pergi Puan Rubiah mula menghujani Bella dengan pertanyaan demi pertanyaan.

“Bella dah dapat kerja ke?” soal Puan Rubiah teruja. Bella terdiam. Dia serba-salah. Baru Bella ingin menjawab, Puan Rubiah bertanya lagi.

“Itu bos Bella ke?” soalnya lagi. Bella mengurut dahi sedikit. Namun masih tidak menjawab. Dia hanya tersengeh. Dia suka melihat ibunya gembira seperti itu. Dia tidak sampai hati untuk pecahkan berita sebenar. Pasti ibunya kecewa kalau tahu apa sebenarnya. Dia tidak sanggup melihat ibunya kecewa lagi.

“Mak syukur Bella dapat kerja. Makbul juga doa mak. Mak tahu kali ini mesti Bella dapat kerja,” bila Bella mendengar kata-kata itu terus Bella kelu untuk berterus terang. Dia tak mahu ibunya makin kecewa kalau ia sebenarnya tidak betul. Buat sementara biarlah ibunya rasa kegembiraan itu. Esok bila dia jumpa lelaki itu dia akan buat sesuatu. Asalkan ibunya gembira seperti itu. Sekarang dia sudah tahu apa yang dia mahu tawarkan kepada lelaki itu yang sudah tentunya mahu dia membalas semua budi yang ditaburkan untuknya. Tak mungkin dia sanggup sediakan semua itu tanpa Bella harus bayar semula. Pasti ada udang di sebalik batu.

“Macamana Bella boleh jatuh macam ini?” soal Puan Rubiah hairan.

“Bella terkejut bila driver Ben tu hon Bella,” ujar Bella terus-terang.

“Kenapalah Bella tak berhati-hati. Mujur tiada apa-apa yang serius,” ujar Puan Rubiah risau.

“Ye, alhamdulillah. Mak jangan risau.,” pinta Bella. Dia memang tak mahu ibunya risau langsung tentang hal itu. Walau sedikit pun. Jadi dia nekad. Dia terfikir sesuatu. Esok dia mahu tawarkan sesuatu pada Ben. Moga-moga Ben dapat menerimanya.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.