Home Novel Cinta Cik Skuter Asap Putih
Cik Skuter Asap Putih
Mastura Abdullah
4/12/2014 16:39:17
37,113
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

3

POKOK mempelam yang berdiri megah di hadapannya bagai memberi idea segar, lalu dia mendongak ke atas. Memerhati dahan mana yang boleh dipijak untuk membawanya lebih tinggi.

“Situ dan situ, sampai sana. Okay, cun!” Dia mengatur rencana, separuh berbisik.

“Kalau ada angsa terbang, aku tumpang dah...yang ada pokok mempelam ni aje. Apa kata kau tolong pegang beg aku ni.”

Yun buat-buat tanya sebelum menyerahkan beg galasnya kepada Aishah yang terpinga-pinga menyambutnya.

“Kau nak buat apa pulak tu?”

Yun tidak menjawab sebaliknya dia sibuk mengalung tali kamera ke leher. Dengan lafaz Bismillah, dia menguji kekuatan diri. Alah, setakat pokok mempelam ni. Aku boleh panjat kejap aje ni. Jangan ada semut tonggek cukuplah! Yun berbicara sendiri. Pap! Terasa punggungnya ditepuk seseorang.

“Oi! Turunlah, takkan nak ambil gambar sampai nak memanjat kut.”

“Shhhh...kau ni Shah. Banyak cakaplah! Cover aku boleh tak?”

Balas Yun, marah. Kurang asam punya member! Banyak-banyak tempat lain, situ jugak ditepuknya! Dia kembali mendongak ke atas, mengangkat kaki seberapa tinggi yang boleh. Hujung kaki kanan memijak dahan pertama lalu badannya dibawa naik lebih tinggi ke atas.

“Yun, kau okay tak?”

“Okay! Jangan banyak tanya, aku tengah fokus ni.”

Balas Yun, memberi amaran. Dia wanita berdikari dan tidak gemar dirinya diambil peduli begitu. Dia rimas. Dan untuk tugasan itu, dia sudah fikirkan risiko memanjat pokok mempelam, demi mendapatkan kesan khas yang berkesan. Err? Betul ke? Ah, iyakan aje! Dah sampai ke atas pun. Katanya sendiri sambil memegang dahan pokok di bahagian atas kepalanya. Dia melangkah berhati-hati namun suara Aishah yang penuh azimat berduri sekejap-sekejap menyuruhnya berhati-hati, memaksanya memandang ke bawah.

“Kau ni kan...hisy! Jangan banyak sangat cakap boleh tak! Kau nak kantoi ke?”

“Aku ni bimbangkan kau. Turunlah! Kau nak sangat maklumat, biar aku aje yang masuk ke dalam.” Bebel Aishah sambil bercekak pinggang. Seram pula melihat Yun berdiri di atas dahan kecil itu. Dahan yang kecil itu terus meliut ke bawah bila Yun memijaknya. Kalau jatuh? Aduh! Dia boleh bayang nangka busuk jatuh gedebuk.

“Tadi kau kata kau tak nak masuk, kan?”

“Tu tadi...”

“Tak payah masuklah, bahaya. Cukup kat sini aje. Lepas ambil gambar, aku turunlah.”

Yun memberi jaminan. Dari atas pokok itu, dia dapat melihat suasana di sebalik tembok tinggi yang mengelilingi sebuah banglo mewah itu. Halamannya tenang sahaja, bagai tiada apa yang berlaku namun apa pula yang berlaku di dalam rumah tersebut? Maklumat yang diterima dari temannya mengatakan bahawa banglo mewah itu merupakan kilang dadah. Dan kilang itu telah beroperasi selama dua tahun tanpa pengetahuan sesiapa.

“Yun...”

“Eeee..sibuklah kau ni!”

“Kau ada nampak apa-apa ke?”

Yun tidak menjawab. Hanya tangan kanannya sahaja yang digoyang ke kiri dan kanan tanda tiada apa yang menarik perhatian.

“Kalau tak ada apa, turunlah!”

“Sibuknyaaaaaaa. Kejap lagi aku turunlah.”

Jawabnya Yun, bengang. Suaranya mula tegang bila Aishah tak habis-habis dengan idea penakutnya. Yun kembali menghantar perhatiannya ke kawasan banglo tersebut. Tangannya juga tak kurang sibuk menghidupkan kuasa kamera lalu menalanya ke arah banglo itu. Dia melaras kamera, cuba untuk melihat dengan lebih dekat namun terasa kakinya bagai digigit sesuatu.

