Home Novel Cinta Jon Aragorn
Jon Aragorn
Ann Hann
3/1/2021 17:08:50
24,369
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Masuk pejabat tepat pukul lapan, Dorina Bale gadis yang berkaca mata tebal yang duduk di meja sebelahku segera menyampaikan pesanan.

“Jon Aragorn nak jumpa awak di biliknya, sekarang,” pesan Dorina dengan pandangan mata yang lucu bila kaca matanya jatuh ke paras hidung.

Aku dah jangka.

“Terima kasih Dorina.” 

Mahu tak mahu aku kena juga menurut pesanan itu. Dengan langkah kaki yang berat aku berjalan ke arah bilik Jon yang terletak di lorong yang pertama dan bersebelahan dengan pembantu pengurus pejabat Joan Kathrynn Franklin atau Mrs. Franklin. Setiausaha Jon pula bekerja keseorangan disuatu ruangan khas betul-betul di tengah lorong antara bilik Jon dan Mrs. Franklin. Dinding bilik itu diperbuat dari kaca yang aku percaya ia sengaja disadur gelap supaya dia dapat melihat dengan jelas semua pekerja-pekerja di luarnya.

“Nami Rose?” tanya setiausaha berbangsa cina dan kelihatannya berusia dalam lingkungan 30-an.

Aku mengangguk dan tersenyum.

“Terus masuk, Encik Aragorn dah tunggu,” katanya dengan tangan memegang pen menghala ke arah pintu.

Perlahan aku menghela nafas selepas membetulkan kot petak-petak berwarna kelabu kecoklatan sebelum menolak pintu yang tercatat nama… 

Jon Aragorn Holland, Ketua Pegawai Eksekutif. 

Aku mencebik.

Sejurus pintu terbuka satu suara yang tidak asing lagi memanggil.

“Hi Nami, masuklah,” Jon langsung berdiri dan melangkah menghampiriku lalu dengan baiknya mengiringi aku ke sofa berwarna hitam bergaya seolah-olah aku salah seorang pemegang saham Empire Roman.  

Kami saling duduk berhadapan dengan rasa janggal yang sudah tidak kukenal lagi. Mungkin juga itu perasaan takut kerana kenangan lamaku dengan Jon hanya dipenuhi memori  suara-suara ugutan. Anehnya hari ini, aku melihat Jon Holland dalam versi berbeza. Tingginya seakan bertambah beberapa inci. Rambutnya sedikit bergelombang tetapi kemas. Berbanding dahulu dia suka dengan identiti rambut seperti banduan dan telinganya bertindik lima. Aku cuba mengintai ke telinganya samada anting-anting bulat seperti cincin itu masih adakah pada bahagian atas cuping telinganya? Ya, ada. Cuma ia kelihatan lebih kecil dan hanya satu. Dia memakai jaket hitam yang kurang sesuai memandangkan jawatannya sebagai seorang pengurus Aragorn Tower tetapi apa-apa pun yang Jon kenakan pada tubuhnya sentiasa membuatkan dia kelihatan agak tampan dan mengkagumkan. Aku tidak pernah bayangkan bekerja di bawah pengurus eksekutif yang baru berusia 23 tahun sama seperti usiaku.

“Kau masih tinggal di Greenwich Village?” soal Jon sambil bersandar dengan kedua tangannya pada pemegang sofa.

“Ya.”

Dia mengangguk-angguk macam gaya-gaya menteri. “Tempat yang cantik, banyak kenangan aku di sana,” kata Jon bangga.

‘Ya tentulah banyak, kau kan terkenal dengan cop budak paling nakal di Greenwich’ kata hatiku sinis.

“Apa khabar ibu dan keluarga...”

“Semuanya okay, err… Jon bolehkah kau terus-terang saja kerja apa yang perlu aku buat sebab aku ada kerja lain yang perlu disiapkan hari ini,” aku segera memintas dan tidak ingin berlama-lama di dalam bilik itu.

“Baiklah, kau memang kena tolong aku, ini penting,” kata Jon sambil menggaru-garu keningnya.

“Tolong semak fail ke? Tentu saja boleh, kau pengurus Jon dan setiap arahan pengurus merupakan suatu kewajipan orang bawahan untuk mengikutinya.”

“Nampaknya kau pun faham. Kerja semak fail memang ada tapi yang ini lebih penting,” dia berkata dengan muka serius yang menyakitkan hati.

