Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 44

Alas tidur sudah terdampar dan dia sedang bersiap-siap untuk baring, namun rancangannya terbantut bila terdengarkan deringan telifon bimbit yang menjerit-jerit minta diangkat.

“Assalammualaikum.” tuturnya bila panggilan disambungkan.

“Waalaikumussalam. Adik, abang ni. Adik abang macam mana kat sana? Adik sihat?” soal Razif. Dia sudah mula rindukan adiknya itu. Kalau diikutkan hati, ingin saja dibawa adiknya itu ke Kanada, tapi Dian yang tak merelakan itu semua. Katanya, dia mahu menemani ummi dan masih tak sanggup untuk  meninggalkan ummi sendiri.

“Alhamdulillah sihat. Abang adik macam mana?” soalnya kembali.

“Alhamdulillah sihat. Study macam mana? Bila habis? Adik dah graduate semester ni kan? Final exam start bila?” balasnya mahu mengetahui perkembangan adiknya itu setelah kali terakhir menghubungi Dian beberapa minggu lepas. Terasa lama mereka tak berbicara kerana rindunya sudah mula terasa.

“Hmm, dah sem akhir. Study ok. Final exam dah tak lama, tinggal beberapa minggu lagi.” balasnya segera berbohong. Seandainya mereka bertemu dia pasti abangnya itu akan terkejut, paling menakutkan dia akan dimarahi kerana bertindak menyembunyikan keadaan kesihatannya itu.

“Adik dah makan ke? Makan apa hari ni?”

“Mestilah dah. Sekarang dah dekat pukul 10 malam kat sini. Adik makan nasi paprik, beli kat kedai mak cik Zainab petang tadi. ” balasnya pula. Gembira kerana ada yang mengambil berat keadaannya.

“Adik, abang ada perkara nak cakap dengan adik, tapi kalau abang cakap adik jangan marah.” soalnya masih ragu-ragu.

“Cakaplah dulu apa bendanya, barulah adik tahu nak marah ke tak.” balasnya dengan senyuman yang masih terpamer di bibir.

“Tentang Azeem. Dia ada call abang lagi minggu lepas. Dia tanya tentang adik.” ucap Razif, menerangkan keadaan serentak mematikan senyuman kebahagiaan yang muncul sebentar tadi.

“Dah tu, abang cakap apa pada dia? Abang ada bagitahu Dian kat mana ke?” soal Dian yang mula rasa tak sedap hati mendengarnya. Bertemu dengan lelaki itu tak pernah menjadi harapannya. Cukuplah pengalaman silamnya dulu, dia sudah tak mahu melibatkan diri lagi dalam permainan yang sengaja dicipta.

“Tak lah, abang tak bagitahu dia apa-apa. Abang cuma cakap yang abang tak tahu adik kat mana. Kan abang dah janji dengan adik, takkanlah abang mungkir janji.” tuturnya meyakinkan sambil Dian rasa lega mendengarnya.

“Dia ada cerita tentang Sofia. Adik tak nak balik jenguk Sofia? Azeem kata Sofia dah besar sekarang, dah pandai berjalan, dah mula bercakap. Seronok sangat Azeem bercerita, abang pun gembira bila tahu anak saudara abang tu dah makin besar. Betul ke adik masih tak nak balik? Adik masih marahkan dia?” soalnya pula. Dia turut simpati pada sahabatnya itu, tapi dia sudah berjanji dengan Dian untuk menyimpan rahsia.

Dian terdiam. Dia sendiri tak pasti tentang perasaan sendiri. Marah? Itu mungkin perasaan yang dirasakan lama dulu. Memang dia pernah menyalahkan Abang Azeem tentang apa yang terjadi, namun setelah difikirkan semula, dia akur pada aturan kerana setiap satu yang berlaku adalah atas kehendakNya.

