Home Novel Cinta Ingat-ingat Lupa
Ingat-ingat Lupa
Zulfati Hanis
1/11/2012 11:02:07
105,272
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Usai majlis doa selamat dan bacaan tahlil tetamu beransur pulang ke rumah masing-masing. Kini hanya tinggal saudara-mara haji Daim, ahli keluarganya dan juga keluarga haji Yahya saja. Haji Daim dan haji Yahya masih sibuk berbual di ruang anjung rumah. Badrul, Eziwan, Nur Hakimi dan beberapa orang sepupu mereka sibuk mengemas ruang tamu yang dijadikan tempat menjamu tetamu tadi.

Sementara itu hajah Halijah dan hajah Anida sibuk mengemas didapur sambil dibantu oleh Rohaya menantu sulung haji Daim dan saudara-mara yang lain.

“Alhamdulillah ramai yang datang. Terima kasih kak Lijah sebab banyak tolong Ida. Sejak dari semalam kak Lijah tolong kami,” ucap hajah Anida sambil mengenggam erat lengan hajah Halijah.

“Jangan cakap macam tu Ida. Arwah tu pun anak akak. Sampai sekarang akak macam tak percaya yang arwah dah tak ada. Rasanya macam baru semalam Ez dengan arwah kahwin,” hajah Halijah mengesat air matanya. Setiap kali bercerita tentang Khyrulhydza hatinya pasti terusik. Bukan sehari dua dia mengenali Khyrulhydza. Malah dia mengenali Khyrulhydza sedari anak-anak mereka masih bersekolah lagi. Berkenan benar dia dengan sikap Khyrulhydza yang tahu menghormati orang tua serta sopan.

Hajah Anida turut sama merasa sayu. Kalau hajah Halijah kehilangan menantu. Dia pulak kehilangan satu-satunya anak perempuan yang menjadi teman berbualnya selama ini. Sejak Khyrulhydza tiada hatinya menjadi kosong.

Hajah Anida mengesat air matanya. “Dahlah kak. Kita lupakanlah. Ez pun dah mulakan hidup baru. Alhamdulillah. Kami sekeluarga bersyukur sangat bila Ez dah dapat pengganti arwah. Cumanya bila dia nak kahwin?. Rasanya dah dekat setahun mereka bertunangkan kak?.”

Hajah Halijah mengangguk. “Haah. Soal tu kami pun tak tahu nak cakaplah Ida. Bila ditanya pada Ez, dia kata masih awal lagi mereka nak kahwin. Dia dengan Linda belum ready lagi katanya. Entahlah Ida permikiran orang muda ni payah kita yang tua ni nak faham,” keluh hajah Halijah.

“Sabar ajelah kak Lijah. Ez tu dah matang. Tahulah dia bagaimana nak bentuk hidup dia. Tunang dia tak datang sekali ke?. Dah lama tak jumpa dengan Linda.”

Hajah Halijah menghela nafas. “Sibuk katanya. Entahlah….Akak pun tak faham kerja orang niaga ni. Sibuk memanjang,” rungut hajah Halijah.


Fauzi yang masih belum pulang mencari-cari kelibat Eziwan. Dah lama tak berbual dengan Eziwan. Masing-masing sibuk dengan kerjaya sehingga tak ada masa untuk berjumpa kawan lama.

“Kau apa khabar Ez?” Fauzi menepuk bahu Eziwan yang sedang bersandar ditiang anjung rumah sambil merenung langit malam.

Eziwan menoleh memandang Fauzi. “Alhamdulillah, aku sihat. Perniagaan kau macam mana?.”

“Alhamdulillah semakin banyak permintaan. Aku pun dah tambah kolam lagi. Itu pun ikut-ikutkan tak cukup lagi untuk memenuhi permintaan pelanggan,” jelas Fauzi teruja bila bercakap tentang kolam ikan air tawar yang diusahakan selama ini.

Eziwan mengangguk. “Makin bagus perniagaan ikan air tawar kau. Tahniah Pozi. Aku bangga dengan kejayaan kau.”

“Alah biasa-biasa aje Ez. Itu pun kejayaan ni atas sokongan keluarga, kau, Laili dan juga arwah. Masa kau kat London, Laili dengan arwah yang selalu bagi semangat kat aku. Bila dia orang cuti semester aje dia orang selalu tolong aku kat kolam. Tapi sekarang ni Laili ajelah yang tolong. Itu pun bila cuti sekolah aje dia full time tolong aku.”