“Aduh!”

Yun menjerit kecil lalu menyelak kaki seluar. Dia menjentik seekor semut tonggek yang sudah memanjat sehingga ke betis.

“Kenapa Yun? Semut ke?”

“Emm.” Dia mencari pula kawasan laluan semut-semut itu. Kemudian, dia melihat beratus-ratus ekor semut sedang berkawad di atas dahan yang sama dengannya,bagai memberi amaran yang dia akan diserang bila-bila masa kerana mengganggu keamanan dahan pokok itu. Yun sempat mengambil gambar barisan tentera semut tonggek itu sebelum bergegas turun dari pokok mempelam itu.

"Jangan cari pasal. Karang tak pasal-pasal!" Sempat dia membebel sendiri sebelum tergesa-gesa melompat ke bawah.

"Ouchh! Aduh duh!"


“ADOI! Pelan sikit boleh tak?”

Rungut Yun, menahan sakit bila pergelangan kakinya disentuh Aishah. Sentuh yang menyakitkan pulak tu. Nasib baik Aishah itu kawan yang baik dan cakna, kalau tidak, pasti aku dah sepak sampai melekat kat dinding tu!

“Degil sangat! Padan muka!” Balas Aishah lalu dengan sengajanya menepuk pergelangan kaki Yun yang sedia sakit. Apa lagi, berdesing telinganya dengan jeritan nyaring Yun. Keh keh keh! Degil sangat!

“Kalau nak menyakitkan aku, baik tak payah tolong!”

“Aku buat sendiri aje.”

Tokok Yun lagi, cuba memicit kakinya. Aishah gelihati melihat gelagat Yun yang sedang terkial-kial hendak memicit kakinya sendiri.

“Kau ni...kalau aku boleh ibarat, macam bara. Pantang cuit, terus keluar api.”

“Mestilah! Terutamanya dengan kau.”

“Eleh, bukan dengan aku aje. Dengan semua orang pun.” Sengat Aishah, sengaja menambah sakit di hati Yun namun teman seperjuangannya hanya tersengih-sengih. Sambil tersengih, Yun gigih juga mencapai pergelangan kakinya.

“Hemm...budak nakal jatuh pokok. Mari sini aku tolong, terkial-kial dari tadi. Menyampah pulak aku tengok semangat tak putus asa kau ni Yun.”

“Asal kau jangan tekan kuat-kuat, cukuplah! Sakit!”

Yun mengalah juga akhirnya. Aishah lebih jaguh perihal mengurut orang. Sekali dia cekau urat Yun, terpekik terlolonglah jawabnya. Itu yang Yun paling tak tahan. Kekuatan jari jemari Aishah sama seperti kekuatan tangan seorang lelaki dewasa.

“Aku tak nampak apa tadi.”

“Maksud kau?” Tanya Aishah sambil mengangkat muka.

“Nak tahu sahih atau tidak, penyamaran aje jalannya.”

“Kau ada idea?”

Tanya Aishah, meminta pendapat temannya. Yun mencebik sambil menggeleng. Dalam masa yang sama, dia mengerah juga mindanya mencari jalan yang difikirkan sesuai untuk masuk ke dalam banglo mewah itu.

“Jadi security lah!” Cadang Aishah sambil memetik jari. Yun terus menggeleng. Dia tidak mahu penyamaran mereka melibatkan banyak pihak. Jika ia hanya melibatkan diri mereka sahaja, dia boleh juga bersetuju.

“Kenapa pulak? Securitymesti boleh akses masuk ke dalam rumah. Siapa nak syak security?”

“Rumitlah Shah, nak melibatkan pihak ketiga pulak. Lainlah kalau kita ni memang berkerja sebagai pegawai penyiasat. Setakat kita, press ni...Tak nak lah aku. Karang jadi isu pulak.”

“Habis tu? Nak menyamar jadi orang gaji?”

“Oi, kau nak memasak pulak ke? Banyaknya masa yang kita ada ya? Lagi lama kita kat sana, lagi tinggi risiko penyamaran kita terdedah.”

Terang Yun lagi. Setakat ini, sudah dua idea Aishah ditolak bulat-bulat. Dia tidak mahu penyamaran mereka kelak mengundang padah.