Mungkin sukar untuk dia melafaskan, tapi dia seharusnya mengucapkan terima kasih pada Aida dan Abang Azeem yang telah membiayai kos perubatan ummi dan disebabkan itu jugalah dia mendapat peluang untuk berbakti pada ummi. Lebih daripada itu, dia bersyukur kerana ummi turut berpeluang untuk bertemu dengan Abang Razif malah layanan yang diterima ummi sepanjang rawatan di hospital tersebut melebihi jangkauan.

“Adik?” soal Razif bila Dian lama mambisu.

“Dah lama adik maafkan dia. Tapi kalau boleh, adik tak nak ada apa-apa dah dengan dia. Cukuplah tu. Adik lebih selesa hidup macam ni. Tentang Sofia, adik yakin mereka dapat jaga Sofia dengan baik, malah mungkin lebih baik daripada adik.”  

“Adik kan ada abang. Abang boleh jaga adik kan? Ke abang dah bosan nak jaga adik sebenarnya?” soalnya pula, segera mahu mengubah arah perbualan.

“Adik ni, kenapa cakap macam tu? Adiklah satu-satunya saudara yang abang ada. Takkanlah abang boleh bosan, kalau ada ramai tu lainlah. Tapi abang tengok, adik tu yang macam dah bosan dengan abang. Adik abang ni yang dah banyak berubah rasanya.” tutur Razif pula.

“Bilanya adik berubah?” balas Dian tak puas hati.

“Mana taknya, setiap kali abang nak balik, adik kata tak payah. Adik yang tak nak jumpa dengan abang kan sebenarnya? Tak boleh jadi, oleh sebab itu abang dah apply cuti seminggu dan akan fly ke KL selasa depan. Adik dah tak boleh nak mengelak dah.” terang Razif memberitahu perancangannya untuk bertemu. Dian terkejut mendengarnya kerana dia masih belum bersedia dilihat dalam keadaan begitu.

“Abang ni, kenapa tak cakap awal-awal. Pihak fakulti buat trip ke Kedah minggu depan. Dah tu macam mana?” balas Dian segera mencari alasan. Razif terdiam mendengarnya kerana tak menyangka rancangannya untuk bertemu Dian bakal tergendala.

“Kalau abang balik pun, bukannya kita boleh jumpa sebab trip tu seminggu.” tambahnya lagi untuk meyakinkan Razif. Dia tak sanggup melihat abangnya itu kecewa, tapi nak buat macam mana semuanya dah terjadi. Dia dah buta dan tak dapat melihat lagi. Adakah abangnya itu akan memarahinya? Kepalanya berserabut untuk mencari jalan yang terbaik bagi menjelaskan segala-gala kepada abangnya itu bila mereka bertemu nanti.

“Memang tak ada rezeki lagilah agaknya abang nak jumpa dengan adik. Abang dah nak kena mula projek baru. Bila dah start makin busylah jadinya. Betul Dian ok kat sana? Duit yang abang kirim bulan-bulan tu cukup tak? Kalau tak cukup nanti abang masukkan lagi.” tuturnya mahu membantu adiknya itu, tak mahu Dian kekurangan wang perbelanjaan.

“Abang takpa sebab itupun dah lebih sangat dah tu. Abang tak payahlah risaukan tentang hal adik kat sini. Adik ok, lagipun Mak Andak sekeluarga ada untuk tengok-tengokkan adik. Abang tu jaga diri, bila buat kerja kat site jangan lupa utamakan keselamatan. Jangan main redah je.” balasnya mengingatkan kerana kawasan pembinaan penuh dengan risiko kemalangan yang sukar untuk dijangkakan. Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan agar risiko yang berlaku tidak terlalu memudaratkan.

“Baiklah, abang akan ingat pesan adik abang. Oklah, kalau adik ok kat sana, abangpun ok kat sini, tapi ingat, kalau ada apa-apa call abang, nanti abang balik. Sibuk macam manapun mesti abang balik. Adik jaga diri. Sambil-sambil tu, adik fikirkanlah tentang apa yang abang cakap tadi.”

