Home Novel Cinta Cik Skuter Asap Putih
Cik Skuter Asap Putih
Mastura Abdullah
4/12/2014 16:39:17
37,112
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4~1

“SAYA nak report A to Z menjelang hujung minggu ni. Pandai-pandailah awak dapatkan maklumatnya Yun!”

“Puan Jannah! Biar betik? Hujung minggu ni dua hari aje lagi. Mana saya mampu dapatkan info pasal banglo mewah tu!”

Bentak Yun, hampir menjerit. Dia baharu sahaja menghantar laporan Operasi Cegah Maksiat di Bukit Bintang pagi tadi, kini, Puan Jannah memberi ugutan baharu pula. Puan Jannah yang baru keluar dari pantry tidak segera menjawab. Sempat dia minum secawan kopi sebelum menikam pandangan tidak puas hati Yun terhadapnya. Ketika itu, tiada siapa yang berada di Unit Jenayah melainkan mereka berdua sahaja.

“Betik atau epal, belimbing atau anggur, dua hari lagi report tu mesti ada atas meja saya. Kalau tak, awak boleh pilih mana-mana unit lain yang berkenan di hati awak.”

“Saya serius, Yun!”

Tambah Puan Jannah lagi sebelum beredar masuk ke dalam biliknya. Yun kaget. Wajahnya bagai hilang warna saat dikhabarkan berita terburuk dalam sejarah perkhidmatannya itu. Mana aku nak pergi selain Unit Jenayah yang dah lama bertakhta di hati ni? Takkan Unit Hiburan pulak? Tak pasal-pasal kerja aku kena mengemaskini gosip artis setiap dua jam pada Puan Bib. Oh, tak boleh jadi! Yun geleng kepala sendiri.

“Melampauuuu!”

Jeritnya apabila diri kembali ke alam nyata. Kebetulan, Wan baru menolak pintu. Yun dan Wan sama-sama terkejut.

“Oi, yang kau menjerit tak pasal-pasal ni kenapa Yun?”

Tegur Wan sambil meletakkan beg galas ke atas mejanya. Yun tidak menjawab. Perlukah dia menceritakan apa yang berlaku kepada Wan? Kalau dicerita pada Wan, apa bantuan yang Wan boleh beri? Oh, beban besar terasa berat di atas kepala!


YUN memecut skuternya selaju yang boleh. Mindanya ligat berfikir destinasi yang paling tepat boleh dituju untuk mengorek segala misteri tentang sebuah banglo mewah di pinggiran kota yang dikhabarkan menjadi kilang rahsia dan pusat operasi besar-besaran dadah di Malaysia. Menurut Puan Jannah, dia tidak mahu Unit Jenayah akhbar Edisi Malaysia menjadi pihak kedua, keempat atau ke tujuh belas yang membuat laporan tentang operasi dadah tersebut, kerana setakat ini, belum ada pendedahan dibuat oleh mana-mana akhbar. Sama ada ia belum dihidu oleh mereka atau mereka juga sedang mengumpul bukti, seperti Edisi Malaysia sedang lakukan kini. Sebab itu Yun terpaksa jadi Scooterwoman, merempit ke sana-sini sebelum tempoh empat puluh lapan jam tamat.

“Alah, masa ni pulak dia nak mengelipnya.”

Yun mengomel sendiri apabila terpandangkan isyarat tangki yang hampir mencapai E. Dia tunduk sambil menekan pedal minyak, konon-konon mengaplikasikan Hukum Gerakan Newton, supaya skuter yang dipandu bertambah laju.

Debaran di dada berdetak pantas juga, kot lah tiba-tiba enjin skuter mati masa tengah pecut, melakar sejarah ajelah kerjanya hari ni. Namun dia berasa lega, papan tanda di hadapan menunjukkan stesyen minyak terdekat hanya sejauh lima ratus meter di hadapan. Yun terus gagah memecut dan membelok masuk ke arah stesyen minyak tersebut, malah sempat pula memotong sebuah BMW yang sedang merangkak perlahan untuk mengisi petak di sebuah pam.