“Apa kata kalau aku buat-buat berminat nak beli banglo dia?”

“Kau nak beli banglo dia? Aku rasa dia sekeh aje kepala kau Shah.”

“Eee...cerewetnya kau ni! Malaslah aku fikir.”

Komen Aishah. Dia menarik hujung kaki Yun dengan kuat lalu bangun menuju ke arah dapur.

“Kasar jugak Minah ni.” Komen Yun dari jauh. Aishah senyum kecil. Dia mencuci tangan dan bekas minyak sebelum kembali kepada Yun apabila mindanya sempat merencana sesuatu. Barangkali idea ini lebih bernas untuk dilaksanakan berbanding idea-idea sebelumnya.

“Tersengih-sengih ni. Ada idea bernaslah tu.”

“Kita ke sana sebagai wartawan nak? Tapi sebagai wartawan majalah.”

“Aku kurang jelas.” Akui Yun dengan kening yang keruh. Gila ke apa nak mengaku wartawan? Karang tak pasal, dia sumbat aku dalam penjara bawah tanah pulak.

Interview aje dia...konon-kononnya nak ambil gambar hiasan dalaman rumahnya untuk dimuatkan dalam akhbar. Kalau buat gitu, senang sikit nak masuk ke dalam rumah.”

“Kau ni Shah...bagilah idea-“ Yun meninggikan suaranya dengan sengaja.

Kali ini dia sangat bersetuju dengan Aishah tapi sengaja hendak mendera perasaan sahabatnya. Wajah Aishah telah berubah seperti yang dijangka. Aishah nampak tidak berpuas hati apabila idea yang dirasakan paling bernas ditolak lagi oleh Yun.

“Kalau gitu, kau cari sendiri!”

“Cari sendiri apa? Aku tak habis lagi...Nak tarik nafas kejap. Aku nak cakap...bagilah idea yang bernas macam ni dari tadi. He he he.”

“Yun!!!!!!!!!!!!!!!!!”


YUN hanya memekakkan telinga ketika Wan sibuk bertanya tentang keadaan kakinya kepada Aishah. Dia malas betul hendak mengulang siaran jawapan. Mula-mula tadi, dia sudah menjawab dengan Mak Guard Siti. Kemudian, dia terserempak dengan Atan di lobi dan menjawab lagi tentang keadaan kakinya yang masih terhincut-hincut. Ketika terkial-kial mendaki tangga, Puan Jannah pula sibuk bertanya soalan yang sama. Bila jumpa Shauki di balik pintu, dia menjawab lagi perihal kaki hincut dan sekarang giliran Wan pula bertanya hal yang sama, memang Yun malas nak membalas. Cik Bagi Pihak sudah tolong jawab.

“Cuailah kau ni Yun.”

Wan menyimpul sesuka hati. Yun berhenti menaip artikel sebelum dengan sengaja melempar pandangan tajam ke arah teman seperjuangan yang bernama Wan Faiz. Dia hanya ingin menyampaikan satu perkara sahaja kepada Wan.

“Kau ganti aku malam ni, boleh? Operasi Cegah Maksiat...sambil mencuci mata.”

Tanya Yun, sambil mengusik di hujungnya. Namun, kegelisahan wajah Wan bagai memberi jawapan.

“Err...malam ni aku ada hal lah Yun.”

“Emmm...Tahu dah. Kalau tak ada hal pun kau buat-buat ada hal. Tak apa, aku faham. Macam inilah kawan, masa susah carikk, masa senang larikk.”

Balas Yun, sengaja menekan suaranya. Biar Wan tahu persepi Yun terhadap dirinya. Biar dia tahu yang dirinya tidak boleh diharap sebagai kawan. Tapi tahukah dia? Atau barangkali buat-buat tidak tahu?

“Ala Yun...aku bukan tak nak tolong kau.”

“Tapi kau memang tak nak tolong aku pun.” Bedil Yun, tidak menunggu lama.

Dia kenal Wan bukan sebulan dua. Sebab itu dia berani berkata begitu. Dan biarlah dia berkata benar. Kerana dia tidak akan menyimpan hal itu sehingga membusuk di dalam hati.

Wan berpatah balik lalu berdiri di sebelah mejanya. Kata-kata Yun bagai memberi satu label negatif buat dirinya. Yun berhenti menaip apabila skrin komputernya dihadang seseorang.