“Tentang Sofia terutamanya. Kesian anak saudara abang tu. Abang tak paksa, tapi manalah tahu nanti adik dah terbuka hati untuk balik dan nak jumpa dengan dia.”

“Ingat, kalau ada hal kecemasan cepat-cepat call abang. Abang tak nak adik tanggung sorang-sorang. Adik masih ada abang dan abang tak nak tengok adik sedih. Ingat tu. Assalammualaikum.” tutur Razif menamatkan perbualan. Dia tak mahu lagi melihat Dian sengsara kerana sudah banyak dugaan yang menimpa mereka. Doa dan harapan tak pernah lupa untuk dipanjatkan pada yang Esa agar hidup adik mendapat rahmat dariNya, sentiasa.

“Waalaikumussalam…” jawap Dian, menghargai keperihatinan yang diberikan. Setiap bulan abangnya itu telah mengirimkan wang belanja ke dalam akaunnya. Namun sehingga kini, hanya sebahagian kecil yang digunakan, itupun sewaktu dia tak mempunyai pekerjaan. Sejak dia bekerja dia tak pernah membelanjakannya lagi kerana dia sudah cukup dengan hasil daripada apa yang diusahakannya sendiri.

Tiba-tiba dia teringatkan pesanan abangnya sebentar tadi. Serentak ingatannya pada Sofia mencengkam di jiwa. Beratnya terasa didada setiap kali memikirkan anak kecilnya itu sebelum dia jadi rindukan Sofia semula. Keinginan untuk mendakap dan mengucup wajahnya sungguh mendera. Cuma mereka yang pernah melahirkan dapat merasainya, perasaan kerinduan yang menyesakkan dan hanya akan terubat bila dipertemukan.

Harapan yang mula menguntum punah tadkala teringatkan nasib diri yang kini sudah tak sempurna. Hatinya dipenuhi kehibaan. Sudah tak banyak yang dia boleh lakukan untuk membahagiakan anaknya itu kerana dia sendiri perlukan bantuan dalam melakukan pekerjaan. Dia pasrah akhirnya, serentak air mata yang bergenangan pantas diseka dengan tangan.

“Kau boleh Dian, kau boleh…sebab macam manapun, kau tetap kena boleh!” bisiknya pasti untuk menempa hati.

Azeem yang masih berada di atas tangga tetap setia menemani Dian dengan senyuman. Biarpun hanya dapat mendekati Dian dengan cara itu, dia tetap bahagia dan gembira sebelum kesedihan yang ditunjukkan Dian siang tadi muncul kembali mematikan senyuman yang baru terukir sebentar tadi. Nyanyianya yang sayu membuatkan hati turut merasa pilu. Rayuan Dian pada ummi sangat menyentuh perasaan sampai dia sendiri turut berasa tak tertahan.

Ummi, anugerah terindah pemberian llahi, hadiah bagi seorang anak yang mampu untuk mengerti dan permulaan kehidupan insan di dunia ini. Hadirnya bak wangian kasturi, memenuhi segenap ruang hati dan kehilangannya bisa membuatkan diri berasa terasing lagi sepi.

“Ya-Allah…berkatilah ummi. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hambamu yang bertaqwa.” bisiknya sambil menadah kedua-dua belah tangan sebelum meraupkannya ke muka.

Cahaya lampu yang berganti gelita menarik perhatiannya. Dia pasti Dian sudah sedia untuk melelapkan mata sama separti biasa. Serentak kakinya melangkah merapati pintu bilik tersebut sebelum menyentuhnya lembut.

“Dian, maafkan Abang Azeem ya. Abang yang salah. Abang berdosa pada Dian. Tolonglah bagi abang peluang untuk betulkan semuanya.” tuturnya perlahan.

“Abang sayang Dian. Abang betul-betul sayangkan Dian dan abang akan sentiasa sayang Dian…untuk selama-lamanya.” bisik Azeem lagi. Perlahan sehingga hanya dapat didengari oleh dirinya sendiri.

Previous: Bab 43b
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.