“Mestilah Pozi. Bini kau tu Cikgu. Tak kan nak ponteng mengajar pulak untuk tolong kau kat kolam,” sindir Eziwan sambil ketawa.

Fauzi turut ketawa mendengar sindiran Eziwan.

“Tapi aku tak sangkalah Pozi yang kau boleh berkahwin dengan Laili. Dulu kau orang berdua macam musuh ketat. Pantang berjumpa pasti bertekak,” kata Eziwan. Siapa sangka Fauzi dan Laili akan berkahwin satu hari nanti. Semasa di zaman sekolah dia dengan Laili tidak boleh berjumpa, pasti akan bertengkar.

“Alah cakap aku. Kau dengan Ekhi pun apa kurangnya. Ekhi mati-mati tolak kau. Tapi kau tetap nak pikat dia,” bidas Fauzi tidak mahu mengalah.

Eziwan tersengih. Ya…memang payah masa itu untuk memikat Khyrulhydza. Makin di cuba makin benci Khyrulhydza padanya. Semuanya sebab dari sikap kasanovanya dulu. Setiap tahun pasti dia akan bertukar teman wanita. Tapi bila dia terpandang Khyrulhydza buat pertama kali hatinya seperti telah di curi. Kehadiran Khyrulhydza membuatkan dia tidak pandang pelajar perempuan yang lain lagi. Panahan cinta Khyrulhydza membuatkan dia bertukar menjadi pemburu cinta. Dia akan terus memburu sehingga cintanya berbalas.


Khyrulhydza mencari-cari sekelilingnya. Habis semua buku dikeledahnya. Tapi apa yang di cari masih tidak jumpa. “Hisss…..mana pergi ni. Tadi rasanya aku letak kat sini. Tak kan ada kaki kot?” ngomel Khyrulhydza seorang diri. Hujung jarinya mengaru pipi. Otaknya masih ligat memikirkan di mana dia terletak pen kilometrico miliknya tadi.

“Oiii….apa kebendanya yang kau cari ni Ekhi?” Laili menepuk tangan Khyrulhydza.

“Pen aku.”

“Ini bukan pen ke?” Laili menunjukkan pen-pen yang bersepah di depan Khyrulhydza.

“Bukan pen ni,” desis Khyrulhydza.

Laili mengerutkan dahinya. “Ekhi….punya berlambak pen kat atas meja ni satu pun bukan yang kau cari? Istimewa sangat ke pen tu?” tanya Laili dengan nada menyindir.

“Kau ni…..pen merah dengan biru yang aku ikat sama tu. Dah hilang. Aku ingat aku letak kat sini sebelum ni. Tapi sekarang dah tak ada,” rengus Khyrulhydza. Dalam waktu yang sama tangannya lincah menyelak buku-buku untuk mencari pen yang hilang. Bukan tak boleh guna pen lain. Tapi itulah pen kesukaannya.

Laili sudah tergelak besar mendengar alasan Khyrulhydza. Dirasakan alasan itu sangat lucu. Di tekan-tekan perutnya kerana sakit menahan gelak. Khyrulhydza membulatkan matanya tanda marah pada Laili. ‘Buat malu aku aje minah sorang ni. Aku selige jugak dia ni karang.’ Ngomel Khyrulhydza dalam hati.

“Ya Allah, kau boleh gelak Laili. Kau ni apa punya kawan lah,” wajah Khyrulhydza merah seperti cerek yang kepanasan. Bayangkan asap keluar dari lubang telinga kiri dan kanan.

“Ialah ayat kau tu aku tak tahan. Ekhi….guna ajelah pen yang ada ni. Setakat pen 50sen tu, kau boleh buat lainlah. Lainlah kalau harga pen tu 5 hinggit ke?. Ini…..” Laili tak menghabiskan ayatnya. Sebaliknya dia sambung gelak lagi.

Khyrulhydza tak sempat nak membalasnya bila cikgu Wong sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Sesi pembelajaran Bahasa Inggeris bermula. Antara subjek kegemaran Khyrulhydza. Seringkali peperiksaan dia akan skor A untuk subjek Bahasa Inggeris.

Sebaik loceng berbunyi seperti ayam yang terlepas dari reban setiap pelajar berpusu keluar dari kelas masing-masing. Sama juga dengan Khyrulhydza dan Laili yang sudah bersiap-siap untuk ke perpustakaan.

“Ekhi tunggu!” Eziwan menjerit memanggil Khyrrulhydza yang sudah melangkah menuju ke pintu kelas.

“Ekhi!” sekali lagi Eziwan menjerit. Tapi kali ini semakin kuat laungannya.