“Jangan kacau aku, boleh tak? Aku tengah taip artikel ni.”

“Yun...teruk sangat ke aku ni?”

“Sila tepuk dada dan tanya hati sendiri.” Jawab Yun lalu mencapai stapler dengan cepat.

“Tepilah, karang aku tembak dengan stapler. Kau nak rasa?”

Soal Yun keras. Dia sempat menjeling Wan yang masih setia menanti jawapannya. Namun, bila diacah begitu, Wan akur lalu kembali ke tempatnya.

“Itulah kau, Wan. Berkira sangat nak tolong kawan. Kan dah kena marah!”

Aishah yang tidak mahu menyampuk pada mulanya berbunyi juga. Dia tidak dapat menahan hati kerana sangat bersetuju dengan Yun. Wan selalu mengelak jika teman sejawatan meminta bantuan.

“Bukan aku tak nak tolong. Dah memang aku ada hal malam ni.” Tingkah Wan, masih berusaha mempertahankan dirinya.

“Okay. Aku dengar! Dua kali dah kau ulang. Lain kali jangan banyak komen pasal orang. Cuailah, apalah! Kalau rasa belum bersedia untuk ditembak mati, kunci mulut rapat-rapat. Nganga setengah inci pun tak boleh.” Bidas Yun sepuas hati. Wan di hujung sana terus tidak membalas. Sama ada berasa hati atau tidak mahu menambah ketegangan yang dicipta sendiri.

“Aku boleh ganti kau malam ni.” Cadang Aishah, cuba mengembalikan keharmonian Unit Jenayah.

“Tak boleh. Saya ada tugasan baru untuk awak malam ni.” Puan Jannah yang baru muncul di kalangan mereka membuka cerita. Aishah terkedu, Yun pula berpaling ke arah punca suara ketua jabatan mereka. Unit Jenayah terus sepi bila suara Puan Jannah mengisi ruang.

AN’ Nasai hanya mampu menggelengkan kepala tatkala Yun menghampiri dengan kaki hincutnya. Masih cekal hati dan bersedia mengambil risiko demi sebuah berita untuk tatapan pembaca akhbar pada hari esok. Itulah Qatrun Nada dari kaca matanya.

“Macam mana nak beraksi malam ni?” Usiknya ketika Yun sudah berada betul-betul di depan mata. Wajah gadis itu ceria seperti selalu. Hanya ketawa sahaja yang kedengaran mengisi ruang malam.

“Kita tengok setakat mana kemampuan saya beraksi. Alah, kalau susah sangat, saya serah aje kamera ni pada Inspektor. Tolong rakamkan video serbuan tu nanti, supaya mudah saya nak bercerita atas papan kekunci.”

“Eh, tak ada kerja saya nak buat kerja awak!”

“Ha ha ha. Alah, Inspektor ni. Nampak muka macam simpati sangat. Tolonglah! Apa salahnya?”

Rayu Yun, sengaja mengusik pegawai polis itu. Beberapa kali bergandingan bersama, walaupun di dalam bidang yang berlainan, namun Yun sudah menganggap Inspektor An Nasa’i sebagai sahabat.

“Tak payah ikutlah Yun. Nanti saya call awak, jelaskan tentang operasi ni.”

“Tak boleh! Tak telus begitu dan saya akan rasa bersalah dengan pembaca.” Tolak Yun, tidak bersetuju dengan pendapat An Nasa’i.

“Saya bukan apa...kasihan tengok awak jalan hincut begitu. Dengan keadaan operasi yang mungkin ada sedikit kacau bilau, keadaan kesihatan awak tak sesuailah Yun.”

“Inspektor jangan risau. Saya tak akan ganggu Inspektor nanti. Apa yang mampu saya buat, saya akan buat. Kalau saya rasa tak mampu pun, kita tengok ajelah nanti apa yang saya boleh buat. Yang pasti, pergi tetap pergi.”

Jawab Yun, menyatakan pendiriannya. Inspektor An Nasai hanya menggeleng kepala mendengar keputusan Yun. Dia tiada sebarang bantahan lagi jika Yun tetap berkeras untuk menyertai operasi besar mereka malam itu. Mereka berdua terus melangkah menuju ke arah sebuah pacuan empat roda.


