Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 50

Pagi yang lebih ceria berbanding biasa. Azeem bertambah gembira kerana dia semakin berjaya merapatkan jarak diantara mereka. Walaupun dipisahkan dengan selapis dinding konkrit, namun hatinya tetap bahagia. Sudah hampir seminggu dia berpindah ke situ. Bilik yang dulunya menjadi ruang untuk menyimpan barang, kini dengan sedikit sentuhan tambahan telah menjadi tempat penginapannya.

Dia sendiri tak tahu selama mana lagi dia harus menyembunyikan diri seperti itu. Pejam celik, pejam celik dah hampir sebulan dia berkampung di situ, menemani isteri yang tercinta, tanpa Dian sendiri mengetahuinya. Hatinya mula terasa rindu untuk mendakap dan mengucup buah hati kecilnya itu. Tak puas hanya mendengar suaranya dan untuk itu, dia sudah berkira-kira mahu pulang hari ini untuk mengubat rindu pada Sofia pula.

 

“Abang nak makan apa hari ni?” soal Udin yang baru datang menghampiri.

“Hari ni abang nak makan nasi berlauk ayam. Sambal tu Udin beri banyak sikit boleh.” tuturnya membuat pesanan.

“Mestilah boleh, sesenduk ke?” balas Udin yang sudah mula selesa dengan kehadiran Azeem di situ. Lebih dihargai, bantuan yang diberikan. Tak dapat rasanya mahu membalas jasa baik suami Kak Dian itu.

“Janganlah sampai sesenduk, sakit perut abang nanti.” balasnya terkejut, biarpun sedap tapi hadnya tetap perlu dijaga.

“Udin sengaja je nak test. Takpalah abang tunggu kejap, Udin siapkan.” balasnya sambil ketawa. Azeem membalas dengan anggukan sambil turut sama tersenyum setelah sedar Udin sengaja mahu mengujinya.

Selesai bersarapan Azeem menelaah surat khabar yang disediakan di atas meja. Dia mula selesa hidup begitu, tanpa tekanan dan tak terikat dengan jadual kerana selama ini harinya sentiasa dipenuhi dengan urusan kerja yang sentiasa perlukan pengawasan dan ketepatan. Mungkin inilah masa terbaik yang ada untuknya merehatkan diri.

Walaupun begitu, perasaan bersalah itu pernah juga terlintas di fikirannya kerana terpaksa menyerahkan kembali tugas mentadbir syarikat pada opah yang sepatutnya sudah bersara saat ini, tapi dia perlukan sedikit masa saja lagi untuk menyusun semua. Dia perlu mengetahui keadaan kesihatan Dian yang sebenar terlebih dahulu sebelum dia dapat menoktahkan segalanya.

“Abang abang, Kak Dian dah sampai tu.” bisik Udin pada Azeem tak berapa lama kemudian. Senyumannya berputik tadkala terpandangkan wajah isteri yang sentiasa dirindui.

“Ha, sukalah tu? Apalah abang ni, tengok jauh-jauh berani, bila dah dekat lari.” tambah Udin mengejek.

“Shh, janganlah kuat sangat, nanti dia dengar.” balas Azeem berbisik. Takut Dian mengesan kehadirannya di situ. Biarpun hanya dapat melihat dari jauh, hatinya tetap berbunga bahagia.

Melihat pengorbanan Abang Azeem, Udin mengakui lelaki yang berada di hadapannya itu adalah seorang yang baik. Kak Dian memang bertuah memiliki suami seperti itu. Dalam hati dia berdoa agar keduanya menjumpai jalan keluar, mungkin bukan sekarang, tapi satu masa nanti.

 

Dian mengorak langkah menuju ke pusat urutan dengan perasaan yang bercampur baur. Perkara yang berlaku di kedai runcit, dan di kedai Mak Nab, kedai masakan panas yang sentiasa dikunjunginya itu masih tak dapat dilupakan. Dia mula rasa dirinya seperti diekori. Segala yang berlaku asalnya dilihat hanya seperti kebetulan, tapi kini dirasakan sebaliknya.

“Betul ke semuanya hanya kebetulan? Atau memang ada orang yang sedang ikut kau Dian?” bisiknya sendiri. Serentak dia memalingkan wajahnya ke arah belakang untuk memeriksa keadaan. Azeem yang diserang secara mengejut turut berkelakuan sama. Berderau darah bila diserkap begitu, sebelum dia tersedar Dian takkan dapat melihatnya.

Suasana yang sunyi sepi meyakinkan hati bahawa tiada siapa yang mengekori, cuma dia yang terlalu memikirkannya sendiri.

“Tapi siapalah hamba Allah yang yang baik hati tu kan?” soalnya pada diri kerana dia mula mengagumi kemurahan hati insan ringan tangan berkenaan.

 

“Dian nak order apa hari ni?” soal Mak Nab pada Dian yang baru sampai.

“Hari ni, Dian rasa macam nak makan sup. Mak Nab bagi Dian satu bihun sup jelah.” balasnya.