Laili mencuit bahu Khyrulhydza. “Pissstt….Ez panggil kau lah, Ekhi.”

Khyrulhydza merengus. Sejak dari hari pertama dia masuk ke sekolah ini lelaki bernama Eziwan tak habis-habis cuba menganggunya. Bukannya dia benci lelaki. Tapi dia amat benci pada lelaki kasanova seperti Eziwan.

Boleh dikatakan semua pelajar perempuan di sini memberinya amaran akan tahap kasanova Eziwan. Sebab itu dia cuba mengelak dari bergaul mesra dengan Eziwan. Biarpun mereka sekarang ini di tingkatan 4, tahun honeymoon kebanyakkan pelajar mengelarnya. Namun bagi Khyrulhydza dalam tempoh 2 tahun inilah dia perlu persiapkan dirinya untuk menghadapi peperiksaan SPM. Peperiksaan yang akan menentukan nasibnya di masa hadapan. Dia bercita-cita untuk menyambung pelajarannya dalam bidang kedoktoran. Bidang yang masih sedikit diceburi oleh bangsa Melayu kalau nak dibandingkan dengan bangsa lain seperti Cina dan India.

“Bukan aku lah,” Khyrulhydza menafikannya.

“Khyrulhydza a.k.a Ekhi!” jerit Eziwan. Kali ini ramai pelajar yang menoleh dan tergelak padanya. Namun Eziwan dengan muka selamba tersenyum bangga.

Jeritan Eziwan itu membuatkan langkah Khyrulhydza dan Laili terhenti sekali lagi. Khyrulhydza menoleh kebelakang dengan perasaan geram.

“Nak apa?” jerit Khyrulhydza dari tempat dia berdiri.

“Sinilah,” lambai Eziwan.

Khyrulhydza merengus geram. ‘Mengada-ngada pulak mamat seekor ni.’ Rungut Nurul Amira dalam hati.

“Kau pergi dululah Laili. Aku nak pergi tengok apa mamat tu nak.”

Laili mengangguk dan melangkah meninggalkan Khyrulhydza. Dengan langkah yang malas Khyrulhydza melangkah menghampiri Eziwan.

“Apa awak nak?” kasar Khyrulhydza bertanya. Dipamerkan wajah dinginnya pada Eziwan.

“Hai…. tak kan pen hilang muka monyok macam lempeng aje,” usik Eziwan sambil tersenyum kecil. Suka dia melihat wajah monyok Khyrulhydza. Comel.

“Suka hati aku lah. Kau nak apa ha?” balas Khyrulhydza sambil memeluk tubuh. Geram pulak Khyrulhydza bila tengok Eziwan asyik tersengih-sengih memandangnya. ‘Apa pakaian yang aku pakai ni ada yang tak kena ke. Asyik tersengih-sengih pandang aku.’ Ngomel Nurul Amria dalam hati lagi.

“Kalau saya dapat cari pen awak yang hilang tu awak nak bagi apa sebagai hadiah?” duga Eziwan dengan senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Cukup suka diusiknya Khyrulhydza. Sehari tak dapat bertegang urat dengan Khyrulhydza serasa tidak lengkap hidup.

Khyrulhydza mendengus geram. ‘Nak main-main pulak mamat seekor ni. Aku bukak silat karang. Terkangkang.’ Sempat lagi dia mengutuk Eziwan di dalam hati.

“Jangan main-mainlah. Kalau sekadar nak mengusik, baik awak simpan aje air liur awak tu. Dahlah. Buang masa aku aje,” Khyrulhydza mula melangkah dengan wajah muram.

“Eh, tunggu!” Eziwan menghalang laluan Khyrulhydza.

“Nak apa lagi?” tanya Khyrulhydza sambil mengetip bibirnya. ‘Masa suruh cakap, tak nak cakap. Ni main halang laluan orang pulak. Ya ALLAH sabarkanlah hati hambaMu ini.’

“Awak tak jawab lagi soalan saya,” semakin galak Eziwan mengusik Khyrulhydza.

“Awak ni…..macam-macamlah. Malaslah nak layan. Kalau nak tolong biar ikhlas,” sindir Khyrulhydza dengan jelingan tajam menusuk mata Eziwan.

“Mana ada benda percuma zaman sekarang ni. Cepatlah cakap apa hadiahnya,” Eziwan masih ingin mengusik Khyrulhydza. Dia suka melihat wajah Khyrulhydza bila marah.