YUN hanya mampu melihat dari jauh beberapa orang pegawai polis sedang berlari mengejar beberapa orang lelaki yang cuba memboloskan diri dari serbuan yang baru berlangsung beberapa minit yang lalu. Asalnya, dia hendak masuk ke dalam lebih awal, namun ditegah oleh Inspektor An Nasa’i.

“Saya takut awak hilang kaki aje, bukan apa pun.”

Senda pegawai polis itu sebelum meninggalkannya. Namun, dek kerana kepuasan menunggu lama di luar, dia menjengah juga masuk ke dalam premis kelab malam tersebut. Ketika itu, setiap pintu telah dikawal ketat oleh anggota polis. Yun menghidupkan kamera lalu melaras penggunaannya kepada penggunaan waktu malam. Kemudian, dia mengambil beberapa keping gambar untuk disiarkan dalam akhbar hari esok. Beberapa barisan wanita berpakaian separas paha menarik perhatiannya. Masing-masing cuba menundukkan muka tatkala lensa kamera menghala ke arah mereka. Tahu diri berbuat salah, namun masih tidak sedar diri juga.

Urine test ye, Koperal?” Tanya Yun pada seorang pegawai polis wanita yang sedang mengawal barisan.

“Ya.”

“Agaknya bila keputusan keseluruhan akan diperoleh?”

“Kita baru mula. Saya jangka, kita akan ketahui keputusan keseluruhan selepas tiga jam nanti.” Jawab Koperal wanita itu. Pada tanda namanya tercatat ‘Suria’. Yun sempat menjeling tanda nama itu sebelum menjeling jam yang terlilit di pergelangan tangannya. Dua jam bermakna dia perlu menunggu sehingga jam tiga setengah pagi. Yun meminta izin untuk bergerak ke bahagian lain, mencari kelibat Inspektor An Nasa’i jika kelihatan, namun yang tertangkap dek matanya hanya keributan di bahagian belakang premis. Keributan itu bagai awan mendung yang sedang berarak. Makin lama makin jelas kekacauannya sehingga kelihatan seorang lelaki berusaha memboloskan diri dari dua orang pegawai polis yang sedang mengepungnya.

“Hebat!” Komen Yun apabila melihat lelaki berjaket gelap itu berjaya menolak seorang lelaki dan berlari ke arahnya. Lariannya cukup pantas hingga beberapa orang yang cuba menghalangnya berjaya dirempuh.

“Mak ai...ini ganas tahap gaban ni. Silap hari bulan, kaki aku yang dah terpeleot ni pun bakal jadi mangsa.”

Ulas Yun perlahan lalu menghulur kaki kirinya. Lelaki yang mengganas sebentar tadi jatuh tersungkur sebaik tersadung dek kaki Yun. Dan ketika lelaki itu jatuh, Yun sengih sahaja. Terus beberapa lelaki menerkamnya walau lelaki itu cuba menentang kembali.

“Easy...”

“Eh, perempuan! Kau jaga! Aku dapat kau nanti, jaga!” Tempik lelaki itu ketika dibawa keluar oleh dua lelaki. Yun dapat rasakan tempikan itu ditujukan buat dirinya. Lihat sahaja pandangan tajam lelaki itu ketika dibawa pergi. Lelaki itu sempat lagi menoleh ke belakang.

“Yun...awak buat apa?”

“Buat apa?” Yun pura-pura bertanya. Inspektor An Nasa’i sudah berdiri di hadapannya dengan pandangan kurang senang.

“Awak jangan buat yang bukan-bukan, Yun! Saya dah pesan, kan? Saya takut orang cari awak aje nanti.”

“Saya tak buat apa pun. Dia yang lari tak tengok bawah! Bila tersadung kat kaki orang, nak marah-marah pulak.” Dalih Yun, mempertahankan dirinya semampu yang boleh.

“Dia tersadung kaki atau awak yang menyadung kakinya?”

“Tersadung atau menyadung? Tak banyak bezalah pilihan yang Inspektor bagi kat saya ni.”

“Yun...Yun! Susah betul nak faham awak ni.”

Inspektor An Nasa’i menggeleng kepala tanda beralah dengan wanita itu. Yun sengih sahaja sedang kelibat pegawai polis itu semakin menjauh darinya. Seperti selalu, Yun menghidupkan kuasa kamera sebelum merakam beberapa gambar pegun. Dari gambar-gambar tersebut, dia sudah merangka beberapa isi penting yang bakal dijadikan bahan untuk bercerita esok.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4~1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.