Home Novel Cinta Jon Aragorn
Jon Aragorn
Ann Hann
3/1/2021 17:08:50
24,329
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Hampir semalaman aku berjaga memikirkan apalah agaknya misi yang perlu aku buat untuk Jon menyamar sebagai kekasih palsunya. Aku kena berlakon jadi kekasih yang macam mana? Jadi gadis yang berlagak memakai barang mewah dan memuji-muji seluruh keluarga Jon. Atau dilelong dimajlis amal, atau jadi duta ke Afrika, ke Cuba, ke Jamaica sebab Jon tak rela dikejar singa jadi dia akan mewakilkan aku jadi makanan singa.

Aduhai Nami. Gila apa aku berfikir sampai ke situ pula. Dasar Jon Aragorn tak guna! Kenapalah nasib aku terjumpa lelaki samseng itu lagi. Tak putus-putus aku berdoa moga-moga tidak ada yang membahayakan aku nanti. Memang menyusahkan. Tak pernah sekalipun aku mengingatkan Jon sejak beberapa tahun lalu. Aku anggap dia sudah lama lenyap dari dalam fikiran dan tiba-tiba … bum! Semuanya meletus dan menimbulkan masalah. 

Entah pukul berapa baru aku terlelap hingga terlewat bangun. “Nami, Nami!” Suara mak memanggil berkali-kali dari luar bilik macam nak pecahkan pintu bilik. Kelam-kabut aku bangun. Mandi dalam dua minit, segera bersiap, lepas itu pergi berangkat kerja.


***


Di sebabkan ada masalah di stesen subway tadi, aku memang terlambat lima minit ke tempat kerja bagaimanapun larian pantas yang aku rasa boleh memecahkan rekod sukan sekolah berjaya buat aku sampai ke pejabat lebih awal tanpa didenda. Mengikut peraturan syarikat, pekerja akan didenda sebanyak dua puluh dolar jika terlambat lima belas minit dan denda lima puluh dolar kalau terlambat setengah jam.

“Selamat pagi Nami,” Dorina menyapaku dengan pandangan mencerun, matanya menghala ke mejaku.

“Selamat pagi Dorina.” Ucapku sambil tertanya-tanya melihat bungkusan berwarna coklat di atas mejaku yang bercop Sunway Bookstore dan berikat reben biru yang tidak diikat dengan sempurna.

“Untuk saya?” aku bertanya Dorina.

“Ya, Jon Aragorn yang bagi, awal pagi-pagi lagi dia dah sampai dan letakkan di atas meja awak,” cerita Dorina.

Dengan penuh tanda soal dalam kepala, aku duduk. Selepas meletakkan sling bag di bawah rak meja aku membuka beg kertas itu dengan berhati-hati ketika menarik reben birunya. Bunyi lipatan kertas buat hatiku turut berdebar. Kemudian aku mengintip ke dalam dan melihat dua naskhah seperti majalah, pantas aku menarik keluar sebelum tercungap dan hampir lupa cara bernafas. Bukan majalah, tetapi luar biasa benar, komik Iron Man dan Spiderman edisi khas yang aku idam-idamkan dari kedai buku Sunway semalam.

“Wahhh…” ini benar-benar buat aku tersentuh dan dalam masa yang sama berasa kecewa. Itu bermakna aku termakan umpan perangkap nakal Jon Aragorn.

Bagaimanapun bila terbayangkan Ethan dan Foden yang tentu akan melompat gembira menerima komik ini aku jadi serba-salah. 

Kepalaku rebahkan di atas meja, menahan rasa kesal sebab sampai sekarang masih tergolong sebagai orang yang tidak mampu membeli barang mahal. Jon tak patut buat aku begini. Ini betul-betul berlebihan. Aku tidak inginkan apa-apa dari lelaki itu, tidak duitnya dan bukan juga barang-barang pemberian Jon. Di mana letaknya pendirianku yang nekad bencikan dia. Lantas aku bangkit dan berniat untuk mengembalikan komik itu kepada pemberinya. 

“Err… Nami, lebih baik awak kira cepat bayaran kepada pembekal sebelum Mrs. Franklin minta tengahari nanti,” tegur Dorina.

“Alamak aku lupa…” aku baru teringat arahan Mrs. Franklin semalam. Niat tadi terpaksa aku batalkan dulu. Aku kembali duduk dan mula menyemak fail yang mengandungi akaun-akaun pembekal dan perkhidmatan. Hutang-hutang lama perlu dikira sebelum bayaran dibuat yang akan disahkan oleh Mrs. Franklin dan akan ditandatangan oleh Ketua Pegawai Eskutif Jon Aragorn Holland seperti yang aku baca di bawah dokumen. Kerja yang mudah sebenarnya dari mengurus aduan jika ada masalah dari penghuni-penghuni apartmen.