PONNNN! Hon panjang kedengaran memekik di telinganya. Yun tahu dia salah tapi masa empat puluh lapan jam yang diberi kepadanya terasa amat berharga untuk dibazirkan di belakang BMW mewah itu. Yun mematikan enjin skuternya lalu melangkah deras ke arah kereta tersebut. Daun pintu kereta ditolak.

“Oi!” Sapaan paling sopan di muka bumi menyapa gegendang telinga Yun. Yun tahu lelaki itu marah dan dia tidak peduli. Masa itu emas, kan?

“Saya isi minyak dulu ya, encik.” Yun meminta izin dengan beraninya, namun ketika cermin mata hitam lelaki itu ditanggalkan, Yun rasa nak pengsan! Alahai Mamat Gagak Hitam ni ke? Tak ada manusia lain ke yang boleh ganti dia dalam seramai-ramai umat manusia ni? Yun sempat membebel sendiri. Berpatah atau teruskan? Emm, apa kata aku buat-buat tak ingat dia? Ya, buat tak ingat saja! Masa itu emas, kan?

“Saya tumpang kejap, encik. Nak isi minyak.”

“Apa yang ada dalam pam ni selain minyak? Awak ingat saya datang sini nak cuci mata? Saya bersusah payah berbaris, tunggu dua biji kereta di depan, senang aje awak potong saya.”

“Jangan marah, encik! Nanti cepat tua. Saya nak cepat ni. Tolong saya, ya? Lain kali kalau saya jumpa encik lagi, saya bagi encik potong saya berkali-kali. Saya janji!” Yun angkat tangan bagai mengangkat sumpah, dengan topi keledar masih melekat di atas kepala namun tawa yang meletus dari ulas bibir lelaki itu menghairankannya.

“Saya dah ingat awak. Kuda belang...kita bertembung kat majlis koktail tu kan?”

“Majlis koktail? Encik, tak payahlah nak melambat-lambatkan saya. Kalau bukan urusan masa, tak ingin pun saya potong que encik. So, tumpang lalu ya?”

Tanya Yun, buat-buat lupa. Niatnya satu, untuk mengalih perhatian lelaki itu. Dia terus bergerak ke pam, mengangkat nozel dan laju menapak ke arah skuter kesayangannya. Dia memulas penutup tangki minyak dan terus menekan picu nozel tersebut, namun tiada apa yang keluar melalui muncung nozel tersebut. Yun mencuba lagi, dan lagi sehingga terasa ada seseorang mendekatinya.

“Hukum karma. Awak potong que saya, dan awak kalut mengelak dari saya. Kesan sikap gelojoh awak tu, awak tak bayar harga minyak. Awak jugak yang tersangkut kat sini.”

Tegur Zill Qayyim dengan senyuman yang tidak dapat ditahan. Lucu betul wanita skuter merah itu. Kelam kabut dari awal pertemuan mereka lagi. Namun, hati lelakinya masih punya simpati. Walau pada awal tadi, dia dirasuk amarah kerana barisannya dipotong wanita itu, namun demi terlihat sekujur rupa itu, marahnya bagai disimbah tabung pemadam api. Hatinya terus sejuk, malah bersedia pula untuk membantu wanita itu. Lihat sahaja rupanya yang sudah berubah bila minyak belum keluar dari mulut nozel itu.

Ponnn! Kereta di belakang sudah membunyikan hon sedang Yun masih setia memegang erat nozel itu.

“Cukup-cukuplah berdrama dengan nozel tu. Sekarang, awak dah boleh isi minyak dengan jayanya.”

“Atau awak nak saya tolong isikan?” Tokok Zill Qayyim lagi membuat darah merah menyimbah ke muka buat sekian kalinya.

Previous: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.