“Ok, Dian tunggu sekejap, Mak Nab sediakan. Nak bungkus ke nak makan?” soalnya pula.

“Bungkus, makan kat rumahlah, senang sikit.” balasnya. Aroma sup yang menusuk ke hidung rasa menyelerakan dan mampu menarik minat sesiapa yang ada berdekatan.

“Airnya?” soal Mak Zainab lagi.

“Air tak nak. Dian beli makanan je hari ni.” tuturnya sebelum duduk di kerusi yang disediakan.

“Li, horlick ais satu, bungkus ya.” jeritnya pada Ali pekerja yang bertugas untuk menyediakan air di kaunter belakang.

Sambil menunggu dia berzikir di dalam hati. Memuji-muji kebesaran zat yang maha esa, pencipta terulung yang menjadikan segala yang ada di dunia, pentadbir kedua-duanya baik bumi mahupun angkasa. Dia tak rela kegelapan turut meresap ke jiwa. Memadailah kegelapan itu hanya merajai di mata namun tidak hatinya.

Dia ingat lagi pesan ummi, kata ummi, zikir dapat menenangkan hati dan dengan hati yang tenang, segala urusan pasti akan ditunjukkan jalannya, kerana Allah sayang pada umat yang sentiasa mengingatiNya ketika dalam keadaan berdiri mahupun duduk serta berbaring. Dia bukan saja percaya, malah sangat yakin padanya sebab ummi bukan pembohong, apatah lagi Allah dan Rasulullah.

“Dah siap dah ni.” tutur Mak Nab selesai dia menyediakan pesanan yang diminta.

“Wah, cepatnya Mak Nab. Patutlah orang kat sini panggil Mak Nab turbo, pantas macam enjin turbo. Baru je pejam, tak sempat pun nak bukak mata lagi dah siap. Terbaik.” tuturnya memuji sambil menaikkan ibu jari sebelum tersenyum suka hati.

“Hish Dian ni. Perli Mak Nab lah tu ya?” balas Mak Nab pula sambil turut sama ketawa.

“Bukan perli, puji. Betullah, kan semua orang kat sini panggil Mak Nab macam tu, daripada dulu lagi kan?” balasnya dengan sisa tawa.

“Mak Nab, ni duitnya. Betulkan lima ringgit tu?” tuturnya sambil menghulurkan wang di tangan.

“Dian, tak payah, tak payah. Mulai hari ni, apa yang Dian makan, semuanya percuma. Ada orang yang dah bayarkan.”

“Kejap, kejap. Kenapa pulak macam tu Mak Nab? Siapa pulak yang bayarkan?” tuturnya sedikit tak puas hati. Kejadian di kedai Uncle Ah Sing tadi menjelma semula, keadaan yang sama, bilnya telah dilangsaikan tanpa dia mengetahui siapa si empunya badan.

“Haritu, ada seorang hamba Allah ni datang. Dia tanya boleh tak kalau dia nak beri sumbangan makanan pada golongan yang memerlukan kat sini. Mak Nab sendiripun tak kenal siapa orangnya. Daripada gayanya nampak macam orang senang. Dia nak buat amal katanya. Sekarang kan banyak orang dah mulakan kongsi rezeki dengan cara macam ni, terus sampai pada mereka yang memerlukan. Sebagai permulaan dia dah modalkan 100 kupon makanan percuma untuk diagih-agihkan.” terangnya bersungguh-sungguh.

“Tapi kenapa mesti Dian?” soal Dian, mula tak senang hati.

“Kenapa? Dian tak suka? Dian tolonglah Mak Nab. Dah tak ada siapa lagi dah yang Mak Nab dapat fikirkan. Dian terimalah ya. Risau jugak Mak Nab bila tak tahu nak agihkan pada siapa, sebab ini amanah orang. Duitnya pun Mak Nab dah pakai buat modal.” tuturnya meminta bantuan, tapi Dian masih teragak-agak untuk menerimanya serentak jarinya mula menggaru-garu tapak tangan yang terasa gatal.

“Dian terimalah ya, ya.” pujuk Mak Nab lagi. Dia tak mahu menanggung beban nanti. Hutang amanah yang sedang digalas perlu segera dilangsaikan kerana dia tak nak rasa terbeban.

“Ok lah kalau Mak Nab dah cakap macam tu. Hari ni Dian terima, tapi nanti-nanti biarlah Dian bayar sendiri.” jawapnya mengaku kalah biarpun susah. Serentak Mak Nab menghulurkan beg plastik yang masih tergantung di tangannya.

“Jangan la cakap macam ni. Nanti siapa yang nak tolong Mak Nab habiskan kupon tu?” balasnya yang sudah mula kalut.

“Dian tak payahlah risau. Anggap je macam makanan yang kita bawa balik dari masjid, sebab ada orang agihkan untuk buat kebaikan. Dian tolonglah Mak Nab. Dah berapa hari, tapi Mak Nab baru jumpa beberapa orang, entah bilalah baru dapat dihabiskan. Dian tak kesian ke kat Mak Nab?” tuturnya memujuk. Jika Dian sanggup mudahlah kerjanya nanti, lebih cepatlah kupon itu dapat diselesaikan.