Jon, bolehlah kurekodkan sebagai lelaki yang paling aku tidak ingin jumpa di mana-mana pun peta dalam dunia ini. Aku masih menunggu dengan berbagai jangkaan terutamanya tentang kerja-kerja yang mungkin melibatkan acara marathon agaknya? Sebagai wakil pengurus sialan ini! Aku masih boleh berlari sejauh 10km kalau dia mahu. Mungkin jadi maskot Roman Empire, yalah tu. Aku sudah dapat menghidu masalah tekanan perasaanku sewaktu sekolah tinggi dulu kembali berulang.

“Aku nak kau menyamar jadi teman wanita aku.”

KERJA APAKAH ITU? PENDENGARANKU TIBA-TIBA TIDAK BERFUNGSI DENGAN BAIK! 

“Apa?” soalku dungu.

“Jadi teman wanita aku, hanya untuk beberapa bulan, untuk yakinkan ayah aku,” katanya lebih jelas tanpa beralasan.

“Kau gila!” Aku terkejut dan menggeleng laju.

“Ya. Aku gila!”

“Ini bukan ugutan lagikan, aku bukannya budak perempuan sekolah tinggi yang pernah kau buli dulu. Aku boleh buat laporan polis kalau kau cuba ugut aku!”

“Apa? Tak, tak...” tangannya membuat isyarat tidak. “Aku tak ugut kau, apa buktinya aku ugut kau sekarang, aku cuma nak minta tolong, menyamar untuk beberapa bulan saja, aku akan jelaskan kenapa, tapi terpulang dari kau... aku cuma nak katakan yang aku tak ada pilihan lain, kau saja yang boleh tolong aku sekarang,” jelasnya seakan-akan merayu dan dalam yang sama mendesak.

“Aku akan berhenti kerja sekarang!” aku pantas berdiri.

“Apa!” dia ketawa. 

Jon sialan itu ketawa. Aku mengerang kecewa kerana teringatkan sesuatu sebelum Jon juga mengingatkan aku hal yang sama.

“Kau dah tandatangan kontrak kerja paling minimum enam bulan Miss Adams, macam mana kau nak berhenti kerja, kau boleh bayar tebus kontrak sebanyak sepuluh ribu dolar ke? Dan kemungkinan besar kau susah nak dapat kerja di tempat lain kalau majikan baru kau tahu kau tiba-tiba berhenti dari Roman Empire. Belum pernah ada pekerja berhenti dalam masa sehari di syarikat ini,” jelasnya dengan gaya berlagak ketika kami sama-sama berdiri.

Jelas. Ini memang rancangan Jon. “Jadi kau memang dah rancang semuanya. Dari mula-mula kau jumpa aku masa kau beli piza, kau dah rancang supaya aku dapat kerja di sini dan sekarang aku perlu menyamar pula, kaulah orang paling tidak siuman di bangunan ni, oarrhhh!” Tuhan saja tahu perasaan marah yang aku terpaksa tahan sekarang.

“Aku minta maaf. Tapi kau satu-satunya harapan aku,” ujar Jon cuba merayu.

 “Kalau aku tetap tak mahu?” aku cuba berunding sebenarnya.

“Kau tak ada pilihan lain sebenarnya, begitu juga aku. Kalau fikir-fikir tak lama pun, aku merayu, Nami. Tolonglah.”

Oh Tuhanku kenapalah makhluk segila ini berada dipersekitaran hidupku.

“Aku keluar dulu, nanti aku fikirkan,” kataku dan terus meluru keluar dengan rancangan ingin mencari duit tebus kontrak sebanyak sepuluh ribu dolar supaya aku boleh keluar dari Aragorn Tower. Tetapi malangnya akaun bank satu-satunya yang aku ada cuma  dua ratus dolar saja. 

Gaji sebagai kakitangan pengurusan sebanyak 3000 dolar termasuk elaun sangat-sangat aku perlukan untuk membantu Ethan dan Foden terus hidup dengan selesa dan bersekolah dengan selesa juga. Adakah aku patut pinjam wang dari sesiapa? Tak guna punya Jon. Permintaannya luar biasa mengejutkan. Aku lebih suka dia menyorongkan kepadaku kerja-kerja sebesar almari stor.


Previous: Bab 6
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.