Angel dan bahagiannya menguruskan akaun pekerja, manakala Audrey dan aku pula berada di bahagian pengurusan syarikat. Audrey duduk di meja belakang tetapi kadang-kadang cepat sahaja dia sampai ke mejaku dengan kerusi berodanya seperti sekarang… tiba-tiba sahaja dia tersengih di sebelahku ketika aku baru selesai mengira hutang beberapa akaun pembekal simen dan perabot.

Kening Audrey terangkat tinggi dan sengaja digoyang-goyangkan. 

“Ada apa?” soalku pelik.

“Kenapa Jon baik hati dengan awak?” sambil mata Audrey menjeling kepada beg kertas yang di dalamnya ada komik berharga lebih seribu dolar. Kemudian tangannya memanjang dan mengambil beg kertas itu dan mengeluarkan semula isinya yang telah kusimpan tadi.

“Sebab dia ada maksud lain,” aku cuba mengelak.

“Maksud lain? Apa maksud … nya?”

“Tak ada apa-apa, aku serius, memang tak ada apa-apa,” aku patut lebih berhati-hati bila bercakap, nanti orang curiga.

Bibir Audrey menyenget, jelas dia tidak percaya semua kata-kataku. Dia sedang meneliti komik edisi khas itu.

“Wow, koleksi tahun 1973, tentu mahal kan?” tanya Audrey dan merenung muka depannya seolah-olah berfikir kenapa ada orang segila Jon hadiahkan kepada aku komik lama yang mahal. 

Semua orang di Amerika tahu, semakin tua suatu barang itu maka semakin lama harganya akan terus meningkat naik, terutama barang-barang yang popular, berkualiti tinggi dan tidak banyak di muka bumi ini.

“Aku hutang duit dengan dia, nanti gaji aku bayar balik,” laju saja aku mengubah topik dengan berbohong seberapa pantas yang boleh.

“Emm yalah, saya nak pergi fotokopi dokumen dulu,” katanya dan menyeret kembali kerusi beroda ke mejanya semula dengan ekor mata gadis itu mengerlingku dengan kerlingan curiga. Aku kembali membuat kira-kira dan bercadang hendak bertemu Jon waktu pulang nanti. Lagipun kenapa aku perlu susah-susah cari dia, secara automatiknya dia akan mencari aku nanti untuk berbincang pasal perjanjian kami.

Selepas lapan jam berlalu.

Tekaanku semuanya betul. Jon sudah sedia menunggu di perkarangan depan bangunan sejurus waktu kerja berakhir. Aku menerima pesanannya dari pengawal keselamatan sebaik  keluar dari lif. Dia meminta aku pergi ke kereta Aston Martin bernombor NY1W 99 US. 

Aku menghela nafas yang berbunyi seperti keluhan. Mungkin bukan aku seorang sahaja di dunia ini yang berfikiran begini, tentu ada gadis-gadis lain yang melalui perasaan yang sama jika ia melibatkan masalah peribadi dan masa hadapan. Ada kalanya sukar hendak kuterima kenapa jalan hidupku begini, apakah semua yang berlaku ini pada akhirnya akan memudaratkan atau membuahkan hasil. 

Aku seperti melihat masa depanku dari pandangan seseorang yang rabun jauh, semuanya kabur. Semakin jauh semakin kabur. Bertemu dengan Jon dan terlibat dengan rancangan gila lelaki itu… aku merasakan pembukaan usia 23 tahunku sedikit menakutkan dan penghujungnya pula sulit dijangka. Adakah Aston Martin berwarna putih berkilat laksana mutiara itu bakal jadi penghalang?

Jon membuka pintu dari dalam sebaik aku hampir. Aku masuk ke dalam kereta setelah memastikan tidak ada pekerja lain melihat.

“Hai… macam mana kerja hari ni?” tanya Jon sebaik aku duduk di sebelahnya.

“Baik, semuanya lancar…” kecuali pengurus eksekutif yang bermasalah.

Jon tersenyum. “Jadi, kita nak ke mana? Kafe, bar? Atau kau nak pergi ke suatu tempat yang… lain.”

“Kafe.”

“Ok.” Jon terus memandu pergi meninggalkan Aragorn Tower.

Aku berdiam diri membiarkan Jon terus memandu di tengah jalan sesak ketika melalui Fifth Avenue. Pada jam-jam begini semua orang berpusu-pusu pulang dan mencari keperluan sebelum pulang ke rumah.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.