“Malaslah nak layan orang gila macam awak ni,” Khyrulhydza menolak badan Eziwan yang menghalang laluannya. Tak kuasa nak melayan gila Eziwan.

Tapi belum sempat Khyrulhydza melangkah jauh, bahunya di pegang dari belakang. Pantas Khyrulhydza menepisnya. Dia menoleh dengan perasaan marah yang membuak.

“Hoi!. Apa pegang-pegang ni?” jerit Khyrulhydza dengan perasaan marah. Merah mukanya dibasahi api kemarahan. Belum pernah ada lelaki bukan muhrim yang berani memegangnya seperti itu. Eziwan adalah lelaki pertama dan dia memang nak kena penampar.

“Marah ke?” Eziwan tersengih dengan perasaan tidak bersalah.

“Marahlah. Awak siapa nak pegang-pegang,” gerutu Khyrulhydza dengan nada yang geram. Dia cuba mengawal amarahnya.

“Saya adalah sebahagian daripada awak, Ekhi,” ucap Eziwan dekat di telinga Khyrulhydza.

Khyrulhydza menjarakkan dirinya sedikit. Keningnya dikerutkan. Sahlah mamat ni gila. Kenapalah keluarga dia tak hantar ke tanjung rambutan?.

“Awak ni memang gilalah,” gerutu Khyrulhydza. Seraya itu dia mula mengorak langkah.

“Pen merah pen biru, you marah…..” Eziwan menayangkan pen yang di cari oleh Khyrulhydza tadi. Senyuman terukir dibibirnya bila melihat langkah kaki Khyrulhydza terhenti serta mata dia bulat memandangnya. “I love you.” Sebaik menuturnya Eziwan meletakkan pen di atas tapak tangan Khyrulhydza dan mengenyitkan sebelah matanya sebelum berlalu pergi.

Khyrulhydza berdiri kaku seperti di bius. Tak mampu dia mengerakkan anggota badannya bila mendengar kalimah yang diucapkan oleh Eziwan tadi.

“Pen merah pen biru, you marah I love you.” Mulut Khyrulhydza mengulangi kata-kata yang diucapkan oleh Eziwan tadi. Otaknya ligat mentafsir kata-kata Eziwan tadi.

“Biar betul mamat seekor ni. Dia cintakan aku ke?. Atau dia main-main aje.” Khyrulhydza menyoal dirinya sendiri. Lemah lutut Khyrulhydza. Di raih kerusi yang hampir dengannya dan duduk. Terasa nak pitam pun ada tika ini.

“Eh Ekhi!, aku tunggu kau macam orang bodoh. Kau boleh duduk diam kat sini. Kata tadi nak ke perpustakaan. Cepatlah masa rehat dah nak habis dah ni.” Bebel Laili sambil bercekak pinggang.

“Oiii!....Dengar tak?” Laili menepuk lengan Khyrulhydza bila bebelannya tadi tidak mendapat reaksi dari Khyrulhydza.

“Ha?. Apa?” seperti orang yang baru sedar dari koma lagak Khyrulhydza. Matanya terkebil-kebil memandang Laili. Kemudian dia memandang sekeliling macam orang sesat.

“Laaa….kau cari siapa lagi ni?. Aku lah yang cakap dengan kau,” sanggah Laili dengan kerutan didahinya. Apahal dengan kawan aku sorang ni. Hilang ingatan ke?. Laili mengomel dalam hati sambil mengaru pipinya.

“Kau nampak mamat gila tu tak?.”

“Mamat gila?. Siapa mamat gila tu?” soal Laili hairan. Dia tak nampak Khyrulhydza dengan sesiapa tadi.

“Ez?. Kau nampak tak dia?” tanya Khyrulhydza sekali lagi.

“Tadi sebelum keluar adalah dia panggil kau kan?. Tapi masa aku jumpa kau ni…..kau duk termenung sorang-sorang. Apa hal ni?. Peninglah kepala aku ni.” Laili mengaru kepalanya pulak.

“Tak. Memang aku jumpa dengan dia. Tapi…..”

“Tapi apa pulak?. Eh!.....ni kau dah jumpa pen yang kau cari tadi. Mana kau jumpa?” Tiba-tiba mata Laili terpandang pen ditangan Khyrulhydza.

Khyrulhydza memandang arah yang sama. Pen ditangannya direnungnya. ‘Pen merah pen biru, you marah I love you.’ Ayat itu kembali bermain difikiran Khyrulhydza. Berdiri bulu roma Khyrulhydza. Seram sejuk badannya tiba-tiba.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.