“Tapi siapa lelaki tu sebenarnya? Mak Nab tahu tak, baru sekejap tadi, masa Dian beli barang kat kedai Uncle Ah Sing, ada orang yang tolong bayarkan barang untuk Dian. Ke sebenarnya dia orang yang sama?” soal Dian yang sudah mula tak senang hati kerana dia rasa seperti diekori.

“Betul ke Dian? Siapa dia?” soal Mak Nab pula yang turut sama bimbang. Bimbang sesuatu yang tak diingini berlaku pada anak kawan rapatnya itu, lagipun Dian tinggal sendiri. Dia mula takut sesuatu yang buruk terjadi.

“Mak Nab ni, Dian kan tak nampak. Macam mana Dian nak tahu, tapi uncle cakap macam bukan orang kat sini. Dia tinggalkan duit untuk bayar barang Dian, lepastu dia pergi macam tu je.” terang Dian lagi.

“Agaknya dia saja nak tolong tak? Bukan semua orang jahat, masih ada lagi yang baik hatinya. Dian tengok sendiri, sama macam orang yang bagi kupon ni, muda-muda lagi dah ringan tangan membantu orang lain.” tuturnya pula, tak mahu terlalu membesar-besarkan anggapan buruknya sebentar tadi. Serentak dia keluar dan meninjau keadaan sebelum lega kerana tiada siapa yang dilihat sedang mengekori Dian.

“Dian janganlah risau, tak ada apa-apalah tu. Ni Mak Nab dah bungkuskan sekali air kegemaran Dian, horlick ais. Satu set dengan makanan tu. Esok jangan tak datang. Manalah tahu Dian sengaja nak mengelak nanti.” tuturnya lagi sebelum menyangkutkan air tersebut ke jari Dian.

“Ok…” balasnya perlahan. Walaupun tak biasa, tapi dia tetap menerimanya kerana kata-kata Mak Nab sebentar tadi ada juga benarnya. Angap sajalah itu rezeki dari Allah, bisiknya di dalam hati supaya dia tak terlalu memikirkannya lagi.

“Tapi, kalau Dian tak datang, Mak Nab jangan marah ya.” tambahnya pula.

“Budak ni, kalau Dian tak datang, biar Mak Nab yang pergi sana nanti.” balasnya pula.

“Jangan jangan jangan. Dian gurau je lah. InsyaAllah, esok Dian singgah. Kat kawasan kita, mana ada kedai yang boleh lawan dengan kedai Mak Nab ni. Takpalah kalau macam tu Dian balik dulu. Terima kasih untuk makanan ni. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berangkat pulang, setelah menyedari apa yang dicari semuanya telah diperolehi.

“Waalaikumussalam. Jalan tu elok-elok.” pesannya pula mengingatkan, sambil berdoa agar urusan Dian dilancarkan.

 

Pagi ini dia sampai agak awal daripada kebiasaannya. Kak Ira dan Abang Saiful masih belum tiba dan itu bermakna pusat urutan juga masih belum dibuka. Sambil menunggu dia didatangi Zurina, adik Kak Ira yang sedang mendukung anak kecilnya Didi.

“Assalammualaikum…” sapanya pada Dian.

“Waalaikumussalam, Kak Zu ke tu?” soalnya pula.

“Hmm, Kak Zu ni. La, tak buka lagi ke? Akak ingat dah buka tadi.” tutur Zurina keresahan.

“Sekejap-sekejap lagi sampailah tu. Kenapa? Akak nak kena cepat ke?” soalnya pula.

“Memang nak kena cepat, inipun dah kira lambat. Dian tolong akak boleh? Tolong tengokkan Didi. Tak ada siapa nak jaga dia hari ni, pengasuh dia ada hal lain, nak hantar anak daftar masuk universiti.”

“Akak dah call Kak Ira, dia suruh tinggalkan Didi kat sini, tapi daripada tadi akak tunggu kat dalam kereta, tetap tak sampai-sampai juga. Boleh Dian tolong akak?” tuturnya mengharap.

“Boleh. Kalau akak percayakan Dian, insyaAllah, Dian boleh jaga dia. Akak pergilah, kata nak cepat tadi. Sekejap lagi sampailah Kak Ira tu.” balasnya sebelum memangku Didi yang sudah agak rapat dengannya itu.

“Terima kasih Dian, terima kasih sangat-sangat sebab tolong akak. Akak pergi dulu ya, assalammualaikum.” tuturnya sebelum melangkah semula ke kereta kerana masih ada urusan yang menantinya.

Kehangatan tubuh Didi yang berada di dalam pelukan pantas mengingatkannya pada Sofia, serentak matanya mula terasa panas. Diusap-usap lembut kepala Didi sebelum satu kucupan dihadiahkan ke dahinya, menghargai penciptaan llahi, anak yang dikasihi.

 

Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.